Mental block dalam beberapa bulan
kebelakangan ini. Beku tanpa idea berbunga umpama disiram dengan asid. Hilang dan terus terhakis
tanpa kesan dan bau. Yang tinggal Cuma semangat ingin menulis namun terhalang
oleh kekontangan idea.
Sindrom ini berlaku apabila Si
penulis telah dirempuh oleh terjahan bebanan fikiran dan perasaan yang terlalu
sukar untuk diungkapkan. Fikiran mereka lebih focus untuk menyelesaikan masalah
itu dulu sehingga ianya berlarutan beberapa bulan hatta boleh mencecah
ke tahun dan akhirnya tiada tulisan-tulisan baru.
Aku dalam kelompok ini, terlalu
banyak masalah yang berat menimpa hingga tulisanku banyak yang tersangkut.
Bermula saat duduk depan komputer, mencurahnya idea indah bukan kepalang namun
susunan bahasa merencatkan tulisan. Adakalanya, semangat ingin menulis
membuak-buak namun idea pula hilang tanpa khabar berita.
Pagi tadi, sambil duduk minum
kopi dengan kawan di Restaurant, aku terpandang sesuatu perkara yang aku
rasa perlu aku ceritakan. Posisi tempat aku duduk yang menghadap jalanraya membuatkan
aku melihat semua lanskap apa yang berlaku di seberang jalan iaitu lokasi
tempat menjual sayur. Namun kali ini, buah durian bermaharajalela, pelbagai
kelompok manusia yang tengah tawar menawar harga. Wajah yang tidak aku kenali.
Apa yang pasti, mereka ini pemborong dari Miri, Brunei dan sejauh Bandar
Bintulu.
Pemborong dari Miri |
10 tahun lepas, apabila datangnya
musim durian, harganya sungguh murah. Boleh mencecah sehingga Rm0.50 sebiji. Aku
pernah didatangi hingga ke rumah oleh pengutip durian ini semata-mata untuk
menjual buah durian mereka. Adakalanya mereka menjual secara pukal, dengan
harga RM50 satu perahu yang dipenuhi buah durian (50-80 biji) dengan syarat,
kita sendiri menunggah dan mengangkat sendiri buah durian tersebut.
Pemandangan setiap pagi di tebingan apabila musim durian |
Namun kini, biarpun jumlah durian
semakin banyak, harganya tetap tidak turun. Pemborong-pemborong ini sanggup
membeli dengan harga mahal kerana pasaran buah dari hasil keluaran Long Lama ini amat mudah
dijual. Mereka datang seawal jam 7 pagi ke Long Lama. Perahu dari ulu akan
hadir sekitar jam 8.30 hingga 2 petang. Bayangkan dalam tempoh beberapa jam
tersebut, beratus biji durian telah keluar dari Long Lama malah jumlahnya boleh
mencecah ribuan biji buah durian untuk satu hari.
Kapasiti sebegini boleh mencecah 300 biji |
Semua ini disebabkan hasil
pembangunan yang telah dibuat oleh Pihak kerajaan. Dengan kuasa Viral yang
diwar-warkan dalam FB dan whatsap tentang lambakkan buah durian di Long Lama,
kewujudan khemah sebagai Pusat pengumpulan buah durian di Long Lama
bersebelahan Waterfront dan yang paling penting, keselesaan infrastuktur Jalanraya
yang semakin bagus ( Miri-Long Lama ) ianya memudahkan pengeluaran durian dari Long Lama. Ini
adalah penyebab utama harga buah durian Long Lama semakin mahal. Dari
satu sudut, ianya bagus, kerana merancakkan ekonomi komuniti. Namun dari satu
sudut, insan seperti aku yang mencintai ketenteraman dan perkara yang asli. Aku
lebih suka kepada suasana yang dulu. Dengan cara penjual durian datang berjual buah
mereka dari rumah ke rumah malah dengan pengutip yang lain pula berteriak,
“ Buah! Buah! ...“Dari perahu mereka di tebingan
sungai.
Keinginan untuk melariskan buah duriannya ini sebenarnya mewujudkan sesuatu yang aku panggilkan sebagai hubungan komunikasi secara tidak terancang. Aku mengenali wajahnya, tanpa mengetahui namanya namun aku rasa selesa dengannya. Cara komunikasi hubungan itu kini semakin hilang. Sebab itu, apabila kita tinggal di sekitar perumahan bandar, pemintaan untuk berkomunikasi seperti itu tidak ada. Tiada perkara yang membuatkan kita terpaksa untuk beramah mesra dengan jiran-jiran sebelah rumah kerana disebabkan ketiadaan kepentingan berbuat demikian.
Keinginan untuk melariskan buah duriannya ini sebenarnya mewujudkan sesuatu yang aku panggilkan sebagai hubungan komunikasi secara tidak terancang. Aku mengenali wajahnya, tanpa mengetahui namanya namun aku rasa selesa dengannya. Cara komunikasi hubungan itu kini semakin hilang. Sebab itu, apabila kita tinggal di sekitar perumahan bandar, pemintaan untuk berkomunikasi seperti itu tidak ada. Tiada perkara yang membuatkan kita terpaksa untuk beramah mesra dengan jiran-jiran sebelah rumah kerana disebabkan ketiadaan kepentingan berbuat demikian.
No comments:
Post a Comment