Translate

Tuesday, 27 September 2016

Piala Ketua Balai Polis Long Lama

Artikel ini adalah sinambungan dari artikel yang lepas, andai belum membaca artikel yang pertama, sila klik disini.

Syukur Alhamdulillah, Kejohanan Sepaktakraw merebut Piala Ketua Balai Polis Long Lama telah selesai dengan penuh jayanya. Ianya sungguh bermakna kerana penganjuran kali ini banyak melibatkan semua golongan lapisan masyarakat setempat di komuniti kecil ini. Untuk merasai kemanisan kejohanan ini, aku sertakan photo setiap Pasukan beserta pandangan peribadi aku.

Pasukan STP Beto 1 
( Hebat dari segi kawalan bola, tapi lemah dari sudut tekong. Pasukan STP Beto ini telah menghantar 3 Pasukan, sayangnya aku tidak sempat mengambil gambar 1 pasukan lagi )

Pasukan Lemeting
( Lemeting bermaksud 'Tinjar' dlm bahasa kenyah. Pasukan berstatus emas kerana dibarisi rata-ratanya yang 
mempunyai nama dalam sukan Sepaktakraw di Komuniti ini )

Pasukan SMK Long Lama 1 
( Dibarisi Oleh pelajar Penan dan Pasukan yang menjuarai Pertandingan ini )

Pasukan SMK Long Lama 2 ( Dibarisi oleh pelajar Penan )

Pasukan uku kun tanyit 
( Campuran bangsa Penan & kayan, mempunyai kekuatan dari bahagian pertahanan dan tekong,
 namun lemah dari segi serangan )

Pasukan SG 2 ( Pasukan Penghibur )

Pasukan Libas junior 
( diantara pasukan 'Projek' aku untuk tahun hadapan, kini dalam proses untuk memantapkan skill )

Pasukan STP Beto 2

Pasukan BV115
  ( Satu-satunya Pasukan dari Long Laput )

Pasukan Batu Gading 
( Mempunyai kekuatan dari segi tekong, tapi lemah dibahagian hadapan, mendapat tempat ke-3 )

Pasukan He' Do' 
( Dari Long Bemang dan menduduki tempat ke-2 kejohanan )

Pasukan Kalok K ( Dari Long Bemang )

Pasukan PDRM
( Di atas kertas, Pasukan yang dijangka ke perlawanan akhir, tapi nasib tidak menyebelahi )

Pasukan Team Akai Dai. 
( Campuran ahli dari bangsa Penan dan Iban, pekerja mekanik di sebuah kedai mosikal di pekan Long Lama )

Pasukan Ngayau FC. 
( Diangotai oleh pekerja yang membuat Jambatan Long Lama )

Pertandingan yang memakan masa selama 2 hari ( Sabtu & Ahad ) namun hari ahad dibuat pada sebelah petang bagi menghormati teman-teman yang beragama Kristen untuk menunaikan kewajipan seawal pagi ahad untuk ke Gereja. Penyertaan sebanyak 16 pasukan dan majoritinya adalah orang ulu ( Penan, kenyah & kayan ). Jelas disini, bahawa sepaktakraw  bukan lagi permainan yang didominasi oleh orang melayu dan Iban khususnya dalam Sarawak. Ianya sudah “ World “ meminjam ayat yang sering disebut oleh bekas juara Akademi Fantasia  musim ke-3 iaitu Mawi.





 Di antara aksi - aksi menarik yang sempat dirakam lensa kamera.


 Perlawanan akhir ( Final ) di antara Pasukan He'Do' dan SMK Long Lama 1



Tiada ayat yang paling bermakna kali ini melainkan sekalung tahniah dan syabas kepada semua yang telah mejayakan kejohanan ini. Dari barisan urusetia dan pemain-pemain. Kemenangan sebenar untuk edisi yang ke-2 ini,  adalah semangat juang setiap pasukan yang sanggup berentap biarpun dikala panas terik mentari. Andai ada rezeki dan umur panjang, akan aku 'update' setiap tahun untuk kejohanan Piala Ketua Polis Balai Long Lama di ruangan kaca ini.



Cikgu Sebastian mewakili Pengurus Pasukan SMK Long Lama 1 untuk menerima Hadiah kejohanan. Ini adalah kali yang ke-2 Pasukan SMK Long Lama memegang Piala pusingan.

 Juara, Naib Juara & Tempat ketiga bergambar kenangan bersama
 Tuan Sarjan Wahid Abdullah selaku Ketua Balai Polis Long Lama

Tahniah kepada semua yang telah merancakkan kejohanan ini

Ini sahaja yang dapat aku bawa pulang

Sebelum mengakhiri nurkilan yang bertema Kejohanan Sepaktakraw ini, aku sudahi dengan Majlis menghargai barisan Urusetia yang rata-ratanya diterajui oleh belia yang berlainan latar  agama, budaya & rupa namun dapat bergabung untuk menjayakan program ini. Memang benar bak kata pepatah di zaman moden ini:

SUKAN MENYATUKAN KITA SEMUA




Daun kelapa dianyam-anyam,
Kuahnya daging si jantan serama,
Kita berlagu & panggang sayap ayam,
Susah dan senang hidup bersama.



Tuesday, 20 September 2016

Lesen memandu cermin hitam

Tiba-tiba aku terasa panas pagi ini, apabila terbaca di laman media massa berkenaan luahan hati Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan yang kecewa disebabkan ketidaksedaran pengguna yang mencecah 1.2 juta tidak memiliki lesen memandu. 



Tidak pelik bagiku apabila respon dari orang ramai mengutuk jawapan dari Tuan Pengarah ini. Aku andaikan Tuan Pengarah ini baru balik dari planet zuhal. Beliau tidak peka dengan situasi semasa ataupun beliau sememangnya tidak punyai lesen memandu ataupun beliau ini anak orang kaya yang wang bukan masalah dalam hidupnya.

Tahukah Tuan Pengarah, sebelum berkuatkuasa GST lagi, harga untuk mengambil lesen ini sungguh mahal. Bahagian mana yang dinilaikan sebagai mahal, aku pun tidak tahu. Bermula kita membuat tempahan di kelas memandu kemudian belajar memandu di jalanraya dan kawasan parking yang mengambil masa dalam 10 hari kemudian menjawab soalan teori dan berakhirnya dengan ujian di jalan sebenar. Tapi dikenakan bayaran sehingga ribuan ringgit.



Walaupun berita ini di tahun lepas, tapi dalam kurungan merah itu, menunjukan 
bekas Ketua Pengarah JPJ mengetahui nilai pengambilan lesen tersebut.



Purata keseluruhan gaji rakyat Malaysia ini dalam lingkungan RM3000 sebulan. Dengan bayaran untuk mendapatkan lesen memandu sebegitu mahal, duit gaji lebih bagus digunakan untuk membeli keperluan untuk hidup. 







Bertukar Ketua Pengarah pun, masih tidak dapat menyelesaikan masalah utama ini, maka tidak hairan apabila masalah cermin gelap tiada berkesudahan. Kalau tidak membenarkan penggunaan tinted gelap melebihi yang sepatutnya di cermin kereta, jangan di hukumkan pengguna tapi buat serbuan di kedai yang menjualnya. Andai JPJ tiada kuasa untuk menyitakannya, buatkan akta tersebut atau beri surat mohon bantuan kepada Agensi yang berkuasa untuk menyitakannya.

Marahkan nyamuk, kelambu emas pula di bakar...tidak lebih malah tidak kurang sebiji seperti Big Bosnya juga. Orang yang bagi maklumat, orang itu pula dikenakan hukuman.


Monday, 19 September 2016

Di puncak bukit, Takbir Aidiladha 1437H bergema..

Kita sebagai hamba, cuma mampu merancang, namun Tuhan jua yang menentukan. Aidiladha tahun ini bertepatan pada cuti Sekolah pertengahan Tahun dan amat tepat sekali untuk aku bawa  ahli keluargaku balik berhari raya di kampung halaman.

Namun niat di hati terbatal apabila terkenangkan Jalan raya dari simpang masuk Miri ke Marudi yang semakin teruk keadaannya. Seandainya ada kes kecemasan, akan aku redah jua, tapi untuk Hari Raya Haji sebegini, ada baiknya aku menyambut ketibaannya dengan penuh syukur di Desa nan murni Long Lama ini. Di Sarawak, perayaan Aidiladha tidak disambut dengan meriah seperti Aidilfitri. Maka keinginan untuk balik kampung itu, ada kurang sikit 'fill' nya di banding cuti Hari Raya Aidilfitri.

Masjid Darusalam Long Lama tika senja


Tuhan Maha merancang dan Maha menentukan, kerana keadaan Jalan yang masih teruk secara tidak langsung telah membuatkan aku berpeluang berhari Raya di sini. Pengalaman ini tidak ternilai harganya. Dihadiri tidak kurang dari 200 orang jemaah untuk bersolat sunat Aidiladha seawal jam 6 pagi lagi. Aku dapat rasakan aura kerinduan kampung halaman ada di Masjid ini, apabila saudara seagama dari Indonesia ramai yang memenuhi perkarangan Masjid.




Dengan suara Takbir bergema, ada teman yang aku perhatikan, tertunduk jauh merenung diri, pasti memikirkan Ibu Ayah di seberang sana, ada juga teman yang terukir senyum dibibirnya, tapi dapat dirasakan gelora kerinduan mekar membara di jiwa.



Seperti diri ini, tidak keterlaluan juga aku katakan bahawa Hari raya Haji, punyai makna dalam diri. Bukan rindukan suasana Tadarus jauh lagi bermain bedil buluh, tapi setiap Aidiladha ini, pasti ketupat beserta kuah rendang arwah Ibunda tetap terhidang di meja, menanti anaknya pulang dari solat sunat Aidiladha suatu ketika dahulu. Kenangan itu yang pasti dirindu dan aku yakin kenangan sebegitu yang membuatkan  'teman-teman' itu luruh syahdu di hati.

Selesai Solat, acara korban pun bermula. Syukur alhamdulillah, untuk tahun ini Masjid Darusalam telah menerima sumbangan 3 ekor sapi. Dengan dibantu oleh 'teman-teman' tadi, kami sempat mengorbankan, melapah dan membahagikan daging-daging korban tersebut.








Selepas Solat Zohor, proses pengagihan pun bermula yang diketuai oleh Dato Abu Bakar bin Abdullah selaku Pengerusi Masjid Darusalam ini merangkap Presiden OUNA Sarawak. Syukur alhamdulillah, semuanya berjalan lancar walaupun ada juga hujan lebat sebelum zohor tadi. Hujan kan Rahmat....Ya Allah, Sejahterakan semua kehidupan insan di desa murni ini.







Sunday, 18 September 2016

Gelanggang Sepaktakraw berwajah baru


Sepanjang bergelumang dengan sukan Sepakraga, kawasan Long Lama adalah tempat yang paling kurang orang bermain sukan ini. Namun di akhir-akhir ini, apabila Pengurusan Sekolah baru yang tidak membenarkan orang luar masuk untuk menggunakan padang bola sekolah, tumpuan budak untuk beriadah dan bersukan telah beralih arah kepada sukan sepakraga ini.

Di sebabkan sukan ini, kian diminati warga remaja di sini, aku juga mula turun kelapangan untuk memberi tip dan tunjuk ajar bagi memantapkan lagi skill dan corak permainan mereka.

Tidak lama lagi, akan berlangsungnya Pertandingan Sepaktakraw Anjuran Balai Polis Long Lama. Untuk melicinkan lagi Pertandingan tersebut, kami telah sepakat untuk bekerjasama bergotong royong membaikpulih gelanggang tersebut dengan kos ditanggung sepenuhnya oleh Balai Polis Long Lama.

Keadaan Gelanggang sebelum dibaikpulih.


Gelanggang di hadapan Balai Polis Long Lama ini sudah cukup usang usianya. Sudah boleh di kategorikan dalam golongan Legenda.



Proses mencuci bermula


                                              Menyimen dan menampal kawasan yang rosak teruk serta berlubang




Memotong playwood untuk membuat garisan lurus. Boleh juga menggunakan slowtape untuk membuat garisan, tapi memerlukan bajet yang besar. 


Proses mengecat bermula



Siap sepenuhnya...
Kejayaan membaikpulih gelanggang ini bukan disebabkan kekuatan wang yang banyak, namun tidak juga aku nafikan keperluan wang tersebut. Kejayaan sebenarnya, adalah semangat kerjasama dan setiakawan di antara golongan remaja dalam photo tersebut. "Semangat" itu pernah memenuhi segenap pembuluh saluran darahku dulu dan hasilnya hingga kini aku masih aktif dengan sukan ini biarpun tidak setangkas dahulu.