Beberapa hari lalu, aku terlibat dengan Program anjuran Majlis Daerah Marudi bersama komuniti dan kali ini lokasi sasaran ialah kampung Long Bemang Tutoh Apoh dan Long Jegan Tinjar Baram. Seperti selalu membuat aktiviti di luar kawasan, untuk menu makanan kami bawa sendiri. Kali ini Long Lama menjadi Stesen pertemuan kerana Long Lama ( centre ) diantara keduanya. Setiap lokasi tersebut mengambil masa 2 jam perjalanan.
|
Bengkel Innowaste |
Laluan jalanraya kedua tempat tersebut amat mencabar maklum saja ianya terletak jauh di pendalaman Sarawak. Kalau ku katakan laluan Long Jegan sungguh mencabar, tak adil juga rasanya kerana laluan ke Long Bemang pun agar mencabar berbukit bukau ditambahkan lagi sekarang ini projek membaiki jalan dari Long Lama- Long Bedian masih berjalan. Keadaan jalannya becak, licin dan banyak lori-lori sawit. Jalan ke Long Jegan banjir sewaktu kami balik ke Long Lama terutamanya di simpang Long Teran. Arus airnya deras jarak laluan banjir sepanjang 60-70 meter dan setinggi paras lutut kaki lelaki dewasa kedalamannya.
Long Bemang adalah perkampungan kaum kayan dan Long Jegan adalah kaum berawan. Walaupun berlainan kaum, namun cara sambutan mereka terhadap kami tetap sama. Mereka meraikan kehadiran kami dengan tangan terbuka. Di Long Jegan, Penghulu Patrick Jelaman mengajak kami ke rumahnya serta menjamukan makanan. Di Long Bemang pula, mereka mengajak kami berpoco-poco sebelah petang selepas aktiviti, ianya ibarat simbolik menyambut kedatangan kami. Aku tidak hairan dengan situasi menyambut tetamu sebegitu kerana ianya sudah sebati dengan budaya kita orang nusantara.
|
Di rumah Penghulu Patrick Jelaman( rambut putih) |
|
Sebenarnya Long Jegan sudah mempunyai 3 buah rumah panjang. - Long Jegan bawah A. (dalam gambar) - Long Jegan Atas B. -Long Jegan hulu. |
|
Gelanggang Futsal di hadapan rumah panjang Long Jegan A |
|
En Lawrence Joseph memberi ceramah berkenaan Go Digital dan PANDei |
Kampung Long Bemang kini sudah menikmati elektrik stabil dari projek solar berhampiran kampung mereka. Cuma sumber air amat terhad dan mereka berharapkan takungan air hujan. Rumah tempat kami tinggal mempunyai 6 tangki air warna biru dan ianya jauh dari sungai. Walaupun banyak tangki namun kami dipesan oleh Tuan rumah agar tidak membazir air kerana beberapa minggu lepas belum ada hujan dan air dalam simpanan kini semakin kurang. Malam terakhir (2 malam di Long Bemang) kami terpaksa mandi di PD Long Bemang.
|
Cik Marrie & Cik Graciella Sim pakar Reading seeds manakala cater untuk Program di Long Bemang adalah Pn Noor Melati a.k.a PD Long Bemang ( kanan sekali) |
|
Pn Anna bergosip selakuTuan rumah dan PD Long Jegan |
Lain pula kisah di Long Jegan, sumber airnya amat mudah. Di hadapan rumah ada sungai, ada juga sumber air dari Bukit Jegan yang berada di belakang SK Long Jegan yang disalur menggunakan paip plastik di setiap rumah malah kehadiran kami juga di sambut dengan hujan yang agak deras. Kami semua mandi air hujan kerana jambannya jenis terbuka (tidak berdinding) dan kami mandi dikelilingi tangki air. Masih menggunakan enjin api model Yanmar 6HP. Amat berterima kasih kepada Pn Anna Marie PD Long Jegan tempat kami bermalam kerana membenarkan enjin apinya hidup sehingga awal pagi semata-mata kehadiran kami. Katanya kos untuk sebulan minyak enjin apinya sebanyak RM200-RM300 itu pun setelah dicatu dari pukul 7 petang hingga 10 malam sahaja.
|
Ucapan alu-aluan dari Cik Gracezilla Umang, Ketua Unit Pembangunan komuniti MDM |
|
Mr. Alex Kalong, berceramah tentang kesedaran kebersihan dan penyakit berjangkit |
|
Gelanggang Futsal di Long Bemang |
|
Beberapa anak muda lelaki khusyuk mengikuti Bengkel Innowaste |
Di Long Bemang kami membuat Program di ruai rumah panjang tapi di Long Jegan lokasi Program terpaksa di pindahkan kerana ada ahli keluarga di rumah panjang tersebut meninggal dunia. Bagi menghormati mendiang dan ahli keluarga si mati maka lokasi Program terpaksa di ubah ke Perpustakaan. Adapun pemilihan ruai rumah panjang kerana di sana saja ada sumber elekrtrik maka di Long Jegan, kami terpaksa berpanas dan membuat aktiviti tersebut tanpa visual projector screen cuma ceramah seperti biasa.
|
Jalan ke Long Bemang |
|
Banjir di simpang Long teran |
|
Ruai rumah Long Jegan A |
Sambutan kedua tempat tersebut amat mengalakkan malah di Long Jegan ada beberapa orang bujang mengikuti bengkel Innowaste membuat bunga/pasu dari bahan terpakai. Aku dapati kehadiran yang mengalakkan ini disebabkan tiada perkara yang dilakukan di kampung melainkan kerja kampung dan bercucuk tanam. Jadi MASA itu amat pelahan. Apabila membuat aktiviti sebegini, ramai yang ingin turut serta kerana dapat mengisi MASA tersebut ditambahkan lagi disediakan jamuan sehingga ke petang. Yang bagusnya tempat ini, liputan jalur internetnya kuat walau sekali sekala terputus namun ianya cepat pulih.
|
Pn Ulau Imang Ketua Unit Perpustakaan MDM memberi tunjuk ajar dalam bengkel Innowaste |
Pelbagai perkara yang baru dihadapi namun itu adalah suatu kenangan yang amat manis bila dikenang. 2 malam di Long Bemang dan semalam di Long Jegan sudah cukup menyedarkan aku bahawa kehidupan yang aku keluh kesahkan ini, tidak seperit dan sesusah mereka yang berada di kampung-kampung tersebut. Dari raut wajah mereka, jelas terpampang segala kesusahan ini tidak mematahkan semangat mereka untuk terus hidup. Mereka jelas ketawa, gembira malah suka ditambahkan lagi apabila program ini di pilih di tempat mereka.
Sebelum berangkat balik, Satu soalan yang amat sukar aku jawab.
' Bila datang lagi?'
No comments:
Post a Comment