Kita sebagai hamba, cuma mampu merancang, namun Tuhan jua yang menentukan. Aidiladha tahun ini bertepatan pada cuti Sekolah pertengahan Tahun dan amat tepat sekali untuk aku bawa ahli keluargaku balik berhari raya di kampung halaman.
Namun niat di hati terbatal apabila terkenangkan Jalan raya dari simpang masuk Miri ke Marudi yang semakin teruk keadaannya. Seandainya ada kes kecemasan, akan aku redah jua, tapi untuk Hari Raya Haji sebegini, ada baiknya aku menyambut ketibaannya dengan penuh syukur di Desa nan murni Long Lama ini. Di Sarawak, perayaan Aidiladha tidak disambut dengan meriah seperti Aidilfitri. Maka keinginan untuk balik kampung itu, ada kurang sikit 'fill' nya di banding cuti Hari Raya Aidilfitri.
Masjid Darusalam Long Lama tika senja
Tuhan Maha merancang dan Maha menentukan, kerana keadaan Jalan yang masih teruk secara tidak langsung telah membuatkan aku berpeluang berhari Raya di sini. Pengalaman ini tidak ternilai harganya. Dihadiri tidak kurang dari 200 orang jemaah untuk bersolat sunat Aidiladha seawal jam 6 pagi lagi. Aku dapat rasakan aura kerinduan kampung halaman ada di Masjid ini, apabila saudara seagama dari Indonesia ramai yang memenuhi perkarangan Masjid.
Dengan suara Takbir bergema, ada teman yang aku perhatikan, tertunduk jauh merenung diri, pasti memikirkan Ibu Ayah di seberang sana, ada juga teman yang terukir senyum dibibirnya, tapi dapat dirasakan gelora kerinduan mekar membara di jiwa.
Seperti diri ini, tidak keterlaluan juga aku katakan bahawa Hari raya Haji, punyai makna dalam diri. Bukan rindukan suasana Tadarus jauh lagi bermain bedil buluh, tapi setiap Aidiladha ini, pasti ketupat beserta kuah rendang arwah Ibunda tetap terhidang di meja, menanti anaknya pulang dari solat sunat Aidiladha suatu ketika dahulu. Kenangan itu yang pasti dirindu dan aku yakin kenangan sebegitu yang membuatkan 'teman-teman' itu luruh syahdu di hati.
Selesai Solat, acara korban pun bermula. Syukur alhamdulillah, untuk tahun ini Masjid Darusalam telah menerima sumbangan 3 ekor sapi. Dengan dibantu oleh 'teman-teman' tadi, kami sempat mengorbankan, melapah dan membahagikan daging-daging korban tersebut.
Selepas Solat Zohor, proses pengagihan pun bermula yang diketuai oleh Dato Abu Bakar bin Abdullah selaku Pengerusi Masjid Darusalam ini merangkap Presiden OUNA Sarawak. Syukur alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun ada juga hujan lebat sebelum zohor tadi. Hujan kan Rahmat....Ya Allah, Sejahterakan semua kehidupan insan di desa murni ini.
No comments:
Post a Comment