Sudah nak masuk 2 bulan hujan lebat tak menjenggah bumi Long Lama kali ini. Rasa panasnya teramat sangat. Udaranya terasa kering dan kalau hidupkan kipas pun tidak membantu untuk meredakan suhu panas ini.
Air Baram pula jauh mengering. Tenang dan jernih namun haba panasnya sampai ke dasar sungai.
![]() |
Tebingan pasir depan SK Ubong Imang |
![]() |
Pemandangan dari Jambatan Long Lama |
Sesekali di petang hari nun di hilir Jambatan Long Lama, kelihatan sekumpulan remaja turun mandi dan bermain di bibir sungai. Berendam sepuas-puasnya melarikan diri dari amukan cuaca panas ini biarpun terpampang papan notis dari SFC mengingatkan adanya sang bedal namun arahan itu tidak dipeduli.
Dulu, jarang buaya menonjolkan diri berhampiran dengan penempatan manusia tetapi sekarang ia sering kelihatan mungkin kerana aliran trafik sungai kali ini tidak sesibuk dulu membuatkan ia semakin berani.
Dulu, bot express beroperasi 3 kali sehari bermula seawal jam 8, 10 pagi dan 2 petang. Semenjak di antara tahun 2017-2018 perkhidmatan laluannya ke Long Lama telah ditamatkan secara berperingkat.
Ditambahkan lagi kocakan gelombang kapal bandung yang banyak ditambat di tebing sungai. Sekali sekala ada juga deruan bising kapal tongkang penuh muatan kayu balak atau batu kerikil menyebabkan sang bedal takut menghampiri jeti dan penempatan manusia.
Kapal bandung ini adalah kapal yang menjual barangan runcit. Konsep kapal ini yang digunakan untuk menjadi model kapal Klinik 1Malaysia zaman YAB Perdana Menteri Dato Sri Najib Bin Razak, berfungsi untuk sesi lawatan & rawatan penduduk kampung di pinggir sungai Baram.
Rasanya kapal bandung ini masih berkhidmat di dalam sungai Tutoh menuju ke Taman Negara Mulu.
Kapal tongkang pula akan ditarik oleh bot penunda dengan kuasa terjahan sekitar 750 hingga 3000 kuasa kuda. Kekuatannya itu boleh mengeluarkan bunyi yang cukup bising. Adakala tidur malam terus terjaga disebabkan bunyi bot penunda menarik kapal tongkang di tengah malam. Kalau air sungai surut seperti ketika ini, maka tersangkut juga la kapal tongkang di tengah sungai. Tersadainya pula boleh mengambil masa berminggu lamanya. Kejadian ini sering berlaku berhampiran hulu kampung Long Ikang.
Ini adalah gambar yang saya dapat dari sahabat yang bekerja dan menetap di kampung bahagian Baram.
![]() |
Sungai Baram dari Long Miri |
![]() |
Sungai Apoh dari Long Panai |
![]() |
Sungai Apoh dari Long Bemang |
![]() |
Sungai Tinjar dari Long Jegan |
![]() |
Sungai Teru dari Ulu Teru |
![]() |
satu sudut dari kampung Long Laput keadaan sungai Baram |
Aku pernah menghadapi detik cemas apabila bot express dari Marudi menuju Long Lama nak terbalik kerana terlanggar beting pasir di tengah sungai Baram. Walaupun sungai luas namun airnya tenang sepanjang kemarau. Membuatkan beting pasir di dasar sungai tidak kelihatan bahaya di permukaan sungai. Ini membuatkan pasir & kelodak tergumpul di tengah sungai disebabkan arus sungai tidak deras.
Sebenarnya kemarau yang panjang sebegini tidak bagus juga untuk proses aliran kesinambungan hidupan sungai. Suhu air yang panas membuatkan telur ikan sungai tidak menjadi. Aku mendapat info ini dari seorang sahabat yang memang telah mengabdikan hidupnya berjodoh dengan sungai Baram.
Mungkin tiada kajian saintifik untuk aku jadikan sandaran teorinya namun siapa pula aku yang ingin menidakkan ilmu pengalamannya yang sudah bertahun membelah malam bertahun menganyam sinar mentari mencari rezeki dengan menjadi nelayan biarpun dia cuma setakat belajar sampai darjah enam.
Kalau terus begini cuaca untuk sebulan dua yang akan datang, ia juga amat sukar untuk saudara dan sahabat kita yang jauh di ulu sungai kerana sumber air kian mengering. Batu jeram pula kian kelihatan. Tangki simpanan air sudah lama kosong kerana ketiadaan hujan.
Tiada daya kita untuk mengubahnya. Semua ini adalah Rahsia Tuhan. Namun usah juga kita berputus asa kerana kita masih bisa berdoa dan berharap agar hujan kembali datang.
No comments:
Post a Comment