Lama dah aku plan nak bawa 1 family jalan-jalan ke Bandaraya Kuching. Syukur kali ini, impianku telah tercapai terutama sekali dapat membawa mereka semua melawat Kampung Budaya. Dari raut wajah mereka, dapatku simpulkan bahawa ada keseronokan dan kepuasan.
Request bergambar untuk 'up' status whatsapp
Di Airport Kuching, menanti driver 'maxim'
Sebenarnya tiket kapal terbang tersebut sepatutnya digunakan untuk aku dan Isteri ke Indonesia namun disebabkan kes Covid19 meningkat dan sempadan negara pula ditutup, aku telah ubahkan haluan perjalanan ke Kuching Sarawak sahaja.
Menggunakan perkhidmatan penerbangan Airasia adalah kali pertama dalam hidupku. Selama ini, aku cuma mengunakan penerbangan MAS sahaja. Menjadi ia semakin seronok, apabila kali ini aku membuat pembelian secara dalam talian, ‘Checkin” pun dalam talian. Sesuatu ilmu yang baru.
Apabila tiket penerbangan telah ditempah seterusnya aku membuat tempahan pula tempat penginapan. Kali ini aku menempah Hotel Dormani tak jauh dari Waterfront Kuching. Semua urusan melalui Agoda dengan kos yang berpatutan.
3 hari sebelum berlepas, aku membuat tempahan sewa kereta jenama Proton Exora untuk 7 tempat duduk. Sehari sewa RM180 dan 2 hari ada diskaun pula. RM350 sahaja. Jenis auto dan bersih.
Dari rumah di Senadin Miri, kami menempah kereta dari ‘maxim’ untuk menghantar ke Airport Miri. Ini juga adalah kali pertama aku menggunakan perkhidmatan ini. Banyak yang aku pelajari sepanjang perjalanan kali ini. Kos perkhidmatan sebanyak RM35.00. Agar mahal ditambah pula pemandu perkhidmatan ini kurang cekap di jalan raya. Seperti baru mendapat lesen memandu.
Dari Lapangan Kapal Terbang Kuching ke Hotel Dormani juga aku menggunakan perkhidmatan ‘maxim’. Sememangnya amat membantu dan sungguh berkesan sekali. Seperti biasa, Jalanraya di Kuching sentiasa sesak. Sampai di Hotel dalam jam 3, dapat la juga berehat sekejap, baring melurus tulang selepas 3 jam duduk menunggu di Lapangan terbang Miri dan 1 jam pula duduk dalam Kapal Terbang. Cuaca petang yang tidak panas, aku bawa mereka keluar jalan-jalan di Waterfront dan India Street.
Jambatan Darul Hana |
Sebelah malam, kami makan secara bungkus sahaja kerana semuanya kelihatan sangat letih seharian dalam perjalanan. Untuk sarapan pagi, sudah awal di beli dalam jumlah yang banyak ‘maggi cup’, roti, air tin dan keropok agar perut tidak lapar.
Lokasi wajib bila sampai Kuching
Cara bergerak dalam kumpulan sebegini memerlukan perancangan yang sangat rapi agar tidak tersilap dari segi percaturan. Apabila berjalan sebegini, aku pasti membawa beg pinggang untuk menyimpan segala tiket, minyak panas dan barang penting agar terasa selamat kerana ia sentiasa dekat denganku.
Keesokkan harinya, jam 9 pagi kereta sewa sudah ada di perkarangan Hotel. Selepas tandatangan dan bayar sewaanya, jam 10 pagi kami terus keluar dari hotel menuju ke Kampung Budaya, mengambil masa selama 1 jam perjalanan. Banyak kali juga aku tersalah masuk simpang kerana tidak tahu jalannya, cuma berharap dengan ‘Google Maps’. Sampai Kampung Budaya dalam jam 11.10 pagi. Syukur kali ini ada diskaun masuk kampung Budaya itu pun cuma untuk warga Sarawak sahaja. Dewasa RM20 dan kanak-kanak RM10 sahaja (12 tahun ke bawah). Kalau harga biasa, RM60 dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak.
Nak 3 jam juga kami berada dalam Perkampungan ini. Dengan melihat persembahan tarian yang bermula jam 11.30 pagi dan sekali lagi jam 4.00 petang dalam sehari dan melawat setiap rumah suku-suku kaum dalam Sarawak. Banyak gambar dan video di ambil. Seronok melihat mereka teruja dengan lawatan ini.
Keluar dari Kampung Budaya, kami sempat mencuci baju sambil makan tengahari dan singgah sekejap ke Mydin Mall. Dalam Jam 3 petang kami singgah pula ke Viva City. Seperti di Miri, pusat beli belahnya tiada beza. Jalan-jalan di dalam Pusat beli belah yang paling besar dalam Sarawak ini, membuatkan perut lapar lagi. Jam 6.30 petang kami sampai di Hotel. Malam itu, aku, isteri, Laila dan Danny makan luar yang lain semua minta dibungkuskan makanan.
Hari ke-3, kami berlegar-legar sahaja sekitar Bandar Kuching, memandu sambil mereka menikmati pemandangan. Singgah di Kubah ria, mencari kuih di Kampung Gersik, membeli baju di Wisma Satok, melihat kilauan emas di Majma Mall dan sebelum menghantar Kereta sewa, sempat makan di Restaurant Thai bersama Mohd Zulkipli yang pernah menjadi adik angkat sewaktu Program anak angkat antara HIKMAH dan komuniti Long Lama. Sekarang beliau sudah menjadi Peg. Warden Penjara dan punyai kehidupan yang sungguh selesa. Aku tumpang gembira di atas kehidupannya.
Jam 7 malam Agen kereta sewa mengambil kereta, selepas membuat pemeriksaan seimbas lalu, mereka berpuas hati dan aku tidak dikenakan caj tambahan. Sewaktu membuat tempahan kereta ini dulu, aku cuba dapatkan kereta jenis ‘manual’ sebab aku tidak biasa dengan kereta jenis ‘auto’. Tetapi mereka tidak mempunyai kereta ‘manual’ jenis kapasiti 7 tempat duduk. Aku ambil mana yang ada, yang penting kami dapat bergerak sekitar Kuching.
Misi dalam hidup untuk membawa 1 keluarga ke Kuching sudah tercapai, aku secara peribadi berpuas hati dengan rekod ini. Dengan ilmu baru yang aku pelajari dan halangan yang aku berjaya tempoh. Ia sungguh membuatkan pengembaraan kali ini sungguh menyeronokkan dan memberi kesan yang sangat mendalam. Kalau tiada aral melintang, aku nak membawa mereka sekali lagi ke destinasi baru dan kali ini pusing-pusing di sekitar Kota Kinabalu Sabah. Doakan Impian ini. Amin..
No comments:
Post a Comment