Translate

Wednesday, 24 June 2015

Restaurant Ya Salam

Long Lama suatu Pekan yang kecil  namun bagiku, ianya boleh dianggapkan Pekan dalam kategori Subbandar walaupun  masih di kira jauh di pendalaman Sarawak yang memerlukan 2 jam perjalanan dari Bandar Miri. Aku Kategorinya sebagai Subbandar disebabkan di sini ada beberapa Jabatan kerajaan seperti:

1. Pej. Daerah Kecil Long Lama
2. Jab. Pendaftaran Malaysia, Long Lama
3. Jab. Penerangan Malaysia, Long Lama
4. Jab. Pertanian, Long Lama
5. Perpustakaan Awam Long Lama
6. Balai Polis Long Lama
7. SMK Long Lama
8. SK Ubong Imang Long Lama
9. SJK© Kee Tee Long Lama
10. Sarawak Forestry Copration sdn bhd

Kali ini aku ingin fokuskan berkenaan dengan Restaurant Ya Salam dan empunya Restaurant ini adalah aku sendiri namun diurus oleh Isteriku. 



Wujudnya Restaurant ini selepas 3 tahun aku bertugas ke Long Lama atas dasar kerja. Apabila permohonan “transfer”  gagal,  aku amat kecewa sedangkan kriteria alasanku amat kukuh. Tapi kegagalan ini yang melahirkan suatu idea yang cukup luarbiasa.

Dengan kepakaran isteri yang mahir menguruskan kewangan dari pengalaman berniaga secara kecil-kecilan selama ini, dengan ilmu asas masakan untuk permulaan bisnis. Bagiku, terlalu banyak menu masakan tidak membantu juga. Ianya sebenar bergantung dengan pemintaan pengguna. Kalau buka bisnis di bandar lain cerita bro.. Banyak orang maka banyak permintaan. Jadi menu di Restaurant aku cuma ada apa yang dapat aku beli dari kedai sekitarnya dan barang basah dari stok simpanan. Dorongan dari kawan-kawan yang banyak memberi sokongan dengan memberi alasan bahawa, Long Lama belum ada lagi Restaurant yang memberi jaminan Halal untuk pengunjung muslim. Yang menariknya, kawan-kawan non muslim yang mencetuskan idea restaurant ini. Kawan yang sama Lepak, sama main dan sama duduk minum kopi bercerita pasal politik semasa.

Sebelah petang ada menyediakan kuih muih serta cucur pisang

Rumah terbuka Hari Raya ( Pengunjung kebanyakkan kawan dari non Muslim )

Apabila ada Restaurant ini baru aku banyak kawan muslim dari golongan guru sekolah yang selama ini jarang keluar ke Pekan Long Lama. Dulu kalau mereka keluar ke pasar pun atas sebab membeli bekalan  dapur, namun semenjak ada Restaurant ini, mereka sudi untuk melepak dan adakalanya restaurant ini tempat berhubung serta bersuai kenal dengan guru baru yang  singgah makan dari luar Pekan Long Lama sebelum guru tersebut menuju ke destinasi sekolahnya.

Pejam celik pejam celik kini sudah 8 tahun Restaurant Ya Salam beroperasi. Restaurant yang mengutamakan menu tengahari dari Nasi campur hingga nasi goreng yang pelbagai pilihan namun bergantung dengan stok bekalan kerana aku amat menitikberatkan soal HALAL dalam penyediaan menu makanan.

Tempahan makanan untuk majlis Pemimpin bersama Rakyat berlangsung di Masjid Darusalam Long Lama

Kuih tempahan pada musim Krismas

Restaurant ini juga ada menyediakan “catering”  atau tempahan makanan untuk sesuatu majlis. 



Di musim kedatangan bulan Ramadhan, Restaurant Ya Salam tidak akan dibuka bagi menghormati bulan tersebut, namun kami ada menyediakan Juadah berbuka puasa dalam bentuk kuih muih malah lauk pauk untuk di bungkus di bawa balik. Adakalanya permintaan untuk berbuka dari Pengunjung luar yang "travelling" demi tugas terutama yang beragama Islam terpaksa juga kami menyediakan tempat dan juadahnya semata-mata menjaga hati pelanggan malah itu juga salah satu cabang dari fardhu kifayah. Jatuh hukum WAJIB kepadaku kerana tiada seorang muslim pun  yang melakukannya.

Bazaar Ramadhan Ya Salam


Sebahagian Menu Bazaar Ramadhan Ya Salam.



Aku tangguhkan dulu  cerita kisah Restaurant Ya Salam ini, akan aku “update’ kan lagi dari masa ke semasa. Tapi kali ini aku banyakkan gambar dalam entri ku. Biar gambar sahaja berbicara dulu.


Tuesday, 23 June 2015

Sakit gigi...Klinik swasta VS Klinik Kerajaan

Apabila denyutannya semakin sakit dan merebak hingga ke urat leher, berdesing  telinga beserta cupingnya terasa panas lalu melonjak sakit itu naik ke sarat otak. Tidur tak lena dan makan tak kenyang.  Maka bermula saat-saat getir dalam hidup aku bertarung menahan sakitnya gigi yang disebabkan gigi yang berlubang dan yang paling canggih, sakit ini boleh bawa penyakit jantung atau stroke.

 Baru timbul perasaan kesal yang selama ini tidak teratur dengan disiplin yang ketat untuk menjaga kebersihan gigi dan mulut. Kesakitan itu melambangkan betapa aku yang selama ini yang tidak mementingkan kesihatan dan kebersihan tempat yang amat penting dalam tubuh manusia iaitu mulut. Dapat di bayangkan tanpa mulut memang kita tidak dapat makan serta minum, tidak dapat bercakap dengan normal sedangkan sewaktu sakit gigi apabila orang lain bertanyakan soalan, kita cuma mampu menjawab sepatah dua malah tika bercakap air liur sekali sekala terkeluar juga, apatah lagi kalau tiada mulut. Sungguh mereka insan yang bisu itu Allah SWT telah berikan mereka suatu naluri yang istimewa. Dapat berkomunikasi dengan orang lain dan pasti butiran "percakapan" mereka lebih teliti, penuh perasaan, difahami dengan lebih dalam disebabkan "percakapan" itu bermula dari hati dan diterjemahkan melalui bahasa isyarat beserta lenggok badan.

Banyak petua yang di cadangkan oleh kawan namun itu cuma sekadar petua. Bagiku, apabila betul dosnya maka cepat hilang rasa sakitnya. Bukan disebabkan petua itu yang berkesan. Ada yang pesan gosok minyak panas di pipi, kunyah bawang putih la, garam la, bawang merah la, buah belimbing la, kunyah lada la. Cari orang tua yang pandai, minta  doa penahan sakit dengan simboliknya tukulkan paku 4 inci di tiang rumah la!!!!

Namun aku lebih suka membenteraskan sakit itu dengan cara mencabut gigi yang sakit tersebut. Selamat tinggal saja petua-petua itu, bukan tak percaya ke-ampuh-annya, namun impak kesakitan ini membuatkan aku  nampak cuma cabut sahaja jalan yang paling berkesan untuk keparahan derita ini.


Langkah pertama aku terus mencari doctor gigi di Klinik Long Lama, namun difahamkan oleh “indu misi” di sana bahawa Doctor gigi cuma ada minggu hadapan. Jauh tinggal di pendalaman ini, doctor gigi datang untuk berkerja 3 hari sahaja dalam sebulan untuk membuat rawatan pergigian. Aku terus menghubungi kawan yang pernah menghadapi masalah ini lantas bertanya di mana Klinik swasta pergigian di Bandar Miri yang paling minimum sakitnya apabila mencabut gigi. Harga memang berapi. Dapat 3 tempat yang dicadangkan mereka. Maka aku pilih yang paling dekat dengan Hotel dan parking kereta. Kerana aku bercadang hendak bermalam di Miri, sementara aku mencabut gigi, anak Isteri dapat juga berehat di bilik Hotel.

Dengan penuh semangat juang, aku melangkah ke Klinik Swasta pergigian itu, beserta doa dan harapan agar penderitaan ini berakhir dengan cepat. Setelah berurusan di kaunter aku menunggu nama di panggil. Tak sampai 5 minit aku di minta untuk masuk di bilik No.4. 

Penuh dengan drama, penuh dengan plot cerita yang bergantung, pertaruhan bernilai tinggi yang membabitkan pertarungan fizikal dan mental dan berakhir bukan dengan satu batang gigi di cabut, tetapi dua batang!!! atas nasihat doctor.

Setelah di “Injuction Bius” dicabutnya Gigi pertama sungguh tidak terasa namun gigi kedua iaitu gigi geraham memerlukan setengah jam Doctor amoi cina mengerjakannya. Terkeluar juga airmata jantan apabila Doctor Berjaya akhirnya mencabut gigi tersebut berserta dengan isi gusi masih terlekat di gigi tersebut.




Baru aku faham, untuk masalah gigi ini bukan disebabkan harga servisnya mahal ( doctor luar ) atau murah ( Doctor kerajaan ) yang membuktikan servis itu bagus atau tidak sakit tika di cabut.

Yang bagusnya klinik swasta adalah kita tidak perlu beratur untuk menunggu giliran sewaktu membuat rawatan di klinik luar. Di tambah lagi kita yang memang dalam kesakitan. Memang memerlukan rawatan yang cepat.

Sebenarnya tiada beza rasa kesakitan itu dengan mencabut gigi di klinik swasta atau Hospital Kerajaan. Aku juga pernah mencabut gigi di hospital kerajaan di Pekan Marudi. Baru dicaj RM5 jika di bandingkan dengan caj Klinik swasta sebanyak RM80 sebatang gigi. Siapa yang sakit gigi yang masih dapat bertahan, cuba cari doctor gigi hospital kerajaan. Bukan tak baik klinik swasta, tapi harga mahal. Aku sebenarnya termakan pujuk oleh kawan yang mengatakan Klinik swasta bagus.

Sakit atau tidak sewaktu gigi di cabut berpunca dari keteguhan batang gigi itu sendiri. Seperti kes aku yang terpaksa di cabut 2 batang gigi sekali gus. Gigi yang pertama tidak terasa tika di cabut di sebabkan gigi tersebut memang goyang dan lemah di akarnya. Tapi untuk gigi yang kedua, bagaikan tukul Thor yang  besar menghentak rahang pipi.



Jadi kalau ada orang katakan cabut gigi di klinik swasta tak sakit atau kurang sakit , itu adalah Fakta yang amat-amat salah!!!!. Hingga kini ( masuk 10 hari dah ) sakit bekas koyakan isi gusi sewaktu gigi geraham di cabut itu masih terasa dan kini beransur sembuh. Namun yang bagusnya sakit gigi untuk kali ini berdekatan dengan Bulan Ramadhan.  Dua hari selepas di cabut gigi aku berhenti merokok, gusi masih bengkak, khuatir bernanah aku berhenti merokok untuk sementara waktu pada mulanya.  Apabila terbaca satu majalah mengatakan Bulan Ramadhan adalah bulan yang bagus untuk permulaan berhenti merokok. Maka aku tanamkan niat itu terus. Sakit gigi telah aku tinggalkan dan kini mampukah aku meninggalkan sakit menanggung ketagihannya rokok???.. Mohon Tuan puan tolong doakan kejituan kebulatan niat hati ini.


Thursday, 11 June 2015

Mampukah "Si Dia" merampas Marudi?

Peperangan saraf di antara Parti SPDP dan TERAS sering mencuri perhatian aku setiap kali membelek suratkhabar. Memang betul Malaysia Negara yang demokrasi, tapi cara parti TERAS mengumumkan akan bertanding di tempat kerusi SPDP sungguh memalukan.  Satu parti yang sememangnya BN ( SPDP ) dan satu lagi parti baru lahir ( TERAS )  diangotai dari orang BN yang telah keluar dari parti SPDP namun masih memegang jawatan dalam barisan kabinet negeri. Bagaimana mereka boleh menjadi pemimpin serta memimpin rakyat sedangkan perkara sebegini pun mereka tidak dapat diselesaikan dengan cara baik/berunding?

Sebagai Daftar Pemilih di Kawasan Marudi, aku amat menanti suasana peperangan ini. Satu kumpulan yang mempertahankan kerusi yang telah bertahun di jaganya manakala satu kumpulan pula ingin merampas kerusi tersebut bertiketkan bekas penyandang kerusi ( YB Dato Syvester Entri Ak Muran ) yang telah beralih ke parti baru ( TERAS ) dengan alasan masih ada para penyokong di "ADUN" nya.





Ada sesuatu yang lebih menarik untuk diperhati.  Apabila YAB Dato Sri Najib Razak telah memberi lampu hijau kepada Parti TERAS untuk berdiri sebaris dengan parti BN yang lain.




Namun aku juga pernah membaca  bahawa YAB Dato Sri Najib Razak pernah berkata berkenaan Parti baru yang ingin menyertai parti BN, ianya harus memerlukan kebenaran dari Parti BN yang lain terlebih dahulu. 



Dengan siapa lagi Parti SPDP hendak mengadu? Setelah ditikam dari belakang. Bekas Presidennya melompat ke parti baru, ditambahkan lagi dengan Pengerusi BN sendiri pun masih keliru dengan pendirian.

Jawapannya cuma satu.

Siapa yang kuat berkempen sewaktu PRU 14 nanti. Yang berani menabur segunung janji, yang rela menjenguk orang tua nun jauh di ceruk kampung, yang sanggup berkerja 24 jam tanpa henti sewaktu kempen dan pasti yang sudi men”derma”kan helain kertas berupa ringgit untuk mengikat tangan sang pengundi.

Parti itu yang akan menduduki Kerusi yang dipertandingkan. Aku yang kerdil sebagai pemerhati juga akan merasa bahang sewaktu kempen tersebut. Pasti meriah dengan ceramah, dengan kenderaan baru yang masuk lalu lalang di Pekan Marudi dan dengan bendera Parti yang berwarna warni melintang melangit dipacak oleh sang penyokong.  

Semakin meriah lagi PRU kali ini apabila diketahui Parti dari sebelah PR iaitu PKR akan bertanding dengan misi dan visi yang lebih teratur dan jelas.


Wednesday, 10 June 2015

Bukan sekadar bacaan tapi untuk diperhati...

Sewaktu membelek helaian buku di toko buku yang agak terkenal di Bandar Miri. Terlihat reaksi super hypeaktif anakku yang berumur 7 dan 9 tahun berpusing di rak-rak buku mencari buku bacaannya juga. Dari buku bacaan bahasa Melayu, English, matematik hingga buku asas bermain piono mahu di borong sekali. Membelek berjenis buku dari semua rak hingga buku yang tebal dan berat selagi ada gambar, akan dibuka untuk melihat helaiannya.
Dalam memerhatikan gelagat anak yang masih berlegar-legar mencari buku sesuai ,aku yang cuma berdiri tegak di suatu sudut rak buku mengelamun sebentar membongkar memori kerinduan mengingatkan aku di masa berumur sebegitu cuma mampu bermain guli di bawah rumah Arwah Pak Sanen.
Dengan mata dipejam sebelah untuk melaraskan sasaran guli yang akan dijadikan mangsa beserta jari jemari yang lembut melontar guli azimat yang di sebut “AKOR” .Guli “Akor” ini mempunyai kedudukan kasta yang tinggi dibanding dengan guli yang lain malah Saiznya juga lebih besar sikit dari yang lain. Guli tersebut tidak boleh disimpan bersama dengan guli yang lain dalam satu poket, khuatir Ilmu saktinya hilang dan tidak lagi membawa tuah. “Si Akor” ini boleh membuatkan si pemain menjadi kaya dengan guli yang dapat digumpul sepenuh tin MILO.

Dengan umur yang masih muda sebegitu juga aku cuma mampu bermain gasing di bawah rimbunan pokok rambutan depan Stor enjin sangkut abang kepada Awg Jamil dan yang sering “supplier” gasing pastinya abang-abang yang lebih tua. Kami yang muda dari segi biologi seumpama tahap setahun jagung ini, Cuma tahu bermain dan sering menjadi “ANOK’( pemasang gasing berpusing ) untuk di pangkak/ dilanyak oleh gasing-gasing brader yang lebih tua.Adakala apabila gasing “Anok” di pangkak, ianya terus pecah di tanah, ada yang terpelanting masuk belukar & tidak kurang juga ada yang bertaburan terbang masuk ke sungai . Namun demi nak bermain, sanggup mencari gasing yang terpelanting tersebut. Biar terpaksa berkuis-kuis dengan dahan rambutan yang mati apabila gasing membuat acara “terjun solo” masuk air kumbahan rumah Arwah Pak Akop.

Panjat tinggi hingga ke pucuk pokok pinang untuk mengelak dari ditangkap selepas brader Bakar habis mengira sampai 10 tika bermain “tapok-tapok”. Sehingga main gelongsor di tebing sungai. “Papan gelongsornya” dibuat dari tanah lumpur. Brader Lan Garut amat mahir dalam senibina pembuatan gelongsor tanah ini. Cukup dengan sudut lencongan bertaraf 5G. Apabila disimbah dengan air sungai, maka licinnya gelongsor tanah ini ditambah lagi cuma berlapik mengelongsor dengan kulit buntut yang pastinya mandi telanjang.!!!!

Terhenti lamunan apabila anak ku yang berumur 4 tahun bersusah payah membawa sekotak Monopoli ke arahku. Dibantu oleh abangnya, monopoli tersebut bertukar tangan hingga kepadaku namun ku letakkan di atas Rak buku agar Si kecil ku tidak dapat mengambilnya lantas ku katakan:
“Cari buku”…
Aku bersetuju, permainan di zaman ini banyak yang mengasah minda dan ianya bagus untuk menajamkan pemikiran. Ianya akan menambah mutu IQ akal kita menjadi tinggi. Namun permainan ini juga akan menghakis sedikit demi sedikit deria 5 pancaindera.
Ianya akan mengurangkan kepekaan kualiti MATA dari melihat Indahnya Ciptaan Allah SWT dan Photoreseptor ini akan melambatkan respon terhadap rangsangan cahaya. Membantutkan deria HIDU dari mencium haruman Alam, kurang ilmu berhujah(LIDAH) hingga mematikan hormon jenaka gelak ketawa tidak seperti anak desa yang bebas bercerita apa saja kerana isi bual bicaranya banyak dipengaruhi oleh pengalaman hidupnya. Semakin menebalnya rasa tuli dari mendengar kicau burung dimana sewaktu dulu, aku pernah menyorok di bawah pohon sambil membawa lastikku. Pendengaran TELINGAku lebih tajam dalam mengamati suara si bulu pelepah itu dan jarang sekali pipi halus anak ku terkena bayu pagi atau terbakar KULIT tika panas mentari mengundang, atau tidak seperti aku & The Geng dulu yang pernah berhujan mengigil namun terus bermain bola di padang yang cuma lembu sahaja sanggup untuk berkubang.
Duhai Anakku, alangkah seronoknya andai dikau dapat merasai pengalaman ayahmu ini. Dengan Tangan yang kerdil ini, pernah memetik terus dari tangkainya Si buah rambutan merah meraba, betik manis meranum, nangka cempedak mengharum dan bulat menghijau si Jambu batu.
Alangkah seronoknya juga berlari di atas tebing tanah lumpur lantas terjun ke sungai, membantu nenek dengan membuat perangkap ayam dari tali nilon apabila ayam yang di carinya menghilang seminggu kerana tidur di reban betina lain. Mengali tanah mencari cacing yang terputus kepala terkena mata cangkul untuk di jadikan umpan si ikan puyu dan sepat.
Dengan umur yang masih muda, tahap adrenalin telah dipam sehabis tinggi apabila berlari lintang pukang kerana sekawan lembu menjeling hendak mengejar setiap kali balik dari memancing. Keterujaan ini semakin ditambah apabila jatuhnya si burung bubut di lastik dengan getahnya hasil kreativiti dari senihalus pemotongan tiub basikal BMX.
Memandang sayu sahaja anakku yang berumur 4 tahun dengan monopoli di atas Rak buku, aku senyum sendiri bukan bermaksud untuk menghalang dirinya memiliki permainan tersebut, tapi pasti emaknya akan letih apabila permainan tersebut akan dijadikan “bola” sepakannya di rumah nanti. Dengan umur yang sebegitu, mana mungkin dia mahir dalam selok belok permainan yang menguji minda. Memerlukan asas ilmu kira-kira. Kalau pun abangnya ikut bermain, silap-silap kita akan dijadikan tempat rujuk sebagai penterjemah apabila tidak memahami hukuman di dalam KAD KESALAHAN kerana tersalah tempat PARKING.
Aku terus membelek helaian buku yang ingin dibeli. Tabiat membaca ini bermula dari hobi tapi kini ianya sudah satu kemestian. Sementara menunggu system tubuh rehat & dengupan tekanan darah kembali tenang dalam keadaan baring, aku akan menghabiskan masa itu dengan membaca dari buku ataupun internet. Helaian demi helaian mukasurat dibuka sambil anakmata ku menjeling melihat gelagat anak yang masih berpusing-pusing di rak buku kerana aku mahu mereka sentiasa berada dalam radar permerhatian. Phapppp!!!, bagaikan kena tampar. Aku terkesima dengan satu kalimat berharga dari Tokoh yang amat aku sanjungi.
"Didiklah anak-anakmu itu, berlainan dengan keadaan kamu sekarang, karena mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zaman engkau,"
Sayyidina Umar bin Khattab RA
Aku batalkan niat membeli buku, anak ku hairan memandangku..
“ Jom, kita mandi laut”
Kalaupun mereka tidak dapat berlari di tebing yang berlumpur, memadai mereka berlari di pasir laut dengan berkaki ayam. Kalaupun mereka tidak sempat mengali tanah mencari cacing, memadai mereka merasa membina Istana buatan dari pasir. Kalaupun mereka tidak sempat memanjat pokok pinang, memadai mereka berlumba memanjat batu di tebingan laut. Dan kalaupun mereka tidak minta untuk pergi memancing, cukup memadai rasanya mereka mengutip kulit kerang dan mengejar si ketam melarikan diri dari riuh rendah tawa mereka. Zaman telah berubah, Mekanisme untuk mencari hiburan juga berubah, apa yang penting, sifat keterujaan dan keseronokkan untuk mencapai meter adrenalin menjadi tinggi...tetap ada.


RM15.00 kini RM1.00 tambang ferry Long Lama

Kalau di kira kos jumlah tambang kereta aku sewaktu menggunakan perkhidmatan Ferry Long Lama, sebelum penurunan kadar tambang baru dilaksanakan daripada RM 15.00 kepada RM1.00 berkuatkuasa pada 29 Mei 2015 lepas. Boleh siap satu jamban berkapasiti sederhana bergred 3 bintang standard hotel. Siap dengan Tab mandi rasanya. Dua tahun ( sebelum Tambang turun ) saban minggu aku sering menggunakan kemudahan ini untuk membeli bahan mentah yang Halal untuk keperluan Restaurant Ya Salam yang diusahakan oleh Isteriku sendiri.

Sekali jalan RM15. Pulang dan balik RM30.00..perghhhhh...

Sebelum penyelarasan tambang, masa operasi dari jam 7 pagi hingga 8 malam dan kini telah berubah ke 6 pagi hingga 9 malam.



Bagi orang yang tidak menggunakan kemudahan ini, pastinya sekadar memandang remeh Penyelarasan kadar tambang Ferry ini. Namun bagi aku, serta teman yang berada di sekitar Long Lama dan penduduk Tutoh Apoh  yang  menggunakan perkhidmatan Ferry ini, amat bersyukur atas penurunan tambang yang selama ini sungguh membebankan.


Pernah terjadi perkara yang tidak diingini apabila Anak ku luka kepalanya disebabkan bermain. Kami terpaksa menunggu selama 45 minit untuk menyeberang menuju ke Klinik Kesihatan Long Lama.( Klinik cuma ada di seberang tika itu ) disebabkan pengerakkan Ferry ini lambat.

Sekarang Klinik Satu Malaysia sudah ada di sebelah sini, itu pun cuma untuk sakit yang ringan sahaja termasuk farmasi. Andai ada Kes yang parah, terpaksa juga buat susulan ke Klinik seberang.

Ferry ini sahaja pilihan yang ada untuk ke seberang. Dulu "Dia" tekan harga mahal, kita terpaksa ikut, semata-mata untuk balik kampung, urusan kerja, urusan yang melibatkan jabatan lain di bandar Miri hatta mengambil gaji.

Maka aku amat berterima kasih kepada kerajaan negeri Sarawak yang kini di pimpin oleh Datuk Patinggi Tan Sri  Adenan Haji Satem ketua menteri Sarawak. Atas keprihatinan beliau dalam menangani masalah rakyat. Ucapan terima kasih juga kepada Y.B En. Dennis Ngau kerana mengetengahkan masalah ini ke dewan Parlimen.



Dan aku berharap agar lebih banyak lagi pelan-pelan kebajikan kepada rakyat sepanjang di bawah kepimpinan Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Haji Satem. Didoakan semoga kesihatan sentiasa mendampingi Beliau, murah rezeki dan kaya dengan idea yang bernas untuk membantu rakyat. Hati aku ngilu apabila YB En. Dennis Ngau sewaktu Majlis perasmian tempoh hari  merayu kepada pemandu kereta tambang ( Transport ) agar menurunkan kadar tambang yang sekarang ini masih bernilai RM60.00 dari Long Lama hingga ke bandar Miri.


Tuesday, 9 June 2015

Sungai Baram menongkah masa

Lama dah tak gunakan kemudahan boat express. Namun selepas pembentangan KIK kelmarin di Marudi, tiba-tiba hati terasa nak menggunakan stail lama untuk bergerak keluar dari Marudi..

Zaman "Baram Dam" ini, jalan darat..perghhhhh..cuma mengambil masa 2 jam setengah perjalanan dari Marudi ke Long Lama. spesifikasi jalan, memang tahap A+ jika di banding dengan jalan Marudi..Ibarat langit dengan kerak bumi jauhnya.Namun penggunaan boat express untuk perjalanan yang dimaksudkan, masih mengambil masa 4 jam seperti 11 tahun lepas (waktu pertama kali aku di tugaskan ke Long Lama )



Aku nak fokus pasal Boat express, yang mana tika mengunakannya mengembalikan diri ini kepada asal atau dalam bahasa orang kampung aku." back to the Basic". 8 hingga 9 tahun menggunakan khidmatnya. Aku dah cukup kenal dengan nama kampung yang ada di pesisir sungai Baram, Kem- kem balak ibarat kembang macam cendawan di kala subuh, dan adakalanya Sang Bedal suka suka menonjolkan diri di tebingan sungai terutamanya "area" Kuala Tutoh.


Berkawan dengan tauke boat express, yang bernama Akong, Anong, Aseng ( 3 adik beradik ) dan Joseph ( bangsa Sebok ) yang satu satunya aku kenali bumiputra yang bawa boat Expess. katanya, dah 30 tahun pegang stering boat. Makan mandi tidur kebanyakan masa dalam Boat. Dan yang seronoknya berkawan dengan geng Expres ini, dapat tambang FREE..hehehe.




Walau dahsyat mana kemajuan datang melanda di waktu ini, namun perkhidmatan Boat express untuk Sungai/Batang Baram masih diperlukan lagi. Bukan pasal keadaannya selesa atau selamat, tapi disebabkan orang kampung yang berada di pesisir Sungai Baram masih TIADA pilihan lain.

Kalau aku diberi pilihan antara Boat Express atau kereta, Aku akan pilih kereta kerana jimat masa ( dunia terlalu laju sekarang pok..mesti mok cepat )..Tapi kalau di kira dari segi faktor jimat wang & jimat tenaga..maka Boat express yang paling tepat. Aku yakin perkhidmatan ini masih wujud untuk 50 puluh tahun akan datang..( mungkin waktu itu, Boat express sudah bersayap )...eroninya & sinonimnya Sungai Baram..kerana adanya Boat express.


Ultraman men-refesh-kan Nostalgia

Rancangan hiburan dari zaman aku masih main “pistol dari dahan kayu ubi” dulu( belum bersunat lagi pok).. Lagi bau “liak” kata sahabat ku. Rancangan Ultraman itu saja yang satu-satunya mampu membuai imaginasi kecil ku pada tika itu. 

Dari 20 minit pertama siarannya, sering mengisahkan watak sampingan yang membosankan, namun 10 minit terakhir, yang pastinya amat ditunggu. Pertarungan Raksasa yang melibatkan Ultraman berwarna Putih ber”lis” merah ada Sirip di kepala dan semenjak ada Trend fesyen kepala Ultraman itu, maka berakhir la fesyen rambut ala John Travota. Pertarungan EPIK yang sering menjahanamkan bangunan tinggi. Bekalan elektik terputus, orang ramai berlari. 



Sungguh mengujakan, Biarpun arwah mak suruh mandi, aku masih setia duduk mencangkung depan TV. Rancangan Ultraman ini selalunya pada sebelah petang dalam jam 6.30pm. Ada iklan terus ku pantas mandi, tak perlu pakai sabun khuatir tak sempat tengok Ultraman keluarkan kuasa saktinya sewaktu bersilang tangan. Memang menguji minda kecil ku, hingga aku tertanya-tanya, adakah wujud raksasa ganas di sebelah dunia sana???.Namun persoalan cemas itu telah ku tinggalkan 35 tahun yang lepas.


Di zaman kepesatan teknologi sekarang, dengan Astro ceria nya di balut habis dengan rancangan yang berkonsepkan kanak-kanak. Hero Ultraman telah hadir lagi di musim cuti ini.( Sebab musim cuti sekolah je Raksasa menganas) Tapi kali ini wataknya telah di kembangkan. Ada yang bernama Saga, Nebius, Max, Tiga, Neos, Zoffy dan bermacam lagi la…. 




Secara tidak sengaja aku menemani anak ku menonton Rancangan Ultraman tengahari tadi. Perjalanan ceritanya masih sama Cuma watak dan warna Ultraman telah berubah. Ke-FOKUS-an anakku melihat Ultraman, membongkarkan lagi ingatan yang telah ku lipat kemas dalam sejarah hidup ku. Anak ku yang belum bersunat ( tapi tak main pistol dahan kayu ubi ) mereka main “pau” dalam handphone dah..aku dapati reaksinya pasti sama seperti aku dulu. Penuh dengan debaran, mulut pun akan mengeluarkan bunyi ” Wahhhhhhhhh”..


Sebanyak manapun rancangan hiburan berkonsepkan kanak-kanak pada zaman ini..Rancangan Ultraman tetap “first top list” yang di tunggu anak aku. Dari zaman aku hingga ke zaman anak aku, insyallah andai umur panjang, akan ku tonton juga dengan cucu ku kelak. Watak manusia raksasa berbaju pelik itu, masih lagi relevan untuk ditonton. Mungkin ceritanya “malasegar” atau mungkin wataknya diperkemaskan selari dengan peredaran zaman ini namun bagi aku yang dari kecil mengenalinya, aku dapati hero pada watak si Ultraman ini tak pernah menyakitkan hati manusia dan kalau di imbas kembali nostalgia bersama Ultraman ini, mengingatkan aku, bahwa Cuma “SI ULTRAMAN’ ini saja la yang boleh membuatkan aku teringin mahu cepat balik ke rumah selepas bermain petang sebelum malam menjelang tiba.


Banyak hiburan menghinakan akal

Duduk di kedai kopi era zaman bujang ku dulu, banyak menguji minda mengasah akal menjadi kritis dan yang paling ketara membahaskan tentang perjuangan untuk mendapatkan duit demi “jamming” di hujung minggu di kpg cina, Marudi, berhujah berlapit kata mencari wang menstukturkan kutipan dana untuk membeli bola takraw setiap berakhirnya hujung bulan. Berdebat di pasar tamu demi menaikkan nilai harga ikan yang baru dapat dari Logan Terikan. Dan yang paling penting, mengulung hujah tersusun dengan data serta fakta dari segala arah pemikiran kawan di sekitar lingkungan hidup untuk menguatkan alasan dan terhentinya sembang di kedai kopi selepas titisan air kopi susu terakhir yang diteguk sebelum berangkat pergi mengail ikan puyu di parit Kpg Ridan untuk dijadikan umpan menangkap ikan Belida & tapah di seberang kampung.
Tapi sekarang, duduk di kedai Kopi, kiri dan kanan semua bercerita pasal Lawak static di kaca TV, Juara merdu di dalam MENTOL ,berkampungnya sekumpulan remaja tanpa ada garis merah untuk di langkah..Semakin menjijiknya hiburan tika ini, apabila si Ibu pula menanggis sendu takala mendapat tahu si anaknya tidak terpilih dalam barisan pemain utama hiburan di kaca wayang..Mengarut , menyimpang jauh, menjahanam pemikiran anak bangsa serta Mematikan system saraf akal berfikir dan yang menakutkan, kita kini menjadi ZOMBIE yang telah diprogramkan untuk melutut bernafsu melelah air liur depan kaca TV tika siaran hiburan bermula.
Sedarkah kita, perasankah Tuan puan, IQ anak kita semakin merudum disebabkan hiburan, ketagih gadjet yang semakin teruk bak taufan menganas. Mereka terlalu lemah bila di minta berucap, berinterksi dengan orang luar, sedangkan ilmu bercakap dengan dalil yang tepat itu yang diperlukan tika meniti persiapan dewasa kelak. Budi perkerti yang mulia mula terhakis bila setiap hari menonton perkara yang membisul-kan mata hati. Daya saing hidup pun mula kendur apabila setiap kali bermain GAME ..butang BACKSPACE atau START MENU sentiasa digunakan. Lama kelamaan ianya menjadi tabiat dalam mengharungi hidup. Sedangkan kita tahu, kesilapan dalam memilih jalan hidup ini tiada istilah BACKSPACE atau START MENU,..apa yang ada, apabila tersasar dari laluan hidup cuma tinggal kesan parut yang semakin mencacatkan calitan kisah di dalam hati.
Gelombang Hiburan bersama momentumnya semakin deras menghanyutkan kealfaan kita. Ada suatu Rahsia hidup yang ku simpan kemas hingga kini..Hatta anak istri ku pun tak tahu, bahawasanya aku salah seorang yang meminati irama THRASH METAL tahun 90an dulu. Group band Silent Death,Suffercation,Infectious Maggots, Cromok masih terngiang di telinga bisikan halus Irama gig-gig muziknya. “jamming” dengan sahabat keras ku Black sambil bermain bass goyang handbang macam tunggul kayu jala di langgar air deras. Kalau yang mengenali Otai Black, pasti tahu rupa & ketinggiannya..( Jangan Marah tailong..wa pinjam watak lu ) …
Aku bukan bercakap dari bahan bacaan sahaja, namun aku padatkan ramuan ini dengan pengalaman hidupku yang pernah leka suatu ketika dulu... NAMUN LEKA ITU, YANG SENGAJA DI CARI... Tapi kini, mekanisme kelekaan itu Cuma depan mata, ada di hujung jari sahaja. Terlalu mudah hinggakan si bayi tidak mahu menyusu kerna leka menguit skrin Tab, si suami bersengkang mata dinihari bergasak di medan Clash Of Clans hingga terlupa terbaring bujur Si Ratu minta diselimut, malah si dara dan teruna kemalangan bukan disebabkan brek kenderaan rosak, tapi tangan tak cukup untuk memegang stering pabila handphone vibrate masuknya kisah romantic entah di wassap, intergram, twit ataupun facebook.
Benar dan memang benar,..kita menuju ke arah dunia yang tanpa batasan. Dan benar serta sesungguhnya benar kerna terlalu bebas…kita akan terbabas.. Hiburan adalah riadah minda yang kepenatan seharian selepas membanting tulang. Ianya juga suatu terapi dan minat semulajadi fitrah insan yang bernama manusia., Alihkan minat itu ke arah hiburan yang membina kekuatan fungsi akal.
kalau mengikut standard system pendidikan sains di sekolah. Manusia dahulukala ber-cawat di dalam gua, kusut masai, melompat menari di hadapan gumpulan kayu api hingga melalui tempoh hidup yang panjang secara tidak langsung membenihkan jutaan sel sel saraf neutron bersambung ke otak dan akhirnya semakin majunya akal fikiran manusia maka semakin bersopannya berpakaian. Apakah kini dengan ber-skirt pendek berbaju ketat ( cawat moden ) di pentas hiburan menunjukkan kematangan akal fikiran? Atau melawak tak tentu pasal memperbodohkan minda masyarakat khususnya anak-anak bangsa yang baru mengenali dunia…Adakah ini menunjukkan tahap aras pemikiran kita tinggi?
Hakikatnya hiburan yang melambak kini sesungguhnya menghina akal dan keputusan berakhir dengan kita berpatah arah ke belakang masuk ke “gua” lagi…


Apakah perkhabaran untuk PRU14?




Dapat diramal kebanyakkan yang berani meluahkan pendapat adalah insan yang berumur 40 tahun ke bawah dan "pengundi senyap" seperti aku yang selama ini sering berdiri di atas pagar apabila datangnya musim pilihanraya dan kini mula tampil kerana mempunyai 'point' atau matlamat perjuangan yang sudah jelas.

Aku ulangkan lagi soalan bernas ini. APAKAH PERKHABARAN PRU 14? Masih mampukan "gergasi Tua' berdiri kerana momentum gelombang muda semakin besar akan memukul apa sahaja yang menghalang keinginan mereka yang sememangnya sudah tersepit kini.