Translate

Tuesday, 21 February 2017

Andai Indu Negro membusanakan "Ngepan"


Pertama kali aku melihat di akhbar tempatan, aku sudah menjatuhkan hukuman ‘bersalah’ terhadap cara pemakaian sebegini. Aku terus mencari sumbernya di internet dan laman Facebook. Dari rata-rata komen netizen, ramai yang menyokong tindakan kumpulan pelawak tersebut mengenakan busana pakaian Tradisional kaum Iban dengan alasan secara tidak langsung mereka telah:

i) Mengetengahkan keunikkan pakaian dan keindahan busana Iban tersebut di kaca TV.

ii) Membantu mempromosikan Sarawak.



Dari Point yang diberikan, ada benarnya juga segala alasan tersebut. Kenapa perlu melenting dengan perkara yang sebegitu remeh? Namun begitu, ramai juga yang membantah cara berpakaian kumpulan tersebut, dengan alasan busana ( Ngepan indu ) yang dipakai cuma untuk wanita sahaja tapi pihak yang menyokong membalas dengan alasan:

Ramai juga Pelawak dan pelakon mengenakan pakaian perempuan (baju kurung) sewaktu membuat persembahan, tidak juga kaum Melayu yang mendominasi Rancangan tersebut bising. Sebelum ini, kumpulan tersebut pernah juga ‘melawak’ dengan pakaian tradisi cina (Tarian Singa), tidak pula masyarakat cina melalak hingga membuat laporan Polis.

Aku yakin ada sesuatu yang SALAH dalam kes ini, aku orang Sarawak dan juga berdarah Iban dari sebelah bapa, aku tercium sesuatu yang amat canggung namun belumku temui jawapannya hingga ke satu tahap, aku bagaikan redha dalam keterpaksaan atas kejanggalan pemakaian tersebut.

Aku perlu berfikir lebih dalam lagi, lebih kritis dan membuka semua pintu-pintu sumber ilmu yang pernahku baca termasuk laluan pengalaman dalam kepala otakku untuk mencari jawapannya. Akhirnya, baruku temui KATAKUNCI untuk menidakkan cara pemakaian tersebut iaitu:

Unsur Spiritual a.k.a berciri keagamaan

Untuk memudahkan pemahaman, kita andaikan Kumpulan pelawak lelaki tersebut membuat persembahan mengenakan kostum bertelekong (kain putih solat wanita) sambil melompat dan melalak di pentas dan membuat aksi tikar terbang dengan menggunakan sejadah. Kalau aku menggunakan cara fikir netizen yang menyokong di Laman FB, aku akan menggunakan alasan:

i) Mengetengahkan keunikkan pakaian dan keindahan busana Melayu  tersebut di kaca TV. ( Telekong putih adalah tradisi masyarakat Nusantara sahaja, kalau bersolat di timur tengah, kebanyakkan wanita menggunakan kain/purdah  hitam)

ii) Membantu mempromosikan Agama Islam,

atau mengenakan kostum baju kuning Tok Sami Buddha dengan kalong besar berbelit di leher dan melompat serta mulut mencarut dengan perkara yang bodoh sambil  membaca jampi sebarangan. Rasanya tidak salah sebab:

i) Untuk mengetengahkan keunikkan dan keindahan cara ibadat kaum cina di kaca TV dan,

ii) Membantu mempromosikan agama tersebut

iii) Atau membantu melariskan penjualan kain warna kuning.

Aku yakin, dalam masa seminggu, pasti ada surat saman menjengah di pintu rumah mengajak ke Mahkamah atas dakwaan mempersendakan Adat dan agama lain.

Bagi kaum Iban, Busana Ngepan Indu itu mempunyai ciri-ciri Spiritual sama seperti kain putih telekong & baju Tok sami, (bercirikan keagamaan) kerana berdasar kepada kepercayaan kaum tersebut, Ngepan indu tersebut hanya dipakai oleh dewi Kumang ( Ratu/Tuan Putri ) dan para dewi , Cuma WANITA sahaja!!!.

Di zaman dahulu, pemakaian Ngepan indu hanya dipakai sewaktu upacara ritual, bukan untuk  suka-suka. Namun di atas peredaran zaman, pakaian tersebut telah dikontemporarikan sebagai pakaian untuk Majlis besar dan menari sahaja di zaman milenium ini.

Aku tertarik dari ulasan Dr. Patricia Ganing, pensyarah dan pengkaji sosiobudaya masyarakat Iban di UPSI yang mengatakan:

 “Malah kalau zaman dahulu, untuk menenun kain ini pun ada ritualnya. Corak yang dihasilkan pada kain pun, diturunkan oleh dewi kepada manusia melalui mimpi. Bukan sesuka hati sahaja untuk menghasilkan corak pada kain. Sehingga ke hari ini pun, komuniti Iban masih mengamalkan kepercayaan tradisional mereka dimana mereka perlu mengadakan upacara penyembahan atau miring. Masyarakat Iban percaya, kalau tiada persembahan atau piring si penenun akan jatuh sakit atau mendapat malapeteka yang lain” katanya.

Jelas dan sungguh nyata, setiap perkara yang berlaku dalam masyarakat Iban, ianya mempunyai panduan dari kepercayaan mereka dahulu, kalau menenun kain pun memerlukan ‘manang’ sebagai penantaraan manusia dan ‘Petara’ apatahlagi memakai ngepan indu yang mempunyai unsur keagamaan dan kepercayaan pagan Masyarakat Iban dahulu kala. Ianya bukan isu lelaki memakai pakaian wanita tapi lebih menyentuh isu yang menganggu sensitivity KEPERCAYAAN  kaum tersebut. 





No comments:

Post a Comment