Kemenyan ku bakar Namamu ku puja

Nurkilan ikhlas.....dari Akal yang memerhati

Translate

Tuesday, 14 September 2021

Kali ke-3 Banjir

 Kali ke-3 banjir berlaku di Long Lama memang tak dijangka dalam masa setahun. Jarak waktunya cuma 2 bulan sahaja, bulan Mei, Julai dan kini Bulan Sept. Ianya sungguh mencabar fizikal dan minda. Belum habis keletihan membasuh rumah disebabkan banjir yang lepas dan bertungkus lumus pula menyelamat barang keperluan yang baru disusun demi untuk mengelakkan banjir kali ke-3.


Uniknya air pasang di Long Lama ini tidak lama. Seharian paras air naik sebegitu cepat juga ianya surut. Cuma sedihnya Pekan Marudi ( terletak di hilir) akan menjadi mangsa seterusnya. Maklum saja Sungai Baram ini mencecah 400km panjang bermula dari dari Dataran Tinggi Kelabit, sebuah kawasan aliran sungai yang dibatasi oleh Banjaran Iran di Timur Kalimantan, Indonesia yang sama perbatasan semulajadi dalam sempadan Negeri Sarawak dan berpenghujung di Laut China selatan yang pintu mulutnya keluar dari Kuala Baram. Pekan Marudi pula berada ditengah laluan Sungai Baram ini.




Sekarang ini apabila mendengar khabar kawasan hulu hujan lebat berpanjangan dan paras air mula naik di kampung-kampung pesisir sungai, maka mula rasa resah di hati khuatir air melimpah. Kesian dengan Jiran dalam komuniti Long Lama  di kawasan rendah. Dengan berbekalkan pengalaman yang lepas, ada yang sudah menghantar motor dan kereta di kawasan tinggi segala peralatan elektrik dan barang-barang yang penting sudah diangkat diletak ditempat yang tinggi. Apa yang mampu dibuat lagi melainkan sekadar redha sahaja melihat air mula memasuki rumah.

Bila telah berlaku kejadian sehingga 3 kali banjir dalam masa yang singkat, mula kedengaran cerita pelik didengari. Bermacam-macam teori diluahkan berpandu rasa geram dan marah. Aku cuma mendengar sambil tersenyum, tiada hujah untukku pertahankan kerana bagiku apabila Bencana Alam sudah bersuara. Tiada sebarang daya mampu melawannya.



Teori pokok-pokok habis ditebang hingga menyebabkan tiada lagi tadahan hujan. Lumpur dan selut yang hanyut telah membuatkan dasar sungai menjadi cetak dan apabila paras air naik ianya mudah untuk membanjiri kawasan yang rendah. Yang paling 'power', dia boleh bawa cerita hujan di Greenland. Kerana hujan tersebut telah mencairkan ketulan ais dan telah menyebabkan paras air laut meningkat. Ini menyukarkan air dari sungai mengalir ke laut. Ianya terus bertakung dan menyebabkan banjir.

Aku angkat tangan tanda menyerah kerana fenomena sebegini amat sukar diluar batasan kemampuanku. Apa yang aku mahu sekarang, semoga ada pihak yang bertanggungjawab mengambil berat dengan mangsa banjir. Bantuan bakul makanan perlu disegerakan. Tapi ada baiknya diberi saja Wang Tunai untuk setiap ketua keluarga mangsa-mangsa banjir. Kerana kos untuk bakul makanan sebanyak RM150.00 tidak sepadan bahan bantuan tersebut seperti Beras 10KG, 2 Tin sardin, Gula 2KG, 1 pek biskut. Belum lagi kos penghantarannya. Bukan tidak bersyukur tapi perkara ini boleh ditambahbaik, kan,kan....



1 lagi, alang-alang minta, mohon Yang berhormat di setiap kawasan yang terlibat banjir tolong berbincang dengan Pengarah JBALB bagi diskaun 50% bekalan air untuk bulan ini kerana rata-rata rumah yang banjir terpaksa mencuci menggunakan air paip ini. 

‘ Berkongsi masalah mampu meringankan beban’

Teringat kata kawanku waktu Sekolah dulu. Dia membawa setengah botol air mineral, aku pula dah mengunyah separuh mee maggi kari ‘mantak’. Siapa yang pernah membuat adegan ini, pasti mencari air untuk membasah licin.

Photo banjir yang di kongsi rakan dalam FB kebanyakan bermain air. Wajah tersenyum walaupun badan terasa letih. Namun aku bersyukur sehingga ke waktu ini, belum ada lagi kejadian yang meragut nyawa. Bersama kita berdoa semoga hati kita sentiasa tabah dalam menempuh Ujian ini. Stay safe everyone, Love you from Long Lama to the moon and back.


Posted by Pyan Andrea at 20:17 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Wednesday, 11 August 2021

Badan celoreng

 Ini adalah benteng yang paling hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Telang Usan Baram Sarawak. Pasukan RELA ini, amat ku kagumi. Mereka bukan sekadar mencari rezeki dengan jawatan yang diberi tetapi kerana minat dan rasa tanggungjawab terhadap keselamatan komuniti setempat, membuatkan segala tugasan dipikul dengan penuh amanah sekali.

Pasukan yang menjaga PPV Telang Usan ini kesemuanya aku kenali. Dari orang biasa kini menjadi insan yang luarbiasa kerana beban kerja yang dipukul tanpa mengira tempat, masa dan keadaan demi maruah baju celoreng khas ini. Aku tertarik dengan slogankata Pasukan RELA.

“ DARI RAKYAT, BERSAMA RAKYAT, UNTUK RAKYAT”

Disebabkan pandemik Covid-19 melanda, baru kita sedari keberkesanan kewujudan pasukan RELA. Mereka lebih dekat dengan komuniti setempat dan mereka juga mudah “membumi” dengan rakyat jelata. Contoh yang paling mudah, bila kawasan sesak dengan bilangan orang, mereka dengan mudah memberi penjelasan dan arahan kerana mampu berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka sendiri dan pastinya penjelasan lebih mudah difahami. Bukan senang hendak berhadapan dengan pelbagai karenah orang. Perlu ada tahap kesabaran yang tinggi dan tuturkata yang berlapis.

Penerima Vaksin
Penerima Vaksin

Mungkin segelintir orang memandang mereka seperti cendawan tumbuh selepas hujan atau dalam bahasa pasarnya, kalau ada aktiviti baru ada pasukan RELA. Tapi dalam kes pandemik yang melanda di akhir-akhir ini, kehadiran mereka adalah sama penting dengan jentera barisan hadapan, hakikatnya sumbangan yang pasukan RELA hulurkan itu sesungguhnya memudahkan kerja dan melicinkan tentatif setiap program, SJR, kawalan perimeter PPV malah di kawasan kampung yang terkena arahan ‘Lockdown’. Ini la pasukan yang paling awal dilapangan dan mereka juga yang paling akhir di arah pulang.

Ketika ini, tugasan mereka sekadar bermusim, kalau ada keperluan baru mereka menjalankan tugas tetapi tidak mustahil ianya akan ditambahbaik di masa hadapan, punyai jawatan yang tetap dan berpencen malah sekarang ini pun aku dapati untuk pasukan RELA kawasan Long Lama saja, mereka sudah bertugas dari bulan Mei tahun lepas hingga kini..No red calendar bro!!!..kerja, kerja dan terus kerja.


Ayuh anggota RELA, walau di mana pun dikau berada, tak kira lelaki atau wanita cekalkan hatimu, anda adalah Pasukan yang terdiri daripada rakyat yang menabur khidmat bakti secara sukarela. Kini tugasan yang diberi semakin berisiko kerana berdepan dengan ‘musuh’ yang tidak nampak. Selain menjadi benteng rakyat, pastikan anda sentiasa menjaga keselamatan diri.

Aku amat bertuah kerna dapat bekerjasama dengan Pasukan ini. Ketika orang ramai kekal bersama keluarga di rumah, ada insan hebat yang sanggup berkorban masa, keringat tenaga serta nyawa. Anda adalah wira Negara. Pengorbanan besar anda ini sewajarnya harus dihargai oleh rakyat Malaysia.

-Wira jarang didendang-
Posted by Pyan Andrea at 19:55 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Sunday, 8 August 2021

LAPOK, perlu diberi wajah baru

 Lama sudah tidak menghangatkan enjin kereta. Disebabkan PKP ini, kereta cuma berperam duduk diam. Pagi tadi setelah sekian lama tidak keluar aku sengaja ke pekan Lapok sambil menukar Tong Gas. Keistimewaan Pekan Lapok ini, barangan dapurnya ada yang murah, bayangkan harga satu Tong gas di Lapok RM26.60 jauh murah jika di bandingkan di Pekan Long Lama. Selain dapat menghangatkan enjin kereta dan menukar tong gas dapat juga membeli beberapa menu exsotik pelbagai pilihan di Pasar Tamu Pekan Lapok. Sempat juga membeli bunga kantan untuk campuran masak ayam pansuh petang ini.


Cuma satu saja masalah di Pekan Lapok ini. Keadaan jalannya kotor. Segala lumpur dan selut ini di bawa oleh kenderaan dari kampung dan beberapa kem ladang dan kem balak yang berhampiran. Lendir lumpur yang di tayar kereta tersebut telah mengotorkan jalan serta tempat ‘parking’. Dalam kedai pun ada bekas lumpur yang dibawa pelanggan.





Komuniti di sini perlu membuat inisiatif tersendiri. Tidak dapat diharapkan 100% pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini. Mungkin pihak komuniti disini perlu mewujudkan ‘Car Wash Comunity’ di laluan utama dan dikelolakan sepenuhnya oleh mereka sendiri dengan mengenakan bayaran RM5 satu kereta. Mewajibkan setiap kenderaan yang terlalu kotor sahaja untuk di cuci. Ingat!!!!, yang terlalu kotor sahaja.





Ianya cuma memancutkan air di kawasan tayar dan bawah kenderaan yang terlalu kotor sahaja. Tak perlu gosok dan ‘fogging Namo’. Pemandu tak perlu keluar pun, sekadar naik rack dan pekerja ‘menembak air’ bawah kenderaan dalam masa 5 minit siap.
Hasil wang Kutipan boleh digunakan untuk membayar gaji pekerja dan pengurusan ‘Car wash comunity’. Andai ada lebihan boleh juga digunakan untuk mencantikkan landskap Pekan Lapok ini. Boleh buat Pintu gerbang, beli pasu besar dan bunga yang cantik-cantik.
Persoalannya, apakah komuniti setempat mempunyai kuasa untuk membuat arahan sebegini?
Nak masuk Bintulu pun perlu Swab Test pok!, malah sekarang ini Arahan dari JKKK kampung di ulu pun tidak membenarkan orang luar masuk kampung. Kalau nak masuk juga terpaksa didenda dengan jumlah sebanyak RM2000.00 dan jumlah itu berlainan nilai pula mengikut arahan setiap kampung.
Kalau arahan sebegini pun boleh dibuat untuk keselamatan dan keselesaan bersama, rasanya tidak salah juga komuniti Pekan Lapok menggunakan formula ini.




Posted by Pyan Andrea at 21:37 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Bila air Bah, Oh !!! Long Lama

Banjir ini bukan setakat membawa air tapi lumpur, tumpahan minyak, sampah sarap, binatang berbisa beserta masalah lain. Semua urusan harian tergendala. Tak kira apa keturunan serta pangkat, pasti terjejas oleh fenomena ini.




Banjir kali ini sungguh luarbiasa bagi komuniti Long Lama. Permulaan kemasukkannya, air cepat naik hingga tak sempat diangkat peralatan elektrik yang besar, perabot malah stok beras pun berendam. Ditambah lagi ada juga kawan yang tak sempat memindahkan motor & kereta ditempat yang tinggi. Pakaian, buku sekolah anak, tak payah cerita dah..Menanggis di hati beb!!!




Semakin teruk apabila berlaku pula kebakaran Lot kedai di pertengahan malam yang telah melarat hingga merebak ke 3 Lot kedai berdekatan. Kepujian yang cukup tinggi aku berikan kepada komuniti di sini yang berganding bahu tanpa mengira bangsa, usia dan pegangan agama berusaha memadamkan kebakaran dalam keadaan banjir.



Tanpa peralatan yang cukup, tanpa pengalaman sekadar 2 hos Bomba Sukarela, tiada pula helmet & jaket keselamatan mereka bertarung nyawa bertahan dari jam 12 tengah malam hingga 10 pagi keesokan harinya berusaha menyiram bangunan tersebut sehingga BOMBA sampai dari Marudi.



Aku tak nak cerita berkenaan banjir di tempat lain, tapi untuk Long Lama ini, ada sesuatu yang menarik perhatianku. Walau dalam keadaan cemas dan tertekan sekalipun, masih ada juga yang dapat membantu antara satu sama yang lain.


Aku dapati, ada sekumpulan lelaki tanpa mengenali satu dengan yang lain, menolak beberapa buah kereta yang sudah dimasuki air di pindah ke tempat selamat, ada pula membantu jiran tetangga memindah barang dan bersama pula bergilir mencuci rumah selepas banjir malah ada yang menyediakan perahu tanpa caj pun untuk kemudahan penghantaran makanan dan proses pemindahan mangsa banjir.





Lumpur selepas banjir di kedai Long Lama

Peristiwa-peristiwa ini sempat aku rakamkan dan simpan menjadi koleksi peribadi. Cuma sebahagian ini sahaja aku ingin kongsikan untuk tatapan umum. Bertabahlah kawan- kawanku dalam menempoh dugaan ini, Semoga kisah duka tak berulang lagi.


Posted by Pyan Andrea at 21:15 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Wednesday, 14 April 2021

Sudut pandang yang berbeza

Memasuki Tahun 2021, tiada yang seronok hendak diperkatakan melainkan pandemik Covid19 masih melanda malah kali ini jangkitan tersebut mula merebak memasuki kawasan pendalaman. Ianya berlaku dengan pelbagai sebab dan salah satunya Majlis kematian di rumah panjang. Ahli keluarga dari bandar datang memberi penghormatan terakhir namun pada masa yang sama membawa wabak tersebut. Ada pula kes dimana pengunjung dari luar datang ke kampung untuk membuat kerja-kerja pembangunan projek luar bandar dan akhirnya tanpa sedar membawa virus tersebut.

Perkara sebegini sudah tidak dapat kita elakkan lagi, mahu atau tidak, kita terpaksa hadapi bersama mendepani segala kemungkinannya. Apa yang penting adalah kita perlu disiplinkan diri dengan SOP yang telah ditetapkan.

Sempena Bulan Ramadhan ini, aku bersyukur juga kerana solat terawih dibenarkan dengan mengikut terma SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Wajib memakai pelitup muka, scan Mysejahtera dan jarak saf-saf solat. Memang terbaik walaupun tidak seperti dulu namun kita masih dapat mengamalkan aktiviti seperti selalu cuma menggunakan pendekatan yang berlainan.

Tetapi lain pula kisahnya dengan beberapa negeri yang tidak membenarkan Bazaar Ramadhan beroperasi. Perkara ini sepatutnya diperhati dengan lebih serius dan memerlukan pandangan dari pelbagai pihak kerana ianya melibatkan periuk nasi orang. Tiada pula aku nak menyalahkan sesiapa pun dalam perkara ini dan di kedua belah pihak, punyai alasan masing-masing. Aku pernah ke pasar Malam Bintulu. Pintu masuk ruang Pasar Malam tersebut ada checkpoint. Aliran trafik dalam Pasar Malam tersebut telah di 'setting' semuanya agar lebih teratur.



Seperti kes di atas, ada baiknya RM1.5 juta tersebut digunakan untuk memperketatkan SOP di bazaar-bazaar Ramadhan seperti:

1.Tambahkan bilangan angota RELA kalau tidak cukup anggota, minta bantuan dari Polis atau Tentera yang berpencen untuk membantu dengan memberi imbuhan elaun menjaga Bazaar Ramadhan sahaja. 

2. Tidak dibenarkan membawa anak masuk ke kawasan Bazaar Ramadhan.

3. Wajib memakai pelitup muka. (pengunjung dan peniaga)

4. Pintu masuk dan keluar Bazaar, disediakan tempat mencuci tangan.

5. Di pintu masuk ada 'penjaga' bilangan pengunjung. Kalau melebihi kapasiti muatan maka perlu di tahan dan tunggu orang lain keluar terlebih dahulu.

6. Membuat laluan traffic  (masuk/keluar ) dalam kawasan bazaar.

7. Mewajibkan semua peniaga mengambil suntikan kesihatan dari Klinik.

8.Peniaga diwajibkan 'Swab Test' 2 kali sepanjang berniaga dan ditanggung sepenuhnya oleh Pihak kerajaan. Swab Test mesti di buat sebelum berniaga dan minggu ke tiga Ramadhan.

9. Dan pemantauan berterusan dari pihak kesihatan.



Aku yakin dengan SOP yang ketat kita boleh membuka pasar Bazaar Ramadhan. Kita perlu memikirkan cara yang dapat memberi 'win-win situation'. Ini bukan soal mencari keuntungan sahaja, tetapi tentang ikhtiar hidup para peniaga-peniaga kecil. Kita pun sedia maklum, disebabkan pandemik Covid19 ini, ada yang bekerja tetapi tidak diberi O.T sekadar menerima gaji pokok sahaja. Malah ada yang telah dibuang kerja dan cuma berharapkan bisnes kecil-kecilan sebegini.

Sebab itu dari awal aku katakan, sepatutnya kita berbincang dan mendengar dari semua pendapat dari pelbagai pihak. Apa yang berlaku di atas adalah apabila pengubal undang-undang atau pemberi keputusan cuma memikirkan dari sebelah pihak sahaja, maklum la, mereka senang kerana menerima gaji setiap bulan. Tiada pun pernah merasa penat lelah mencari rezeki berniaga sebegini.

Pasti ada suara-suara sumbang akan berkata:

' Kalau ada positif dalam bazaar tu, baru padan muka'..

Sebenarnya suara negatif sebegini tidak akan membantu kita dalam menempuh kehidupan yang serba mencabar kini. Sebagai contoh, kenapa sepanjang pandemik Covid 19 melanda, majlis-majlis yang melibatkan menteri atau Y.B dibenarkan?.Bukan sekali tapi banyak kali malah di pelbagai tempat pula tu.


Ini kerana mereka yakin dengan pematuhi SOP yang ketat maka peratusan jangkitan dapat diminimakan atau berharap tiada jangkitan.

Berbalik kita pada kes Bazaar  Ramadhan tadi, Ayuh la kita berubah, bak peribahasa orang sekarang ini, 'Move On Bro'. Sudah mendekati 2 tahun kita dengan Covid19 ini, mahu atau tidak, rela atau terpaksa, kita mesti meneruskan Kehidupan ini.



Posted by Pyan Andrea at 02:32 1 comment:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Tuesday, 5 January 2021

Otak dalam lobang

Kisah beberapa artis dan figura di Malaysia yang memakai pakaian Santa Claus, gatal juga aku nak berkomen dalam dalam status FB kawan yang berdiri tegak menyokong pemakaian kostum tersebut tapi aku pendamkan saja kerana FB orang, suka hati dia la nak tulis atau nak share apa yang dia mahu. Paling tak dapat aku layan bila mereka menggunakan  alasan bahawa:

 1. Ianya cuma pakaian, bukan menyembah Tuhan Yesus Kristian pun.

2. Sekadar meraikan perayaan orang lain

3. Dan sebagai tanda saling hormat-menghormati.

 

 Sebelum berhujah jauh, biar aku berterus terang terlebih dahulu, arwah bapaku adalah mualaf dan hingga kini aku masih berhubung dengan keluarga sebelah arwah bapaku seterusnya kebanyakan kawan baikku adalah dari kalangan penganut Kristian itu sendiri. Walaupun kedudukkan aku sebegini, namun ianya tidak membuat pertimbanganku menjadi  berat sebelah. Fakta adalah Fakta..Noktah!!!!

Seterusnya aku nak istiharkan bahwa sebagai orang Islam AKU TIDAK BERSETUJU apabila ada orang Islam memakai pakaian tersebut. Malas aku nak ulasnya dalam jawapan berbentuk Islami kerana apabila aku tulis dalam prespektif pandang Islam pasti ada sahabat non muslim yang membacanya dan akhirnya tidak mampu untuk memahami garis larangan tersebut.

 

Begini saja, izinkan aku wujudkan watak yang bernama En Stephen beragama Kristian sebagai bahan eksperimen dan contoh mudah.

 

En Stephen adalah seorang artis dalam lingkungan kerjayanya pula dikelilingi oleh sahabat muslim. Hari jumaat beliau mengenakan baju melayu cekak musang ke tempat kerja, apabila malam ada kawan ajak melepak di kedai mamak, En Stephen turut sama melepak dengan baju melayu berwarna kuning. Suatu petang ada anak sahabat menyambut birthday dan En Stephen dijemput, beliau mengenakan baju melayu Johor pula. Apabila hari Raya, ramai kawan membuat rumah terbuka, seharian En Stephen memakai baju melayu siap dengan sampin malah sempat singgah kencing di shopping mall dengan ‘complete’ berbusana baju melayu tersebut. Namun beliau tetap mengamalkan ajaran Kristian, adakah perkara 'memakai baju melayu' ini Pelik?

 

Pastinya tidak, kerana baju melayu/ Baju kurung/Baju Batik/ Kebaya itu adalah pakaian kebangsaan sebegitu juga dengan baju Kot (Dark Lounge Suit) yang sering dipakai oleh Y.B dan pegawai kerajaan serta bisnessman. Apakah mereka meraikan perayaan orang lain?..Jawapannya TIDAK!!!

 

Cuba kau duduk melepak di ‘rumah asap’ tepi jalan dengan berpakaian Santa Claus pada tengah bulan Julai atau melenggang berjalan di shopping Mall di bulan Oktober dengan topi Santa Claus di kepala. Pasti banyak mata yang memandang dengan perasaan pelik sebab hakikatnya Pakaian itu CUMA dipakai pada musim perayaan Krismas sahaja.

 

1. Apa tujuan memakai pakaian Santa Claus?

- Kerana menyambut perayaan Hari Krismas.

 

2. Apa pula tujuan meraikan Hari Krismas?

- Kerana menyambut kelahiran Tuhan Yesus.

 

Sekarang adakah kau nampak kenapa Islam melarang penganutnya mengena kostum Santa Claus?


Kerana Islam amat menitikberat soal akidah iaitu Percaya Kepada Allah SWT Tuhan Yang Satu. Apabila kau mengenakan Kostum Santa Claus secara tidak langsung, kau telah mempercayai ada satu lagi Tuhan selain Allah SWT walaupun niat memakai pakaian itu sekadar suka-suka. Kalau tidak dibenteras atau ditegur dari sekarang, berkemungkinan besar di masa akan datang, semakin ramai penganut Islam yang tanpa segan silu memakainya dan melihat perkara ini sekadar picisan dan akhirnya Agama Kristian itu sendiri akan dipandang sama tinggi dengan Agama Islam. Adakah kau tahu apa akan berlaku apabila konsep  setiap agama dipandang samarata?..

Maka jadi la kita seperti perkahwinan di Indonesia, Bapa Islam tapi Isteri Kristian, lahir anak apabila dia cukup menginjak dewasa boleh pula bertukar agama menjadi Buddha...Semoga Allah SWT mencelik matahati kita dari setiap masalah sebegini..Amin.

 

Tapi apabila mereka menjemput ke rumah kerana ada Open house, bagiku tiada masalah. Kita penuhi undangannya atas dasar menjaga kehormonian sifat kejiranan dan setiakawan. Sebahagian ulama  Islam pun ada membenarkan majlis ziarah sebegini. Hadir atas kapasiti jemputan, berpakaian sopan dan bergembira kerana dapat makan bersama maka jelas di situ tiada unsur meng-agungkan Tuhan selain Allah SWT.


Bersama keluarga menghadiri rumah terbuka di luar perkarangan Gereja.

Balik kerja terus dijemput untuk makan biskut. Terima kasih En Epoi atas jemputan.



Posted by Pyan Andrea at 20:39 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest

Wednesday, 16 December 2020

Bukan di kayangan

 Beberapa hari lalu, aku terlibat dengan Program anjuran Majlis Daerah Marudi bersama komuniti dan kali ini lokasi sasaran ialah kampung Long Bemang Tutoh Apoh dan Long Jegan Tinjar Baram. Seperti selalu membuat aktiviti di luar kawasan, untuk menu makanan kami bawa sendiri. Kali ini Long Lama menjadi Stesen pertemuan kerana Long Lama ( centre ) diantara keduanya. Setiap lokasi tersebut mengambil masa 2 jam perjalanan.



Bengkel Innowaste

Laluan jalanraya kedua tempat tersebut amat mencabar maklum saja ianya terletak jauh di pendalaman Sarawak. Kalau ku katakan laluan Long Jegan sungguh mencabar, tak adil juga rasanya kerana laluan ke Long Bemang pun agar mencabar berbukit bukau ditambahkan lagi sekarang ini projek membaiki jalan dari Long Lama- Long Bedian masih berjalan. Keadaan jalannya becak, licin dan banyak lori-lori sawit. Jalan ke Long Jegan banjir sewaktu kami balik ke Long Lama terutamanya di simpang Long Teran. Arus airnya deras jarak laluan banjir sepanjang 60-70 meter dan setinggi paras lutut kaki lelaki dewasa kedalamannya.

Long Bemang adalah perkampungan kaum kayan dan Long Jegan adalah kaum berawan. Walaupun berlainan kaum, namun cara sambutan mereka terhadap kami tetap sama. Mereka meraikan kehadiran kami dengan tangan terbuka. Di Long Jegan, Penghulu Patrick Jelaman mengajak kami ke rumahnya serta menjamukan makanan. Di Long Bemang pula, mereka mengajak kami berpoco-poco sebelah petang selepas aktiviti, ianya ibarat simbolik menyambut kedatangan kami. Aku tidak hairan dengan situasi menyambut tetamu sebegitu kerana ianya sudah sebati dengan budaya kita orang nusantara.

Di rumah Penghulu Patrick Jelaman( rambut putih)

Sebenarnya Long Jegan sudah mempunyai 3 buah rumah panjang. 
- Long Jegan bawah A. (dalam gambar)
- Long Jegan Atas B.
-Long Jegan hulu.

Gelanggang Futsal di hadapan rumah panjang Long Jegan A


En Lawrence Joseph memberi ceramah berkenaan Go Digital dan PANDei

Kampung Long Bemang kini sudah menikmati elektrik stabil dari projek solar berhampiran kampung mereka. Cuma sumber air amat terhad dan mereka berharapkan takungan air hujan. Rumah tempat kami tinggal mempunyai 6 tangki air warna biru dan ianya jauh dari sungai. Walaupun banyak tangki namun kami dipesan oleh Tuan rumah agar tidak membazir air kerana beberapa minggu lepas belum ada hujan dan air dalam simpanan kini semakin kurang. Malam terakhir (2 malam di Long Bemang) kami terpaksa mandi di PD Long Bemang.


Cik Marrie & Cik Graciella Sim pakar Reading seeds manakala cater untuk Program di Long Bemang adalah Pn Noor Melati a.k.a PD Long Bemang ( kanan sekali)


Pn Anna bergosip selakuTuan rumah dan PD Long Jegan

Lain pula kisah di Long Jegan, sumber airnya amat mudah. Di hadapan rumah ada sungai, ada juga sumber air dari Bukit Jegan yang berada di belakang SK Long Jegan yang disalur menggunakan paip plastik di setiap rumah malah kehadiran kami juga di sambut dengan hujan yang agak deras. Kami semua mandi air hujan kerana jambannya jenis terbuka  (tidak berdinding) dan kami mandi dikelilingi tangki air. Masih menggunakan enjin api model Yanmar 6HP. Amat berterima kasih kepada Pn Anna Marie PD Long Jegan tempat kami bermalam kerana membenarkan enjin apinya hidup sehingga awal pagi semata-mata kehadiran kami. Katanya kos untuk sebulan minyak enjin apinya sebanyak RM200-RM300 itu pun setelah dicatu dari pukul 7 petang hingga 10 malam sahaja.




Ucapan alu-aluan dari Cik Gracezilla Umang, Ketua Unit Pembangunan komuniti MDM

Mr. Alex Kalong, berceramah tentang kesedaran kebersihan dan penyakit berjangkit


Gelanggang Futsal di Long Bemang





Beberapa anak muda lelaki khusyuk mengikuti Bengkel Innowaste

Di Long Bemang kami membuat Program di ruai rumah panjang tapi di Long Jegan lokasi Program terpaksa di pindahkan kerana ada ahli keluarga di rumah panjang tersebut meninggal dunia.  Bagi menghormati mendiang dan ahli keluarga si mati maka lokasi Program terpaksa di ubah ke Perpustakaan. Adapun pemilihan ruai rumah panjang  kerana di sana saja ada sumber elekrtrik maka di Long Jegan, kami terpaksa berpanas dan membuat aktiviti tersebut tanpa visual projector screen cuma ceramah seperti biasa. 


Jalan ke Long Bemang

Banjir di simpang Long teran

Ruai rumah Long Jegan A

Sambutan kedua tempat tersebut amat mengalakkan malah di Long Jegan ada beberapa orang bujang mengikuti bengkel Innowaste membuat bunga/pasu dari bahan terpakai. Aku dapati kehadiran yang mengalakkan ini disebabkan tiada perkara yang dilakukan di kampung melainkan kerja kampung dan bercucuk tanam. Jadi MASA itu amat pelahan. Apabila membuat aktiviti sebegini, ramai yang ingin turut serta kerana dapat mengisi MASA tersebut ditambahkan lagi disediakan jamuan sehingga ke petang. Yang bagusnya tempat ini, liputan jalur internetnya kuat walau sekali sekala terputus namun ianya cepat pulih.


Pn Ulau Imang Ketua Unit Perpustakaan MDM memberi tunjuk ajar dalam bengkel Innowaste

Pelbagai perkara yang baru dihadapi namun itu adalah suatu kenangan yang amat manis bila dikenang. 2 malam di Long Bemang dan semalam di Long Jegan sudah cukup menyedarkan aku bahawa kehidupan yang aku keluh kesahkan ini, tidak seperit dan sesusah mereka yang berada di kampung-kampung tersebut. Dari raut wajah mereka, jelas terpampang segala kesusahan ini tidak mematahkan semangat mereka untuk terus hidup. Mereka jelas ketawa, gembira malah suka ditambahkan lagi apabila program ini di pilih di tempat mereka. 

Sebelum berangkat balik, Satu soalan yang amat sukar aku jawab. 

' Bila datang lagi?'

Posted by Pyan Andrea at 22:37 No comments:
Email ThisBlogThis!Share to XShare to FacebookShare to Pinterest
Newer Posts Older Posts Home
Subscribe to: Posts (Atom)

Empunya Empayar

Pyan Andrea
View my complete profile

Blog Archive

  • ►  2015 (29)
    • ►  June (9)
    • ►  July (4)
    • ►  August (5)
    • ►  September (5)
    • ►  October (1)
    • ►  November (2)
    • ►  December (3)
  • ►  2016 (40)
    • ►  January (3)
    • ►  February (3)
    • ►  March (3)
    • ►  April (2)
    • ►  May (4)
    • ►  June (5)
    • ►  July (4)
    • ►  August (3)
    • ►  September (5)
    • ►  October (3)
    • ►  November (3)
    • ►  December (2)
  • ►  2017 (21)
    • ►  January (2)
    • ►  February (3)
    • ►  March (4)
    • ►  April (2)
    • ►  May (1)
    • ►  June (2)
    • ►  July (3)
    • ►  September (1)
    • ►  October (2)
    • ►  November (1)
  • ►  2018 (8)
    • ►  January (2)
    • ►  March (1)
    • ►  April (1)
    • ►  May (1)
    • ►  August (1)
    • ►  November (1)
    • ►  December (1)
  • ►  2019 (17)
    • ►  February (3)
    • ►  April (1)
    • ►  May (2)
    • ►  June (1)
    • ►  July (1)
    • ►  August (2)
    • ►  September (1)
    • ►  November (1)
    • ►  December (5)
  • ►  2020 (10)
    • ►  January (1)
    • ►  May (1)
    • ►  June (1)
    • ►  July (3)
    • ►  August (2)
    • ►  September (1)
    • ►  December (1)
  • ►  2021 (9)
    • ►  January (1)
    • ►  April (1)
    • ►  August (3)
    • ►  September (1)
    • ►  October (1)
    • ►  December (2)
  • ►  2022 (4)
    • ►  January (1)
    • ►  March (1)
    • ►  April (1)
    • ►  October (1)
  • ►  2023 (3)
    • ►  January (1)
    • ►  May (1)
    • ►  December (1)
  • ▼  2025 (11)
    • ►  February (1)
    • ►  March (9)
    • ▼  July (1)
      • Kemarau dan Sungai Baram Sarawak
Simple theme. Theme images by chuwy. Powered by Blogger.