Translate

Monday, 4 April 2022

Betong, Depak, Spoah, Sarikei, Bintagor, Sibu & Bintulu

 Setelah sekian lamanya, dari tahun 2019 hingga 2022, alhamdulillah adikku selamat jua diijabkabulkan dengan tunangnya pada 26 March 2022 (sabtu) di Kampung Medang Spaoh Sarawak. Dekat dengan bandar Betong. Kelewatan ini berpunca dari Covid-19. Disebabkan adikku bekerja di Negara Brunei Darusalam, pintu sempadan negara itu ditutup sepanjang 2 tahun tersebut. Syukur di akhir-akhir ini setelah adanya vaksin, kelonggaran perjalanan untuk balik diberi kepada rakyat Malaysia yang bekerja di sana.

 

Majlis Pertunangan di Kampung Medang tahun 2019




Hiasan hantaran aku serahkan segalanya dengan orang rumah. Barang Hantaran telah dibeli awal oleh adikku


Bergerak dari Miri pada pukul 10 pagi, singgah sekejap di Bintulu untuk solat dan sampai Sibu pada pukul 5.30 petang. Aku suruh isteri mencari hotel bajet sahaja kerana besok akan bergerak awal ke Bandar Betong. Tempah 2 bilik kerana ada Adikku dan Makcikku ikut dengan ‘trip’ kali ini. Keesokkan harinya sebelum meneruskan perjalanan, kami sempat bersarapan di Tamu Besar Sibu. Membeli sedikit bekalan untuk alas perut sepanjang perjalanan ke Betong.

Sarapan di Market besar Sibu

Alang-alang sudah berjalan, aku sempat membawa mereka singgah di Bandar Sarikei dan membeli ikan masin kering di Ruangniaga Tamunya yang terletak di hadapan sungai. Bandar Sarikei memang besar. Teringin juga hendak menelefon seorang kenalan tetapi oleh kerana cuma singgah sekejap dalam 30 minit begitu, ada baiknya aku batalkan saja niat tersebut. Jauh lagi destinasi yang hendak dituju. Sibu ke Sarikei mengambil masa dalam 45 minit perjalanan dan di antara bandar tersebut ada pekan kecil yang disebut Bintagor. Sewaktu balik kami singgah di pekan ini.

Di Sarikei

Mencari ikan masin di Tamu Sarikei

Bintagor


Sepanjang perjalanan hendak ke Betong, sepupuku menelefon agar singgah dulu ke rumahnya di kampung Bungin Spaoh. Sebenarnya Sibu ke Betong tidak jauh disebabkan jalan Pan Borneo kini semakin bagus. Tetapi untuk ke Kampung Bungin, kami terpaksa melalui pasar Debak. Bila sudah sampai tempat orang, wajib ambil gambar sebagai kenangan. Pasar Depak kecil sahaja, waktu itu kami sampai dalam jam 1 petang. Tak ramai orang.

 

Pekan Depak

Sepupuku telah menunggu di Pasar Depak, kami terus mengikuti keretanya sampai ke rumah. Mengambil masa 30 minit perjalanan. Sampai rumah kami makan tengahari dan terus ke Bandar Betong yang juga mengambil masa 30 minit perjalanan.

 

Adikku telah membuat tempahan di Hotel Medan Betong. Sengaja aku memilih 2 malam di Hotel kerana rancanganku, selepas majlis kahwin nanti, pada sebelah petang aku nak mendobikan baju dan pusing-pusing sekitar Pasarnya. Sampai di Hotel kami terus mengeluarkan barang Hantaran untuk diatur dan disiapkan sebelum petang kerana malam tersebut adalah majlis menghantar Hantaran dan bernikah. Sempat aku pejamkan mata sekejap sementara mereka bertungkus lumus menyediakan hantaran.

 





Jam 5 petang, kami keluar Hotel mencari makanan. Di bahagian bawah Hotel tersebut ada KFC. Makan nasi untuk mengalas perut kerana aku tahu malam ini pasti lewat makan disebabkan Majlis Akadnikah pasti lama. Sebelum terlupa, ada seorang lagi adikku yang bungsu bersama kami dalam Hotel tersebut, dia juga membawa anak Isteri, sepupu isterinya serta mak Mertuanya sekali. Memang meriah Hotel ini oleh kami sekeluarga. Seorang sepupuku juga datang dari Kuching dan menempah Hotel yang sama. Datang dengan suami dan anaknya.

 

Untuk sampai ke Kampung Medang, mengambil masa selama 1 jam perjalanan. Kami bergerak seawal jam 6.30 petang dan di jangka sampai dalam 8.00 malam. Kami terpaksa singgah sebentar di rumah sepupuku di kampung Bungin kerana dia saja yang tahu laluan ke sana. Sampai tempat yang dituju, kami telah disambut oleh ramai kaum kerabat sebelah pengantin perempuan. Aku nampak adikku( pengantin Lelaki) telah duduk kemas di tengah ruang tamu. Dia telah awal sampai kerana menyiapkan segala kelengkapan Majlis perkahwinannya. 8.45 malam Tok Kadi sampai dan bermula Majlis pernikahan tersebut.

 

Melalui Pekan Spoah


Alhamdulillah dengan sekali lafaz sahaja


Selepas selesai Majlis Akadnikah, kami disajikan dengan jamuan dan malam itu juga ada Pertandingan Karaoke. Teringin juga hendak menyumbangkan suara tetapi badan terasa letih dan akhirnya kami minta diri kerana besok akan datang lagi untuk Majlis Persandingannya. Sampai di Hotel dalam jam 12 tengah malam. Adikku yang bungsu dan suami sepupuku mengajak minum kopi tetapi aku menolak kerana mataku amat mengantuk ditambahkan lagi badanku terasa letih. Mungkin disebabkan aku jarang memandu sejauh ini. Masuk bilik bertukar pakaian dan bercuci aku terus baring dan tertidur tetapi Faiz dan Laila pula tidak tidur kerana mereka sudah puas tidur dalam kereta tadi. Aku biarkan isteriku melayan karenah mereka berdua.

 

Selepas subuh, perutku terasa kosong, nasib isteriku ada membeli mee maggi cawan dan roti pada petang kemarin selepas kami makan di KFC. Hari yang dituju telah tiba, selepas semuanya bersiap, kami bergerak keluar Hotel dalam jam 7.30 pagi kerana Majlis Perkahwinan tersebut bermula jam 9.00 pagi. Seperti biasa, kami singgah sekejap di Kampung Bungin dan meneruskan perjalanan ke Kampung Medang. Tiba-tiba adikku yang dari Kuching menelefon minta ditunggu kerana mereka beranak sudah sampai di Betong. Kelmarin katanya tidak dapat hadir, tetapi tiba-tiba bertukar plan. Jam 4 pagi mereka beranak bertolak dari Kuching.

 

Sampai di Kampung Medang, Pengantin baru turun dari rumah mak andam. Kami terus mengiringi pengantin hingga ke pelamin. Dimulai dengan Bacaan doa selamat, bertepung tawar dan bergambar. Syukur semuanya selesai tanpa sebarang masalah. Tiada lagi rasa penantian yang panjang tiada lagi rasa kerja yang belum selesai. Semua Majlis berjalan lancar. Aku mengucapkan terima kasih kepada bapa kepada Pengantin perempuan kerana sanggup juga menunggu selama 2 tahun untuk menyatukan mereka berdua. Katanya semangat kedua pengantin yang kuat. Kita hanya berserah sahaja. Alhamdulillah, Majlis yang di rancang akhirnya berjaya juga di penghujungnya.

 

Mengiringi pengantin



Memburu gula apong

Pokok Getah identiti Betong

Penulis di depan pintu Masjid



Aku menulis ini, pada 3 Ramadhan 1443 Hijrah (5 Apr 2022). Selamat menunaikan ibadah Puasa.

 

 

 

No comments:

Post a Comment