Translate

Thursday, 22 November 2018

Biasa hidup sendiri


Mungkin menjadi perkara yang biasa, apabila setiap insan yang sudah melepasi peringkat persekolahan menengah atau Universiti keluar dan mencari kerja. Itu dinamakan putaran hidup bagi insan yang normal. Namun aku tertarik dengan teori yang sahabatku kongsikan sewaktu kami duduk minum kopi di salah sebuah Restaurant di Marudi sambil memesan sekeping roti telur dan semangkuk bihun Sup. Sebelum beliau berangkat balik menanti kapal terbang hendak ke Miri seterusnya Kuching, sempat kami berborak-borak kosong sementara menanti pesanan makanan sampai.

Pemandangan biasa apabila musim cuti sekolah, Anak-anak ini terpaksa melalui jalan Balak yang berdebu, kotor dan membahaya.
Dengan pengalaman ini, mendewasakan akal fikiran.
Seawal alam persekolahan, adik perempuannya telah di hantar ke Asrama hingga ke peringkat menengah. Seterusnya melanjutkan pelajaran dan berkerja di tanah Malaya. Dengan pengalaman hidup berbelas tahun sepanjang mencari ilmu dan kini berkerja di tempat orang tanpa ahli keluarga disisi, membuatkan adiknya sudah biasa hidup sendiri. Katanya lagi, syukur kini adiknya sudah dapat pindah ke Kuching dan membeli rumah sendiri, namun dia jarang juga balik ke rumah Pusaka sedangkan setanah di Kuching.

Ini disebabkan kebiasaan anak-anak yang telah lama tinggal di dalam Asrama yang biasa hidup sendiri. Ikhtiar hidup mereka tinggi dan sudah biasa dengan keadaan susah. Cuma balik kampung apabila ada cuti panjang, itu pun sekadar sebulan. Selebihnya masa mereka banyak dihabiskan dalam kawasan sekolah/Universiti. Sindrom ini telah banyak menjangkiti anak-anak Sarawak. Bayangkan dari Darjah satu hingga ke Tingkatan Lima (12 Tahun) membesar dan tinggal di sekolah, ditambah pula beberapa pelajar yang bernasib baik dapat masuk ke Tingkatan Enam/ Politeknik/Matrikulasi/Universti, ini akan menambahkan jumlah hari mereka tanpa ahli keluarga dan orang tersayang disisi. Dalam keadaan terpaksa hidup sebegini, sedikit sebanyak sudah terbiasa dan akhirnya hilang rasa rindu kampung halaman.

Selepas habisnya alam persekolahan dan mereka balik ke kampung, mereka akan ‘mati kutu’ pula, tidak tahu apa yang hendak dilakukan dan akhirnya mereka akan keluar ke bandar mencari peluang pekerjaan, keinginan yang kuat agar bebas tanpa kongkongan. Fenomena ini yang berlaku di kampung dalam Sarawak kini. Di akui juga, faktor utama mereka keluar disebabkan ketiadaan pekerjaan, tetapi kebiasaan hidup sendiri ini merupakan ‘pakej bekalan’ yang paling sempurna untuk mereka melalui semua kesusahan ini sebelum berjaya. Impak yang paling teruk adalah, kampung halaman semakin sunyi dan sepi.


No comments:

Post a Comment