Translate

Wednesday, 7 October 2015

Long Lama dalam Daerah Telang Usan

Sejarah tercipta hari ini ( 7.Okt.2015 ) apabila perlantikan Pertama dalam tempoh 130 tahun dalam pentadbiran Baram, semenjak tertubuhnya Pejabat Daerah Marudi dengan Tuan D.O Pertama dulu berbangsa Inggeris, kini sudah ada Tuan D.O @ Pegawai Daerah Telang Usan yang pejabatnya terletak di seberang pekan Long Lama.

Sengaja aku hadir ke majlis tersebut, bukan setakat kerana jemputan tapi kerana aku ingin menjadi diantara salah seorang yang memegang sejarah ini. Bayangkan untuk tempoh 50 tahun akan datang, peristiwa yang bersejarah ini pasti tersimpan rapi dalam arkib kementerian kerajaan Negeri Sarawak. Atau lebih tinggi sikit, gambar kenangan ini pasti digantung dalam lobi Pej. Daerah Telang Usan suatu hari nanti. Diharap begitu….

 En. Antonio Kahti Galis selaku Residen Miri diapit oleh kedua Yang Berhormat


Dahulu, Pejabat Daerah lebih sinonim dengan ‘Renew’ lesen senapangnya dan mohon permit minta beli peluru hidup. Tapi fungsi sebenarnya adalah lebih kepada menjadi Mata dan Telinga pihak kerajaan untuk  mentadbir serta membantu dalam menyelesaikan setiap isu berbangkit di peringkat kawasan jagaannya.

Didalam bahasa politik tempatan, ianya dinamakan ‘Tranformasi Luarbandar’. Kawasan Baram ini yang seakan sebesar Negeri Perak ( Negeri kedua terbesar di semenanjung selepas Pahang). Selama ini dijaga oleh Pejabat Daerah Marudi, kini telah dibahagikan kepada 3 pentadbiran iaitu Pejabat Daerah Telang Usan dan Pejabat Daerah Beluru.



Diantara Tetamu jemputan yang menghadiri Majlis ini membabitkan Temenggung,Pemanca,Penghulu, K.Kaum, Konselor dan Ketua Jabatan sekitar Long Lama.


Ada dua kelebihan yang aku nampak di sini:

1   JARAK DAPAT DIRAPATKAN

Dengan jarak yang jauh ( pendalaman ) serta kos yang mahal memang membebankan bagi sesiapa mempunyai urusan kerja seperti penyerahan dokumen Perlantikan baru ketua kampung, urusan pentadbiran kampung yang memerlukan pandangan dan nasihat dari Pegawai Daerah hatta minta pengesahan tandatangan dari Pegawai Daerah untuk salinan sijil anak yang ingin naik ke Universiti atau mohon kerja. Adakalanya Pegawai yang dicari, tidak ada di pejabat kerana urusan kerja seperti ‘traveling’ tempat lain atau berkursus. Ini akan menambah beban kepada penduduk kampung yang terpaksa bermalam sehari dua sambil menanti kepulangan Tuan D.O. Maka dengan adanya 3 Pejabat Daerah dalam kawasan Baram, ianya sungguh membantu penduduk dari segala segi yang melibatkan urusan di Pejabat. Penduduk dari kawasan Tinjar cuma perlu ke Pejabat Daerah Beluru dan penduduk di kawasan ulu Baram seperti Long San atau kawasan Tutoh Apoh cuma perlu berurusan ke Pejabat Daerah Telang Usan sahaja tanpa membuang masa dan wang lagi untuk ke Marudi.

2.    PEJABAT BARU, PERUNTUKKAN BARU

Sebelum ini Telang Usan dan Beluru dibawah pentadbiran satu-satunya Pejabat Daerah di Marudi. Apabila wujudnya Pejabat Daerah yang baru maka Peruntukkan juga baru. Pastinya agihan peruntukkan dari kerajaan Negeri akan sama rata kepada 3 Pejabat Daerah dalam kawasan Baram dibanding dengan yang dulu. Telang Usan yang mempunyai Keluasan 9,829 kilometer persegi - 103 kampung didalamnya dan lebih 31,000 penduduk kini, boleh bernafas lega kerana peruntukkan bajet memang dikhaskan khusus untuk membangunkan penduduknya sendiri. Kalau di Eropah, persempadanan sebegini telah wujud seawal tahun 1920-an lagi demi untuk melicinkan urusan Pentadbiran.

Penyerahan tugas di antara D.O Telang Usan dan D.O Marudi En Markos Sibong ( Baju Biru )


En. Emang Oyong Emang, Tuan Pegawai Daerah yang pertama ( D.O ) telang Usan berasal dari Long Bedian dan akan pencen pada tahun seterusnya. Pernah menduduki Jawatan sebagai Tuan S.A.O di sini pada tahun 1984. Bak kata pepatah lama, ‘Sirih pulang ke gagang’. Biarpun tidak lama menjadi Tuan D.O di sini, namun beliau pastinya akan meninggalkan satu TAPAK atau ASAS yang kukuh untuk ditinggalkan kepada Pengantinya nanti. Meminjam kata-kata Ketua Menteri Sarawak, beliau mengatakan, 

Dia bukan D.O untuk bangsa Kayan, kenyah, penan atau Iban tapi Dia Tuan D.O untuk semua bangsa. Datang ke Pejabatnya, dengan penuh sedia,  dia akan membantu.


Wednesday, 30 September 2015

Kesalahan yang sama,( curi ) tapi hukuman yang berlainan

Membelek Suratkhabar di awal pagi, mencari mukasurat berkenaan  bacaan IPU Jerebu, terlihat khabar yang memerlukan akal yang kritis untuk menilai. Kalau setakat membaca sepintas lalu, memang tidak perasan tentang perkara ini.

Bertarikh dan keluaran suratkhabar tempatan yang sama, dengan berakhir keputusan dalam Kes Mahkamah  KECUALI situasi kes yang berlainan.







Mungkin aku masih hingusan dalam selok belok perjalanan mahkamah, sebab banyak sudut yang harus difikirkan untuk menjatuhkan sesuatu hukuman oleh para juri dan hakim. Namun dasar setiap keputusan sepatutnya bergantung dengan kecil  atau besar kesalahan yang dilakukan.

Contoh yang paling mudah:

Seorang budak kecil ditangkap kerana mencuri buah epal. Apabila disoal, didapati dia sudah 2 hari tidak makan. Dia tetap dihukum kerana perkara yang salah tetap salah ( mencuri ) , namun hukumannya tidak membawa sampai potong tangan atau sebat 100 kali. Cukup sekadar tarik telinga atau gertak dengan kata-kata nasihat yang berguna. Hukumannya menjadi ringan disebabkan niatnya untuk mencuri bukan disebabkan untuk menjadi kaya, tapi desakan perut yang lapar.

Lain pula dengan kes seorang bujang trang tang-tang, ditangkap mencuri lembu. Apabila disoal, didapati dia  ingin menjual lembu tersebut untuk mendapatkan duit bagi melepaskan gian dadah. Terserlah keadilan melalui kehakiman apabila jika dibanding dengan kes budak kecil tadi, hukuman yang diterima oleh Si bujang trang tang-tang sepatutnya semakin berat. Kerana berniat mencuri untuk kepentingan dan keseronokannya sendiri dan gantirugi kerugian yang besar bagi pihak yang dicuri ( Pak gembala lembu )



Berbalik kepada cerita dalam Suratkhabar ini:

Seorang penganggur yang mencuri sekeping Mykad, lessen memandu, kad ATM, kad RELA dan RM150 dalam satu dompet dibanding dengan bekas menteri besar yang “mencuri”  menggunakan kuasa kedudukannya untuk memperoleh 2 lot tanah dan sebuah banglo.  Ada sesuatu yang tak betul di atas keputusan kes ini . Nilai keuntungan itu mencecah jutaan ringgit.

Sepatutnya kesalahan yang kecil maka hukumannya juga kecil dan kesalahan yang besar maka hukumannya mesti besar. Apa beza  dijatuhi hukuman dipenjara 1 tahun VS dipenjara 12 bulan???

lain kali, baik merompak dengan nilai jutaan ringgit di bank daripada meragut beg tangan makcik Limah yang berjalan melenggang nak ke pasar basah mencari ikan bawal.

Kalaupun si Penganggur tersebut menjual segala barang curinya itu (sekeping Mykad, lessen memandu, kad ATM,kad RELA ), ianya masih juga tidak mencecah jutaan ringgit. 

Teringat pesan Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya:

Baginda bersabda:
"Adakah kamu ingin memberi syafaat (memohon diringankan hukuman) dalam perkara hudud (hukum-hukum yang telah diputuskan oleh Allah)? Sesungguhnya telah binasa golongan terdahulu kerana apabila para pembesar melakukan kesalahan, mereka tidak dikenakan hukuman, tetapi apabila rakyat biasa yang lemah melakukan kesalahan, rakyat tersebut terus dihukum. Demi Allah, sekiranya Fatimah anakku mencuri, nescaya aku pasti akan memotong tangannya!"


[Hadith riwayat Bukhari dan Muslim]

Kes di atas sedikit sebanyak ada tersangkut dengan hadis ini. Bekas Pak menteri tersebut ‘tidak dikenakan hukuman yang setimpalnya’. Jelas dalam sistem keadilan Negara ini ada double standard. Keadilan yang dapat di beli dengan jasa & wang.



Atau, cuma aku seorang saja yang melalak terhegeh dengan perkara ini disebabkan aku TIDAK FAHAM dengan prosedur standard dunia kehakiman.


Monday, 28 September 2015

Jamuan tengahari Ikan Empurau RM600 sekilo


Pertengahan bulan September, ada perlawanan bolasepak untuk Dun Telang Usan sahaja anjuran ranting PBB Telang Usan. Sebanyak 20 pasukan mengikuti pertandingan ini untuk kategori lelaki dan perempuan. Bermain dalam masa 10 minit sebelah sebanyak 9 pemain sahaja.

Aku bukan nak ceritakan berkenaan pertandingan tersebut. Aku nak kongsikan sesuatu yang sungguh istimewa  dimana Ya Salam Restaurant telah diamanahkan untuk menyediakan Jamuan untuk VVIP iaitu Y.B Dato Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof selaku menteri Kerja Raya Malaysia dan Beliau juga Ahli Majlis Tertinggi dalam Parti terbesar di Sarawak iaitu PBB.

Dengan notis yang singkat dari Y.B Dennis Ngau, aku bersama Isteriku terkial-kial mencari barang menu dengan senarainya semua jamuan ala kampung. Aku baru balik dari Mesyuarat Marudi, terus ke Miri mencari bahan-bahan tersebut.

Mengalan ( Atas ) & empurau ( bawah )



Udang galah sungai Baram Sekilo RM 70.00


Standard menu kampung, pucuk ubi


Ikan Empurau seberat 3 kilo dihantar oleh sahabat Y. B Dennis Ngau dari Long San bersama ikan Mengalan. Aku di fahamkan oleh pakar  harga ikan, mengatakan bahawa yang terkini harga sekilo ikan empurau ini bernilai RM600.00…perghhhhhhh…Di masak cara kukus hingga kuali kukus pun tidak cukup untuk memuatkan bahagian sisip ekornya.







Yang menariknya, satu lagi rekod tercipta dalam dunia bisnes Restaurant Ya Salam Long Lama.


Sunday, 27 September 2015

Takbir Raya Aidiladha di Long Lama

Tahun 2015, aidiladha jatuh bertepatan pada tarikh sekolah bercuti. Sahabat guru yang sering menjadi Imam semuanya balik ke kampung untuk kali ini.

‘ Dah 4 tahun tak balik raya aji ne ’

Teringat kata-kata seorang sahabat guruku sewaktu minum petang  selepas balik kerja.

Seingat aku, sudah nak masuk 13 tahun aku di Long Lama, aku cuma pernah sambut Raya Haji dua kali  termasuk yang kali ini di sini. Walaupun setakat Raya Haji, tapi apabila mendengar Takbir di Radio atau tv terasa ada sesuatu yang menendang dada. Hati kecut sayu untuk seketika dan dalam beberapa minitnya baru kembali ke normal semula. Syahdu nyeeeeeeeeee.




Solat Aidiladha dipimpin oleh Saudara Adong ( aku tak tahu nama betulnya) orang Indonesia telah lama bermastautin di sini. Teks Khutbah telah di print dari laman web Rasmi JAIS hasil usaha En. Bolkan selaku penyelaras Masjid Darusalam Long Lama.





Untuk hari tersebut, kita telah menumbangkan seekor sapi dan hari seterusnya akan menumbang 2 ekor lagi.



Yang menariknya program korban di sini, ianya melibatkan pelbagai kaum, sahabat dari Indonesia, cikgu dari Malaya dan melayu borneo, kami dapat bersama bergumpul mengangkat melapah menyelesaikan ibadat korban ini. Syukur Alhamdulillah.


Lawatan bersejarah dari Persatuan Imam bahagian Miri

Bertarikh 16 september sempena sambutan HARI MALAYSIA, satu rombongan dari Miri yang diketuai oleh En. Ali Abdul Rahman@Pakcik Ali  selaku Pengerusi Imam Bahagian  Miri telah hadir untuk julung kalinya ke Masjid Darusalam Long Lama. Rata-rata yang hadir semuanya yang sudah berpencen, maklum la...Tuan Imam.

Lawatan ini bertujuan untuk meningkatkan perpaduan dan kerjasama di antara kita kalangan penganut Islam.

Kehadiran sebegini amat dinantikan oleh kami yang jauh di jeruk rantau. Dengan bermula jam 11.30 pagi ( masa ketibaan ) hingga 2.30 petang ( masa berangkat balik ).

Kalau difikirkan, program sebegini seumpama ‘melepas batuk ditangga’.  Tak sampai 3 jam, rombongan ini mula berangkat balik. Dengan tentatif program dimulakan Selepas zohor ada tazkirah dari Peg. JAKIM dan pemberian sumbangan berupa buku agama khasnya untuk Saudara baru dan amnya untuk tatapan para jemaah di sini dan sedikit wang untuk membantu menyelengaraan kerja bulanan Masjid.


En. Ali Abdul Rahman@Pakcik Ali  selaku Pengerusi Imam Bahagian  Miri ( berdiri )


Tazkirah dari Peg. JAKIM Bahg. Miri, Asal Orang Nogori sembilan


Majlis sumbangan derma & cenderahati yang diterima En. Bolkan ( Baju Merah )selaku wakil kami di sini




Namun syukur juga, diatas kesanggupan para rombongan untuk hadir menyaksikan kelemahan serta kekurangan kami disini. Sempat juga aku berbisik dengan Peg. JAKIM untuk membuat program khusus untuk saudara baru yang semakin ramai di ‘desa sepi’ ini.


Friday, 25 September 2015

SELAMAT PENGANTIN BARU

Lama sudah tidak ‘update’ blog. Terlalu sibuk dengan tugasan yang semuanya perlu disegerakan. Banyak yang tak sempat aku isi dalam entri kali ini, namun akan ku buat secara perlahan-lahan dan berperingkat.

Kali ini Majlis ‘nasi minyak’ diutamakan dalam blog ini. Majlis Persandingan Adik isteriku di Dewan Suarah Marudi. Sungguh meriah diitambahkan lagi 80 peratus persiapan Majlis ini telah diuruskan aku dan isteriku sendiri.

Proses mengambil umbut nyiur dan dapat 5 batang kesemuanya


Penyembelihan sapi di kebun Majikan Pak Mertua


Majlis Marhaban dan Doa selamat


Persediaan menyusun meja, kerusi, pinggan mangkuk & pelamin di Dewan Suarah



Pelamin Raja Sehari



Dari membeli bahan menu Jamuan, pemilihan jemputan, pelamin, lokasi persandingan hingga tentatif program Majlis disediakan dan harus difikirkan. Ditambahkan lagi tekanan apabila tetamu terhormat adalah Y.B En Dennis Ngau Adun N.67 Telang Usan beserta rombongan  hadir ke Majlis ini. Aku mesti memastikan setiap detik dan masa Majlis tersebut berjalan seperti yang di rangka dan syukur segalanya Berjaya.




Dengan bantuan dari sanak-saudara dan sahabat handai, dengan kerjasama dari jurumekap, juruteknik PA System, Penghias pelamin dan tukang masakan yang berkaliber. Majlis ini sungguh sempurna dan success.


Keluarga sebelah pengantin perempuan



 keluarga sebelah pengantin Lelaki


Memang penat memikirkan segala persiapan tersebut. Namun kepenatan itu berbaloi apabila terukir senyuman di bibir Pak Mertua.




Salam Raja Sehari , didoakan bahagia hingga ke jannah dan dimurahkan rezeki datang dari segenap arah.



Monday, 24 August 2015

Perkauman boleh dielakkan dengan mansuhkan Vernacular.

Melalui hidup yang dikelilingi non muslim di Long lama, aku mesti mempunyai sifat yang sentiasa peka dan berwaspada kerana bilangan yang minority seperti aku ini akan diperhati dan dinilai dari segi   tindakan serta tingkahlaku. Akhlak yang baik dengan tuturkata yang sopan dan berbudi mulia akan membuatkan orang suka pada kita khususnya dan akan tertarik pada agama kita amnya. Kita juga secara tidak langsung menjadi DUTA untuk ‘melayu & Islam ‘ yang tidak dilantik melalui surat rasmi.

3 Malam di Kampung Long Laput untuk pemilihan MSSR zon baram tengah ( Angah sorang je Muslim )


Hari terakhir berada di Tahun 6 Sk Ubong Imang ( Along sorang je Muslim )

Terimbas saat aku menempuh permulaan hidup ini, di mana pergaulan rakan sekampung, mengaji, berzanji marhaban, hadrah dan alam mula persekolahan di SK Dato Sharif Hamid dikelilingi cuma saudara seagama. Sebab itu, setiap kali kami balik melawat kampung di Lapok kawasan Tinjar, aku rasa keberatan untuk pergi kerana cara budaya amat berlainan. Apabila masuk ke alam persekolahan sebenar di SMK Marudi, dengan kaum cina, kayan, kenyah,penan, Iban ( aku dah biasa ) hatta Melayu Kampung Benawa, Lubuk Nibong dan Padang kerbau kerana cara dan bahasa yang berlainan, aku hanyut seketika dalam senario  ‘kejutan budaya’. Lama-kelamaan, aku dapat menyesuaikan diri malah ada beberapa sahabat yang bukan seagama dan bukan sebahasa dengan aku, mereka masih juga aku hubungi. Experimen pergaulan dari peringkat permulaan amat diperlukan untuk mengelakkan sifat perkauman. Aku ‘belajar’ dari pengalaman yang lepas dan aku jadikan sebagai rujukan serta pedoman. Namun itu cerita 30 tahun lepas.




Sukaneka Tabika ( Adol sorang je Muslim )


Menyambut harijadi dalam kelas ( Abang sorang je Muslim )


Kini, anak aku pula yang tengah melalui proses yang sama, tapi mereka lebih awal lagi menghadapi situasi tersebut. Dari peringkat sekolah rendah lagi. Syukur mereka sudah ada buku panduan dari seorang ‘MENTOR’ untuk menyelinap dan bermastautin dalam Masyarakat yang berbilang suku kaum, budaya dan agama.


Perpaduan nasional tidak akan tertegak jika generasi akan datang seawal persekolahan tidak bercampur gaul, tidak memahami budaya, batasan agama dan tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa Negara, iaitu bahasa Melayu@bahasa Malaysia. Ubah cara system pendidikan kita, maka berubah juga cara fikir dan pembawaan watak anak generasi kita agar saling sayang-menyayangi dan hormat-menghormati.