Translate

Wednesday, 30 September 2015

Kesalahan yang sama,( curi ) tapi hukuman yang berlainan

Membelek Suratkhabar di awal pagi, mencari mukasurat berkenaan  bacaan IPU Jerebu, terlihat khabar yang memerlukan akal yang kritis untuk menilai. Kalau setakat membaca sepintas lalu, memang tidak perasan tentang perkara ini.

Bertarikh dan keluaran suratkhabar tempatan yang sama, dengan berakhir keputusan dalam Kes Mahkamah  KECUALI situasi kes yang berlainan.







Mungkin aku masih hingusan dalam selok belok perjalanan mahkamah, sebab banyak sudut yang harus difikirkan untuk menjatuhkan sesuatu hukuman oleh para juri dan hakim. Namun dasar setiap keputusan sepatutnya bergantung dengan kecil  atau besar kesalahan yang dilakukan.

Contoh yang paling mudah:

Seorang budak kecil ditangkap kerana mencuri buah epal. Apabila disoal, didapati dia sudah 2 hari tidak makan. Dia tetap dihukum kerana perkara yang salah tetap salah ( mencuri ) , namun hukumannya tidak membawa sampai potong tangan atau sebat 100 kali. Cukup sekadar tarik telinga atau gertak dengan kata-kata nasihat yang berguna. Hukumannya menjadi ringan disebabkan niatnya untuk mencuri bukan disebabkan untuk menjadi kaya, tapi desakan perut yang lapar.

Lain pula dengan kes seorang bujang trang tang-tang, ditangkap mencuri lembu. Apabila disoal, didapati dia  ingin menjual lembu tersebut untuk mendapatkan duit bagi melepaskan gian dadah. Terserlah keadilan melalui kehakiman apabila jika dibanding dengan kes budak kecil tadi, hukuman yang diterima oleh Si bujang trang tang-tang sepatutnya semakin berat. Kerana berniat mencuri untuk kepentingan dan keseronokannya sendiri dan gantirugi kerugian yang besar bagi pihak yang dicuri ( Pak gembala lembu )



Berbalik kepada cerita dalam Suratkhabar ini:

Seorang penganggur yang mencuri sekeping Mykad, lessen memandu, kad ATM, kad RELA dan RM150 dalam satu dompet dibanding dengan bekas menteri besar yang “mencuri”  menggunakan kuasa kedudukannya untuk memperoleh 2 lot tanah dan sebuah banglo.  Ada sesuatu yang tak betul di atas keputusan kes ini . Nilai keuntungan itu mencecah jutaan ringgit.

Sepatutnya kesalahan yang kecil maka hukumannya juga kecil dan kesalahan yang besar maka hukumannya mesti besar. Apa beza  dijatuhi hukuman dipenjara 1 tahun VS dipenjara 12 bulan???

lain kali, baik merompak dengan nilai jutaan ringgit di bank daripada meragut beg tangan makcik Limah yang berjalan melenggang nak ke pasar basah mencari ikan bawal.

Kalaupun si Penganggur tersebut menjual segala barang curinya itu (sekeping Mykad, lessen memandu, kad ATM,kad RELA ), ianya masih juga tidak mencecah jutaan ringgit. 

Teringat pesan Nabi Muhammad SAW dalam hadisnya:

Baginda bersabda:
"Adakah kamu ingin memberi syafaat (memohon diringankan hukuman) dalam perkara hudud (hukum-hukum yang telah diputuskan oleh Allah)? Sesungguhnya telah binasa golongan terdahulu kerana apabila para pembesar melakukan kesalahan, mereka tidak dikenakan hukuman, tetapi apabila rakyat biasa yang lemah melakukan kesalahan, rakyat tersebut terus dihukum. Demi Allah, sekiranya Fatimah anakku mencuri, nescaya aku pasti akan memotong tangannya!"


[Hadith riwayat Bukhari dan Muslim]

Kes di atas sedikit sebanyak ada tersangkut dengan hadis ini. Bekas Pak menteri tersebut ‘tidak dikenakan hukuman yang setimpalnya’. Jelas dalam sistem keadilan Negara ini ada double standard. Keadilan yang dapat di beli dengan jasa & wang.



Atau, cuma aku seorang saja yang melalak terhegeh dengan perkara ini disebabkan aku TIDAK FAHAM dengan prosedur standard dunia kehakiman.


Monday, 28 September 2015

Jamuan tengahari Ikan Empurau RM600 sekilo


Pertengahan bulan September, ada perlawanan bolasepak untuk Dun Telang Usan sahaja anjuran ranting PBB Telang Usan. Sebanyak 20 pasukan mengikuti pertandingan ini untuk kategori lelaki dan perempuan. Bermain dalam masa 10 minit sebelah sebanyak 9 pemain sahaja.

Aku bukan nak ceritakan berkenaan pertandingan tersebut. Aku nak kongsikan sesuatu yang sungguh istimewa  dimana Ya Salam Restaurant telah diamanahkan untuk menyediakan Jamuan untuk VVIP iaitu Y.B Dato Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof selaku menteri Kerja Raya Malaysia dan Beliau juga Ahli Majlis Tertinggi dalam Parti terbesar di Sarawak iaitu PBB.

Dengan notis yang singkat dari Y.B Dennis Ngau, aku bersama Isteriku terkial-kial mencari barang menu dengan senarainya semua jamuan ala kampung. Aku baru balik dari Mesyuarat Marudi, terus ke Miri mencari bahan-bahan tersebut.

Mengalan ( Atas ) & empurau ( bawah )



Udang galah sungai Baram Sekilo RM 70.00


Standard menu kampung, pucuk ubi


Ikan Empurau seberat 3 kilo dihantar oleh sahabat Y. B Dennis Ngau dari Long San bersama ikan Mengalan. Aku di fahamkan oleh pakar  harga ikan, mengatakan bahawa yang terkini harga sekilo ikan empurau ini bernilai RM600.00…perghhhhhhh…Di masak cara kukus hingga kuali kukus pun tidak cukup untuk memuatkan bahagian sisip ekornya.







Yang menariknya, satu lagi rekod tercipta dalam dunia bisnes Restaurant Ya Salam Long Lama.


Sunday, 27 September 2015

Takbir Raya Aidiladha di Long Lama

Tahun 2015, aidiladha jatuh bertepatan pada tarikh sekolah bercuti. Sahabat guru yang sering menjadi Imam semuanya balik ke kampung untuk kali ini.

‘ Dah 4 tahun tak balik raya aji ne ’

Teringat kata-kata seorang sahabat guruku sewaktu minum petang  selepas balik kerja.

Seingat aku, sudah nak masuk 13 tahun aku di Long Lama, aku cuma pernah sambut Raya Haji dua kali  termasuk yang kali ini di sini. Walaupun setakat Raya Haji, tapi apabila mendengar Takbir di Radio atau tv terasa ada sesuatu yang menendang dada. Hati kecut sayu untuk seketika dan dalam beberapa minitnya baru kembali ke normal semula. Syahdu nyeeeeeeeeee.




Solat Aidiladha dipimpin oleh Saudara Adong ( aku tak tahu nama betulnya) orang Indonesia telah lama bermastautin di sini. Teks Khutbah telah di print dari laman web Rasmi JAIS hasil usaha En. Bolkan selaku penyelaras Masjid Darusalam Long Lama.





Untuk hari tersebut, kita telah menumbangkan seekor sapi dan hari seterusnya akan menumbang 2 ekor lagi.



Yang menariknya program korban di sini, ianya melibatkan pelbagai kaum, sahabat dari Indonesia, cikgu dari Malaya dan melayu borneo, kami dapat bersama bergumpul mengangkat melapah menyelesaikan ibadat korban ini. Syukur Alhamdulillah.


Lawatan bersejarah dari Persatuan Imam bahagian Miri

Bertarikh 16 september sempena sambutan HARI MALAYSIA, satu rombongan dari Miri yang diketuai oleh En. Ali Abdul Rahman@Pakcik Ali  selaku Pengerusi Imam Bahagian  Miri telah hadir untuk julung kalinya ke Masjid Darusalam Long Lama. Rata-rata yang hadir semuanya yang sudah berpencen, maklum la...Tuan Imam.

Lawatan ini bertujuan untuk meningkatkan perpaduan dan kerjasama di antara kita kalangan penganut Islam.

Kehadiran sebegini amat dinantikan oleh kami yang jauh di jeruk rantau. Dengan bermula jam 11.30 pagi ( masa ketibaan ) hingga 2.30 petang ( masa berangkat balik ).

Kalau difikirkan, program sebegini seumpama ‘melepas batuk ditangga’.  Tak sampai 3 jam, rombongan ini mula berangkat balik. Dengan tentatif program dimulakan Selepas zohor ada tazkirah dari Peg. JAKIM dan pemberian sumbangan berupa buku agama khasnya untuk Saudara baru dan amnya untuk tatapan para jemaah di sini dan sedikit wang untuk membantu menyelengaraan kerja bulanan Masjid.


En. Ali Abdul Rahman@Pakcik Ali  selaku Pengerusi Imam Bahagian  Miri ( berdiri )


Tazkirah dari Peg. JAKIM Bahg. Miri, Asal Orang Nogori sembilan


Majlis sumbangan derma & cenderahati yang diterima En. Bolkan ( Baju Merah )selaku wakil kami di sini




Namun syukur juga, diatas kesanggupan para rombongan untuk hadir menyaksikan kelemahan serta kekurangan kami disini. Sempat juga aku berbisik dengan Peg. JAKIM untuk membuat program khusus untuk saudara baru yang semakin ramai di ‘desa sepi’ ini.


Friday, 25 September 2015

SELAMAT PENGANTIN BARU

Lama sudah tidak ‘update’ blog. Terlalu sibuk dengan tugasan yang semuanya perlu disegerakan. Banyak yang tak sempat aku isi dalam entri kali ini, namun akan ku buat secara perlahan-lahan dan berperingkat.

Kali ini Majlis ‘nasi minyak’ diutamakan dalam blog ini. Majlis Persandingan Adik isteriku di Dewan Suarah Marudi. Sungguh meriah diitambahkan lagi 80 peratus persiapan Majlis ini telah diuruskan aku dan isteriku sendiri.

Proses mengambil umbut nyiur dan dapat 5 batang kesemuanya


Penyembelihan sapi di kebun Majikan Pak Mertua


Majlis Marhaban dan Doa selamat


Persediaan menyusun meja, kerusi, pinggan mangkuk & pelamin di Dewan Suarah



Pelamin Raja Sehari



Dari membeli bahan menu Jamuan, pemilihan jemputan, pelamin, lokasi persandingan hingga tentatif program Majlis disediakan dan harus difikirkan. Ditambahkan lagi tekanan apabila tetamu terhormat adalah Y.B En Dennis Ngau Adun N.67 Telang Usan beserta rombongan  hadir ke Majlis ini. Aku mesti memastikan setiap detik dan masa Majlis tersebut berjalan seperti yang di rangka dan syukur segalanya Berjaya.




Dengan bantuan dari sanak-saudara dan sahabat handai, dengan kerjasama dari jurumekap, juruteknik PA System, Penghias pelamin dan tukang masakan yang berkaliber. Majlis ini sungguh sempurna dan success.


Keluarga sebelah pengantin perempuan



 keluarga sebelah pengantin Lelaki


Memang penat memikirkan segala persiapan tersebut. Namun kepenatan itu berbaloi apabila terukir senyuman di bibir Pak Mertua.




Salam Raja Sehari , didoakan bahagia hingga ke jannah dan dimurahkan rezeki datang dari segenap arah.