(Semua photo bersumber dari internet)
Tak terasa masa berlalu, pejam celik,
ajal maut, jodoh pertemuan semuanya di atur Tuhan. Kali ini, entri aku mengajak
untuk berfikir tentang cerita drama dan filem di kaca TV kita. Merenung apa
yang kita lihat dan pelajari serta kesan untuk minda kita !!!
Perasankah kita, filem dari Hollywood
sudah jauh berubah corak jalan ceritanya. Ianya bukan setakat ‘fighting’
seperti selalu tapi jalan ceritanya semakin berat. Mungkin ini adalah hasil
penelitian setiap Pengarah filem barat dengan filem yang diiftiraf dalam Cannes
Film Festival. Mereka memerhati dan mempelajari ‘postmortem’ dari setiap filem yang
menang di festival tersebut. Mereka kini sudah hebat dalam membina konflik untuk
setiap filem yang dibuat hingga mengajak kita bersama untuk berfikir sewaktu menonton dan sentiasa
menanti jawapan kesudahannya. Aku mukadimah entri ini dengan filem dari barat dahulu.
Agar untuk memudahkan pembaca faham perjalanan entri ini dan memudahkan lagi
aku untuk menerangkan isi sebenar topik kali ini.
Bila sebut Superhero, memang Amerika
jaguh dalam melahirkan watak pelik begitu. Aku yang dari kecil memang sudah
mengenali watak Superman, Batman dan sebagainya. Walaupun watak Superhero ini
lebih sekadar hiburan untuk kanak-kanak pada awal kemunculannya, namun kini, watak
hero tersebut semakin matang dan ‘didewasakan’.
Misalnya dalam Filem Francias Batman, aku suka Filem Batman penghujung tahun
1989-1992 yang dibintangi oleh actor Micheal Kreaton dan Trilogi Batman yang
terbaru The Dark Knight rises watak Batman yang di hidupkan oleh Christian
Bale.
Aku sengaja angkatkan nama dua Aktor
ini kerana Filem Batman yang dibawa oleh mereka memiliki keunikan untuk tatapan
orang dewasa. Banyak lagi Filem francias Batman, tapi semuanya tahap pemikiran
budak sekolah rendah sahaja. Sebegitu
juga dengan Filem Superman yang terbaru. Penuh dengan plot cerita dan aksi yang
Maha hebat hingga kita sudah lupa yang lawak awal kewujudan Superman dulu
menggunakan seluar kecil di luar. Filem sebegini bukan lagi tatapan budak
sekolah, tapi sasarannya orang dewasa yang punyai pemikiran aras tinggi
namun ada juga orang dewasa yang masih seakan belum matang pemikirannya..hehehe
Sebegitu juga filem yang terbaru
Tarzan, ianya sungguh jauh dari jalan cerita epik yang selalu kita baca dan
lihat di kaca TV. Nampak jelas di sana, pengarah atau tukang cerita mempunyai
satu kemahiran berfikir di luar kotak normal akal. Filem yang menceritakan kisah
Tarzan yang sudah kembali ke tamadun manusia dan terpaksa balik ke ‘dunia’
asalnya untuk menyelamat tempat kediaman ‘rakyat rimbanya’ dari dimusnahkan
oleh orang luar.
Filem Avenger, X-men, Thor, Pasific
Rim, John Cater dan seangkatan dengannya lebih kepada peperangan dengan mahluk
asing. Kekuatan filem sebegini di
fokuskan kepada plot-plot jalan ceritanya. Kalau berterusan berperang dari mula
hingga akhir, lebih baik tengok cerita combat. Dibantu oleh efek grafik,
membuatkan setiap kali peperangan seakan-akan asli benar belaka. Namun yang
ditekankan adalah kesinambungan plot konflik untuk dikaitkan dengan jalan
cerita seterusnya. Sebab itu Filem God of Egypt tidak berjaya walaupun efek
grafiknya sungguh menawan. Filem tersebut terlalu mudah untuk diduga perjalanan
ceritanya.
Pastikan konflik yang dibangkitkan
itu, memerlukan penonton untuk berfikir, seperti dalam Filem Life of Pi.
Walaupun watak utamanya seorang budak dan seekor harimau lapar hanyut di tengah
lautan. Tapi kekuatan cerita ini adalah konflik di antara mereka dan ikhtiar
hidup masing-masing. Sebegitu juga Filem The Revenant. Plot jalan cerita yang
dibina sungguh menguji akal dan semakin menguja apabila cara ikhtiar hidup
selepas Heronya dilakon oleh Leonardo Dicaprio cedera parah diserang beruang.
Kunci kejayaan filem antarabangsa
adalah pembinaan plot-plot cerita yang menarik, melahirkan konflik dan mengajak
penonton untuk bersama menyelesaikannya. Filem sebegini lebih memberi kesan
dihati.
Aku sudah banyak menonton filem
antarabangsa dan Filem yang amat ‘legend’ masih tidak dapat aku lupakan adalah
Filem Predator, hero lakonan Arnorld Schwarzenegger di keluarkan pada tahun
1987. Sebab itu, dalam FB aku dalam ruang MOVIES, aku klik Likes Filem Predator. Bukan ada efek khas pun dalam filem itu, cuma bertembak tak tentu pasal
dan para pelakonnya cuma 8 orang termasuk wanita yang tak sampai 20 minit pun
hadir dalam filem tersebut. Membuatkan filem
ini memberi impak yang cukup mendalam disebabkan kita tidak terbayang
pun akan maju dan hebatnya kelengkapan Mahluk dari luar angkasa lepas ini. Pengarah
filem itu telah membawa sesuatu yang baru, peralatan senjatanya mendahului
zaman. Bayangkan dalam tahun 1987, pengarah filem telah melengkapkan Senjata
yang Super hebat untuk watak Predator
tersebut. Penonton diajak untuk berfikir bagaimana hendak membunuh mahluk
tersebut. Waktu itu, belum didedahkan ilmu persenjataan tentera berkenaan
Penembak tepat menggunakan cahaya laser. Jauh lagi penggunaan sistem penyamaran
canggih yang dimiliki Mahluk dari angkasa ini. Dengan kualiti topeng yang mampu mengesan kehadiran haba dan
memiliki tubuh yang amat besar malah lebih 1 kaki tinggi dari tubuh Arnold itu
sendiri sedangkan Arnold juga berbadan besar, bekas Juara Bina badan pemenang tujuh kali gelaran "Mr
Olympia". Ini yang membuatkan penonton bekerja
memerahkan otak untuk mencari pelbagai andaian cara membunuhnya. Plot serta
konflik cerita tersebut secara tidak langsung
mampu membuatkan para penonton untuk terus duduk diam hingga ke akhir
cerita dan berdebar menanti kesudahannya.
Secara jujurnya, aku tidak mengikuti
sangat perkembangan dunia perfileman Malaysia. Filem keluaran Malaysia terakhir
yang aku lihat adalah Filem Polis Evo lakonan Artis serba boleh Zizan Razak.
Aku terpanggil untuk duduk di dalam wayang melayan filem ini disebabkan filem
ini sahaja yang paling kurang cinta-cintun. Mungkin 3% sahaja, itu pun bab bermain
mata antara Inspektor Khai dan Nora Danish sewaktu makan di rumah Inspektor
Hasani. Itu saja. Filem barat juga banyak adegan yang berahi, namun kita harus faham, itu adalah budaya setempat hidup mereka. Tapi filem kita sudah berani melampaui batas. Adegan pakaian ketat serta berpelukan membanjiri drama dan filem kita.
Ingat !!!, itu bukan budaya setempat kita..
Bukan aku kedekut nak belanja lebih untuk
masuk wayang melayan filem Malaysia atau membeli DVD filem buatan Malaysia tapi
aku rasa tidak berbaloi membazir duit apabila aku dihidangkan dengan filem yang
sungguh lemah jalan ceritanya.
Drama cerita melayu TV3 jam 7:00
malam???....bagi aku, ianya merosakkan anak bangsa. Filem atau drama orang
putih, pasti anak bujang dan dara kita, jarang hendak menontonnya disebabkan mereka
kurang memahami bahasanya walaupun sudah ada ‘translation’, jadi mereka melayan
drama melayu yang apabila semakin dilayan membuatkan mereka semakin leka dengan
jalan ceritannya yang sempoi dan tidak memerlukan akal untuk berfikir. Pengarah
drama yang tidak teliti. Berkisar tentang kehidupan orang kaya sahaja, tiada masalah lain yang diketengahkan, melainkan masalah cinta, kalau cerita seram, tipikalnya pasti
dapat dibayangkan hantu pakai baju warna putih rambut panjang sebegitu juga
cerita komedi. Memang benar, cerita komedi bertemakan santai, tapi perhaluskan
lagi jalan ceritanya, jangan nampak sangat kedunguannya. Drama sebegini telah melahirkan generasi yang
malas menggunakan akal. Bayangkan filem TEMPATAN yang penuh dengan adegan aksi pertarungan boleh mempengaruhi kehidupan seseorang seperti dalam kisah tertulis di suratkhabar ini.( dalam petak kuning ) Tidak mustahil, ada juga yang telah menjadi En.Sotong, isteri pemarah gile, suami cemburu buta, mak mentua sewel dan yang terbaru, ada lagi hebat tajuk dramanya, ' Girlfriend aku, dari Neraka '.
Mahu kah kita melihat anak-anak kita mengikut jejak watak tersebut?
( klik untuk besarkan gambarnya )
Sungguh tidak realistik dengan dunia realiti melayu
kini. Parang tajam berkilat, kalau tidak
diasah, lama kelamaan akan tumpul juga. Sebegitu juga dengan akal ini, kalau
terus di’beku’kan atau didedahkan dengan perkara yang tidak berfaedah, ianya
membuatkan akal itu semakin berkarat dan akhirnya sudah terbiasa dengan cara berfikiran
malas sebegitu.
Selari juga dengan Filem Malaysia yang
kebanyakannya berunsur khurafat, cinta-cintun mengarut, melawak tak tentu pasal
namun ada juga yang bagus. Kalau boleh aku nisbahkan dari 20 cuma 1 sahaja
filem yang berkualiti. Mungkin ‘skema pemarkahan’ nilai sesebuah filem terlalu
tinggi untuk tahap aku, jadi banyak filem terpaksa di tongsampahkan, iaitu filem
atau cerita yang tidak memenuhi kriteria pemarkahan, keluar dari konsep dan
kontek dan yang paling sedih tiada satu pun impak positif yang diperoleh. Aku
harus sedar juga, tahap pemikiran dan selera setiap insan berlainan. Jadi,
siapa yang tidak sependapat denganku, anggapkan saja apa yang aku tuliskan ini sebagai bahan ‘tongsampah’ anda.
Mengimbau kembali saat aku masih
berstatus bujang dulu. Dalam tahun 1996 ada satu animasi yang paling aku suka
selain Dragon Ball. Animasi buatan tempatan yang bertajuk KELUANGMAN. Filem
animasi superhero Keluangman ini mempunyai sedikit persamaan dengan filem animasi
superhero Barat, iaitu Batman tetapi plot-plot filem animasi Keluangman lebih
kepada berunsurkan budaya masyarakat nusantara.
Hero yang bernama Borhan tinggal di Hospital
Bahagia. Beliau jaguh silat namun sewaktu pertarungan kepalanya telah dipukul
menyebabkan beliau hilang ingatan dan dituduh gila. Tidak memiliki superpower
pun, tapi punyai sifat kejujuran. Dalam jalan ceritanya ditanam pelbagai nilai
murni masyarakat setempat seperti perpaduan, tolong-menolong dan sebagainya.
Tempat tinggal dan bilik operasi
Keluangman ini di rumah sakit mental. Borhan sengaja memilih lokasi tersebut
agar penjahat, polis dan peminat misteri iaitu seorang wanita selaku wartawan
akhbar tidak dapat mencarinya. Tentu la orang
tidak akan mencari di lokasi tersebutkan? Superhero mesti la tempatnya
esklusif. Tapi lain pula untuk watak Keluangman ini yang memilih tempat tawanan
pesakit orang yang bermasalah mental a.k.a gila. Batman ada Robin Hood,
Superman ada Superwoman maka Keluangman pun ada temannya yang di beri nama
Tiongman@Samad. Siang hari mereka
berperwatakan gila namun malam mereka akan keluar menyelesaikan masalah.
Walaupun seakan mudah saja jalan
ceritanya, namun pernahkan kita terfikir, orang normal menyembunyi identiti dan
bersembunyi di rumah orang sakit mental???..hebat kan cara seorang Pengarah
yang berfikiran kreatif dan kritis. Plot cerita yang berkaut dan berpusing
membuatkan Keluangman ini seronok untuk ditonton.
Tiba-tiba aku rasa rindu dengan animasi
Keluangman ini. Beruntung kerana sempat mengenali kereakter tersebut. Keluangman
sangat popular ketika itu. Bagi aku, Keluangman filem animasi superhero terbaik
yang pernah dikeluarkan Malaysia walaupun aplikasi yang digunakan agak ketinggalan zaman, Keluangman merupakan
animasi tempatan pertama yang menggabungkan animasi 2D dengan latar belakang 3D
dan memang sukar menghasilkan gerak animasi dan gerak kamera dalam animasi
tersebut. Hasilnya tidak begitu
kemas dan kadangkala menampakkan keganjilan dalam sesetengah babak, namun tenaga
pekerjanya wajar mendapat pujian atas kesungguhan dan semangat dalam
menghasilkannya. Banyak juga filem animasi barat lebih hebat kualiti grafiknya ketika itu, tetapi Keluangman tetap menjadi pilihan. Selain dari penggunaan Bahasa Melayu
dalam animasi Keluangman, kepentingan dalam pembinaan plot dan konflik cerita
juga perlu di titikberatkan, apa lagi yang dapat aku nak kata, melainkan aku
juga peminat filem buatan tempatan dengan syarat, ianya mesti padat dengan kualiti dalam setiap tayangan.