Translate

Monday, 20 February 2017

Semalam itu, memang hangat


 Dengan keterbatasan waktu, aku kini mula jarang mencoret kisah di lembaran kaca ini. Di tambah dengan ketiadaan idea untuk diluahkan dicampur pula dengan ‘penyakit malas menulis’ semakin menular, akhirnya blog aku semakin kurang diterjah. Tapi setelah aku terdengar lagu 'Semalam yang hangat' nyanyian kumpulan Wings ( Penulis Lagu & lirik JS Kevin ) di Radio tempatan, aku teringat satu kisah tentang  Video tape.

Tahun 1993-1995 aku memang layan WWE Gusti. Hulk Hogan, Jack The Snake Robert, The Ultimate Warrior, Andre the Giant, Undertaker dan banyak lagi la. Watak wrestler ini sehingga kini aku masih ingat. Dalam seminggu aku akan menyewa sebanyak 3 kaset gusti yang ‘latest’. Di Marudi tika itu, ada 2 kedai memberi ‘servis’ menyewa Video tape ini. Salah satunya Menard Trading dan masih kekal hingga kini kedai tersebut cuma bertukar barang bisnes. Sekarang ini lebih banyak menjual peralatan sekolah.



Setiap kali aku datang mencari Video tape baru, Taukenya akan mencadangkan yang terkini namun apabila tiada video Tape Gusti yang terkini, dia akan mencadangkan aku untuk menyewa cerita movie Hindustan pula. Harga sewa untuk satu Tape video ini, aku kurang ingat, satu tape video mungkin dalam lingkungan RM 3 – RM7 ringgit untuk seminggu.

Pertengahan tahun 90-an, aku baru habis SPM dan belum punyai kerja yang stabil. Setakat membantu membancuh simen, mencangkul tanah, menyorong kereta sorong jadi buruh kasar dan bermandi peluh mencari belanja sendiri, itu sudah lumrah kebanyakkan anak-anak desa tika itu. Bergaji RM12-RM15 sehari dan andai air sungai mendadak surut, maka bertukar ‘jawatan’ ku menjadi nelayan separuh masa. Waktu itu, rokok Djarum boleh bertukar ke Marlboro tapi sekejap je….

Orang yang bertanggungjawab menjadikan aku ketagih dengan WWE ini,  adalah Pakcik aku sendiri. Bertubuh sasar bekas pekerja kem kayu balak memang padan dia minat aksi Gusti ini. Hingga Kawan baikku mengelarkannya sebagai Hulk Hogan Kpg Narum. Beliau sering memberi duit sewa untuk mendapatkan video tape ini.



Lagu ‘Semalam yang hangat’ sebenarnya amat sinonim dengan satu kisah yang bersangkut paut tentang video tape ini. Al kisah di mana masa telah menjangkau jam 12 tengah malam di satu malam minggu, selepas mendengar lagu Wings tersebut di corong Radio pada ketika itu yang amat meletop dalam carta Muzik Radio tempatan, kami bergerak ke pasar atas jemputan seorang kawan yang berkerja di Hotel bajet di Pekan Marudi. Katanya nak ajak kami lepak sambil menonton cerita Gusti di Tv kaunter. Biasa la Hotel Bajet, boleh dibayangkan keadaan kaunternya. Cuma ada TV, video player, resit dan telefon di atas meja manakala di dalam lokernya pula cuma beberapa helai tuala nipis yang kemas telah dilipat, beberapa ketul sabun dan sebungkus besar Milo dan Nescafe 3 in 1 serta makanan ringan.

Apabila kami sampai, aku melihat sudah awal 4 orang kawanku telah duduk di kaunter. Duduk tertib tak berbunyi. Mata sayu melihat kaca TV. Di beri salam pun tidak membalas. Bersusun tinggi Tape video di atas kaunter. Pasti ada aksi Hulk Hogan dengan Andre the Giant yang terkini atau tidakpun ada Jimmy super fly bertarung dengan The Macho Man Randy Savage. Aku amat minat dengan The Macho man ini.  Mungkin perlawanan Gusti yang mereka tontonkan itu sungguh mengujakan.

‘Siapa lawan?’. Soalku namun tiada balasanku terima. Apabila aku masuk duduk di ruangan Kaunter, rupanya Gusti di tilam yang sedang berlangsung. Patut mereka diam membisu, malah kerap kali juga masuk keluar jamban. 

Bermula rutin setiap minggu, habis dengar lagu ‘Semalam yang hangat' atau selepas jamming, kami akan ke Hotel tersebut melihat Gusti sehingga suatu hari tauke Hotel bising seakan tahu kehadiran kami apabila sebungkus besar Milo dan Nescafe 3 in 1 sentiasa habis setiap minggu. Waktu itu belum ada CCTV.  Roti  dan Mee segera yang dibekalkan untuk pekerjanya pun, habis licin. Kawan yang bekerja di Hotel tersebut kena "goreng' tauke. Dapat gaji, dia terus merantau ke Miri. Selepas itu, kami nekad tidak ke Hotel itu lagi, tiada lagi melihat Gusti. Hidup aku diteruskan dan sungguh sepadan dengan senikata lirik Lagu Tiara olahan kumpulan Kris.

Kenapa la aku terdengar Lagu itu tadi, ianya telah membuka kisah yang lalu…








No comments:

Post a Comment