Translate

Wednesday, 12 July 2017

London Lagi.

Apabila CM Abg Joe akan menghantar sepasukan Peguam ke London untuk mencari dan meneliti Rujukan Perjanjian Malaysia tahun 1963, perkara ini amat aku setujui. Tindakan ini sepatutnya dilakukan lebih awal lagi. Bukan bermaksud ingin membelakangi kerajaan Persekutuan, tapi tindakan ini sebenarnya untuk menentukan hak sebenar ibu pertiwi agar tidak diperkotak katikkan lagi seperti sebelum ini. (klik di sini)

Cuma aku sedikit terkilan, sepatutnya CM tidak  perlu mengumumkan di media masa tentang hasrat tersebut.

Biarkan perkara ini disembunyi dari pihak luar dan ianya boleh menjadi sebagai senjata yang ‘makan tuan’ untuk mematah hujah lawan andai ada lagi spesis ‘samseng jagung’ masuk gelanggang dan mencabar kedaulatan, senjata ini pula dipulangkan sebagai ‘paku buah keras’ yang tidak dapat ditepis kerana mereka tidak menjangka pengetahuan kita yang dalam tentang peraturan Perjanjian Malaysia 1963 serta boleh menjadi kekuatan pertahanan dari segi perundangan hingga kebal sampai ke tahap yang tidak boleh dijentik sedikitpun, berpandu kepada Perjanjian Malaysia tahun 1963.

Tapi apakan daya, perkara ini telah diumumkan, maka pelbagai reaksi dan pandangan telah dikeluarkan dari pihak sebelah. Kita pula akan banyak menghabiskan masa untuk  menjawab dan menyanggah segala tohmahan ini. Tapi yang seronoknya, apabila banyak pendapat dari sudut pandangan yang berbeza, pasti netizen yang waras akan  berfikir dan mempertimbangkan kelogikkan pandangan tersebut. Bagi netizen yang cuma tahu menyumpah di ruang komen FB, kebiasaannya mereka ini tidak nampak halatuju buruk dan baik ‘teguran’ dari pihak sebelah. Apa yang mereka tahu, cuma sekadar menulis membabibuta dan ‘menguras’ dengan bahasa kotor serta kasar.


Banyak-banyak reaksi pandangan yang diluahkan, aku tertarik dari pandangan dua orang tokoh dalam arena politik tanahair ini. Pandangan pertama dari Salahudin Ayub Timbalan Presiden AMANAH. Bagi yang rajin membaca teori-teori konspirasi dunia, kegusaran Salahudin ini ada benarnya juga. Malaysia adalah Negara Islam dalam nusantara ini yang masih stabil dalam sudut politiknya. (Politik Brunei juga stabil, tapi terpaksa dikeluarkan dari senarai, kerana kuasa politiknya kecil sama kecil jajahan negaranya). Banyak Negara islam dunia menghormati dan mendengar suara-suara dari Malaysia ini disebabkan mereka amat mengagumi Malaysia kerana kestabilan ekonomi, politik dan Negara yang aman biarpun pelbagai bilangan kaum, budaya dan agama didalamnya. Disebabkan kekaguman ini, maka majoriti Negara Islam dunia tidak akan memekak telinga andai Seruan dari Negara Malaysia bergema. Penghargaan dan Kepercayaan yang tinggi ini, membuatkan Malaysia dilebihkan dari yang lain.

Kuasa-kuasa besar dunia, seperti Amerika, Britain, China dan Rusia pasti ingin mengenggam ‘jantung hati’ kekuatan  suara Islam ini. Dan satu cara untuk memilikinya adalah, mengawal ‘kuasa politik’nya. Andai terpecah dan mempunyai blok-blok sendiri politik dalam sesebuah Negara tersebut, maka semakin mudah untuk membakar jerami kering dan ditusuk jarum halus ke dalamnya. Itu yang dimaksudkan oleh Timbalan presiden AMANAH tersebut. Walaupun beliau bukan dari blok kerajaan, malah bukan anak jati Sarawak, tapi aku yakin dia pun tidak mahu Malaysia ini jatuh ditangan orang luar.


Pandangan kedua pula dari Dato Sri Anwar Ibrahim, pandangannya lebih kepada isu dalaman dan ianya saling berkait dengan pandangan pertama tadi. Kalau difikirkan, kenapa kerajaan Sarawak hendak membuang duit beratus ribu menghantar sepasukan peguam ke London, sedangkan Negara Malaysia juga mempunyai Jabatan Peguam Negara sendiri. Jelas di sana kepimpinan negeri sudah mula hilang keyakinan dengan sistem perundangan Negara dan sanggup berhabis belanja untuk mendapatkan sesuatu rujukan yang boleh menjaminkan keselamatan diri sendiri. Di situ ketaranya jurang ketidakpercayaan antara satu sama lain. Mungkin untuk kali ini, sikap berhati-hati dengan dasar Perundangan Negara dan tidak mustahil, suatu waktu nanti, sikap berhati-hati ini akan merebak ke dasar keselamatan Negara, dasar pendidikan Negara atau berlari termengah-mengah membuka almari usang untuk meneliti Surat rujukan perjanjian persempadanan antara negeri. Jangan pula kita lupa, suatu ketika dulu, Mantan Ketua Menteri yang disayangi rakyat, Allahyarham Tan Sri Adenan Hj Satem pernah menekankan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi ke-2 di Sarawak. Sedangkan sistem pendidikan Negara pula berlainan caranya.


Untuk lebih jelas intipati tulisan ini, aku sebenarnya mahu memberitahu bahawa ada 2 perkara asas tulisan ini.

A) Bersetuju MENGHANTAR sepasukan peguam untuk meneliti Perjanjian tersebut.

B) Tetapi tidak bersetuju MENGHEBOHKAN perkara ini di media masa.

Tindakan memberitahu di media masa untuk menghantar sepasukan Peguam ke London, ibarat perumpamaan seorang penjenayah terlepas dari tahanan Polis. Dengan penuh yakinnya, Ketua Polis Balai mengumumkan akan menangkap penjenayah tersebut dengan cara membuat serbuan dan sekatan dalam masa terdekat secara besar-besaran di sekian jalan dan  sekian lokasi. Bukan setakat penjenayah tersebut tahu tempat yang tidak selamat dan jalan yang sudah di’roadblock’ untuk memboloskan diri malah pemandu Lori hantu, Mat Rempit, bohsia gian, budak ponteng sekolah malah pengedar dadah, pil kuda, rokok seludup, kaki ketum dan penjual organ manusia pun tidak akan mengguna laluan yang dinyatakan tersebut.  Aku harap perumpamaan ini akan dapat membuka matahati kita untuk berfikir lebih jauh dengan membuat persediaan dalam menepis segala serangan yang bakal menyusul nanti.


Thursday, 6 July 2017

Trend bermusim

Aku tidak mempunyai masalah pun dengan apa jenis pakaian yang hendak dipakai. Tapi pastikan ianya bertepatan dengan suasana dan tema yang diinginkan. Rungutan ini hadir apabila anak bujangku bersungguh hendak membeli baju Kurta dan jubah untuk Hari Raya ini. Pada mulanya aku membisu apabila bisikan keinginannya telah disuarakan, tapi semakin dekat Hari Lebaran semakin menjadi pula desakannya. 

Aku tahu, dia ingin membeli baju jenis tersebut disebabkan mengikut peredaran trend terkini. Ramai artis dan celebriti terkenal mengayakan baju yang dijenamakan atas NAMA mereka, tapi mengikut potongan Kurta dan jubah Sado.  

Gambar dari intenet
‘Nanti, kalau ada lebih duit Raya, beli la, tapi sekarang kita WAJIB membeli baju melayu kerana kita ingin menyambut Hari Raya. Memang Hari Raya disambut di seluruh dunia oleh umat Islam, tapi uniknya Perayaan Hari Raya di Malaysia adalah kerana berbagai jenis warna, corak, jahitan dan potongan yang masih mengekalkan baju Melayu berserta dengan sabok (sampin) sekali. Sebaiknya, jangan diubah tradisi tersebut. Kurta bukan budaya kita Melayu, ianya baju tradisional dari Pakistan dan Afganistan sebegitu juga Jubah, ianya dari tanah Arab. Tidak mempunyai masalah untuk mengenakannya, tapi biar bertepatan dengan suasana. Kita akan menyambut Hari Raya, jadi baju melayu cekak musang atau teluk belangga sepatutnya kita utamakan’. Jawabku dengan selamba.

Gambar dari internet


Aku tahu dia mengalah kerana kematian hujah dan aku yakin dalil yang aku keluarkan tadi sudah cukup memadai untuknya berfikir.

Ibarat kita hendak ke Majlis Harijadi anak saudara, cukup sekadar memakai t-shirt berkolar dan seluar jeans atau wanitanya berbaju butang dengan seluar kasual dipadan tudung warna sedondon dengan baju. Tidak juga menjadi kesalahan memakai Baju kot beserta tali leher siap dengan membawa beg James Bond atau wanitanya pula berjubah hitam dengan purdahnya menutupi muka. Sungguh tidak salah..Tapi adakah ianya bertepatan dengan tema majlis/perayaan????

Atau hendak mengutip buah durian di dusun, tidak menjadi kesalahan andai sekadar bertuala dengan membawa baldi kecil didalamnya seketul sabun. Namun ianya sungguh tidak menepati kesesuaian keadaan sesuatu aktiviti ( mengutip buah durian ). 

Zaman bujang aku dulu, tika hari Raya menjelma, ada sejenis baju melayu yang disulam dihujung lengan, leher dan koceknya amat digemari oleh semua. Sungguh unik dan cantik. Namun trend tersebut tidak lama, kerana kos yang mahal untuk membuat sulaman itu dua kali ganda dari harga dan upah menjahit baju tersebut. Sebegitu juga dengan baju Kurta atau jubah untuk beraya nanti. Ianya cuma mengikut musim dan apabila berakhirnya musim tersebut dipenghujungnya berlipat rapi terkurung di dalam almari usang juga. 

Wednesday, 5 July 2017

Syawal sudah berlalu.

Syawal baru masuk hari ke 9, lagu raya masih berkumandang di corong radio namun aku sudah ‘bertapa’ di pejabat meneruskan sisa-sisa hidupku yang statik ini. 

Tiada perkongsian cerita Hari Raya tahun ini, kerana setiap tahun perkara yang sama berlaku. Cuma yang tular sepanjang tempoh minggu terakhir Ramadhan dan di awal Syawal kecoh di laman FB Marudi Community berkenaan jalanraya dari Simpang Miri ke Marudi yang memangnya semakin tenat.

Aku nampak ada usaha dari Y.B Adun untuk menyegerakan pembinaan jalan tersebut, tapi aku rasa beliau perlu juga selalu ‘menyalak’ dengan kontraktor yang telah dilantik membaikpulih jalan tersebut. Lagipun cuma Y.B Adun tersebut sahaja harapan yang mewakili suara majoriti Pengundi di Marudi ini. Ada juga netizen di laman FB Marudi Community mempersoalkan KUASA yang ada pada ketua kampung, Penghulu, Konselor dan orang besar lain di Marudi kerana tidak pernah pun memberi satu kenyataan berkenaan jalan tersebut. Aku tersenyum sendiri membacanya, maklum saja, apabila hati semakin marah dan geram, semua terbuku di hati diluah tanpa berfikir buruk baik implikasinya. Sepatutnya disertakan juga nama Y.B Parlimen Baram, sebab hingga ke saat ini, tiada satupun kenyataan daripada beliau berkenaan Jalanraya tersebut. Langsung tiada usaha untuk memperbetulkan keadaan jauh lagi hendak terbabit sama dalam masalah yang membelenggu masyarakat di Marudi khususnya. Andai Barisan Pembangkang bijak, isu jalanraya Marudi boleh menjadi ‘silent weapon’ untuk Pemilihan ahli Parlimen yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Gambar dari laman FB

Kita semakin lesu dengan cerita Politik murahan sebegini, semakin diikuti, semakin jelas kulit topeng yang mereka gunakan. Terbaru ini, Y.B Adun mempersoalkan ketirisan wang sewaktu mantan Y.B Adun yang dahulu memegang jawatan. Aku geleng kepala melihat peperangan minda ini, sememangnya tidak membawa kita ke aras lebih tinggi lagi kalau terus berpusing dengan perkara yang memburukkan keadaan sebegini. 

Ada pula yang mengatakan bahawa, wang berjuta untuk membuat jalan tersebut sebenarnya belum diberi kepada kontraktor bagi melaksanakan projek tersebut. Pada mulanya, aku terperdaya juga dengan alasan itu, tapi aku tersedar apabila suatu petang aku duduk lepak dan berbual dengan seorang brader yang berniaga di pasar malam menjual baju jersi sukan.

Dengan matanya liar melihat pelanggan memilih baju sambil dilayan oleh pembantunya, asap rokok Gudang Garam pula disedut dalam, dia sempat memberi ceramah politik kepadaku. Duduk di hadapan meja lipat, merangkap kaunternya, aku disediakan kerusi apabila kami mula rancak berbual. Isu putar alam, isu langit dan bumi, syurga serta neraka malah berbalah pembezaan jenama gitar ‘karen’ yang di gunakan Slash (Gun & Roses) sewaktu konsert di German. Banyak-banyak isu, ada satu yang amat menarik sekali untuk aku genggam dan dijadikan sebagai panduan hidup.

Katanya, kerajaan kita amat prihatin dan banyak memberi bantuan kepada peniaga sepertinya. Disediakan tapak berniaga, disediakan pinjaman untuk memulakan peniagaan malah diberi kursus percuma siap dengan sijil sekali. Bila disebut SIJIL, dia diam seketika. Aku menunggu lontaran suaranya lagi, namun haruman Gudang Garam  sedikit sebanyak menganggu juga konsentrasi dan iman bekas perokok ini.

Katanya, Sijil boleh menjadi amat bernilai andai digunakan dengan cara yang betul walaupun sekadar Sijil Penyertaan kursus/bengkel atau pertandingan. Sebelum menceburi bidang niaga ini, usia mudanya banyak dihabiskan dengan mengikuti Pertandingan Pesta Lumba Perahu di setiap Daerah dalam Sarawak ini. Banyak juga kejayaan yang telah ditempa malah nama pasukannya juga amat digeruni ketika itu. Seperti sedia maklum, untuk mengerakkan jentera yang besar, kita memerlukan kos yang besar juga. Pernah suatu ketika, kerana tersilap anggaran bajet untuk kos pengangkutan, dia bersama 2 orang lagi senior dalam Pasukannya telah menebal muka memohon bantuan peruntukan dan berjumpa dengan Manager dari company besar. Dengan kertaskerja yang lengkap, piala dan gambar aksi berlumba serta berkeping Sijil penyertaan pertandingan sahaja untuk dibentangkan, akhirnya membuatkan Manager terus percaya akan kesungguhan mereka dan memberi sedikit suntikan dana kepada Pasukan mereka.

Sebegitu juga dengan Kontraktor yang dilantik bagi membaikpulih Jalanraya Miri-Marudi, andai masalah bajet tidak cukup atau tidak ada, pihak kontraktor tersebut boleh meminjam di Bank tempatan. Dengan kertaskerja dan surat dari kerajaan serta geran pelantikan sebagai kontraktor jalan tersebut, aku rasa sudah cukup kuat untuk Bank memberi pinjaman. Bagi aku, terlalu pelahan kerja penyelengaraan jalan Marudi BUKAN disebabkan tiada wang tapi masalah dalaman kontraktor tersebut. Titik!!!!!!

Syukur juga kerana aku tidak melalui jalan tersebut. Atas usaha dan keinginan untuk mencuba, akhirnya aku telah menemui jalan Baru ke Marudi. Walaupun jauh sikit, tapi ianya berbaloi, jalannya rata dan tidak juga berbukit. Tetapi terpaksa melalui ‘6 Gates’ yang di jaga rapi oleh Pengawal sempadan Ladang Sawit. Sebagai penguna yang amat prihatin dengan masalah ini, aku cuma sekadar mampu berdoa, agar pembaikpulihan jalanraya tersebut mengikut jadual dan standard yang telah ditetapkan.



Sunday, 11 June 2017

Samseng la konon!!!


Melabelkan bekas menteri cabinet, Tan Sri Zainuddin Maidin sebagai ‘orang bodoh’ kerana telah memberi cadangan agar beliau meminta kebenaran terlebih dahulu dengan jawatankuasa tertinggi UMNO untuk berdebat dengan Tun Mahadir.

Beliau juga pernah melabelkan sebagai ‘bodoh dan tiada guna’ sewaktu mengulas langkah Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang mengemukakan notis kepada speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk membentangkan Rang Undang Undang Persendirian bagi memberi laluan kepada pelaksanaan hudud di Kelantan.

Tengku Mahkota Johor pun pernah disemburnya dengan kata-kata yang kurang enak, dalam kes Tun Mahadir sehingga TMJ meluahkan dengan peringatan ayat-ayat keramat:

“Anda seorang menteri, bukannya tuhan dari syurga yang tidak boleh ditegur”



Bagi situasi di Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah cuma mempertahankan HAK HAK Sarawak yang termaktub di Perjanjian MA63. Apa yang aku nampak, beliau cuma minta agar diperhalusikan cara dan pembahagian perolehan cukai Pelancongan tersebut. Kalau dibandingkan dengan Negeri jiran (Sabah), pembangunan perlancongan Negeri Sarawak jauh ketinggalan. Andai dikutip cukai ini, secara tidak langsung ianya pasti membantutkan aliran kemasukkan pelancong untuk datang berkunjung ke Sarawak. Lagipun Datuk Abdul Karim kini menjawat Potfolio Menteri Pelancongan, kesenian, kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak. Tidak timbul pun isu ‘usia baru setahun jagung’ sebagai Pak Menteri dalam perkara ini. Perlu ada sistem pembahagian yang adil untuk kerajaan pusat dan Negeri. Bayangkan kalau dilaksanakan ianya pasti memperoleh sekitar RM625 juta setahun.

Kebiadapan Nazri Aziz sehingga menuduh Datuk Abdul Karim sebagai samseng menunjukkan sikap ketidakmatangan beliau, andai aku sebagai pengundi tempat beliau berdiri sebagai Y.B, aku pasti tidak memangkah kertas undi di Parti yang didudukinya. Perangai ibarat kebudak-budakkan dalam menangani situasi yang memerlukan perbincangan yang teliti. Sepatutnya sebagai Pak Menteri, mereka menunjukkan sikap keterbukaan dalam menerima pendapat dan teguran. Memang benar kata salah seorang sahabatku dalam mengulas isu Pak Imam di Masjid yang tidak dapat menerima pendapat orang lain.

‘Untuk menjadi ‘orang besar’ kita perlu mempunyai ‘jiwa yang besar’, mesti tabah dalam puji dan cemuhan orang. Kerna jiwa yang besar pasti dapat menerima setiap cadangan teguran dengan redha dan menilai dengan hatibudi yang waras.’….

Mempunyai ‘jiwa yang besar’ adalah kunci kestabilan sebagai seorang pemimpin.

Terserlah sungguh kedunguan Nazri aziz ini, teringat kisah  beliau mencabar Tun Mahadir untuk berdebat. Apabila Tun Mahadir bersetuju dan Tun sendiri turun ke Padang renggas Perak kawasan Nazri Aziz, namun amat dikesali apabila tak ‘berkokok’ pun Nazri Aziz di kawasan sendiri. Kalau dalam bahasa kasar Sarawak,..Telornya tengelop ke dalam.


Wednesday, 7 June 2017

Semoga Arwah Bill Kayong tenang disana.

Sesuatu yang menarik perhatianku tika Ramadhan di tahun 2017 ini adalah 3 orang dibebaskan dalam kes Pembunuhan Bill Kayong@Setiausaha PKR yang ditembak mati di Miri dengan alasan kekurangan bukti yang dapat dikaitkan dengan mereka bertiga cuma seorang saja diminta membela diri.



Seperti biasa, rungutan netizen dalam laman sesawang memang ‘panas’. Kalau kita telusuri butiran kes ini, kita dapati bahawa tiada keperluan pun tertuduh pertama iaitu Mohammad Fitri Fauzi membunuh Bill Kayong melainkan atas pemintaan dari tiga orang yang dilepaskan tersebut  dengan bayaran yang lumayan kepada Mohammad Fitri untuk membunuh kerana cuma dia sahaja yang mampu melakukannya.


Aku teringat kes kematian Altantuya yang mempunyai hubungan dengan Abdul Razak Baginda yang amat rapat dengan PM Najib waktu itu. Tetapi yang disabitkan kesalahan dan dijatuhi hukuman mati adalah Cif inspector Azilah dan koperal Sirul Azhar. Kalau difikirkan, apa faedahnya untuk mereka berdua mem-bom-kan model cantik dari Mongolia tersebut melainkan ada perintah tertinggi yang memberi arahan dan pastinya ada imbuhan yang lebih besar menanti mereka berdua. Semakin terkait PM Najib dengan kes kematian ini  kerana Bom jenis C4 yang digunakan untuk meletupkan Altantuya. Bom tersebut cuma ada dalam Gedung simpanan pihak ketenteraan sahaja dan Najib pula selaku Menteri Pertahanan ketika itu.

Tiada alasan yang konkrit dan tujuan MOTIF pembunuh ( dalam kedua kes diatas ) untuk membunuh melainkan arahan dari pihak atasan yang mengawal mereka. 

Berbalik kepada kes pembunuhan Bill Kayong, mungkin ada juga teori lain yang menarik untuk dituliskan disini berkenaan dibebasnya ke-tiga tertuduh  tersebut. Kita tidak boleh memandang rendah dengan keupayaan pihak Polis ini. Aku yakin dibebaskan ke-tiga tertuduh tersebut adalah untuk menangkap tertuduh yang ke-lima yang masih bebas dan belum menyerah diri. Ke-tiga tertuduh yang dibebaskan pasti lambat laun akan menghubungi tertuduh yang ke-lima dan apabila Polis sudah sedia maklum lokasi kedudukan persembunyiannya, dia pasti akan ditangkap maka fail kes Pembunuhan Bill Kayong akan dibuka sekali lagi. Ianya seperti mengail ikan puyu, apabila mendapat ikan puyu yang sedang besarnya, ikan puyu tersebut akan dilepas ke dalam sungai lagi tapi ekornya telah dikaitkan dengan mata kail yang tajam. Tujuannya untuk mengawal pergerakan ikan puyu namun tidak mematikan ikan puyu tersebut. Ikan Puyu dijadikan umpan, dengan pergerakkannya yang terbatas ianya untuk memudahkan ikan yang lebih besar lagi seperti ikan belida atau tapah mengejar serta menelannya dan mata kail yang dikait di ekor puyu tadi secara tidak langsung akan melekat di bibir mulut ikan besar yang menelan puyu tadi.

Aku yakin konsep ‘memancing dan mengumpan’ ini yang digunakan Pihak Polis untuk meyelesaikan kes kematian Bill Kayong ini. Semoga arwah tenang di sana. Bill Kayong @ Mohd Asbi Abdullah. 

Wednesday, 24 May 2017

Bergawai kitai, di Telang Usan

Perayaan Pra Gawai yang julang-julang kalinya berskala besar dibuat di Pekan Long Lama Daerah Telang Usan. Dihadiri oleh Y.B Dato Dr. Penguang Manggil, Y.B Anyie Ngau, Y.B Dennis Ngau dan mencecah seribu pengunjung membanjiri Dewan SJK(c) Kee Tee, Long Lama. 

Dengan keadaan cuaca malam yang menyenangkan, kedatangan pengunjung sungguh memberangsangkan lagipun operasi Ferry Long Lama dipanjangkan sehingga jam 12.30 pagi tidak seperti selalu yang berakhir jam 9.00 malam sahaja.

Majlis Pembuka kata, persembahan dari Pelajar SMK Long Lama



Majlis bermula dengan upacara 'Miring' di atas Astaka dewan sekolah. Aku sempat naik ke Astaka dan mengambil beberapa 'Pose' yang menarik sewaktu upacara sedang berlangsung.


Banyak juga persembahan dari wakil dan persatuan kampung-kampung yang berdekatan Long Lama ini. Namun sayangnya aku tidak sempat mengambil gambar, kerana Faiz ( Anakku yang paling kecil) sudah tidur di pangkuan. Pergerakkanku terbantut dah....


Sambil menikmati jamuan dan persembahan 'Free' ada diselitkan juga Cabutan Tiket bertuah dengan jumlah hamper/hadiah sebanyak 60 biji dan 'Grandprice'nya adalah Peti sejuk 2 pintu.


Pujian harus di beri kepada Tuan D.O En. Baru Tai yang menyelaras Program ini. Ianya berjalan dengan lancar sekali.



( Kurang jelas, kiriman melalui Whatsapp, Photo Ehsan dari En Donny)

Sebelum beredar, upacara memotong Ranyai yang di ketuai oleh Penghulu Nyadang Ak. Rekang dari Sebubuk bersama dengan ketiga Y.B tersebut. Majlis berakhir selewat jam 12 pagi.



Tuesday, 25 April 2017

Jodohku dengan Hadrah Kampung Narum

Memang benar kata pujangga dari sebelah datuk kepada ayah angkatku...

‘Sometimes having coffee with yourbest friends, is the all of therapy that you need.’


Sesi ber-photo selepas Mesyuarat Agong Kump. Hadrah kpg sambil memanas “grill” panggang.

-------------------------------------------------------------------

Di atas adalah beberapa kiasan kata yang aku kongsikan di Laman FB aku sendiri, sengaja aku tidak ‘mengepilkan’ bersama nurkilan di bawah ini, kerana 'jodoh' aku dengan hadrah ini bukan untuk tatapan umum di FB. Photo di bawah ini pula suasana sekitar Mesyuarat Agung Persatuan Hadrah yang baru diadakan tahun ini. Selepas bermesyuarat ada disediakan jamuan ringan dengan tong Panggang berisi sayap ayam sentiasa panas yang di jaga oleh En. Dollah Bin Salleh dibantu En. Sulaiman Bin Mahar.

Sekadar menpengerusikan Majlis. Di sebelah aku adalah Ayahanda En. Saili Bin Rejab salah seorang Mahaguru hadrah





Aku telah berkecimpung dengan acara kesenian kuno ini seawal usiaku 14 tahun. Dengan ilmu yang sedikit itu, ianya telah membawa aku menjelajah hampir ke serata ceruk lorong di setiap kampung dalam Daerah Marudi ini termasuk Benawa, Long Lama, lubuk Tumor, Miri malah Brunei Darusalam. Bergantung dengan tempahan Hadrah Majlis perkahwinan dan acara sambutan V.I.P.

Photo ehsan dari Saudara Umar Bin Abu ( Kiri sekali ). Katanya Program SEMINAR SABERKAS tahun 1990

Sewaktu menyambut Ketua Menteri Sarawak Dato Taib Mahmud tahun 1995 di Long Lama

Melalui berbagai peringkat latihan dan juga menuntut ilmu dari beberapa Mahaguru. Namun 2 orang Mahaguru yang memberi bekas yang mendalam adalah Pn.Rosnah Bt Latip ( adik ibuku sendiri) mengajarku tanpa tar (kompang) cuma dengan memukul jari di lantai untuk mencari tempo lagu dan Mahaguru Ayahanda Hamid B. Rejab.



Lawatan muhibah sambil memberi sumbangan ikhlas untuk ayahanda Hamid bin Rejab di kediamannya dan Persatuan hadrah diwakili oleh En. Osman ( Baju Merah )

Masih terbayang bagaimana beliau memarahi kami dengan bebelan panjang  apabila kami tersalah cara ‘menukuk tar’ dan kami balas dengan sering memperlekehkan 'low note' suaranya apabila berlagu. Walaupun sering disindir dan dimarahi olehnya, namun kami tetap akan ke kelas Hadrah diselianya kerana usikkan manja itu sungguh mengelikan hati kami yang baru angkat bujang tika itu. Aku amat puji akan kejujuran serta ketabahan beliau untuk mendidik kami biarpun adakalanya tindakan jahil kami dulu menyakiti hati beliau. Mereka ini yang telah melatihku dengan irama lagu arabnya, tikah paluan gendangnya dan malah menggajarku mengawal ‘mood’ suasana sesuai dengan Majlis. Setiap tikah paluan kompang mengeluarkan melodi yang berlainan dan juga mempunyai nama-namanya sendiri:

- Tukuk satu
- Tukuk dua
- Pecah 3 dan
- Pecah 4

Walaupun begitu, setiap persatuan hadrah, punyai nama tersendiri untuk setiap jenis bunyi paluan Tar /kompang-nya juga.

Setiap lagu yang dinyanyikan mempunyai temanya. Lagu pembuka Majlis semestinya dimulakan dengan Lagu Bismillah, tika pengantin pula di pelamin pastinya lagu Ya Allah Redha. Namun begitu ada juga beberapa lagu yang sering di bawa ketika Majlis sedang berlangsung seperti:

1.Ya Rabbi Salim
2.Salla Tullah
3. Kalbi Bikum
4. Sultan
5. Ya Allah Erhamna
6. Selawat tu Rabbi
7.Sallak kia Rahman
8. Ya Man Kahada

Berlainan juga dengan lagu sewaktu menyambut orang besar atau V.I.P. selalunya majlis sebegini cuma sekejap iaitu sewaktu keluarnya V.I.P dari perut kapal terbang atau kereta yang digunakan tapi hasilnya cukup lumayan dan majlis sambutan sebegini sering di Lapangan terbang dan Dewan Suarah.

Setiap lagu punyai melodi yang berlainan dan alhamdulillah aku masih mengingatinya cuma beberapa rangkap liriknya aku telah lupa kerana aku kini jarang bersama mendendangkannya, maklum la, jarang benar sudah aku ke Marudi dan jarang pula beraksi tika ada tempahan hadrah di Majlis perkahwinan.

aksi-aksi yang menyeronokkan

Lokasi: Kampung Zain Galau Padang Kerbau Marudi


Walaupun aku kini tidak aktif, namun aku tetap berada dalam keadaan mood stanby. Andai ada kelapangan, aku akan cuba untuk bergabung dengan angkatan muda kumpulan Hadrah ini. Aku amat mencintai kesenian kuno ini, ianya sebagai jati diri etnik Narum ini hasil dari pertembungan budaya dengan melayu Sarawak.

V.I.P mood

Ahli Hadrah sendiri berkahwin.


Setelah diputuskan dalam mesyuarat, group whattsap akan diwujudkan sesama ahli. Walaupun aku tidak dapat menghadiri sesuatu tempahan Majlis, sekurang-kurangnya setiap peristiwa akan dicatit dan setiap photo-photo akan disimpan sebagai warisan zaman.

Aku sedar, dengan adanya sedikit ilmu tentang kesenian kuno ini, ianya tidak mampu membawa nama aku sebaris hebat Mozart, Beethoven atau Tan Sri P.Ramlee. Namun apa yang penting, aku tidak mahu terjadi seperti kata-kata orang cerdik pandai dahulu.

“Dari peristiwa menjadi sejarah, dari sejarah menjadi Legenda, dari Legenda menjadi mitos dan andainya tiada photo dan tulisan serta tidak dikaji dengan betul oleh anak cucu cicit kita nanti, berkemungkinan besar peristiwa benar itu akan bertukar menjadi sekadar cerita dongengan”. Semoga kesenian kuno ini tidak hilang di telan zaman........