Translate

Thursday, 7 February 2019

Dilarang merokok di stesen minyak tapi di kaunter ada jual rokok.


Di penghujung tahun sebegini, suasana kerja semakin santai sahaja. Masa banyak ku habiskan dengan mencari buku-buku yang ingin dilupuskan sambil membaca info-info berguna dari media massa menjadi benih untuk mencambah idea seterusnya diukir atas kertas kaca  menghasilkan koleksi-koleksi tulisan dalam blogku. Banyak yang menarik namun tiada yang berat sangat melainkan isu tentang salah seorang Y.B ini bermati-matian mahu larangan merokok di kawasan Parlimen di Tarikbalik. Katanya, sedangkan mereka LGBT pun punyai hak untuk hidup inikan pula sekadar perokok. Di ‘batuapi’kan lagi oleh seorang Peguam kanan yang beriya-iya berjuang untuk hak-hak asasi si perokok ini.

Aku hairan dengan cara fikir orang yang tinggi ilmu ini, yang disekat adalah merokok di tempat awam. Memang benar, Sebelum ini sudah banyak tempat dilarang untuk merokok seperti hospital, sekolah dan lain-lain dan sekarang dipanjangkan pula ke Restoran. Ianya bukan menyekat hak perokok untuk merokok. Perokok masih bebas merokok kecuali di tempat-tempat yang telah diwartakan. 

Rokok adalah sejenis dadah yang legalized dan ianya hanya kerana bisnes, demi kepentingan korporat, bukan membawa kebaikan. Hasil kajian saintifik membuktikan ada beratus jenis toksin. Asap rokok itu pula membahayakan diri dan juga orang sekeliling. Jadi, Hak apakah yang diperjuangkan ini? Kalau pun ingin bercakap dari sudut undang-undang, aku yakin pihak Mahkamah lebih mengutamakan Hak bukan Perokok.  

Pasti ada pula insan jenis otak dalam mangkuk jamban akan mempertikaikan. Kalau asap rokok membawa masalah, haramkan semua kenderaan dari bergerak di jalanraya, kerana mengeluarkan asap yang bertoksin. Ayat-ayat sebegini sering menjadi benteng kukuh Sang perokok, hakikatnya merokok itu satu pilihan, anda boleh katakan tidak pada rokok atau terus merokok dan anda akan terus merosakkan diri sendiri. Lain pula dengan asap dari enzos Kenderaan di jalanraya itu pun mempunyai garis panduan dari Pihak JPJ malah kita tiada pilihan lain juga untuk bergerak melancarkan kehidupan melainkan dengan kenderaan ini. 

Walaupun Perokok itu pun membayar cukai, dia masih tidak berhak memaksa orang lain menyedut asap rokok yang dihembusnya ketika dia mengisap rokok kerana asap tersebut boleh membawa penyakit kanser dan lain-lain tanpa kerelaan mereka yang tidak merokok. Jika orang dewasa pun tidak tahan dengan asap rokok, bagaimana pula keadaan bayi dan kanak-kanak yang memiliki kadar pernafasan tinggi antara 40 hingga 50 kali seminit, berbanding dewasa yang hanya menyedut udara antara 15 hingga 16 kali seminit. Pasti lebih perit untuk mereka.  Tiada istilah Diskriminasi pada si perokok dalam perkara ini. Hakikatnya golongan perokok ini sebagai mementingkan diri sendiri. Untuk lebih jelas, kita ibaratkan ianya perogol (perokok) dan kita membiarkan perogol tersebut merogol anak gadis kita dijalanan ( merokok di khalayak ramai) dengan alasan membenarkan perkara rogol(perokok) di tempat awam itu, dengan alasan, dia juga pembayar cukai.  Logik kah sebegitu?

Apa lagi dalil dan bukti yang diperlukan bahawa rokok itu satu dadah yang sangat merbahaya dan membunuh, sukar untuk dijelaskan apabila nafsu ketagihan diutamakan. Hanya kerana tak nampak mabuk maka penagih-penagih tegar ini sungguh marah. Lihat saja orang yang tak dibenarkan merokok, macam mana meroyan melatah jadinya.

Teringat satu kisah yang dibawa oleh penceramah bebas, Hussain Yee bertajuk Solat, rokok dan tandas. Katanya, kalau solat dijaga dengan betul, hasilnya dapat mencegah benda yang tidak elok. Beliau mengaitkannya dengan wuduk yang memerlukan seseorang membersihkan mulut lebih-lebih lagi perokok. Bau rokok perlu dibersihkan supaya tidak mengganggu jemaah lain. Penceramah juga bertanyakan adakah sesuai apabila ke tandas, kita membawa kacang, kuih, kek, goreng pisang, kopi O atau teh tarik untuk dimakan/minum? Jika tidak apakah yang paling sesuai dengan tandas? Jawabnya rokok. Ini menggambarkan sesuatu yang tidak elok itu hanya sesuai di tempat yang tidak elok. Soalnya lagi, apakah makanan yang tidak habis kemudian dibuang dan dipijak? Sekali lagi hanya rokok dan ini menggambarkan betapa hina dan kotornya rokok. Apa lagi dalil dan bukti yang diperlukan bahawa rokok itu satu dadah yang sangat merbahaya dan membunuh. Sejujurnya, perokok sedar akan keburukan tersebut namun ketagihan itu membuatkan semua kebenaran itu ditutupkan. AKU EX PEROKOK..

Monday, 10 December 2018

Raja buah Long Lama


Mental block dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Beku tanpa idea berbunga umpama  disiram dengan asid. Hilang dan terus terhakis tanpa kesan dan bau. Yang tinggal Cuma semangat ingin menulis namun terhalang oleh kekontangan idea.


Sindrom ini berlaku apabila Si penulis telah dirempuh oleh terjahan bebanan fikiran dan perasaan yang terlalu sukar untuk diungkapkan. Fikiran mereka lebih focus untuk menyelesaikan masalah itu dulu sehingga ianya berlarutan beberapa bulan hatta boleh mencecah ke tahun dan akhirnya tiada tulisan-tulisan baru.


Aku dalam kelompok ini, terlalu banyak masalah yang berat menimpa hingga tulisanku banyak yang tersangkut. Bermula saat duduk depan komputer, mencurahnya idea indah bukan kepalang namun susunan bahasa merencatkan tulisan. Adakalanya, semangat ingin menulis membuak-buak namun idea pula hilang tanpa khabar berita.


Pagi tadi, sambil duduk minum kopi dengan kawan di Restaurant, aku terpandang sesuatu perkara yang aku rasa perlu aku ceritakan. Posisi tempat aku duduk yang menghadap jalanraya membuatkan aku melihat semua lanskap apa yang berlaku di seberang jalan iaitu lokasi tempat menjual sayur. Namun kali ini, buah durian bermaharajalela, pelbagai kelompok manusia yang tengah tawar menawar harga. Wajah yang tidak aku kenali. Apa yang pasti, mereka ini pemborong dari Miri, Brunei dan sejauh Bandar Bintulu.

Pemborong dari Miri
10 tahun lepas, apabila datangnya musim durian, harganya sungguh murah. Boleh mencecah sehingga Rm0.50 sebiji. Aku pernah didatangi hingga ke rumah oleh pengutip durian ini semata-mata untuk menjual buah durian mereka. Adakalanya mereka menjual secara pukal, dengan harga RM50 satu perahu yang dipenuhi buah durian (50-80 biji) dengan syarat, kita sendiri menunggah dan mengangkat sendiri buah durian tersebut.

 
Pemandangan setiap pagi di tebingan apabila musim durian

Namun kini, biarpun jumlah durian semakin banyak, harganya tetap tidak turun. Pemborong-pemborong ini sanggup membeli dengan harga mahal kerana pasaran buah dari hasil keluaran Long Lama ini amat mudah dijual. Mereka datang seawal jam 7 pagi ke Long Lama. Perahu dari ulu akan hadir sekitar jam 8.30 hingga 2 petang. Bayangkan dalam tempoh beberapa jam tersebut, beratus biji durian telah keluar dari Long Lama malah jumlahnya boleh mencecah ribuan biji buah durian untuk satu hari. 

Kapasiti sebegini boleh mencecah 300 biji
Semua ini disebabkan hasil pembangunan yang telah dibuat oleh Pihak kerajaan. Dengan kuasa Viral yang diwar-warkan dalam FB dan whatsap tentang lambakkan buah durian di Long Lama, kewujudan khemah sebagai Pusat pengumpulan buah durian di Long Lama bersebelahan Waterfront dan yang paling penting, keselesaan infrastuktur Jalanraya yang semakin bagus ( Miri-Long Lama ) ianya memudahkan pengeluaran durian dari Long Lama. Ini adalah penyebab utama harga buah durian Long Lama semakin mahal. Dari satu sudut, ianya bagus, kerana merancakkan ekonomi komuniti. Namun dari satu sudut, insan seperti aku yang mencintai ketenteraman dan perkara yang asli. Aku lebih suka kepada suasana yang dulu. Dengan cara penjual durian datang berjual buah mereka dari rumah ke rumah malah dengan pengutip yang lain pula berteriak, 

“ Buah! Buah! ...“Dari perahu mereka di tebingan sungai.

Keinginan untuk melariskan buah duriannya ini sebenarnya mewujudkan sesuatu yang aku panggilkan sebagai hubungan komunikasi secara tidak terancang. Aku mengenali wajahnya, tanpa mengetahui namanya namun aku rasa selesa dengannya. Cara komunikasi hubungan itu kini semakin hilang. Sebab itu, apabila kita tinggal di sekitar perumahan bandar, pemintaan untuk berkomunikasi seperti itu tidak ada. Tiada perkara yang membuatkan kita terpaksa untuk beramah mesra dengan jiran-jiran sebelah rumah kerana disebabkan ketiadaan kepentingan berbuat demikian.


Thursday, 22 November 2018

Biasa hidup sendiri


Mungkin menjadi perkara yang biasa, apabila setiap insan yang sudah melepasi peringkat persekolahan menengah atau Universiti keluar dan mencari kerja. Itu dinamakan putaran hidup bagi insan yang normal. Namun aku tertarik dengan teori yang sahabatku kongsikan sewaktu kami duduk minum kopi di salah sebuah Restaurant di Marudi sambil memesan sekeping roti telur dan semangkuk bihun Sup. Sebelum beliau berangkat balik menanti kapal terbang hendak ke Miri seterusnya Kuching, sempat kami berborak-borak kosong sementara menanti pesanan makanan sampai.

Pemandangan biasa apabila musim cuti sekolah, Anak-anak ini terpaksa melalui jalan Balak yang berdebu, kotor dan membahaya.
Dengan pengalaman ini, mendewasakan akal fikiran.
Seawal alam persekolahan, adik perempuannya telah di hantar ke Asrama hingga ke peringkat menengah. Seterusnya melanjutkan pelajaran dan berkerja di tanah Malaya. Dengan pengalaman hidup berbelas tahun sepanjang mencari ilmu dan kini berkerja di tempat orang tanpa ahli keluarga disisi, membuatkan adiknya sudah biasa hidup sendiri. Katanya lagi, syukur kini adiknya sudah dapat pindah ke Kuching dan membeli rumah sendiri, namun dia jarang juga balik ke rumah Pusaka sedangkan setanah di Kuching.

Ini disebabkan kebiasaan anak-anak yang telah lama tinggal di dalam Asrama yang biasa hidup sendiri. Ikhtiar hidup mereka tinggi dan sudah biasa dengan keadaan susah. Cuma balik kampung apabila ada cuti panjang, itu pun sekadar sebulan. Selebihnya masa mereka banyak dihabiskan dalam kawasan sekolah/Universiti. Sindrom ini telah banyak menjangkiti anak-anak Sarawak. Bayangkan dari Darjah satu hingga ke Tingkatan Lima (12 Tahun) membesar dan tinggal di sekolah, ditambah pula beberapa pelajar yang bernasib baik dapat masuk ke Tingkatan Enam/ Politeknik/Matrikulasi/Universti, ini akan menambahkan jumlah hari mereka tanpa ahli keluarga dan orang tersayang disisi. Dalam keadaan terpaksa hidup sebegini, sedikit sebanyak sudah terbiasa dan akhirnya hilang rasa rindu kampung halaman.

Selepas habisnya alam persekolahan dan mereka balik ke kampung, mereka akan ‘mati kutu’ pula, tidak tahu apa yang hendak dilakukan dan akhirnya mereka akan keluar ke bandar mencari peluang pekerjaan, keinginan yang kuat agar bebas tanpa kongkongan. Fenomena ini yang berlaku di kampung dalam Sarawak kini. Di akui juga, faktor utama mereka keluar disebabkan ketiadaan pekerjaan, tetapi kebiasaan hidup sendiri ini merupakan ‘pakej bekalan’ yang paling sempurna untuk mereka melalui semua kesusahan ini sebelum berjaya. Impak yang paling teruk adalah, kampung halaman semakin sunyi dan sepi.