Translate

Monday, 4 April 2022

Betong, Depak, Spoah, Sarikei, Bintagor, Sibu & Bintulu

 Setelah sekian lamanya, dari tahun 2019 hingga 2022, alhamdulillah adikku selamat jua diijabkabulkan dengan tunangnya pada 26 March 2022 (sabtu) di Kampung Medang Spaoh Sarawak. Dekat dengan bandar Betong. Kelewatan ini berpunca dari Covid-19. Disebabkan adikku bekerja di Negara Brunei Darusalam, pintu sempadan negara itu ditutup sepanjang 2 tahun tersebut. Syukur di akhir-akhir ini setelah adanya vaksin, kelonggaran perjalanan untuk balik diberi kepada rakyat Malaysia yang bekerja di sana.

 

Majlis Pertunangan di Kampung Medang tahun 2019




Hiasan hantaran aku serahkan segalanya dengan orang rumah. Barang Hantaran telah dibeli awal oleh adikku


Bergerak dari Miri pada pukul 10 pagi, singgah sekejap di Bintulu untuk solat dan sampai Sibu pada pukul 5.30 petang. Aku suruh isteri mencari hotel bajet sahaja kerana besok akan bergerak awal ke Bandar Betong. Tempah 2 bilik kerana ada Adikku dan Makcikku ikut dengan ‘trip’ kali ini. Keesokkan harinya sebelum meneruskan perjalanan, kami sempat bersarapan di Tamu Besar Sibu. Membeli sedikit bekalan untuk alas perut sepanjang perjalanan ke Betong.

Sarapan di Market besar Sibu

Alang-alang sudah berjalan, aku sempat membawa mereka singgah di Bandar Sarikei dan membeli ikan masin kering di Ruangniaga Tamunya yang terletak di hadapan sungai. Bandar Sarikei memang besar. Teringin juga hendak menelefon seorang kenalan tetapi oleh kerana cuma singgah sekejap dalam 30 minit begitu, ada baiknya aku batalkan saja niat tersebut. Jauh lagi destinasi yang hendak dituju. Sibu ke Sarikei mengambil masa dalam 45 minit perjalanan dan di antara bandar tersebut ada pekan kecil yang disebut Bintagor. Sewaktu balik kami singgah di pekan ini.

Di Sarikei

Mencari ikan masin di Tamu Sarikei

Bintagor


Sepanjang perjalanan hendak ke Betong, sepupuku menelefon agar singgah dulu ke rumahnya di kampung Bungin Spaoh. Sebenarnya Sibu ke Betong tidak jauh disebabkan jalan Pan Borneo kini semakin bagus. Tetapi untuk ke Kampung Bungin, kami terpaksa melalui pasar Debak. Bila sudah sampai tempat orang, wajib ambil gambar sebagai kenangan. Pasar Depak kecil sahaja, waktu itu kami sampai dalam jam 1 petang. Tak ramai orang.

 

Pekan Depak

Sepupuku telah menunggu di Pasar Depak, kami terus mengikuti keretanya sampai ke rumah. Mengambil masa 30 minit perjalanan. Sampai rumah kami makan tengahari dan terus ke Bandar Betong yang juga mengambil masa 30 minit perjalanan.

 

Adikku telah membuat tempahan di Hotel Medan Betong. Sengaja aku memilih 2 malam di Hotel kerana rancanganku, selepas majlis kahwin nanti, pada sebelah petang aku nak mendobikan baju dan pusing-pusing sekitar Pasarnya. Sampai di Hotel kami terus mengeluarkan barang Hantaran untuk diatur dan disiapkan sebelum petang kerana malam tersebut adalah majlis menghantar Hantaran dan bernikah. Sempat aku pejamkan mata sekejap sementara mereka bertungkus lumus menyediakan hantaran.

 





Jam 5 petang, kami keluar Hotel mencari makanan. Di bahagian bawah Hotel tersebut ada KFC. Makan nasi untuk mengalas perut kerana aku tahu malam ini pasti lewat makan disebabkan Majlis Akadnikah pasti lama. Sebelum terlupa, ada seorang lagi adikku yang bungsu bersama kami dalam Hotel tersebut, dia juga membawa anak Isteri, sepupu isterinya serta mak Mertuanya sekali. Memang meriah Hotel ini oleh kami sekeluarga. Seorang sepupuku juga datang dari Kuching dan menempah Hotel yang sama. Datang dengan suami dan anaknya.

 

Untuk sampai ke Kampung Medang, mengambil masa selama 1 jam perjalanan. Kami bergerak seawal jam 6.30 petang dan di jangka sampai dalam 8.00 malam. Kami terpaksa singgah sebentar di rumah sepupuku di kampung Bungin kerana dia saja yang tahu laluan ke sana. Sampai tempat yang dituju, kami telah disambut oleh ramai kaum kerabat sebelah pengantin perempuan. Aku nampak adikku( pengantin Lelaki) telah duduk kemas di tengah ruang tamu. Dia telah awal sampai kerana menyiapkan segala kelengkapan Majlis perkahwinannya. 8.45 malam Tok Kadi sampai dan bermula Majlis pernikahan tersebut.

 

Melalui Pekan Spoah


Alhamdulillah dengan sekali lafaz sahaja


Selepas selesai Majlis Akadnikah, kami disajikan dengan jamuan dan malam itu juga ada Pertandingan Karaoke. Teringin juga hendak menyumbangkan suara tetapi badan terasa letih dan akhirnya kami minta diri kerana besok akan datang lagi untuk Majlis Persandingannya. Sampai di Hotel dalam jam 12 tengah malam. Adikku yang bungsu dan suami sepupuku mengajak minum kopi tetapi aku menolak kerana mataku amat mengantuk ditambahkan lagi badanku terasa letih. Mungkin disebabkan aku jarang memandu sejauh ini. Masuk bilik bertukar pakaian dan bercuci aku terus baring dan tertidur tetapi Faiz dan Laila pula tidak tidur kerana mereka sudah puas tidur dalam kereta tadi. Aku biarkan isteriku melayan karenah mereka berdua.

 

Selepas subuh, perutku terasa kosong, nasib isteriku ada membeli mee maggi cawan dan roti pada petang kemarin selepas kami makan di KFC. Hari yang dituju telah tiba, selepas semuanya bersiap, kami bergerak keluar Hotel dalam jam 7.30 pagi kerana Majlis Perkahwinan tersebut bermula jam 9.00 pagi. Seperti biasa, kami singgah sekejap di Kampung Bungin dan meneruskan perjalanan ke Kampung Medang. Tiba-tiba adikku yang dari Kuching menelefon minta ditunggu kerana mereka beranak sudah sampai di Betong. Kelmarin katanya tidak dapat hadir, tetapi tiba-tiba bertukar plan. Jam 4 pagi mereka beranak bertolak dari Kuching.

 

Sampai di Kampung Medang, Pengantin baru turun dari rumah mak andam. Kami terus mengiringi pengantin hingga ke pelamin. Dimulai dengan Bacaan doa selamat, bertepung tawar dan bergambar. Syukur semuanya selesai tanpa sebarang masalah. Tiada lagi rasa penantian yang panjang tiada lagi rasa kerja yang belum selesai. Semua Majlis berjalan lancar. Aku mengucapkan terima kasih kepada bapa kepada Pengantin perempuan kerana sanggup juga menunggu selama 2 tahun untuk menyatukan mereka berdua. Katanya semangat kedua pengantin yang kuat. Kita hanya berserah sahaja. Alhamdulillah, Majlis yang di rancang akhirnya berjaya juga di penghujungnya.

 

Mengiringi pengantin



Memburu gula apong

Pokok Getah identiti Betong

Penulis di depan pintu Masjid



Aku menulis ini, pada 3 Ramadhan 1443 Hijrah (5 Apr 2022). Selamat menunaikan ibadah Puasa.

 

 

 

Sunday, 20 March 2022

Nait bilon

 Lama dah aku plan nak bawa 1 family jalan-jalan ke Bandaraya Kuching. Syukur kali ini, impianku telah tercapai terutama sekali dapat membawa mereka semua melawat Kampung Budaya. Dari raut wajah mereka, dapatku simpulkan bahawa ada keseronokan dan kepuasan.

 

Request bergambar untuk 'up' status whatsapp


Di Airport Kuching, menanti driver 'maxim' 

Sebenarnya tiket kapal terbang tersebut sepatutnya digunakan untuk aku dan Isteri ke Indonesia namun disebabkan kes Covid19 meningkat dan sempadan negara pula ditutup, aku telah ubahkan haluan perjalanan ke Kuching Sarawak sahaja.

 Menggunakan perkhidmatan penerbangan Airasia adalah kali pertama dalam hidupku. Selama ini, aku cuma mengunakan penerbangan MAS sahaja. Menjadi ia semakin seronok, apabila kali ini aku membuat pembelian secara dalam talian, ‘Checkin” pun dalam talian. Sesuatu ilmu yang baru.

 Apabila tiket penerbangan telah ditempah seterusnya aku membuat tempahan pula tempat penginapan. Kali ini aku menempah Hotel Dormani tak jauh dari Waterfront Kuching. Semua urusan melalui Agoda dengan kos yang berpatutan.

 3 hari sebelum berlepas, aku membuat tempahan sewa kereta jenama Proton Exora untuk 7 tempat duduk. Sehari sewa RM180 dan 2 hari ada diskaun pula. RM350 sahaja. Jenis auto dan bersih.

 Dari rumah di Senadin Miri, kami menempah kereta dari ‘maxim’ untuk menghantar ke Airport Miri. Ini juga adalah kali pertama aku menggunakan perkhidmatan ini. Banyak yang aku pelajari sepanjang perjalanan kali ini. Kos perkhidmatan sebanyak RM35.00. Agar mahal ditambah pula pemandu perkhidmatan ini kurang cekap di jalan raya. Seperti baru mendapat lesen memandu.

Dari Lapangan Kapal Terbang Kuching ke Hotel Dormani juga aku menggunakan perkhidmatan ‘maxim’. Sememangnya amat membantu dan sungguh berkesan sekali. Seperti biasa, Jalanraya di Kuching sentiasa sesak. Sampai di Hotel dalam jam 3, dapat la juga berehat sekejap, baring melurus tulang selepas 3 jam duduk menunggu di Lapangan terbang Miri dan 1 jam pula duduk dalam Kapal Terbang. Cuaca petang yang tidak panas, aku bawa mereka keluar jalan-jalan di Waterfront dan India Street.

Jambatan Darul Hana


Sebelah malam, kami makan secara bungkus sahaja kerana semuanya kelihatan sangat letih seharian dalam perjalanan. Untuk sarapan pagi, sudah awal di beli dalam jumlah yang banyak ‘maggi cup’, roti, air tin dan keropok agar perut tidak lapar.

 

Lokasi wajib bila sampai Kuching

Cara bergerak dalam kumpulan sebegini memerlukan perancangan yang sangat rapi agar tidak tersilap dari segi percaturan. Apabila berjalan sebegini, aku pasti membawa beg pinggang untuk menyimpan segala tiket, minyak panas dan barang penting agar terasa selamat kerana ia sentiasa dekat denganku.

 

Keesokkan harinya, jam 9 pagi kereta sewa sudah ada di perkarangan Hotel. Selepas tandatangan dan bayar sewaanya, jam 10 pagi kami terus keluar dari hotel menuju ke Kampung Budaya, mengambil masa selama 1 jam perjalanan. Banyak kali juga aku tersalah masuk simpang kerana tidak tahu jalannya, cuma berharap dengan ‘Google Maps’. Sampai Kampung Budaya dalam jam 11.10 pagi. Syukur kali ini ada diskaun masuk kampung Budaya itu pun cuma untuk warga Sarawak sahaja. Dewasa RM20 dan kanak-kanak RM10 sahaja (12 tahun ke bawah). Kalau harga biasa, RM60 dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak.




Nak 3 jam juga kami berada dalam Perkampungan ini. Dengan melihat persembahan tarian yang bermula jam 11.30 pagi dan sekali lagi jam 4.00 petang dalam sehari dan melawat setiap rumah suku-suku kaum dalam Sarawak. Banyak gambar dan video di ambil. Seronok melihat mereka teruja dengan lawatan ini.

 Keluar dari Kampung Budaya, kami sempat mencuci baju sambil makan tengahari dan singgah sekejap ke Mydin Mall. Dalam Jam 3 petang kami singgah pula ke Viva City. Seperti di Miri, pusat beli belahnya tiada beza. Jalan-jalan di dalam Pusat beli belah yang paling besar dalam Sarawak ini, membuatkan perut lapar lagi. Jam 6.30 petang kami sampai di Hotel. Malam itu, aku, isteri, Laila dan Danny makan luar yang lain semua minta dibungkuskan makanan.

 


Hari ke-3, kami berlegar-legar sahaja sekitar Bandar Kuching, memandu sambil mereka menikmati pemandangan. Singgah di Kubah ria, mencari kuih di Kampung Gersik, membeli baju di Wisma Satok, melihat kilauan emas di Majma Mall dan sebelum menghantar Kereta sewa, sempat makan di Restaurant Thai bersama Mohd Zulkipli yang pernah menjadi adik angkat sewaktu Program anak angkat antara HIKMAH dan komuniti Long Lama. Sekarang beliau sudah menjadi Peg. Warden Penjara dan punyai kehidupan yang sungguh selesa. Aku tumpang gembira di atas kehidupannya.




Jam 7 malam Agen kereta sewa mengambil kereta, selepas membuat pemeriksaan seimbas lalu, mereka berpuas hati dan aku tidak dikenakan caj tambahan. Sewaktu membuat tempahan kereta ini dulu, aku cuba dapatkan kereta jenis ‘manual’ sebab aku tidak biasa dengan kereta jenis ‘auto’. Tetapi mereka tidak mempunyai kereta ‘manual’ jenis kapasiti 7 tempat duduk. Aku ambil mana yang ada, yang penting kami dapat bergerak sekitar Kuching.

 


Misi dalam hidup untuk membawa 1 keluarga ke Kuching sudah tercapai, aku secara peribadi berpuas hati dengan rekod ini. Dengan ilmu baru yang aku pelajari dan halangan yang aku berjaya tempoh. Ia sungguh membuatkan pengembaraan kali ini sungguh menyeronokkan dan memberi kesan yang sangat mendalam. Kalau tiada aral melintang, aku nak membawa mereka sekali lagi ke destinasi baru dan kali ini pusing-pusing di sekitar Kota Kinabalu Sabah. Doakan Impian ini. Amin..

 

 

 

 

Thursday, 6 January 2022

Faiz cucu kesayangan neneknya

 


Kejadian bermula di sebuah shopping Complex.


‘Faiz, ambil air Cola, nenak lama dah tak minum, tin warna merah tu’ Arahan dikeluarkan oleh Pak Mail kepada cucunya yang baru masuk Prasekolah.

 Sampai di rumah,Pak Mail bising.

 ‘ Teiiiii, memang satu kilang dah mereka lupa letak gula dalam air ni’ Runggut Pak Mail sambil menjelir lidah dan terus ke dapur ambil gula pasir untuk di campurkan dalam tin Cola tersebut.

 Aku senyum sendiri. Biarkan saja kejadian tersebut dan kenangan indah itu aku kongsikan pula di sini.


 

Tuesday, 28 December 2021

Cakna la wahai ibubapa

 Hujung tahun memang musim untuk bercuti ditambahkan lagi banyak offer-offer yang menarik di shopping complex membuatkan pengunjung semakin ramai untuk berani membeli belah walaupun pandemik Covid19 masih melanda.

 

Aku salah satunya yang terikut dengan trend ini. Cuma terasa sedih juga apabila melihat ibubapa yang membawa anak-anak mereka yang tidak memakai mask. Tidakkah mereka sedar, penyakit ini belum ada ubatnya?

 

Adapun vaksin yang diberi, ianya sekadar ‘pendinding’ namun tidak dinafikan masih mampu membuatkan kita dijangkiti virus ini. Apatah lagi kanak-kanak yang belum di vaksinkan berumur 12 tahun dan ke bawah. Aku gelang kepala apabila ada beberapa pasangan suami isteri membawa bayi mereka dalam kereta surong yang lena tidur tanpa memakai mask. Langsung tiada cakna dengan situasi semasa.

 

Putriku menanggis tidak mahu memakai ‘face sheild’. Dengan kuasa sebagai bapa, aku memujuk dan juga memaksanya demi keselamatan dan nyawanya. Andai dia sakit, semua keluarga akan sakit juga. Aku paksanya memakai ‘double mask’ dan ‘face sheild’ masuk di kedai buku Popular, Bintang Mall, Pakson. Dia nak minta buku Paw Patrol yang ada musik pun, aku akan beli yang penting dia tetap memakai pelindung tersebut.

 


Bukan juga aku katakan dengan memakai ‘double mask’ dan ‘face sheild’ akan selamat dari virus tersebut, tetapi sekurang-kurangnya aku cuba untuk meminimumkan kesannya andai berlaku jangkitan. Usaha dan tawakal itu kunci segalanya.

 

Hidup mesti diteruskan, waktu ini kita belum menang melawan masalah ini namun dengan ilmu dan kesedaran tanggungjawab menjaga ahli keluarga serta anak itu harta dunia akhirat kita, pasti kita dapat menempuhnya secara perlahan.

 

Monday, 20 December 2021

Dawai-dawai lakaw padek

Sempena PRN 12 Sarawak, aku ditugas menjaga saluran mengundi di Long Sait salah satu penempatan kaum penan di ulu baram, Sarawak. Mengambil masa 9 jam perjalanan bermula dari Pekan Marudi. Kalau tak banyak singgah rasanya 7 jam pun boleh sampai. Pasukan kami singgah di Simpang Bekenu untuk sarapan, di stesen minyak Buraqoil Lapok untuk isi minyak dan Kem Kilo 10 pula untuk makan tengahari. Malah 3 kali ‘timeout’ tepi jalan untuk berkemeh.



Jambatan Long San merentasi Sungai Baram


Singgah tepi jalan, melepas hajat

Bermula dari Pekan lapok kita akan melalui jalan kem sepanjang jalan hingga ke Pekan Selungo di Long Siut, ulu Baram. Dari Lapok mengambil masa 2 jam ke Kilo 10 dan 3 jam pula ke Pekan Selungo. Walaupun jalannya berdebu dan adakala licin disebabkan hujan di satu dua tempat tetapi pemandangan di sepanjang jalannya sungguh indah. Kita akan melalui kawasan berbukit, jurang, jambatan dan di tepi air sungai.

 

Banyak penempatan dan kampung sepanjang perjalanan, ada warung serta Homestay juga. Kehidupan yang santai. Mengunakan tenaga Solar dan air paip dari mini hidro buatan sendiri nun di atas bukit. Kebanyakan tempat tidak memiliki talian komunikasi. Cuma ada satu cara saja hendak berhubung iaitu melalui CONNECTME dengan 1G Data berharga RM12.00.

 

Pekan Selungo adalah pekan yang baru membangun. Terletak dalam kawasan Hutan awan dan suhunya sejuk. Cuma ada deretan kedai runcit dan homestay. Kami tidur 2 malam di sini sebelum dan selepas balik dari Long Sait. Aku rasa, kalau pekan ini di buat jalan yang bagus sepanjang masuk ke pekannya, ada tiang lampu elektrik dan aliran air parit, rasanya pekan ini akan nampak lebih ‘hidup’.

Suasana dingin di Pekan Selungo

Homestay di bawah kedai runcit

Keesokkan harinya, seawal jam 7 pagi kami telah menunggu perahu dari Kampung Long Sait. Duduk di ‘jeti’ Pekan Selungo tetapi hakikatnya kawasan batu karangan. Airnya sejuk serta jernih. Perahu tambang sampai dekat jam 10 pagi. Kata mereka air mula surut dan susah untuk bergerak serta ada sebahagian tempat terpaksa turun untuk tarik perahu. Aku dengar terus terasa kecut perut. Airnya deras dan jeram sungguh mencabar. Simpan dalam plastik barang berharga kata Juragan perahu, sebab pernah Handphone Cikgu jatuh ke dalam air.

Aku ni jenis degil, biar apapun terjadi, ku mesti mengambil footage dan gambar yang menarik serta menjadi bukti bahawa aku pernah meredah jeram air batu ini. Maka terhasil la beberapa shoot yang indah ini.



Terpaksa turun berjalan, air sungai semakin cetek


Menyusuri Sungai memerlukan masa sekitar 3 jam perjalanan. Lebih 7 kali berhenti untuk menarik perahu dan mengisi minyak. Cabarannya terlalu sukar untuk digambarkan. Terlalu susah untuk dinukilkan dalam cerita ini. Rasainya sendiri, baru tahu hiruk-pikuk air jeram dan deruan enjin sangkut jenis saff yang panjang ( perahu teng-teng). Ada 2 kampung sepanjang perjalanan menaiki perahu ini, Long Kerong dan Long Spegen.

 


'Jeti' Pekan Selungo. Jambatan ini menuju ke Lio Mato, Long Banga dan Perkampungan yang lain. Dari Pekan Selungo mengambil masa 5 jam perjalanan ke Highland Bario.



Belum lagi sampai ke Long Sait, kami terpaksa diturunkan dan berjalan selama 45 minit kerana air sungai semakin cetek. Denainya licin mungkin semalam hujan. Syukur sepanjang berjalan tiada bukit yang harus ditempuh.




Dengan adanya Projek tenaga solar, maka Perkampungan Long Sait nampak cerah pada sebelah malam. Ada Line Maxis sahaja tetapi tidak dapat internet. Boleh call dan mesej biasa. Di sekolah pula ada wifi. Kami ditempatkan di dalam bangunan Prasekolah, dapat la wifi free. Walaupun sekejap ada dan sekejap hilang tapi sekurang-kurangnya dapat text dengan orang tersayang nun jauh di sana. Dapat update status whatsapp..hihihi.


Jambatan gantung menyeberangi sungai untuk ke Kampung Long Sait

 

Welcome to SK Long Sait

Pasukan 15, mandi sambil panggang sayap ayam (Sumber dari whatssap group)

'View" drone SK Long Sait

Kampung Long Sait

Aku bersyukur kerna dapat merasa suasana yang unik sebegini. Kalau tidak disebabkan kerja mana mungkin aku melangkah kaki ke sini. Walaupun cuma semalam di Long sait dan 2 malam di Pekan Selungo tetapi impak yang diberinya mengajar aku erti sebuah ketabahan kehidupan. Teguh hati mereka menghantar anak-anak ke sekolah biarpun terpaksa meredah jeram yag boleh membahayakan nyawa. Utuh jiwa mereka meneruskan hidup biarpun bertatih demi untuk memajukan kelompok komuniti ini. Mungkin semangat itu hadir dari kerasnya batu jeram yang mereka tempuh setiap hari dan malam.

 


 

Sunday, 10 October 2021

Menara Tele cucuk bulan

Semenjak kebelakangan ini, jarang aku menjengok lapangan wadah ini kerana urusan duniaku kini semakin rancak. Sekarang ini aku tengah mengusahakan sebidang tanah bekas peninggalan Arwah Bapaku di kampung kelahirannya Seputi Tinjar Baram. Ramai saudaraku mengalakkan aku menanam kelapa sawit memandangkan harga sekarang ini mencecah Rm950.00 setan. Tetapi apabila difikirkan kos penjagaan dan pemeliharaannya yang mahal, aku berubah fikiran. Lagipun masa aku amat terhad sekali. Jadi aku telah mengusahakannya menjadi Dusun buah. Banyak juga anak benih buah telah ku beli dan ada juga aku tanam terus melalui bijinya. Durian dan rambutan paling banyakku tanam dan anggaran pokok yang dapat ditanam di tanah tersebut dalam lingkungan 100 pohon buah kata saudaraku.

Lokasi tanah ini pula di tepi jalan besar, senang untuk laluan keluar masuk. Cuma walaupun di atas bukit tetapi capaian komunikasinya amat kurang jauh lagi sambungan internet. Banyak juga menara telekomunikasi sekarang ini berdiri gah terutama disekitar Pekan Lapok ini dan amnya di Baram ini.  Apa yang telah disampaikan oleh  Abang Joe ( KM Sarawak ) memang benar.



Pada 2017, Sacofa Sdn Bhd (SACOFA) berhasrat merealisasikan pembinaan 5,000 menara telekomunikasi di Sarawak dalam tempoh lima tahun sehingga 2022. Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1 bilion bagi tujuan tersebut termasuk menghantar liputan jalur lebar yang lancar melalui prasarana fiber optik dan pengkomputeran cloud. Pada 2017 juga, SKMM sendiri pernah memberi jaminan menyediakan dana yang sama RM1 bilion bagi melaksanakan menara telekomunikasi di Sarawak. Merujuk kepada cadangan awal SACOFA, Kerajaan Negeri pada 2018 bertindak segera mendirikan 600 menara telekomunikasi di seluruh Sarawak demi merealisasikan era digitalisasi ini. 

Malah tahun ini (2021) juga Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata Surat kerja bagi pembinaan lebih 600 menara telekomunikasi baharu di Sarawak yang akan menelan belanja lebih daripada RM1 bilion akan dikeluarkan pada bulan ini. Beliau berkata tiga kontraktor telah dikenal pasti menerusi tender terbuka dan pihak berkenaan akan memulakan kerja-kerja pembinaan dalam masa terdekat.

Bukan sikit 5000 Tiang Menara Telekomunikasi tu, Kalau dibuka satu persatu setiap besi tiang tersebut dan di sambung satu persatu, rasanya boleh cecah sampai ke bulan. Kata ku jak bah..

Memang tidak dinafikan usaha yang telah pihak kerajaan lakukan. Sekarang ini pun sudah jelas menara telekomunikasi sudah banyak sepanjang perjalanan dari Miri dan Long Lama serta beberapa kampung-kampung yang ramai penduduk di Baram kini sudah dapat dihubungi melalui whatsapp, ini membuktikan capaian internetnya semakin bagus. 


Cuma ada juga sebahagian kawasan walaupun dekat dengan Pekan masih kurang berkesannya jaringan internet seperti tempat aku tadi malah di kampung Narum Marudi tempat kelahiranku pun masih lemah jaringan internetnya. Apatah lagi yang jauh di ulu baram. Seperti artikal di bawah.


Antara faktor yang menyebabkan capaian internet teruk adalah berkaitan dengan faktor topografi seperti bukit dan sebagainya. Tetapi Jumlah pengguna yang rendah terutamanya di beberapa kawasan luar bandar dipercayai menjadi punca syarikat-syarikat telekomunikasi tidak berminat membina menara telekomunikasi di kawasan tersebut. kadar penggunaan yang rendah dilihat tidak mampu mendatangkan keuntungan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi menyebabkan mereka tidak berminat untuk membina menara di kawasan luar bandar. Menurut Timbalan Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Mohamad Yusrizal Yusoff.

Jelas di sana, bahawa pihak kerajaan telah memainkan peranannya dengan menyediakan Menara, cuma syarikat telco yang tidak mahu memasang alatnya atau dalam bahasa mudah piring satelitnya.