Sewaktu membelek helaian buku di toko buku yang agak terkenal di Bandar Miri. Terlihat reaksi super hypeaktif anakku yang berumur 7 dan 9 tahun berpusing di rak-rak buku mencari buku bacaannya juga. Dari buku bacaan bahasa Melayu, English, matematik hingga buku asas bermain piono mahu di borong sekali. Membelek berjenis buku dari semua rak hingga buku yang tebal dan berat selagi ada gambar, akan dibuka untuk melihat helaiannya.
Dalam memerhatikan gelagat anak yang masih berlegar-legar mencari buku sesuai ,aku yang cuma berdiri tegak di suatu sudut rak buku mengelamun sebentar membongkar memori kerinduan mengingatkan aku di masa berumur sebegitu cuma mampu bermain guli di bawah rumah Arwah Pak Sanen.
Dengan mata dipejam sebelah untuk melaraskan sasaran guli yang akan dijadikan mangsa beserta jari jemari yang lembut melontar guli azimat yang di sebut “AKOR” .Guli “Akor” ini mempunyai kedudukan kasta yang tinggi dibanding dengan guli yang lain malah Saiznya juga lebih besar sikit dari yang lain. Guli tersebut tidak boleh disimpan bersama dengan guli yang lain dalam satu poket, khuatir Ilmu saktinya hilang dan tidak lagi membawa tuah. “Si Akor” ini boleh membuatkan si pemain menjadi kaya dengan guli yang dapat digumpul sepenuh tin MILO.
Dengan umur yang masih muda sebegitu juga aku cuma mampu bermain gasing di bawah rimbunan pokok rambutan depan Stor enjin sangkut abang kepada Awg Jamil dan yang sering “supplier” gasing pastinya abang-abang yang lebih tua. Kami yang muda dari segi biologi seumpama tahap setahun jagung ini, Cuma tahu bermain dan sering menjadi “ANOK’( pemasang gasing berpusing ) untuk di pangkak/ dilanyak oleh gasing-gasing brader yang lebih tua.Adakala apabila gasing “Anok” di pangkak, ianya terus pecah di tanah, ada yang terpelanting masuk belukar & tidak kurang juga ada yang bertaburan terbang masuk ke sungai . Namun demi nak bermain, sanggup mencari gasing yang terpelanting tersebut. Biar terpaksa berkuis-kuis dengan dahan rambutan yang mati apabila gasing membuat acara “terjun solo” masuk air kumbahan rumah Arwah Pak Akop.
Panjat tinggi hingga ke pucuk pokok pinang untuk mengelak dari ditangkap selepas brader Bakar habis mengira sampai 10 tika bermain “tapok-tapok”. Sehingga main gelongsor di tebing sungai. “Papan gelongsornya” dibuat dari tanah lumpur. Brader Lan Garut amat mahir dalam senibina pembuatan gelongsor tanah ini. Cukup dengan sudut lencongan bertaraf 5G. Apabila disimbah dengan air sungai, maka licinnya gelongsor tanah ini ditambah lagi cuma berlapik mengelongsor dengan kulit buntut yang pastinya mandi telanjang.!!!!
Terhenti lamunan apabila anak ku yang berumur 4 tahun bersusah payah membawa sekotak Monopoli ke arahku. Dibantu oleh abangnya, monopoli tersebut bertukar tangan hingga kepadaku namun ku letakkan di atas Rak buku agar Si kecil ku tidak dapat mengambilnya lantas ku katakan:
“Cari buku”…
Aku bersetuju, permainan di zaman ini banyak yang mengasah minda dan ianya bagus untuk menajamkan pemikiran. Ianya akan menambah mutu IQ akal kita menjadi tinggi. Namun permainan ini juga akan menghakis sedikit demi sedikit deria 5 pancaindera.
Ianya akan mengurangkan kepekaan kualiti MATA dari melihat Indahnya Ciptaan Allah SWT dan Photoreseptor ini akan melambatkan respon terhadap rangsangan cahaya. Membantutkan deria HIDU dari mencium haruman Alam, kurang ilmu berhujah(LIDAH) hingga mematikan hormon jenaka gelak ketawa tidak seperti anak desa yang bebas bercerita apa saja kerana isi bual bicaranya banyak dipengaruhi oleh pengalaman hidupnya. Semakin menebalnya rasa tuli dari mendengar kicau burung dimana sewaktu dulu, aku pernah menyorok di bawah pohon sambil membawa lastikku. Pendengaran TELINGAku lebih tajam dalam mengamati suara si bulu pelepah itu dan jarang sekali pipi halus anak ku terkena bayu pagi atau terbakar KULIT tika panas mentari mengundang, atau tidak seperti aku & The Geng dulu yang pernah berhujan mengigil namun terus bermain bola di padang yang cuma lembu sahaja sanggup untuk berkubang.
Duhai Anakku, alangkah seronoknya andai dikau dapat merasai pengalaman ayahmu ini. Dengan Tangan yang kerdil ini, pernah memetik terus dari tangkainya Si buah rambutan merah meraba, betik manis meranum, nangka cempedak mengharum dan bulat menghijau si Jambu batu.
Alangkah seronoknya juga berlari di atas tebing tanah lumpur lantas terjun ke sungai, membantu nenek dengan membuat perangkap ayam dari tali nilon apabila ayam yang di carinya menghilang seminggu kerana tidur di reban betina lain. Mengali tanah mencari cacing yang terputus kepala terkena mata cangkul untuk di jadikan umpan si ikan puyu dan sepat.
Dengan umur yang masih muda, tahap adrenalin telah dipam sehabis tinggi apabila berlari lintang pukang kerana sekawan lembu menjeling hendak mengejar setiap kali balik dari memancing. Keterujaan ini semakin ditambah apabila jatuhnya si burung bubut di lastik dengan getahnya hasil kreativiti dari senihalus pemotongan tiub basikal BMX.
Memandang sayu sahaja anakku yang berumur 4 tahun dengan monopoli di atas Rak buku, aku senyum sendiri bukan bermaksud untuk menghalang dirinya memiliki permainan tersebut, tapi pasti emaknya akan letih apabila permainan tersebut akan dijadikan “bola” sepakannya di rumah nanti. Dengan umur yang sebegitu, mana mungkin dia mahir dalam selok belok permainan yang menguji minda. Memerlukan asas ilmu kira-kira. Kalau pun abangnya ikut bermain, silap-silap kita akan dijadikan tempat rujuk sebagai penterjemah apabila tidak memahami hukuman di dalam KAD KESALAHAN kerana tersalah tempat PARKING.
Aku terus membelek helaian buku yang ingin dibeli. Tabiat membaca ini bermula dari hobi tapi kini ianya sudah satu kemestian. Sementara menunggu system tubuh rehat & dengupan tekanan darah kembali tenang dalam keadaan baring, aku akan menghabiskan masa itu dengan membaca dari buku ataupun internet. Helaian demi helaian mukasurat dibuka sambil anakmata ku menjeling melihat gelagat anak yang masih berpusing-pusing di rak buku kerana aku mahu mereka sentiasa berada dalam radar permerhatian. Phapppp!!!, bagaikan kena tampar. Aku terkesima dengan satu kalimat berharga dari Tokoh yang amat aku sanjungi.
"Didiklah anak-anakmu itu, berlainan dengan keadaan kamu sekarang, karena mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zaman engkau,"
Sayyidina Umar bin Khattab RA
Aku batalkan niat membeli buku, anak ku hairan memandangku..
“ Jom, kita mandi laut”
Kalaupun mereka tidak dapat berlari di tebing yang berlumpur, memadai mereka berlari di pasir laut dengan berkaki ayam. Kalaupun mereka tidak sempat mengali tanah mencari cacing, memadai mereka merasa membina Istana buatan dari pasir. Kalaupun mereka tidak sempat memanjat pokok pinang, memadai mereka berlumba memanjat batu di tebingan laut. Dan kalaupun mereka tidak minta untuk pergi memancing, cukup memadai rasanya mereka mengutip kulit kerang dan mengejar si ketam melarikan diri dari riuh rendah tawa mereka. Zaman telah berubah, Mekanisme untuk mencari hiburan juga berubah, apa yang penting, sifat keterujaan dan keseronokkan untuk mencapai meter adrenalin menjadi tinggi...tetap ada.
No comments:
Post a Comment