Translate

Thursday, 23 March 2017

Anda di mana?

Jarang aku nak bercerita pasal peribadi di sini. Namun, apa salahnya bercerita sedikit sebagai 'Bungai' sebelum posting-posting berat aku muatkan di lain waktu. Selalu sangat cerita serius, blog ini macam blog nak ajak orang pergi mati pula kan. Jadi sedikit cerita kecil dari apa yang pernah aku lalui semasa bergelar pekerja kilang plastik di bandar Miri dulu, aku cuba kongsikan di sini.

Dua puluh dua tahun yang lepas, selepas SPM aku pernah merantau keluar dari Marudi dan bekerja berkuli kasar mencari pengalaman hidup di tempat orang. Menginap di hostel yang disediakan Majikan bersama dengan pekerja lain ‘gerombolan budak-budak sesat’ a.k.a Budak-budak gila lagi sakit mental. Disebabkan sama tempat tinggal kami sangat rapat. Bila dipertengahan Bulan, Mee maggi ibarat Emas segunung nilainya.

Apabila hari ahad, kami jarang ke shopping complex, Aku lebih suka memenuhi waktu lapang dengan bermain gitar dan jamming dengan kawan-kawan. Malam minggu, kalau ada lebih duit sedikit, jamming studio di sekitar bandar Miri jadi satu kemestian. Sekurang-kurangnya dengan bermain muzik ini, menjauhkan aku daripada banyak aktiviti yang lebih merbahaya dari H1N1. Jadi dengan aktiviti syok sendiri ini, Allah menjauhkan kami dari pelbagai lagi perkara buruk dalam aktiviti hidup ‘lelaki-lelaki bujang’.

Hostel kami disediakan beberapa bilik. Dalam satu bilik sekurang-kurangnya mesti dua orang sebagai penghuni tetap, bilik aku yang sebelum ini sering menjadi port aktiviti-aktiviti kurang siuman, ditakdirkan Allah bakal berubah pada suatu ketika semasa sahabat sebilik aku berpindah dan mendapat pekerjaan Baru di Mukah. Sampai sekarang ini aku masih berhubung dengannya.

Suatu hari, ditakdirkan Allah, bilik aku ditempatkan seorang lelaki dari jemaah Tabligh untuk menjadi penghuni tetap di dalam bilik. Jika sebelum ini bilik aku menjadi port segala macam aktiviti dari aktiviti ‘astronomi’ hingga ke ‘kasino tanpa pertaruhan’, kemasukan hamba Allah ini membersihkan bilik aku dari segala macam teropong, daun terup, jenis-jenis bahan-bahan hisapan dan segala macam perkara yang boleh disebut dan malu untuk di sebut. Asap rokok pelbagai jenis aroma berlegar ligat di dalam  bilik aku malah sentiasa berjerebu dengan asap hembusan pengunjung yang tidak putus. Dengan Kopi panas dan sebungkus roti keras bulat, acara berasap seawal maghrib sampai ke subuh, kini udaranya sesegar dinihari.

Bagai dilanggar garuda, bila sahaja lelaki ini ditempatkan di bilik aku, semua pemastautin, setinggan tetap di situ hilang tanpa khabar berita. Semua kelihatan seperti takut melepak di bilik aku seperti biasa. Hebat betul aura mamat ni.

Bermula dengan kemasukan mamat ini, maka bilik aku mula dikunjungi oleh sahabat-sahabatnya pula. Ta’alim satu kemestian. Mana aku nak lari? Aku betul-betul terperangkap dalam sinaran, macam lagu Hanafie Warren, tetapi di dalam sinaran yang berbeza. Remaja seperti aku dan sahabat-sahabat aku tidak takut akan apa jua pun. Aktiviti lasak, gaduh, bertumbuk dan sebagainya bukanlah menjadi satu ketakutan yang akan dihindari, tetapi apabila ternampak sahaja kelibat jemaah tabligh sedang bergerak dari bilik ke bilik, maka dengan tidak semena-mena kesemua yang ‘berani’ tadi bertempiaran lari. Betullah kata ulama’, syaitan itu takut akan orang-orang beriman. Hanya manusia-manusia yang ditautkan hatinya kepada syaitan yang bergantungan sahaja yang akan lari bertempiaran bila ternampak orang-orang beriman datang.

Maka kumpulan-kumpulan Tabligh ini merupakan kegerunan kepada banyak pihak. Kalau tak percaya, pergi ikut mereka berdakwah dari rumah ke rumah. 70% dari rumah-rumah yang dikunjungi pasti akan kehilangan penghuni secara tiba-tiba biarpun set televisyen di rumah masih terpasang dan buaian masih berayun di luar rumah. Malah satu insiden suatu ketika di mana sahabat aku, Manaf Goreng, mengalami demam panas sehingga tidak boleh bangun. Aku yang berperasaan tebal setiakawan ni, keluar membeli bubur nasi untuknya. Teruk demamnya sehingga menyuap makanan pun tidak bermaya. Petang itu, selepas pulang dari membeli makanan kepadanya, aku duduk bersila sambil mendengan Walkman CD disebelahnya yang sakit, umpama menunggu Izrail datang memanggil. Tiba-tiba, sahabat-sahabat aku yang lain yang bermain sepak raga di bawah, berlari bagai orang tak cukup tanah meluru masuk ke dalam bilik tingkat atas sekali. Aku yang terkejut bertanyakan mereka apa yang berlaku? Sait juling, pelari di kedudukan kedua akhir hanya menjerit,

“Tabligh! Tabligh! Selamatkan diri!!!”.

Baru saja nak mencabutkan earphone dari telinga, terdengar beberapa pemuda dari jemaah tersebut memberi salam. Mereka sudah di depan pintu, dan aku yang baru hendak membuka langkah seribu memberhentikan langkah tersebut serta merta bila menyedari mereka sudah ternampak aku. Aku menoleh ke belakang untuk melihat samada Manaf Goreng masih di situ atau tidak. Saya terkejut melihat Manaf Goreng yang tadi tidak mampu hatta untuk menyuap bubur nasi ke dalam mulutnya pun hilang entah ke mana.

Fuhhhh.. sepantas Gaban Manaf Goreng boleh hilang. Sampai begitu sekali sikap setia kawan sahabat-sahabat aku. Namun aku masih juga berfikiran positif sambil membuat satu teori kehilangan Manaf Goreng dengan menganggap dia diangkat oleh kawan-kawan yang lain ke atas. Selesai saja sesi dengan jemaah tabligh di bawah dan jemaah tersebut meneruskan pergerakan mereka ke masjid yang berdekatan, satu persatu sahabat-sahabat aku ini turun bersalam sambil mencium tangan dan memeluk aku. Kata mereka, mahu mengambil berkat ahli syurga. Tak guna punya kawan-kawan. Aku ternampak Manaf Goreng turut turun sambil tersengih, lalu bertanya kepadanya siapa yang mengusungnya naik ke atas tadi.

‘Dari jauh ku dah tercium bau minyak atar sidak tek, lepas ya aku terus lari naik ke atas..’ itu jawapannya dalam lenggok Simunjan.

Hebat bukan penangan jemaah tabligh ini. Yang demam dan tak boleh bangun pun boleh jadi sembuh kerana terkejut dengan kehadiran mereka. Aku tahu di luar sana perkara yang serupa juga turut berlaku. Buat apa hendak larikan diri dari mereka sedangkan mereka membawa urusan yang baik untuk kita. Jika dulu, semasa remaja, memang betul setiap kali mereka datang aku akan lari. Tetapi tidak kini kerana aku memahami apa yang yang cuba mereka buat dan tidak semua pemuda mempunyai keazaman mahu melihat manusia-manusia lain beriman kepada Allah berkumpul dan meninggalkan urusan masing-masing untuk waktu-waktu tertentu demi mengajak manusia lain kembali kepada Allah. Walaupun aku bukan ahli kekal kumpulan mereka, namun aku merupakan antara produk yang pernah diasah oleh mereka.

Berbalik kepada cerita di bilik Hostelku tadi. Bermula dari kemasukan salah seorang jemaah tabligh ke dalam bilik itu, aku mula terlibat dengan argumentasi berpanjangan dengan jemaah tabligh ini. Aku merupakan orang yang sangat susah untuk mempercayai sesuatu tanpa usul periksa terlebih dahulu. Ada juga sedikit asas perbandingan agama kerana selalu membaca buku berkenaan topik tersebut di Perpustakaan Marudi dulu sementara menunggu ‘Si Dia’ datang ke Perpustakaan juga.hehehe..

 Aku sudah mula mengenali cara kritikan teks-teks agama lama sebelum itu. Tetapi aku tidak pernah serius di dalam usaha tersebut. Apabila kitab Fadhael Amal sering digunakan di dalam Ta’alim, aku mula mempertikaikan kesahihan segelintir hadis di dalamnya kerana ia terlalu berbunyi Israeliyyat dan malah kadang-kadang di luar lojik akal. Ini kerana aku biasa mendengar dan membacanya di dalam buku-buku sejarah bangsa Yahudi dan kritikan-kritikan teks Kristian dan kitab-kitab hadis sahih.

Tetapi aku bukan ahli di dalam bidang tersebut untuk menolak seratus peratus. Lalu aku mengambil apa yang baik dan mendiamkan apa yang memusykilkan demi kebaikan bersama. Tetapi satu perkara yang aku dapat pelajari dari mereka ini ialah, mereka tidak pernah malu dan kedekut untuk menginfaq diri dan kehidupan mereka untuk Allah.

Di dalam kumpulan yang sentiasa hadir dalam aktiviti Ta’alim di dalam bilik aku, terdapat beberapa lelaki yang sifat dan kelakuan mereka sedikit lembut jika dibandingkan dengan yang lain. Lembut bukan bererti mereka tidak jantan. Jantan mereka melebihi aku sendiri dalam memberanikan diri berdakwah kepada orang lain. Kelembutan sifat mereka di dalam kejantanan yang masih dijaga, memberikan mereka kelebihan di dalam ketegaran mereka dalam mencapai misi dan objektif dakwah. Mereka petah berbicara dan bicara mereka sentiasa penuh dengan semangat.

Jika anda biasa ketemu dengan kumpulan tabligh, pasti ajakan ke masjid menjadi antara agenda utama. Aku yang pada waktu itu kini tinggal di dalam satu bilik dengan salah seorang daripada mereka, mencipta hampir 365 alasan, satu alasan untuk setiap hari dalam setahun untuk mengelak daripada mengikutnya keluar dan menginfaqkan masa di jalan Allah di masjid-masjid berdekatan.

Sebelum cuti Good Friday ( 3 hari cuti termasuk sabtu, Ahad ) di Tahun tersebut, beberapa orang dari jemaah ini mengajak aku dan drummer band aku, Adi Rocker, untuk keluar di jalan Allah sekurang-kurangnya tiga hari di masjid sekitar Miri. Diberitahukan mereka, bahawa selepas sembahyang Jumaaat pada hari Tarikh tersebut, mereka akan datang menjemput aku dan Adi Rocker untuk keluar di jalan Allah. Mengetahui semua itu, aku dan drummer aku membuat plan ABC (Angkut Barang dan Cabut!). Selepas solat Jumaat, aku bergegas pulang dengan sahabat aku untuk melaksanakan plan ABC tadi. Namun aku  yang sedikit lembab dalam mengemas barang, telah ditinggalkan drummer aku di tingkat dua sambil dia menunggu di bawah. Oleh kerana telefon bimbit belum ada waktu itu, kelibat jemaah tabligh yang mahu menjemput aku dan drummer aku tadi, hanya disedari oleh drummer aku saja tanpa boleh dia memberikan isyarat  amaran lagi. Drummer aku mengambil langkah drastik untuk terus ke plan C. Terus cabut dan tinggalkan beg di bawah untuk diambil kemudian nanti. Plan ABC aku sudah bertukar menjadi ABC Dead.

Aku sudah terkepung dan tidak dapat lari ke mana. Mereka menunggu di bawah bersebelahan pintu pagar keluar. Tangga turun Cuma satu. Mahu tak mahu aku terpaksa turun juga dan berjumpa dengan mereka. Aku cuba memberikan pelbagai alasan kepada mereka. Mereka tidak memaksa aku, tetapi aku berasa malu untuk menolak ajakan mereka tanpa alasan kukuh.

Tetapi semua alasan yang diada-adakan itu dipatahkan oleh sahabat kepada room-mate aku dengan satu soalan yang sehingga kini menghantui aku. Lelaki dari jemaah tabligh yang berpewatakan sedikit lemah lembut itu membisukan aku secara total dengan soalannya kembali. Suaranya lembut tetapi dalam nada yang tegas dan serius dia bertanyakan aku soalan berikut:

“Pian, antara percaya dan yakin kepada Allah, kedudukan kitak di cney?”

Dunia seakan-akan sebuah babak di dalam filem Vanilla Sky di mana bandar New York tiba-tiba sunyi sepi tanpa penghuni kecuali Tom Cruise tergamam ditengah-tengahnya. Itulah yang aku rasakan. Bukan merasakan diri kacak seperti Tom Cruise, jauh panggang dari api, tapi merasakan dunia sunyi seperti di dalam babak tersebut. Apa yang dimaksudkan lelaki tersebut? Percaya dan yakin.. apa bezanya?

“Kedua-keduanya, kamik percaya dan yakin kepada Allah,” itu jawapanku dengan harapan boleh mengelakkan diri dari diangkut ‘keluar ke jalan Allah’.

“Jika yakin, ia bermakna Pian turut percaya kepada Allah. Tetapi jika percaya, tidaklah bererti Pian sangat yakin kepada Allah.”

Wah.. semakin keliru aku dibuatnya. Aku yang keliru meminta penjelasan.

Aku sudah lupa namanya, tetapi yang aku ingat dia menjelaskan kepadaku pada ketika itu bahawa percaya kepada kewujudan Tuhan itu hanyalah satu fitrah yang ditanamkan Allah ke dalam setiap jiwa manusia dan makhluk berakal. Fitrah semulajadi manusia itu ialah menginginkan kepada agama. Tiada siapa pun boleh nafikan perkara ini. Semua orang mencari Tuhan. Cuma bezanya seorang Muslim dengan manusia yang memeluk agama lain ialah, mereka sudah pun kembali kepada jalan fitrah Allah. Kepercayaan mereka bahawa Tuhan itu sudah ADA, membawa mereka kepada perakuan Syahadah yang mengiktirafkan tiada Tuhan selain Allah. Tetapi percaya kepada Allah itu tidak sama dengan yakin kepada Allah. Aku yang masih keliru dengan apa yang dinyatakannya memintanya memberikan penjelasan.

“Pernah kitak diat TV pasal silap mata?” apalah punya gila soalan tak ada kena mengena macam ni diajukan pula kepadaku. Lalu aku anggukkan saja. Waktu itu belum ada siri-siri 'street magician' seperti David Blaine dan sebagainya. Satu-satunya figura yang diperkatakan hebat dalam bidang silap mata ini ialah David Copperfield. Maka dialah yang menjadi objek imaginasiku.

“Pernah sik diat pertunjukan sidak  ahli silap mata tok mengarahkan salah seorang pembantunya berdiri berhampiran dinding, lalu diletakkan sebiji epal di atas kepala pembantunya untuk dipanahnya dengan sebuah crossbow?” tanya lelaki berpewatakan lembut itu lagi. Aku masih mengangguk tidak faham ke mana cerita ini akan dibawakan untuk bertemu kaitannya dengan persoalan antara yakin dan percaya.

“Bayangkan Pian merupakan penonton pertunjukan tersebut dan duduk di tempat paling hadapan dan menghadap kepada ahli silap mata ya, lalunya bertanyakan kepada semua penonton.

Siapa di antara kamu yang percaya saya akan dapat memanah buah epal tersebut dengan tepat dan memberi keselamatan kepada pembantu saya ini, sila angkat tangan?, hanya seorang dua sahaja kelihatan mengangkat tangan tetapi yang lain hanya mendiamkan diri. 

Kitak macamni? Angkat tangan atau sik?” tanya lelaki Tabligh itu lagi.

“Pas nya nunjuk  contoh kebolehannya dengan memanah sekali, barulah kamik percaya dan angkat tangan..” itu jawapan aku.

“Ok... Selepas bertanyakan kepada penonton tadi, ahli silap mata tadi pun terus memanah buah epal tersebut dan tepat mengenai buah epal di atas kepala pembantunya tanpa mencederakan pembantunya, semua penonton bertepuk dan bersorak kagum dengan kebolehan ahli silap mata itu. Kemudiannya kembali menghadap penonton dan bertanyakan soalan lagi.

‘Apakah kalian kini percaya?’. Semuanya secara serentak menjawab. Ya!.

Lalu dia bertanyakan lagi, “Kini.... siapa di antara kalian yang PERCAYA dengan kebolehan saya memanah dengan tepat dan memastikan keselamatan pembantu saya itu terjamin, sila angkat tangan..” Hampir keseluruhan dewan tersebut mengangkat tangan mendabik dada menunjukkan mereka benar-benar yakin kepada kebolehan ahli silap mata terbabit.

Kemudian dia berkata, ‘Tapi Saya tidak PERCAYA kamu benar-benar YAKIN dengan saya, kamu semua hanya percayakan janji saya itu, tetapi kamu tidak yakin akan janji saya, kamu semua sebenarnya hipokrit! Para hadirin mula kebingungan.

Melihatkan penonton berkeadaan seperti mula tidak puas hati dengan tuduhan hipokrit itu tadi, maka ahli silap mata itu pun bertanyakan kepada semua penontonnya lagi, 

“Jika kamu semua benar-benar yakin dengan saya, siapa di antara kamu yang benar-benar yakin untuk mengambilalih tempat pembantu saya ini dan meletakkan epal dikepalanya untuk saya panahi.. sila angkat tangan?” Terdiam semua hadirin. Tiada siapa pun berani mengangkat tangan. Semua terdiam kaku.

 Lalu ahli silap mata itu berkata, 
‘Bukankah saya sudah cakapkan, bahawa kamu semua CUMA SEKADAR PERCAYA SAHAJA  akan kemampuan, kebolehan dan janji saya, tetapi tidak seorang pun dari kamu kecuali pembantu saya ini yang BENAR-BENAR YAKIN dengan saya.’.

‘Jadi Pian, di antara percaya dan yakin akan janji Allah, di cney kedudukan kitak?”

Selepas soalan 'maut' tersebut, sedar tak sedar, tiga hari aku tidur di masjid mengikut mereka bertabligh. Penyucian rohani dan melembutkan naluri diri.


Bagaimana pula dengan keadaan kita di dalam setiap pekerjaan kita hari ini. Apakah kita yakin atau hanya sekadar percaya bahawa setiap yang baik itu ada balasannya di sisi Allah di akhirat nanti? Muhasabah kembali setiap amal perbuatan kita.





No comments:

Post a Comment