Translate

Tuesday, 21 February 2017

Andai Indu Negro membusanakan "Ngepan"


Pertama kali aku melihat di akhbar tempatan, aku sudah menjatuhkan hukuman ‘bersalah’ terhadap cara pemakaian sebegini. Aku terus mencari sumbernya di internet dan laman Facebook. Dari rata-rata komen netizen, ramai yang menyokong tindakan kumpulan pelawak tersebut mengenakan busana pakaian Tradisional kaum Iban dengan alasan secara tidak langsung mereka telah:

i) Mengetengahkan keunikkan pakaian dan keindahan busana Iban tersebut di kaca TV.

ii) Membantu mempromosikan Sarawak.



Dari Point yang diberikan, ada benarnya juga segala alasan tersebut. Kenapa perlu melenting dengan perkara yang sebegitu remeh? Namun begitu, ramai juga yang membantah cara berpakaian kumpulan tersebut, dengan alasan busana ( Ngepan indu ) yang dipakai cuma untuk wanita sahaja tapi pihak yang menyokong membalas dengan alasan:

Ramai juga Pelawak dan pelakon mengenakan pakaian perempuan (baju kurung) sewaktu membuat persembahan, tidak juga kaum Melayu yang mendominasi Rancangan tersebut bising. Sebelum ini, kumpulan tersebut pernah juga ‘melawak’ dengan pakaian tradisi cina (Tarian Singa), tidak pula masyarakat cina melalak hingga membuat laporan Polis.

Aku yakin ada sesuatu yang SALAH dalam kes ini, aku orang Sarawak dan juga berdarah Iban dari sebelah bapa, aku tercium sesuatu yang amat canggung namun belumku temui jawapannya hingga ke satu tahap, aku bagaikan redha dalam keterpaksaan atas kejanggalan pemakaian tersebut.

Aku perlu berfikir lebih dalam lagi, lebih kritis dan membuka semua pintu-pintu sumber ilmu yang pernahku baca termasuk laluan pengalaman dalam kepala otakku untuk mencari jawapannya. Akhirnya, baruku temui KATAKUNCI untuk menidakkan cara pemakaian tersebut iaitu:

Unsur Spiritual a.k.a berciri keagamaan

Untuk memudahkan pemahaman, kita andaikan Kumpulan pelawak lelaki tersebut membuat persembahan mengenakan kostum bertelekong (kain putih solat wanita) sambil melompat dan melalak di pentas dan membuat aksi tikar terbang dengan menggunakan sejadah. Kalau aku menggunakan cara fikir netizen yang menyokong di Laman FB, aku akan menggunakan alasan:

i) Mengetengahkan keunikkan pakaian dan keindahan busana Melayu  tersebut di kaca TV. ( Telekong putih adalah tradisi masyarakat Nusantara sahaja, kalau bersolat di timur tengah, kebanyakkan wanita menggunakan kain/purdah  hitam)

ii) Membantu mempromosikan Agama Islam,

atau mengenakan kostum baju kuning Tok Sami Buddha dengan kalong besar berbelit di leher dan melompat serta mulut mencarut dengan perkara yang bodoh sambil  membaca jampi sebarangan. Rasanya tidak salah sebab:

i) Untuk mengetengahkan keunikkan dan keindahan cara ibadat kaum cina di kaca TV dan,

ii) Membantu mempromosikan agama tersebut

iii) Atau membantu melariskan penjualan kain warna kuning.

Aku yakin, dalam masa seminggu, pasti ada surat saman menjengah di pintu rumah mengajak ke Mahkamah atas dakwaan mempersendakan Adat dan agama lain.

Bagi kaum Iban, Busana Ngepan Indu itu mempunyai ciri-ciri Spiritual sama seperti kain putih telekong & baju Tok sami, (bercirikan keagamaan) kerana berdasar kepada kepercayaan kaum tersebut, Ngepan indu tersebut hanya dipakai oleh dewi Kumang ( Ratu/Tuan Putri ) dan para dewi , Cuma WANITA sahaja!!!.

Di zaman dahulu, pemakaian Ngepan indu hanya dipakai sewaktu upacara ritual, bukan untuk  suka-suka. Namun di atas peredaran zaman, pakaian tersebut telah dikontemporarikan sebagai pakaian untuk Majlis besar dan menari sahaja di zaman milenium ini.

Aku tertarik dari ulasan Dr. Patricia Ganing, pensyarah dan pengkaji sosiobudaya masyarakat Iban di UPSI yang mengatakan:

 “Malah kalau zaman dahulu, untuk menenun kain ini pun ada ritualnya. Corak yang dihasilkan pada kain pun, diturunkan oleh dewi kepada manusia melalui mimpi. Bukan sesuka hati sahaja untuk menghasilkan corak pada kain. Sehingga ke hari ini pun, komuniti Iban masih mengamalkan kepercayaan tradisional mereka dimana mereka perlu mengadakan upacara penyembahan atau miring. Masyarakat Iban percaya, kalau tiada persembahan atau piring si penenun akan jatuh sakit atau mendapat malapeteka yang lain” katanya.

Jelas dan sungguh nyata, setiap perkara yang berlaku dalam masyarakat Iban, ianya mempunyai panduan dari kepercayaan mereka dahulu, kalau menenun kain pun memerlukan ‘manang’ sebagai penantaraan manusia dan ‘Petara’ apatahlagi memakai ngepan indu yang mempunyai unsur keagamaan dan kepercayaan pagan Masyarakat Iban dahulu kala. Ianya bukan isu lelaki memakai pakaian wanita tapi lebih menyentuh isu yang menganggu sensitivity KEPERCAYAAN  kaum tersebut. 





Monday, 20 February 2017

Semalam itu, memang hangat


 Dengan keterbatasan waktu, aku kini mula jarang mencoret kisah di lembaran kaca ini. Di tambah dengan ketiadaan idea untuk diluahkan dicampur pula dengan ‘penyakit malas menulis’ semakin menular, akhirnya blog aku semakin kurang diterjah. Tapi setelah aku terdengar lagu 'Semalam yang hangat' nyanyian kumpulan Wings ( Penulis Lagu & lirik JS Kevin ) di Radio tempatan, aku teringat satu kisah tentang  Video tape.

Tahun 1993-1995 aku memang layan WWE Gusti. Hulk Hogan, Jack The Snake Robert, The Ultimate Warrior, Andre the Giant, Undertaker dan banyak lagi la. Watak wrestler ini sehingga kini aku masih ingat. Dalam seminggu aku akan menyewa sebanyak 3 kaset gusti yang ‘latest’. Di Marudi tika itu, ada 2 kedai memberi ‘servis’ menyewa Video tape ini. Salah satunya Menard Trading dan masih kekal hingga kini kedai tersebut cuma bertukar barang bisnes. Sekarang ini lebih banyak menjual peralatan sekolah.



Setiap kali aku datang mencari Video tape baru, Taukenya akan mencadangkan yang terkini namun apabila tiada video Tape Gusti yang terkini, dia akan mencadangkan aku untuk menyewa cerita movie Hindustan pula. Harga sewa untuk satu Tape video ini, aku kurang ingat, satu tape video mungkin dalam lingkungan RM 3 – RM7 ringgit untuk seminggu.

Pertengahan tahun 90-an, aku baru habis SPM dan belum punyai kerja yang stabil. Setakat membantu membancuh simen, mencangkul tanah, menyorong kereta sorong jadi buruh kasar dan bermandi peluh mencari belanja sendiri, itu sudah lumrah kebanyakkan anak-anak desa tika itu. Bergaji RM12-RM15 sehari dan andai air sungai mendadak surut, maka bertukar ‘jawatan’ ku menjadi nelayan separuh masa. Waktu itu, rokok Djarum boleh bertukar ke Marlboro tapi sekejap je….

Orang yang bertanggungjawab menjadikan aku ketagih dengan WWE ini,  adalah Pakcik aku sendiri. Bertubuh sasar bekas pekerja kem kayu balak memang padan dia minat aksi Gusti ini. Hingga Kawan baikku mengelarkannya sebagai Hulk Hogan Kpg Narum. Beliau sering memberi duit sewa untuk mendapatkan video tape ini.



Lagu ‘Semalam yang hangat’ sebenarnya amat sinonim dengan satu kisah yang bersangkut paut tentang video tape ini. Al kisah di mana masa telah menjangkau jam 12 tengah malam di satu malam minggu, selepas mendengar lagu Wings tersebut di corong Radio pada ketika itu yang amat meletop dalam carta Muzik Radio tempatan, kami bergerak ke pasar atas jemputan seorang kawan yang berkerja di Hotel bajet di Pekan Marudi. Katanya nak ajak kami lepak sambil menonton cerita Gusti di Tv kaunter. Biasa la Hotel Bajet, boleh dibayangkan keadaan kaunternya. Cuma ada TV, video player, resit dan telefon di atas meja manakala di dalam lokernya pula cuma beberapa helai tuala nipis yang kemas telah dilipat, beberapa ketul sabun dan sebungkus besar Milo dan Nescafe 3 in 1 serta makanan ringan.

Apabila kami sampai, aku melihat sudah awal 4 orang kawanku telah duduk di kaunter. Duduk tertib tak berbunyi. Mata sayu melihat kaca TV. Di beri salam pun tidak membalas. Bersusun tinggi Tape video di atas kaunter. Pasti ada aksi Hulk Hogan dengan Andre the Giant yang terkini atau tidakpun ada Jimmy super fly bertarung dengan The Macho Man Randy Savage. Aku amat minat dengan The Macho man ini.  Mungkin perlawanan Gusti yang mereka tontonkan itu sungguh mengujakan.

‘Siapa lawan?’. Soalku namun tiada balasanku terima. Apabila aku masuk duduk di ruangan Kaunter, rupanya Gusti di tilam yang sedang berlangsung. Patut mereka diam membisu, malah kerap kali juga masuk keluar jamban. 

Bermula rutin setiap minggu, habis dengar lagu ‘Semalam yang hangat' atau selepas jamming, kami akan ke Hotel tersebut melihat Gusti sehingga suatu hari tauke Hotel bising seakan tahu kehadiran kami apabila sebungkus besar Milo dan Nescafe 3 in 1 sentiasa habis setiap minggu. Waktu itu belum ada CCTV.  Roti  dan Mee segera yang dibekalkan untuk pekerjanya pun, habis licin. Kawan yang bekerja di Hotel tersebut kena "goreng' tauke. Dapat gaji, dia terus merantau ke Miri. Selepas itu, kami nekad tidak ke Hotel itu lagi, tiada lagi melihat Gusti. Hidup aku diteruskan dan sungguh sepadan dengan senikata lirik Lagu Tiara olahan kumpulan Kris.

Kenapa la aku terdengar Lagu itu tadi, ianya telah membuka kisah yang lalu…








Sunday, 19 February 2017

Penjuru itu aku mengenal muzik

Artikel asal dari laman Facebook aku sendiri namun ada sedikit penyesuaian untuk meng-indah-kan lagi lenggok bahasanya.

Lama rasanya sudah tidak bersembang dengan Legendarys Gitaris Dukun Dahudin Dumbi pasal muzik. Kalau dulu, setiap hari, pasti ada kelas unformal 2 sesi pasal muzik ini. Sesi pertama selepas balik sekolah dan keduanya selepas makan malam dan boleh menjangkau hingga dinihari. Zaman itu sahaja aku sempat melihat budak-budak Rocker berseluar Jeans koyak di lutut masih duduk mencangkung di tepi jalan sambil melalak Lagu Rock kapak dengan gitar kapok digenggam erat di tangan.

Namun tika ini, lagu yang berkumandang di corong radio, ada sesuatu yang mudah diteka dan iramanya hampir sama. Bagi yang betul-betul mempelajari muzik mesti dah faham kenapa. Kebanyakkan lagu sekarang menggunakan chord progression yang agak cliche/sering digunakan. terutma sekali lagu Najwa Latif.

Macam 'template' yang boleh digunakan berkali-kali. Cuma tukar lirik dan key lagu. Mereka menggunakan melodi yang paling senang untuk di hadam bagi chord progression ini. Setiap chord progression yang lengkap mempunyai voicing dan melodi tersendiri, lalu menyebabkan melodi tu senang diteka.

Untuk mengelak Lagu itu menjadi cepat bosan didengari, maka ada sedikit pertukaran dari segi progression agar mendapat melodi yang tidak cliché atau menggunakan instrumen yang exotic dan peralatan muzik yang tidak selalu di dengar. Chord kedua-dua lagu ini tidak sebiji, cuma apabila diubah minor/major beberapa chord menggunakan Circle of Fifth, boleh dapat melodi yang sama dan berurutan cuma semakin mengujakan apabila ditambah dengan bass lebih berbunga, timing dan tempo lagu, penggunaan scale selain pentatonic/major dan permainan lead guitar yang menggunakan melodi fusion atau yang tidak selalu didengari sebelum ini.

Teringat Lagu Biru mata hitamku dan Bernafas dalam lumpur dari WINGS yang menggunakan melodi dan chord sebegini. Sebegitu juga Band Rock ACDC dari Australia. Membuatkan orang tidak perasan kerana muziknya menjurus kepada genre Rock. Seterusnya kekuatan Lagu itu bergantung dengan cara penyampaian atau liriknya lagi.

Pendengar muzik macam aku ini, tidak dapat menerima Lagu yang berentak fast moden terkini yang sentiasa berulang Tempo, muzik dan melodinya. Mungkin aku seorang yang buta seni atau mungkin aku yang sudah ditinggal zaman kini.