( Setiap photo aku perolehi dari internet )
Melalui zaman yang banyak dihabiskan dengan kawan sekampung, siang malam, bermain, belajar, tidur dan buka mata, hidup ini banyak berkisar di sekitar perkampungan segar ini. Bermain Hadrah di Surau, menjala udang dan ikan baong, mengail puyu sepat di Parit belakang kampung, panjat pokok di kala Rambutan kian ranum, mengali batang ubi untuk dijadikan alas perut selepas puas mandi terjun di sungai, namun lastik burung di antara aktiviti yang paling tinggi rangking pilihannya.
Di kampung pada ketika bulan Ramadhan, kami bebas bergerak di malam hari. Mungkin orangtua tak khuatir, sebab segala hantu syaitan abis di rembat diikat dengan rantai. Tidak akan berlaku budak hilang yang disembunyikan oleh hantu, mungkin begitu tanggapan mereka. Ada baiknya juga 'kepercayaan' itu, hasilnya kami bebas bergerak, kayuh basikal, bermain Meriam buluh, mencuri buah pinang..hehehe.. Bukan buah pinang orang pun, pokok pinang jiran sebelah rumah atau pokok pinang yang melata tumbuh di tepi Sungai dan Jalan kampung yang tiada siapa empunya. Bernilai 5 biji seringgit kalau yang kuning kemerahan. Duitnya digunakan untuk membeli minyak Gas dan seikat kecil biji guli.
Di bulan Ramadhan, pada sebelah malam terutamanya pada malam Jumaat, sabtu dan ahad ( Hari cuti ) bunyi Meriam buluh seumpama bunyi air hujan jatuh ke atap. Selang 2-3 rumah, pasti ada budak yang sebaya dengan aku akan bermain Meriam buluh ini. Bunyi bedil ini seawal Maghrib waktu berbuka puasa. Budak yang awal main Meriam buluh ini yang selalunya membawa bau harum minyak Gas ke Surau. Tapi bagi kami yang kaki Surau ini, 'perang' bermula selepas lapan rakaat terawih dan berlarutan hingga ke jam 12.00 malam, bergantung dengan bekalan stok minyak Gas.
Untuk 'menghidupkan' Meriam buluh ini, kita terpaksa memanaskan minyak Gas@Tanah yang telah diisi ke dalam meriam buluh. Dengan menggunakan sebatang buluh runcing/batang penunjuk yang api di hidupkan di hujungnya dan isi ke lubang picu. Memerlukan lebih kurang 5-8 minit juga untuk Meriam buluh tersebut mengeluarkan bunyi pertama dan akan terus nyaring apabila minyak dan batang buluh tersebut semakin panas. Lubang picu ini mempunyai sukatan tertentu bergantung dengan besar lilitan buluh tersebut. Selalunya Brader Burn yang pakar dalam penyediaan lubang picu dan bahan yang digunakan termasuk Gergaji, pahat dan mata gerudi dalam proses membuat Lubang picu.
Apabila buluh betong yang besar semakin berkurangan atau aku yang semakin membesar angkat bujang (Entah la, mana satu alasan yang sebenar ) kami sudah mula bertukar selera dan muncul pula era bermain kebaid tanah tika Ramadhan. Ada juga bermain mercun dan kebaid tin, namun 'bom' itu tidak memberi kesan sangat dihati. Aku bermain kebaid Tin sewaktu Raya dalam tahun 1993 -1995 rasanya, diwaktu itu, kami beraya dalam musim banjir. Tidak ada tanah hendak digali untuk dijadikan Kebaid tanah.
Masa puasa, banyak dihabiskan dengan aktiviti memasang pukat keli dan ambil upah jadi pemandu perahu tambang di pekan Marudi. Pahala puasa waktu itu, memang tinggal separuh. Orang Sarawak kata 'Tebik posa' apabila TERtengok anak dara mandi bermain air di jalanraya, mana pula Amoi yang kerja di bank minta dihantar balik ke Kampung Cina, duduk bersila naik perahu berpakaian Dress pendek...Aduhhhhh. Wanita ni, adalah Mahluk tuhan yang paling cantik di mukabumi ini. Jangan pula tuduh aku gatal, itukan naluri yang normal bagi sesorang Lelaki yang baru angkat dewasa. Lain pula kalau aku memuja yang sama sejenis dengan aku, spesis yang tenat sebegitu patut dimusnahkan terus. Sekarang ini, tidak perlu nak memaksa Amoi cina naik perahu duduk bersila, cukup la sekadar pergi ke Bazzar Ramadhan, kalau tak jaga adab mata, pahala puasa pun boleh 'Tebik'.
Apabila gema dentuman meriam buluh semakin berkurang menjelang Ramadhan saban tahun, masuk pertengahan 90an, citarasa juga berubah. Tapak 'Dewan Parlimen" bawah pokok Jambu depan rumah Brader Burn dijadikan markas untuk membuat experimen Projek X. Kalau dalam bahasa kampungnya, disebut Projek kebaid Tanah.
Batu Kebaid
Berbeza dengan bunyi Meriam buluh, kebaid tanah ini ada keunikan dari segi kesan dan bunyinya. Gema bunyi boleh menjangkau hingga ke Tanjung Naga. Lokasi Tanjung Naga ini di hujung kampung Narum, aku tak pasti kenapa tanjung tersebut digelar Tanjung Naga. Orang yang kaki sungai akan tahu Gelaran tersebut, namun budak kampung sekarang berkemungkinan besar tidak mengetahui kewujudan 'Nama' itu.
Klik photo untuk gambaran yang lebih jelas
Bunyi dentuman Kebaid tanah ini ibarat 'berlari' gemanya datang ke seberang. Kesan impak dapat dirasakan gegarannya hingga periuk boleh jatuh dari dapurnya. Cuma ada sedikit rumit dari segi pembuatan dan permainannya juga ada sedikit kotor. Maklum la, dah dinamakan Kebaid tanah.
Kami pernah di-'ambush' oleh sepasukan Polis peronda sewaktu tengah asyik bermain Kebaid Tanah ini. Difahamkan mereka menerima Laporan rungutan dari orang awam berkenaan Kebaid Tanah Geng Bahagian Tengah ( Ingat perjanjian sempadan kampung ). Terlalu kuat dan nyaring hingga Lauk untuk jamuan sempena 1 syawal keesokan hari habis jatuh dari dapur.
Merayu mohon maaf kami, agar tidak ditarik ke Balai, kami berjanji untuk menimbus terus Kebaid Tanah malam itu juga. Siapa mahu tidur di Balai, besok nak Raya oiiiiiii...Rasa geram dan marah pun ada ketika itu, siapakah insan yang 'membelot' perjuangan suci ini? Tidakkah dia tahu, tanpa dentuman Meriam istimewa ini, apalah ertinya menjelang Raya? Sunyi sepi cuma suara Takbir sayu bergema. Kami pasrah ketika itu, aku yang bertuala dan baju di bahu, terpaksa menerima apa sahaja keputusannya. memang sengaja berpakaian sebegitu, disebabkan bermain Kebaid tanah ini kotor. Terpaksa mencangkul, menebok lubang baru dan merangkak ke dalam lubangnya.
Namun bersyukurnya pada malam itu, apabila LandRover Polis datang tetapi penuh muatan dengan budak yang sebaya dengan aku. Mereka kebanyakan geng dari Kampung Dagang kena bawa ke Balai Polis. Tiada tempat untuk Geng kami dalam LandRover. Kami dilepaskan dengan syarat, berjanji tidak boleh bermain kebaid tanah ini lagi. Di malam itu juga Kebaid Tanah ditimbus depan Tuan Polis. Dan hingga sekarang kami masih memegang janji tersebut.
Berubah masa, maka berubah juga caranya. Brader Burn memperkenalkan Meriam baru, yang tidak kurang juga kehebatan bunyinya. Bahan asasnya adalah Paip Besi.
Kami terpaksa ke Lubuk Nibong untuk mendapatkan Besi Paip ini, kerana di sana yang paling dekat adanya bekas tinggalan Kem pembalakan. Mungkin besi paip ini digunakan untuk menguling balak. Berat dan padu terasa juga mengangkatnya ditambah pula 'Opps Cantas" ini dilakukan pada bulan puasa. Meriam besi ini 'tajam' bunyinya. Senang digerakkan dan senang juga mengubah sudut condong darjah kedudukannya. Kami bermain Meriam besi ini di tepi tebing sungai. Sewaktu express melintas di sungai, diwaktu itu juga la Brader burn sering membakar Meriam besi ini. Apabila Express memperlahankan enjinnya, kami akan bertempiaran lari masuk hutan..hehehehe.
Ramadhan tidak indah malah tidak bermakna, tanpa Bedil@ meriam kampung ini. Cuma tika Bulan Ramadhan dan Syawal sahaja akan berkumandang suara bedilan ini.
Sekarang, aku rindu ingin mendengar lagi riuh rendah 'perang' bunyi di kampung, aku rindu melihat kanak-kanak kecil berlari tika lampu pelita mula menyala, aku rindu suasana borak ria kawan-kawan bercerita pasal bulu mata si polan kerinting terbakar, aku rindu sebenarnya bau minyak Gas@tanah dan bau sumbu pelita tika meniup meriam buluh. Harus aku sedar, zaman telah berubah. Cuma budak kampung sahaja yang melalui kenangan itu. Dan aku bersyukur, telah menyiap satu nurkilan 'kenangan mengusik jiwa' yang mesti diberitahu kepada generasi baru suatu hari kelak.
Haha baca2 marudi tek duhal brader pyan pun blog..
ReplyDelete