Translate

Tuesday, 21 February 2017

Andai Indu Negro membusanakan "Ngepan"


Pertama kali aku melihat di akhbar tempatan, aku sudah menjatuhkan hukuman ‘bersalah’ terhadap cara pemakaian sebegini. Aku terus mencari sumbernya di internet dan laman Facebook. Dari rata-rata komen netizen, ramai yang menyokong tindakan kumpulan pelawak tersebut mengenakan busana pakaian Tradisional kaum Iban dengan alasan secara tidak langsung mereka telah:

i) Mengetengahkan keunikkan pakaian dan keindahan busana Iban tersebut di kaca TV.

ii) Membantu mempromosikan Sarawak.



Dari Point yang diberikan, ada benarnya juga segala alasan tersebut. Kenapa perlu melenting dengan perkara yang sebegitu remeh? Namun begitu, ramai juga yang membantah cara berpakaian kumpulan tersebut, dengan alasan busana ( Ngepan indu ) yang dipakai cuma untuk wanita sahaja tapi pihak yang menyokong membalas dengan alasan:

Ramai juga Pelawak dan pelakon mengenakan pakaian perempuan (baju kurung) sewaktu membuat persembahan, tidak juga kaum Melayu yang mendominasi Rancangan tersebut bising. Sebelum ini, kumpulan tersebut pernah juga ‘melawak’ dengan pakaian tradisi cina (Tarian Singa), tidak pula masyarakat cina melalak hingga membuat laporan Polis.

Aku yakin ada sesuatu yang SALAH dalam kes ini, aku orang Sarawak dan juga berdarah Iban dari sebelah bapa, aku tercium sesuatu yang amat canggung namun belumku temui jawapannya hingga ke satu tahap, aku bagaikan redha dalam keterpaksaan atas kejanggalan pemakaian tersebut.

Aku perlu berfikir lebih dalam lagi, lebih kritis dan membuka semua pintu-pintu sumber ilmu yang pernahku baca termasuk laluan pengalaman dalam kepala otakku untuk mencari jawapannya. Akhirnya, baruku temui KATAKUNCI untuk menidakkan cara pemakaian tersebut iaitu:

Unsur Spiritual a.k.a berciri keagamaan

Untuk memudahkan pemahaman, kita andaikan Kumpulan pelawak lelaki tersebut membuat persembahan mengenakan kostum bertelekong (kain putih solat wanita) sambil melompat dan melalak di pentas dan membuat aksi tikar terbang dengan menggunakan sejadah. Kalau aku menggunakan cara fikir netizen yang menyokong di Laman FB, aku akan menggunakan alasan:

i) Mengetengahkan keunikkan pakaian dan keindahan busana Melayu  tersebut di kaca TV. ( Telekong putih adalah tradisi masyarakat Nusantara sahaja, kalau bersolat di timur tengah, kebanyakkan wanita menggunakan kain/purdah  hitam)

ii) Membantu mempromosikan Agama Islam,

atau mengenakan kostum baju kuning Tok Sami Buddha dengan kalong besar berbelit di leher dan melompat serta mulut mencarut dengan perkara yang bodoh sambil  membaca jampi sebarangan. Rasanya tidak salah sebab:

i) Untuk mengetengahkan keunikkan dan keindahan cara ibadat kaum cina di kaca TV dan,

ii) Membantu mempromosikan agama tersebut

iii) Atau membantu melariskan penjualan kain warna kuning.

Aku yakin, dalam masa seminggu, pasti ada surat saman menjengah di pintu rumah mengajak ke Mahkamah atas dakwaan mempersendakan Adat dan agama lain.

Bagi kaum Iban, Busana Ngepan Indu itu mempunyai ciri-ciri Spiritual sama seperti kain putih telekong & baju Tok sami, (bercirikan keagamaan) kerana berdasar kepada kepercayaan kaum tersebut, Ngepan indu tersebut hanya dipakai oleh dewi Kumang ( Ratu/Tuan Putri ) dan para dewi , Cuma WANITA sahaja!!!.

Di zaman dahulu, pemakaian Ngepan indu hanya dipakai sewaktu upacara ritual, bukan untuk  suka-suka. Namun di atas peredaran zaman, pakaian tersebut telah dikontemporarikan sebagai pakaian untuk Majlis besar dan menari sahaja di zaman milenium ini.

Aku tertarik dari ulasan Dr. Patricia Ganing, pensyarah dan pengkaji sosiobudaya masyarakat Iban di UPSI yang mengatakan:

 “Malah kalau zaman dahulu, untuk menenun kain ini pun ada ritualnya. Corak yang dihasilkan pada kain pun, diturunkan oleh dewi kepada manusia melalui mimpi. Bukan sesuka hati sahaja untuk menghasilkan corak pada kain. Sehingga ke hari ini pun, komuniti Iban masih mengamalkan kepercayaan tradisional mereka dimana mereka perlu mengadakan upacara penyembahan atau miring. Masyarakat Iban percaya, kalau tiada persembahan atau piring si penenun akan jatuh sakit atau mendapat malapeteka yang lain” katanya.

Jelas dan sungguh nyata, setiap perkara yang berlaku dalam masyarakat Iban, ianya mempunyai panduan dari kepercayaan mereka dahulu, kalau menenun kain pun memerlukan ‘manang’ sebagai penantaraan manusia dan ‘Petara’ apatahlagi memakai ngepan indu yang mempunyai unsur keagamaan dan kepercayaan pagan Masyarakat Iban dahulu kala. Ianya bukan isu lelaki memakai pakaian wanita tapi lebih menyentuh isu yang menganggu sensitivity KEPERCAYAAN  kaum tersebut. 





Monday, 20 February 2017

Semalam itu, memang hangat


 Dengan keterbatasan waktu, aku kini mula jarang mencoret kisah di lembaran kaca ini. Di tambah dengan ketiadaan idea untuk diluahkan dicampur pula dengan ‘penyakit malas menulis’ semakin menular, akhirnya blog aku semakin kurang diterjah. Tapi setelah aku terdengar lagu 'Semalam yang hangat' nyanyian kumpulan Wings ( Penulis Lagu & lirik JS Kevin ) di Radio tempatan, aku teringat satu kisah tentang  Video tape.

Tahun 1993-1995 aku memang layan WWE Gusti. Hulk Hogan, Jack The Snake Robert, The Ultimate Warrior, Andre the Giant, Undertaker dan banyak lagi la. Watak wrestler ini sehingga kini aku masih ingat. Dalam seminggu aku akan menyewa sebanyak 3 kaset gusti yang ‘latest’. Di Marudi tika itu, ada 2 kedai memberi ‘servis’ menyewa Video tape ini. Salah satunya Menard Trading dan masih kekal hingga kini kedai tersebut cuma bertukar barang bisnes. Sekarang ini lebih banyak menjual peralatan sekolah.



Setiap kali aku datang mencari Video tape baru, Taukenya akan mencadangkan yang terkini namun apabila tiada video Tape Gusti yang terkini, dia akan mencadangkan aku untuk menyewa cerita movie Hindustan pula. Harga sewa untuk satu Tape video ini, aku kurang ingat, satu tape video mungkin dalam lingkungan RM 3 – RM7 ringgit untuk seminggu.

Pertengahan tahun 90-an, aku baru habis SPM dan belum punyai kerja yang stabil. Setakat membantu membancuh simen, mencangkul tanah, menyorong kereta sorong jadi buruh kasar dan bermandi peluh mencari belanja sendiri, itu sudah lumrah kebanyakkan anak-anak desa tika itu. Bergaji RM12-RM15 sehari dan andai air sungai mendadak surut, maka bertukar ‘jawatan’ ku menjadi nelayan separuh masa. Waktu itu, rokok Djarum boleh bertukar ke Marlboro tapi sekejap je….

Orang yang bertanggungjawab menjadikan aku ketagih dengan WWE ini,  adalah Pakcik aku sendiri. Bertubuh sasar bekas pekerja kem kayu balak memang padan dia minat aksi Gusti ini. Hingga Kawan baikku mengelarkannya sebagai Hulk Hogan Kpg Narum. Beliau sering memberi duit sewa untuk mendapatkan video tape ini.



Lagu ‘Semalam yang hangat’ sebenarnya amat sinonim dengan satu kisah yang bersangkut paut tentang video tape ini. Al kisah di mana masa telah menjangkau jam 12 tengah malam di satu malam minggu, selepas mendengar lagu Wings tersebut di corong Radio pada ketika itu yang amat meletop dalam carta Muzik Radio tempatan, kami bergerak ke pasar atas jemputan seorang kawan yang berkerja di Hotel bajet di Pekan Marudi. Katanya nak ajak kami lepak sambil menonton cerita Gusti di Tv kaunter. Biasa la Hotel Bajet, boleh dibayangkan keadaan kaunternya. Cuma ada TV, video player, resit dan telefon di atas meja manakala di dalam lokernya pula cuma beberapa helai tuala nipis yang kemas telah dilipat, beberapa ketul sabun dan sebungkus besar Milo dan Nescafe 3 in 1 serta makanan ringan.

Apabila kami sampai, aku melihat sudah awal 4 orang kawanku telah duduk di kaunter. Duduk tertib tak berbunyi. Mata sayu melihat kaca TV. Di beri salam pun tidak membalas. Bersusun tinggi Tape video di atas kaunter. Pasti ada aksi Hulk Hogan dengan Andre the Giant yang terkini atau tidakpun ada Jimmy super fly bertarung dengan The Macho Man Randy Savage. Aku amat minat dengan The Macho man ini.  Mungkin perlawanan Gusti yang mereka tontonkan itu sungguh mengujakan.

‘Siapa lawan?’. Soalku namun tiada balasanku terima. Apabila aku masuk duduk di ruangan Kaunter, rupanya Gusti di tilam yang sedang berlangsung. Patut mereka diam membisu, malah kerap kali juga masuk keluar jamban. 

Bermula rutin setiap minggu, habis dengar lagu ‘Semalam yang hangat' atau selepas jamming, kami akan ke Hotel tersebut melihat Gusti sehingga suatu hari tauke Hotel bising seakan tahu kehadiran kami apabila sebungkus besar Milo dan Nescafe 3 in 1 sentiasa habis setiap minggu. Waktu itu belum ada CCTV.  Roti  dan Mee segera yang dibekalkan untuk pekerjanya pun, habis licin. Kawan yang bekerja di Hotel tersebut kena "goreng' tauke. Dapat gaji, dia terus merantau ke Miri. Selepas itu, kami nekad tidak ke Hotel itu lagi, tiada lagi melihat Gusti. Hidup aku diteruskan dan sungguh sepadan dengan senikata lirik Lagu Tiara olahan kumpulan Kris.

Kenapa la aku terdengar Lagu itu tadi, ianya telah membuka kisah yang lalu…








Sunday, 19 February 2017

Penjuru itu aku mengenal muzik

Artikel asal dari laman Facebook aku sendiri namun ada sedikit penyesuaian untuk meng-indah-kan lagi lenggok bahasanya.

Lama rasanya sudah tidak bersembang dengan Legendarys Gitaris Dukun Dahudin Dumbi pasal muzik. Kalau dulu, setiap hari, pasti ada kelas unformal 2 sesi pasal muzik ini. Sesi pertama selepas balik sekolah dan keduanya selepas makan malam dan boleh menjangkau hingga dinihari. Zaman itu sahaja aku sempat melihat budak-budak Rocker berseluar Jeans koyak di lutut masih duduk mencangkung di tepi jalan sambil melalak Lagu Rock kapak dengan gitar kapok digenggam erat di tangan.

Namun tika ini, lagu yang berkumandang di corong radio, ada sesuatu yang mudah diteka dan iramanya hampir sama. Bagi yang betul-betul mempelajari muzik mesti dah faham kenapa. Kebanyakkan lagu sekarang menggunakan chord progression yang agak cliche/sering digunakan. terutma sekali lagu Najwa Latif.

Macam 'template' yang boleh digunakan berkali-kali. Cuma tukar lirik dan key lagu. Mereka menggunakan melodi yang paling senang untuk di hadam bagi chord progression ini. Setiap chord progression yang lengkap mempunyai voicing dan melodi tersendiri, lalu menyebabkan melodi tu senang diteka.

Untuk mengelak Lagu itu menjadi cepat bosan didengari, maka ada sedikit pertukaran dari segi progression agar mendapat melodi yang tidak cliché atau menggunakan instrumen yang exotic dan peralatan muzik yang tidak selalu di dengar. Chord kedua-dua lagu ini tidak sebiji, cuma apabila diubah minor/major beberapa chord menggunakan Circle of Fifth, boleh dapat melodi yang sama dan berurutan cuma semakin mengujakan apabila ditambah dengan bass lebih berbunga, timing dan tempo lagu, penggunaan scale selain pentatonic/major dan permainan lead guitar yang menggunakan melodi fusion atau yang tidak selalu didengari sebelum ini.

Teringat Lagu Biru mata hitamku dan Bernafas dalam lumpur dari WINGS yang menggunakan melodi dan chord sebegini. Sebegitu juga Band Rock ACDC dari Australia. Membuatkan orang tidak perasan kerana muziknya menjurus kepada genre Rock. Seterusnya kekuatan Lagu itu bergantung dengan cara penyampaian atau liriknya lagi.

Pendengar muzik macam aku ini, tidak dapat menerima Lagu yang berentak fast moden terkini yang sentiasa berulang Tempo, muzik dan melodinya. Mungkin aku seorang yang buta seni atau mungkin aku yang sudah ditinggal zaman kini.


Wednesday, 25 January 2017

Cawangan baru


Sepatutnya aku 'update' kan Nurkilan ini lebih awal kerana perkara ini terjadi di penghujung 2016. Kalau mengikut adat Majlis Kahwin Melayu nusantara andai berlaku Si adik berkahwin awal sedangkan Si kakaknya masih belum bertemu jodoh maka, pengantin didenda dan perlu membayar dengan sebentuk cincin. Di kampungku, masih digunakan adat ini yang lebih sinonim disebut sebagai 'Langkah tekol'. Namun untuk Nurkilan di kertas kaca ini, tiada yang berani memberi hukuman sebegitu. Malah adat itu bukannya bersandar dengan sebarang dalil dari Agama. Malah adat sebegitu wajib dihapuskan.

Jauh pula aku mengarut, sedangkan tujuan Nurkilan ini lebih kepada ingin memberitahu bahawa Ya Salam Restaurant punyai projek baru. Mendapat 'kantau' baru untuk membuka cawangan di kantin Sekolah menengah di Long Lama ini.




Proses baikpulih dan menambah keceriaannya memerlukan bajet yang besar juga. Di bantu dengan tenaga pakar dari ' Jepun ' yang mengecat restaurant Ya Salam ( klik di sini ) dan juga Pak Mertua. Cuma mengambil masa 3 hari untuk menyiapkan sepenuhnya.



Kini cawangan baru telah beroperasi, ada 2 pekerja mahir yang di-import khas dari Marudi untuk mengerakkannya. Jadual buka seawal 6.30 pagi hingga 10.30 malam. Sesiapa yang terbaca Nurkilan ini, tolong doakan kemajuan cawangan baru Ya Salam restaurant ini.


Wednesday, 4 January 2017

IPOH..awal tahun sudah heboh


 Kesilapan yang paling besar adalah, TIDAK memohon kebenaran dari Majlis Bandaraya Ipoh Perak, untuk memanjat Mercu Tanda tersebut, membuatkan mereka boleh diambil tindakan undang-undang. Dengan alasan yang kuat diberikan oleh Datuk Bandar tersebut ( Dato Zamri Man ) bahawa, struktur Mercu Tanda tersebut dibina bukan untuk menampung beban tambahan setiap individu yang memanjat dan andai jika berlaku sebarang insiden yang membabitkan perkataan 'IPOH' berkenaan tumbang dan menimpa pengguna jalan raya, MBI ingin menegaskan bahawa ia berkemungkinan besar berpunca daripada pencerobohan sekumpulan remaja berkenaan," katanya


Individu yang memanjat tersebut memang ingin men-viral-kan kisah mereka ini. Hakikatnya andai memohon kebenaran dari pihak MDI pun, mereka yakin tidak akan menerima jawapan yang mereka mahukan. Ibarat seorang bapa, pasti tidak ingin melihat anaknya memanjat tinggi tanpa bantuan keselamatan dan tiba-tiba terjatuh. Sebegitu juga dengan keputusan dari pihak MDI tapi harus difikirkan juga, berkemungkinan pihak MDI akan mencadangan lokasi lain yang lebih sesuai dan lebih selamat malah tidak kurang juga hebatnya.

Banyak juga yang mengecam tindakan mereka namun ada juga yang memuji. Bagi aku, tiada bezanya tindakan mereka ini dengan Pensyarah di Institut Pengajian Guru di Ipoh, Perak Pn. Anita Yusuf yang menaiki motosikal merentasi 40 negara atau seorang lagi Pensyarah dan Ketua Jabatan Pengajian Am Politeknik Kuching, Sarawak En. Sofian Mohd 55 tahun yang berbasikal secara solo mengelilingi dunia berjaya merentasi 22 negara membabitkan jarak 22,000 kilometer dalam tempoh 16 bulan.





Kalau difikirkan tindakan kedua Pensyarah inipun masih dikategorikan sebagai membahayakan diri sendiri cuma dilencongkan alasan mereka dalam bentuk yang lebih komersil bak seperti kata Pn Anita Yusuf yang mengatakan tujuan expedisi ini untuk menunjukkan agama Islam ini tidak mengongkongkan wanita, tidak mendiskriminasi terhadap wanita dan alasan En. Sofian Mohd pula, untuk mempromosikan Malaysia dan Terengganu sempena Tahun Melawat Terengganu 2017 dan Tahun Melawat Malaysia.

Apakah tindakan mereka ( 3 kes di atas ) ini telah meletakkan nama Malaysia naik setingkat tinggi lagi?..Mungkin.

Kerana telah membuat sesuatu yang pelik dan menjadi –viral secara tidak langsung, ianya telah menaikkan nama Malaysia.

Tidak perlu juga untuk bergadai nyawa kalau hendak menaikkan nama Negara ini, cukup mengakui ada orang derma berbillion ringgit masuk ke akaun peribadi di bank pun telah menjadi tajuk berita dunia. Kalau di tanya kepadaku, adakah mereka patut diberi hukuman? Jawapan jujur adalah, YA..

Kerana ada Akta kerajaan tempatan 9 Undang undang kecil Vandelisme 1991 yang membolehkan mereka dikenakan tindakan makhamah. Namun mereka telah memohon maaf secara terbuka. Dan kalau ditanya lagi kepadaku, adakah permohonan maaf mereka boleh diterima? Jawapan jujurku pasti, YA. Kerana tindakan mereka bukan menghina Agama, budaya dan individu lain, cuma sekadar mereka tersilap menterjemahkan minat ditempat yang salah.

Teringat seorang kawanku yang memang hebat dalam skill flaking gitalnya. Setiap kali ‘gorengan’ solo gitarnya boleh meruntum jiwa. Namun sayang, hidupnya dibelenggu dengan acara sukan menarik gam dan menanam jarum tanpa disanjungi dan dikenali. Terfikir juga aku, kalaulah Kurt Donald Cobain dilahirkan di Malaysia dan berbangsa Melayu, mesti orang dah kata dia tu lost cause. Kaki heroin. Tak ada future. Dan Kurt Donald Cobain akan hilang, mungkin mati bawah mana-mana jambatan terus dihanyutkan oleh arus sungai.

Siapa kurt Donald Cobain?..pergi google je..

Nasib badan la…Kalau anda ( lapan orang ) orang putih dan membuat tindakan ini di barat, pasti sudah menjadi kaya raya atau setidak pun, akan ada punyai peminat tegar yang sanggup beratur panjang membeli tiket semata-mata hendak melihat skill memanjat anda.



Wednesday, 28 December 2016

Bila terasa sunyi


Apa yang aku kongsikan ini, memerlukan kepada 'ilmu' memerhati secara dalaman. Tidak ramai orang membaca dengan matahati, kebanyakkannya lebih suka membaca secara tersurat sahaja apatahlagi membaca berita di Suratkhabar. 

Selepas makan tengahari, aku membelek halaman kertas Suratkhabar Utusan Borneo. Di Pekan Long Lama ini, cuma ada Suratkhabar Utusan Borneo, Borneo Post dan Siew hua Daily News ( B.cina ) sahaja yang ada dijual. Kalau nak beli Berita Harian, Harian Metro atau suratkhabar yang lain, terpaksa naik kenderaan 2 jam perjalanan pergi ke Bandar Miri. 

Ketagihan membaca Suratkhabar ini sukar dibendung. Mungkin disebabkan usia yang sudah memahami keperluan maklumat yang tepat dan sahih, membuatkan aku suka membaca dari arus Media masa perdana sebegini. Walaupun pelbagai jenis surakhabar aku pernah baca, aku akan kembali mencari Suratkhabar Utusan Borneo ini juga. Surakhabar lain, seperti tidak mampu memuaskan kehendakku dengan kelaparan maklumat dan apabila aku membaca, aku lebih suka membaca dari belakang. Bermula dari berita Dunia, sukan kemudian ke tempatan.

Namun kali ini aku tertarik berita dari ruangan tempatan, apabila salah seorang ADUN pembangkang yang mempertikaikan Pengumuman dari Kementerian Perdagangan dalam Negeri, koperasi dan kepenggunaan ( KPDNKK ) berkenaan ' Jualan Mega '. Mengikut tarikh yang diwaktakan iaitu :

a)   01 - 30 March         
b)   15 Jun - 30 Ogos
c )  01 Nov - 31 Dis  sepanjang tahun 2017


Beliau mempertikaikan tarikh tersebut disebabkan tidak selari dengan tarikh cuti/perayaan Gawai ( Sarawak) dan Keamatan ( Sabah ). Katanya lagi, ini telah menghilangkan peluang penyambut perayaan tersebut  untuk menikmatan pembelian jualan murah. Kalau dibaca sepintas lalu, ada betul juga kata Amoi ini, tapi kalau diperhalusi lagi, maka nampak kepincangan dari beberapa aspek.

Ada 2 perkara sahaja aku nak dia fikirkan sebelum mengulaskan isu ini:

PERTAMA:
Wakil rakyat ini sepatutnya membaca se-khatam mungkin untuk memahami berita di Suratkhabar. Sudah jelas tertulis bahawa ada SATU KALI jualan murah mengikut pilihan sendiri. Mungkin peniaga boleh memilih tarikh yang dekat Perayaan tersebut untuk membuat jualan murah dan yang..

KEDUA:

Wakil Rakyat tersebut tidak sepatutnya cuma mempertikaikan Tarikh Perayaan Gawai dan Keamatan sahaja, bagaimana dengan Perayaan yang lain seperti Tahun Baru Cina dan Hari Raya? Tarikh yang diwartakan pun tidak selari dengan perayaan tersebut. Andai kita mengambil cara fikir ADUN tersebut, sudah pasti masalah ini tidak akan selesai.

Teramat rugi bagi rakyat di kawasan yang di jaga ADUN tersebut kerana 'menyimpan' seorang wakil rakyat yang punyai tahap pemikiran yang sudah tepu. Aku andaikan dia 'menyalak' ini kerana untuk mengangkatkan lagi namanya  kerana selama ini, berita perkembangannya sudah tiada disensasikan lagi.

Ada baiknya beliau mencari seorang Setiausaha sulit yang dapat menghuraikan setiap isu sebagai bahan rujuk sebelum hendak diperkatakan dikhalayak ramai atau beliau perlu belajar untuk mendengar dan menerima pendapat orang lain.


Dan ada baiknya juga kalau beliau lebih mempersoalkan keputusan Mohd Roslan Mahayudin selaku Pengarah Penguatkuasa KPDNKK yang telah mewartakan 4 kali jualan Murah dalam setahun sedangkan dulu 5 kali dalam setahun daripada beliau mempertikaikan pemilihan tarikh tersebut. Sebenarnya kekerapan jualan murah dalam setahun (5 kali) pasti membantu pembeli untuk mengelak dari membeli dengan harga mahal dan secara tidak langsung, merancakkan aliran matawang dalam urusniaga domestik.




Wednesday, 14 December 2016

Projek kaca



Setiap kali menghampiri penghujung tahun, Pekan Long Lama pasti sunyi. Kebanyakkan 'wargakota'nya keluar bercuti ke bandar mengambil kesempatan cuti Sekolah yang panjang. Dari pemerhatianku juga, ada ibubapa membawa anak-anak mereka balik ke kampung halaman dan ke Kem-kem pembalakan, tempat mereka bekerja. Yang tinggal cuma penduduk tetap dan pegawai kerajaan seperti aku yang tidak bercuti ini.



Dengan keadaan suasana pekan yang santai dan tenang ini, aku mengambil kesempatan membuat satu projek besar untuk Restaurant Ya Salam. Mengubah wajah dan memberi nafas baru untuk tahun baru.

Dengan bantuan tenaga pakar dari Marudi ( anak buahku ) bergabung dengan kehebatan skill anakku, maka Projek ini aku serah sepenuhnya kepada mereka berempat. Walaupun ia nampak seakan mudah, namun ianya memerlukan kesabaran, pemikiran kritis dan keberanian untuk menghasilkan sesuatu yang baru.


Biru lembut di pilih untuk menjadi Latar warna belakangnya. Selepas dibiar semalaman, kemudian baru di buat corak "freestail" dengan garisannya dibuat terlebih dahulu menggunakan pita pelekat. Oh ya, tidak di lupa juga bantuan dari Pak Mertua yang sudi membantu untuk mengecat warna latar ini. Tidak dapat tidur semalaman tercium bau cat minyak ini.

Peralatan yang diperlukan seperti beberapa tong cat, 5 berus cat dan pita pelekat dan untuk menjimatkan kos, semua peralatan di beli di bandar Miri. Kalau dibeli di sini ( Long Lama ), harganya naik 2 kali ganda.



Mengambil masa cuma 2 hari sahaja untuk di siapkan. Bermula dari pukul 9 malam hingga 5.30 pagi. Kenapa aku gelarkan Projek ini ' Projek Kaca'?..Kerana hasilnya seperti kepingan kaca yang dilekat di dinding.