Translate

Wednesday, 5 August 2015

Ke Mukah kerana Konvensyen Kelab inovasif & kreatif

Berbulan persediaan untuk konvensyen KIK peringkat PBT Sarawak dan hari yang di tunggu kini menjelma. Persediaan yang melibatkan latihan bersama ahli kumpulan  membuatkan aku sentiasa sibuk di bulan Ramadhan al maklum la, aku di Long Lama dan pusat latihan di Marudi. Saban minggu turun naik dibuatnya. Kesian dengan Isteri, yang terpaksa keseorangan melayan karenah anak-anak yang malas nak bangun bersahur.

Diangotai  sebanyak 10 ahli, kami bergerak menggunakan 3 biji pacuan 4x4. Mengambil masa selama 5 jam perjalanan. Sepanjang perjalanan di temani lagu Raya, terasa syahdu mendayu-dayu.

Perkarangan Kingwood Resort, tengah memunggah beg dan peralatan KIK


Pemandangan dari Balkoni bilik 


Pengalaman yang baru untuk diriku, masih terasa kaku apabila terkena aura Konvensyen KIK ini. Sambutan, layanan di luar kebiasaan. Aku cuma mampu mengikut aliran arusnya agar aku tidak terasa janggal untuk kali yang pertama ini. 5 hari 4 malam berkampung di Kingwood resort Mukah.

Bilik konvensyen KIK peringkat PBT Sarawak

Namun ucapan terima kasih kepada sahabat sepejabatku En. Nazir, orang asal Mukah. Dia yang banyak membawa kami bersiar-siar di sekitar Bandar Mukah. Memperkenalkan identiti Mukah menonjolkan sesuatu yang tersembunyi.

Sempat berjemaah solat Jumaat di Masjid besar setia Raja.

Gambar dari Internet

Mukah sinonim dengan sagu dan Ulat mulong. Tidak kurang juga hasil laut yang segar terus di jual di pasar basah.

 Sagu


 Aku dengan kelembutan ulat mulong


TIBAU adalah salah satu permainan tradisional masyarakat Melanau, namun kami tidak ber-kesampaian untuk bergayut di Tibau tersebut disebabkan talinya telah di potong mungkin bertujuan untuk keselamatan pengunjung dan Tibau ini cuma ada di Tapak pesta Kaul, Mukah.


Pose bergaya berbaju seragam


Aku yang lebih 10 hari meninggalkan ahli keluarga ( termasuk masa latihan di Marudi ) terasa teramat rindu untuk balik ke rumah di tambahkan lagi masih di bulan syawal ini. Sebelum berangkat balik, aku tanamkan tekad untuk datang lagi ke Mukah dan tidur di salah satu hotel di bandarnya bersama ahli keluarga ku nanti. Bukan disebabkan aku sudah tahu jalan ke sana atau masih banyak barang yang belum sempat dibeli. Tapi disebabkan aku tidak puas “beloyar” dengan sahabat yang cukup lama aku tidak bertemu yang cuma dapat berjumpa pada malam terakhir aku di sana. Aku yang sibuk dengan KIK dan beliau pula sibuk dengan kerjanya menganggu masa untuk mengatur pertemuan.




Bak kata Arnold dalam filem Terminator..” I’II be back”…


Salam syawal 2015 serta Salam perpaduan Si Jati Narum, Marudi

Biarpun syawal sudah masuk hari yang ke- 19, namun bekas sisa-sisa kemeriahannya masih terasa. Untuk Lebaran kali ini, ianya sungguh bermakna kerana aku bebas 100% dari nakotik batang Rokok.  Alhamdulillah dan ku berdoa, perjuanganku terus teguh biarpun taufan melanda.

Masih terasa malas hendak menulis, tapi gatal hatiku memaksa untuk berkongsi di entri kali ini berkenaan raya di kampung halamanku..

Kampung Narum, Marudi, Baram, Sarawak.

Sehari sebelum Raya, suatu yang wajib membuat tiang pelita

Bersungkai/ berbuka beramai-ramai, petang Ramadhan ke-29

Setiap pagi raya selepas solat Aidilfitri, aku pasti hadir ke majlis doa selamat di surau Al Taqwa Kpg Narum, kesempatan ini aku gunakan untuk bersalam bermaafan dengan sahabat handai, jiran tetangga yang hadir di majlis tersebut.



____________ SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI ______________


Selfie dengan Ahli keluarga terdekat


Setelah solat aidilfitri, beramah mesra di surau, bermaafan dengan ahli keluarga tiba masa mengunjungi tanah perkuburan pada sebelah petang. Jadi hari pertama Raya memang dihabiskan dengan masa bersama ahli keluarga sahaja. 



Setiap tahun untuk hari Raya ke-2, aku pasti membuat OPENHOUSE untuk semua. 


Anak sulongku menolong memanggang daging kambing & Ikan untuk openhouse.

Ramadhan ke 29, untuk pertama kalinya  saudara terdekatku dari Brunei seramai 22 orang beraya di kampung. Memang riuh dengan gurau-senda gelak ketawa, berebut jamban berebut bermain mercun. 

Sebelum terus kepada photo, aku mewakili ahli keluarga memohon ampun andainya ada kesilapan bagi yang mengenali selama kita “begulai” sama. Yang baik kita simpankan dan yang kurang manis kita tolak ke tepi.








Di antara babak-babak menarik sewaktu Openhouse.

Bagi insan yang nak menjangkau usia 40 tahun ini, Hari Raya disambut bukan bertujuan untuk mendambik dada menunjukan set sofa baru, TV baru atau pintu cat baru. Ianya lebih kepada masa berkumpul bersama adik beradik dan keluarga. Di waktu itu sahaja kita dapat bersama dan sejujurnya, acara openhouse yang aku buat setiap tahun pada raya ke-2 sememangnya untuk aku lebih rapat dengan ahli keluargaku sendiri. Apabila kita bekerja bersama, bergotong royong menyediakan persediaan Openhouse Raya, pasti diwaktu itu lah pelbagai cerita keluar dari mulut untuk dikongsikan maka saat-saat genting itu yang terlalu sukar untuk dicari teramat tinggi nilainya terutama di masa kini zaman teknologi yang cuma sibuk bermain wassap, Facebook dan sebaginya.

acara membakar mercun

Hari raya, pasti ada tidur di ruang tamu

Pose istimewa dari sahabat sekampung, sepermainan dan seguru ilmu putar alam

Pose ini di buat dalam jam 12am raya ke-4 selepas balik "melanggar" rumah jiran sekampung

Biarpun ianya kelihatan simple, tapi teratak ini sebagai saksi ketumbuhbesaran diri ini

Raya ke-6, kita panggang lagi

kenangan manis 2015

Selamat Hari Raya mohon maaf Zahir batin untuk kita hingga sampai tahun depan.



Friday, 10 July 2015

Siti Navara dengan cover canopies

Setelah mencecah umur 3 tahun, baru niat hatiku kesampaian apabila “cover Conopies” dapat dibeli untuk keselamatan barang yang disimpan dalam “baket” Siti Navaraku.



Proses pemasangan 

Banyak kedai aksesori kereta telah ku masuki di area Miri untuk perbandingan harga, Cuma di kedai LS car accessories 4x4 servise bersebelahan stesen Shell dekat Merdeka Suite saja yang paling berpatutan dengan servisnya bagus di sertakan pemberian Stiker kedai.

Lokasi pemasangan

Kos “cover conopies” ini sebanyak RM2100.00 dan kerja  pemasangan mengambil masa lebih kurang sejam lebih juga. Kedai lain boleh mencecah RM2500.00 sebiji termasuk GST.




Sebelum ini aku cuma mengunakan Kanvas untuk menutup barang yang sudah di beli. Apabila berhenti untuk membeli keperluan lain di shopping complex atau di parking kereta luar kedai biasa dan tinggalkan kereta untuk seketika dengan “baket” kereta penuh yang Cuma ditutupi dengan kanvas, terdetik juga rasa khuatir akan kehilangan barang tersebut. Kanvas ini juga akan “melambai-lambai” apabila kereta di pandu dengan laju. Situasi sebegitu yang paling aku tidak suka, kerana ianya akan menganggu pemandangan sisi belakang kereta serta sedikit sebanyak juga menganggu naluri pemanduan berhemat aku. Tapi kini, rasa kekhuatiran itu sudah tiada lagi. 





Dengan adanya PENUTUP BELAKANG ini, banyak masa telah dapat dijimatkan. Aku tidak perlu menyusun barang yang dibeli. Aku tidak perlu lagi mengikat kanvas kerana khuatir akan terbang. Apa yang perlu aku buat, cuma membuka PENUTUP BELAKANG dan meletak sahaja mengikut kesesuaian berat barang agar seimbang antara kiri kanan ‘baket’ sewaktu kereta bergerak. 





Memang sepadan dengan warna kereta. Selepas membayar, aku dipelawa oleh Tauke kedai untuk datang lagi. Tak kira anda Cina, melayu, india malah bangsa asing pun, andai layanan anda "tip top", orang atau pelangan akan datang lagi. Aku juga akan datang lagi, setelah tauke kedai bagi Offer baik punya, sekiranya aku jadi untuk memasang stering lock kerana setahu aku, tempat lain tidak bagi harga "tanpa" GST. Dia tahu aku hendak memasang Stering lock itu, sebab aku berdiri lama dekat aksesori tersebut. Moga rezeki cepat datang, agar stering lock itu, akan jadi kenyataan juga.



Thursday, 9 July 2015

Tempahan Batu Nisan di Bandar Miri

Bersamaan dengan 20 Ramadhan 1436H, baru aku menjumpai tempat pembuatan Batu Nisan di sekitar Miri. Setelah sekian lama mencari untuk digantikan dengan tiang Nisan kubur Arwah Ibu tiriku di Tanah perkuburan Marudi.


Batu nisan yang telah siap ditempah


Sayangnya batu nisan ini tidak sempat disiapkan untuk dipacak sebelum Hari Raya. 2 minggu selepas raya baru batu nisan yang ditempah akan siap kerana permintaan yang tinggi sebelum Ramadhan dulu. Bilangan pembantu juga kurang di musim puasa ini disebabkan pembantunya banyak yang beralih angin sekejap untuk berniaga di bazaar Ramadhan. Apapun, yang penting niat dihati untuk menukarkan batu nisan baru telah terlaksana. 

Harga Nisan berjumlah RM120.00 sebatang. Andai ditempah beserta dengan "dapur atau Bakut"nya sekali, ianya bernilai RM800.00 kerana pihak beliau yang akan memasangkannya cuma untuk kawasan miri sahaja. Aku menempah batu nisan sahaja. Insyaallah kalau ada rezeki lagi, akan ku tempah dapur/bakut ini namun aku harus fikirkan cara untuk membawanya untuk masuk Marudi. Dengan keadaan jalanraya ke Marudi yang serba canggih, aku khuatir juga, ianya akan pecah atau patah.




dapur atau bakut 




Setelah selesai berbincang tentang harga dan salinan nama untuk di tuliskan di batu nisan, aku terlupa untuk bertanya nama empunya badan yang menjadi Tauke dalam bisnes pembuatan Batu Nisan ini. Namun ucapan syabas aku titipkan kepada beliau kerana dengan usia yang muda beliau telah berkecimpung dalam bisnes pembuatan batu nisan ini yang sememangnya jarang dilakukan.

Lokasi pembuatan batu nisan ini berada betul-betul di belakang kedai kawasan Luak Bay.


Lokasi pembuatan batu nisan


Sebulan selepas menempah batang Nisan ini, aku dengan bantuan "tentera kecil' ku telah berjaya menukar batang nisan yang asal kepada yang baru.




Proses penukaran batang Nisan


Sebelum berakhir bicara hati ini, adalah lebih baik aku doakan kejayaan buat Tauke nisan yang aku baru kenali ini, dimurahkan rezeki dan diharap info dalam blog ku ini akan menyebarkan lagi tentang bisnes beliau.

Thursday, 2 July 2015

Nun, di puncak bukit berdirinya Masjid Darusalam






Atas ilham dan keprihatinan bekas ketua menteri Sarawak iaitu Pehin Seri Abdul Taib Mahmud untuk penduduk Muslim di Long Lama maka berdirinya Masjid ini melalui sumbangan dari Datuk Abu Bakar Abdullah  selaku Pengerusi Masjid merangkap Pengerusi Ouna , Sarawak.

Proses pembersihan terakhir ruang solat sebelum digunakan


Dan peletakan batu asasnya telah dilakukan pada tarikh 25 Julai 2009 oleh Menteri Muda Hal Ehwal Islam, Datuk Daud Abdul Rahman.

Masjid yang dapat menampung sekitar 300 jemaah untuk satu masa dan tempat pertemuan sesama penduduk muslim yang ada di sekitar Pekan Long Lama apabila ada program yang dijayakan di sini.




Program Bacaan Tahlil perdana sebelum Ramadhan 2011




Gotong royong persiapan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2012






Majlis penyerahan kerusi dan meja dari Petronas.

 Aku lebih suka letakkan photo yang banyak untuk tatapan kali ini.

Wednesday, 1 July 2015

Hajat kesampaian juga ke Pulau Labuan


Sempena cuti Perayaan Gawai ditambahkan lagi cuti sekolah selama dua minggu, aku mengatur “Trip” untuk membawa keluarga  berjalan mencari Ilmu. Bak kata Pepatah, Jauh berjalan luas pengalaman. Aku katakan “mencari Ilmu” disebabkan dengan bergerak dan berhijrah kita melihat tempat, cara, keadaan serta kehidupan orang.  Mana yang baik kita ambil ilmunya, kita ambil caranya dan manakala yang kurang baik, kita tapis  untuk dijadikan sempadan. Dengan melihat gambar dari buku atau internet tidak sama pengalamannya berbanding kita sendiri melaluinya. Itu yang membezakan antara duduk membaca dengan merasainya sendiri.


Berpandukan GPS di handphone, selepas Kalimah Bismillah dilafazkan, aku nekad terus untuk membawa semua permata hati ku bermula dari Bandar Miri jam 9.00 pagi untuk bertolak. Ianya mengambil masa 3 jam untuk sampai ke Bandar Limbang dengan kelajuan kereta 90-100 KM/sejam itu pun bergantung dengan dua Pos Kawalan Imigresen. Seandainya penuh maka lambat la jawabnya.


Sempat singgah sekejap berjumpa dengan adik aku di Lumut, Brunei. Dia dah 2 tahun berkerja di “Oversea” hehehe..

Lewat tengahari baru sampai Pekan Limbang, Hotel dah “booking” awal. Itu yang bagusnya Internet, minta tolong dengan pak cik yang bernama GOOGLE atau YAHOO mencari nama dan No. Tel Hotel di Bandar Limbang , Insyallah semua info ada di hujung jari.

Beli nasi bungkus bawa ke Hotel, terasa letih setelah “driving” aku baring tertidur. Dalam jam 4 petang baru bawa keluargaku berjalan sekitar Pekan Limbang. Shopping complex Purnama Hotel mesti dilawati.


 Maskot Limbang Ikan Tahai

Berlatarbelakang Purnama hotel




Tidak jauh dari Tamu Limbang ada Jab. Kastam,di situ seawal jam 6 pagi aku telah membeli tiket express Boat untuk ke destinasi yang di tuju, Wilayah Persekutuan Labuan. Tauke express Boat  akan duduk dengan tiketnya betul-betul depan pintu masuk Jab. Kastam tersebut.  Beliau berpesan, sesampai di Jeti Labuan nanti terus beli Tiket balik ke Limbang sebab program untuk balik hari sahaja, khuatir tiket habis.

Memerlukan 1 jam 45 minit perjalanan menaiki Express boat membelah laut. 



Dalam express Boat, bersih dan selesa.


Jeti Pelabuhan pulau Labuan



Aku tidak mahu menghurai secara terperinci berkenaan Pulau ini sebab aku cuma singgah sebenar walaupun ini kali yang ke-dua aku ke Pulau ini. Apa yang aku nampak, ( sekitar pasar ) kesamarataan purata jumlah penduduk tempatan dan orang asing adalah sama. Kriteria orang asing yang aku  maksudkan adalah orang yang  seperti aku yang datang melawat, Segelintir pendatang Filipina, Indo yang datang berkerja serta bangsa Tamil semenanjung yang membuka kedai di Pulau ini.




Harga barang boleh dikatakan murah sikit je dari tempat lain, tapi barang murah yang orang selalu sebutkan adalah barang yang diimport dari Negara luar seperti  Rokok, arak yang berjenama..perghhhh..


Ada beli ole-ole sikit di Pelabuhan Labuan seperti Coklat berbakul-bakul ( murahnya made from oversea ),  kain, biasalah berjalan dengan perempuan, ( Isteri ) dan sepasang baju bercorak pulau Labuan untuk Faiz ( anak ku yang ke-5 ) setelah dia terkencing dalam seluar sewaktu menunggu express boat hendak berlepas pulang ke Bandar Limbang Jam 2.00 petang.




Aku bercadang untuk datang lagi ke Pulau Labuan tapi kali ini aku akan tidur semalam dua agar aku tahu “rempah ratus” rasa kehidupan dan cuba memahami keadaan di Pulau tersebut dari segi masakannya, orangnya, budayanya hatta cara pemikiran orang disana.

Apa yang penting, hajat untuk membawa ahli keluargaku berjalan telah kesampaian. Berjalan mencari Ilmu atau berjalan mencari makan atau berjalan membuang duit…terpulang kepada pandangan masing-masing.