Translate

Saturday, 25 July 2020

Hagia Sophia & Bukit Melaka

Apabila heboh pasal pertukaran nama bukit St Paul ke Bukit Melaka yang dibantah oleh Parti MCA, aku hairan sejenak. Kenapa terlalu dilayan sangat dengan suara-suara begitu. Orang kita terlalu berlembut. Hakikatnya nama Bukit Melaka adalah nama pertama yang diguna terlebih dahulu, adapun nama bukit itu ditukar ke St Paul sewaktu zaman penjajah.


Seperti Hagia Sophia di Turki, pedulikan suara-suara langau yang bising. Persetankan kelantangan suara mereka dijalanan. Hakikatnya bukan pun menguntungkan mereka memperjuangkan untuk mengekalkan nama St Paul itu. Mereka cuma memanaskan isu agar dunia melihat mereka sebagai mangsa ketidakadilan. Masuk akalkah disebabkan bertukar nama, eco pelancongan Melaka akan mengalami kesurutan.

Ini akan terus berlaku andai Pusat Berkuasa Tempatan( PBT) didominasi oleh golongan yang terlalu bersikap toleransi. Apabila dibangkitkan sesuatu isu, kita terleka dengan perbincangan yang membuangkan masa dan akhirnya meletihkan akal dengan perkara yang remeh.

Monday, 20 July 2020

Bario di hati

Blog aku ini semakin 'slow' pengerakkannya. Kesibukkan kerja dengan masalah hidupan seharian membuatkan aku tiada masa untuk menulis. Sekarang dunia dikejutkan oleh virus COVID-19 yang mampu membunuh nyawa. Malaysia pula telah membuat perintah kawalan pengerakkan 14 hari dari 18-31 March 2020 seluruh negara. Segala aktiviti yang membabitkan kumpulan yang ramai automatik ditangguh. Kedai-kedai pula diarah tutup kecuali kedai yang dalam 'list' yang dibenarkan itupun mempunyai kawalan masa untuk beroperasi.  Tujuan kawalan ini agar 'rantai jangkitan' dapat diputuskan. Namun ada juga netizen yang masih belum faham ke-serius-an jangkitan ini, malah ada yang masih sambil lewa dengan arahan kerajaan ini. Dapat ku bayangkan kalau perintah ini dipanjangkan, sunyi la hari raya tahun 2020 nanti.

Team menawan puncak Bukit Doa ( di belakang )

Di Pintu Gerbang Library Bario

Mr. Marcus menceritakan beberapa potret di Homestay Hendry


Baru saja balik bercuti dari Bario Highlands of Sarawak. Tempat yang inginku lawati dari dulu lagi dan Syukur kini ianya menjadi kenyataan. Penerbangan mengambil masa 40 minit dari Marudi ke Airport Bario. Waktu ini pun sudah mula merebaknya virus tersebut di China, Italy, Spanyol dan negara lain, namun belum diistiharkan perintah kawalan pengerakkan oleh Kerajaan Malaysia.

Suasana malam di Rumah Panjang kaum Kelabit

Dapur kayu di ruang kaki lima/koridor yang terbuka.

Kilang membuat Garam Bario

Apa yang menarik di Bario? Secara peribadi, aku cuma tertarik dengan cuaca sejuknya. Dengan sejuknya air paip pabila hendak mandi dan berwuduk. Memang pengalaman yang sungguh unik. Setakat jelapang padi dan flora serta faunanya, bagiku ianya sesuatu yang biasa ku lihat lagipun aku ini memang anak kampung.
Pekan Bario

Homestay tempat kami tinggal. Bersih dan mesra pelanggan.


Banyak aktiviti telah diatur dan ianya amat berbaloi sepanjang 2 malam di sana. Kalau di Brunei, kedai ditutup pada hari Jumaat untuk menghormati Solat Jumaat berlainan pula di Bario, kedainya ditutup pada hari Ahad bagi memberi peluang untuk komunitinya sembahyang di Gereja dan semuanya dari aliran BEM ataupun  SIB ( Sidang Injil Borneo ) saja.

Sepanjang berada di sana, aku dapati kebanyakkan penduduk tempatan mahir berbahasa English termasuk warga tuanya. Mungkin ini juga diantara penyebab pelancong dari luar negara suka ke Bario kerana tiada masalah dari segi komunikasi.

Kelabit sawah padi


Danny dan kapal terbang, tempat yang memang rare di Bario

Kalau ada lapangan, rezeki dan kesihatan, akan ku jejak lagi kaki ke tanah tinggi ini. Bukan untuk mengejar cuaca sejuknya, tapi membawa jiwa yang gundah gulana agar kembali tenteram tika melihat indahnya ciptaanNya.




kali ini sentuhan yang berat

Baru berkesempatan menonton filem '12 years a Slave'. Memang menyentuh hati. Kisah orang kulit hitam ( negro) menjadi hamba abdi orang kulit putih.  Menariknya cerita ini adalah hero tersebut sebenarnya orang yang bebas/Merdeka tetapi suatu malam dia dimabukkan dan keesokkannya dia dijual sebagai hamba abdi. Aku malas nak cerita perjalanan kisah dalam filem tersebut, tapi isu-isu penting banyak disentuh dalam penceritaan filem ini. Kisah kerakusan wang, kuasa, nafsu, pengkhianatan, percaya diri malah berjuang untuk hidup memang ditekan dalam kisah ini.





Tapi pengajaran yang paling bermakna adalah isu 'kebebasan hidup' untuk setiap  insan paling penting. Dengan adanya kebebasan, selagi kuat berusaha pasti segala keinginan dihati tiada sesiapa pun dapat menghalang.

Kita mungkin tidak sependapat dan boleh juga dikritik  tetapi apabila menjadi hamba abdi anda tidak layak bercakap jauh lagi ingin berkongsi pendapat. Anjing pun tidak diludah, ditendang tanpa sebab, disebat tanpa belas kasihan malah dijadikan bahan melepas hawa nafsu.

Benar juga kata orang, antara miskin papa kedana dan menjadi hamba abdi. Baik memilih menjadi miskin kerana menjadi miskin kita masih mampu membuat pilihan hidup. Perbezaannya amat ketara. Walaupun miskin, kita masih mampu berusaha mengubah hidup menjadi lebih baik.

Melihat filem-filem berkualiti begini, mampu membuatkan kita lebih kritis bila berfikir. Kita juga diajar untuk melihat dari pelbagai sudut pandang yang berbeza. Membuatkan hero dalam filem ini berjaya mengharungi dugaan tersebut adalah dia mempunyai ilmu serta ketahanan fizikal mental dalam menghadapi ujian. Memang benar, ILMU amat penting dalam kehidupan harian. Tanpa kemahiran menulis, pasti  Solomon Northup tidak dapat membebaskan diri dari terus menjadi hamba abdi.

Teringat semasa Pra-Pandemik CO19 melanda negara, tiba-tiba kita dikejutkan dengan PKP(Perintah kawalan Pengerakan), ianya sungguh janggal malah ada yang tidak dapat menerima perintah tersebut. Dengan pengerakan yang terbatas membuatkan ada yang berani melanggar arahan dan akhirnya dihukum atas kesilapan melanggar PKP.

Bayangkan dari kebiasaan hidup kita yang sentiasa bebas tiba-tiba dihalang untuk membuat perkara yang kita suka, pasti ianya mengundang kegusaran di hati. Namun kita akhirnya faham bahawa PKP ini sebenarnya salah satu cara untuk menyelamatkan nyawa kita dari Maha bahaya jangkita CO19 itu. Mereka yang didenda bukan disebabkan setakat melanggar PKP, tapi mengelakkan mereka lebih bergerak bebas dan akhirnya menjadi pembawa CO19 menyebar kepada ahli keluarga dan masyarakat. Kalau nak bergerak juga tapi mati sorang-sorang, lantak la..

Tapi isunya disini adalah, apabila kebebasan kita diragut, tidak sewenang-wenangnya kita akan menerima cara kehidupan yang dibelenggu sebegini. Terpaksa mengubah cara hidup dan cuba bertahan untuk kelangsungan hidup. Itu baru diberi PKP, cuba bayangkan kita dijadikan hamba abdi. Sudah tentu tiada sinar harapan menanti. Sebab itu watak Patsey seorang wanita muda negro dalam filem tersebut merayu kepada Solomon untuk mencabut nyawanya dengan cara memotong dan merendam di dalam paya mayatnya agar orang tidak tahu kehilangannya kerana tidak tahan dengan tindakan Tuan mereka yang merogol, menghina dan menyeksanya.

Hargai nilai kebebasan ini, biar pun hidup kita susah, miskin atau di timpa masalah berat sekali pun, kita mesti ingat bahawa kita masih punyai kuasa memilih dalam kehidupan kita sendiri dibanding dengan hamba abdi yang seluruh hidupnya di abdikan untuk Tuannya. Tanam dalam-dalam ayat ini dalam hati:

' Sebagaimana pun kesusahan yang dihadapimu, pasti ada cara untuk menyelesaikannya'







Friday, 19 June 2020

Leoncino di genggaman

Lama sudah tidak menjenguk ke lama ini. Tidak juga disebabkan sibuk atau leka tetapi ketiadaan ilham itu yang membuatkan jejari ini malas hendak menulis. Sebenarnya banyak isu-isu panas yang hendak dikupas namun hendak memulakan sesuatu mukadimah, terlalu payah ibarat ada sebongkah batu diikat ditangkai-tangkai idea akal.

Melewati saat-saat PERINTAH KAWALAN PEGERAKAN ( PKP, B,P ) yang mencecah ke 3 bulan juga lamanya. Lambaian kegelisahan yang dulu kini mula menerjam langit-langit malam. Sudah 2 tahun berlalu aku pernah mencipta keinginan untuk memiliki Motorsikal berkuasa tinggi dan disebabkan PKP ini, gelora kian memuncak. Apa tidaknya, dikala PKP ini, tiada perkara yang hendak difikirkan selain makan tidur dan makan tidur. Berhenti sepenuhnya aktiviti harian.



Dalam keadaan yang terlalu santai, angan- angan yang belum tercapai mula mengejar dan kini mengaum digerbang cuping telinga hati.  Selepas mengambil kira segala halal haramnya, untung nasibnya malah pro serta kontra maka dengan rasminya hari ini ( 10 Jun) aku telah mendepositkan wang pendahuluan untuk menempah motor tersebut. Langkah telah bermula moga di simpang jalan ini, ianya menuju ke tempat hentian yang aku dambakan.



Berpandu dengan rasa percaya pada kata-kata hati, kini motorsikal tersebut sudah ada dalam genggaman. Ditukar terus cermin sisi agar nampak seakan motor klasik/vintage.

Berkenaan pretasi enjin, aku bukan layak untuk menilainya. Hala Panduan aku lebih ke arah ronda- ronda santai. Tapi posisi tunggangan memang terbaik.

Aku tangguhkan dulu sembang untuk kali ini, selepas beberapa kali 'rider' nanti,  baru aku update yang terbaru.

Friday, 29 May 2020

Raya COVID19

Berlainan benar Hari Raya di tahun 2020, walaupun baju sudah dibeli penghujung tahun 2019 sewaktu bercuti di Sabah namun aura hendak menyambutnya kurang kerna negara di landa pandemik CO19. Kami di ulu baram pun tidak ketinggalan merasai tempiasnya.

Bertambah sedih raya tahun ini, apabila perkara yang dirancang tidak dapat dilaksanakan. Hendak beraya di rumah baru dengan Sofa baru dan beberapa perabot baru sudah dibeli tiba-tiba tidak dibenar untuk membuat rumah terbuka, ianya satu tamparan yang mengoncang jiwa.


Dan yang paling sedih untuk raya tahun ini apabila cuti pun belum diluluskan. (sehingga tarikh artikel ini ditulis) Redha bercampur sedih bersulam geram juga kerana baki cuti ku masih banyak (74 hari) lagi.

Selamat hari raya semua, memang sungguh berbeza Hari Raya tahun ini. Selalunya awal pagi raya memang riuh dan bising menyuruh anak yang liat bangun tidur untuk mandi solat Aidilfitri dan maknya sibuk menyediakan juadah pagi untuk santapan kami sebelum pergi ke Masjid. Rutin tabiat tahunan hari Raya kali ini amat jauh berubah 360 darjah. Solat Aidilfitri, takbir di Masjid malah menziarahi kubur pun tidak dibenarkan.

Awal pagi Hari Raya tahun ini, aku terus sarapan dengan kelupis, daging kambing masak kari dan ayam masak kunyit. Aku ' blur' nak buat apa lagi selepas itu. Anak pun masih nyenyak tidur. Hendak jemur baju tapi pagi ini hujan pula. Pertama kali dalam sejarah hidup tika musim hari raya aku duduk termenung.

Namun demi menyahut seruan Kerajaan untuk menghilangkan lengkukkan Pandemik CO19 ini, aku tabahkan hati untuk menyambut Hari Raya dengan ala kadarnya. Syukur juga kerana masih boleh berhari Raya dengan ahli keluarga di rumah sendiri dibanding dengan segelintir orang yang terpaksa bekerja di hari yang mulia ini.


Tahun ini berhari raya di Senadin Miri (rumah sendiri). Memang rindu juga hendak balik ke Kpg Narum Marudi, tapi ada sekatan Jalanraya di lakukan di Ferry point Marudi oleh Pihak Polis sepanjang tempoh PKP ini.

Aku malas hendak mengambil surat pelepasan di Balai Polis Long Lama lagipun pasti tidak diberi kebenaran kerana bilangan kami melebihi kapasiti yang dibenarkan dalam sebuah kereta. Sepanjang tempoh PKP ini, cuma dibenarkan 4 orang sahaja dalam sebuah kereta.



Sekali lagi aku ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua, walaupun sunyi Hari Raya tahun ini serta jauh dari kelurga tersayang diharapkan agar kami sekeluarga 'dihadirkan juga dalam ingatan' sewaktu Bulan Syawal kemenangan ini.







Wednesday, 8 January 2020

Derma dan rakaman

   Kali ini aku bukan nak ulas, tapi aku rasakan bahawa SPRM ini takkan 'clean' selagi pengarahnya dilantik oleh parti tertentu. Terbaru ini, muncul pula isu yang lebih kurang sama dengan isu pada tahun 2015. 



Senang saja memberi pendedahan kepada umum sedangkan bahan bukti itu sepatutnya dibawa ke Mahkamah untuk dijadikan sandaran kes.


Walaupun kedua kes di atas berlainan tajuk, tetapi tindakan pihak SPRM menunjukkan mereka begitu teruja hendak mendedahkan  'bukti-bukti' kepada umum sedangkan belum ditentukan kesahihannya. Sepatutnya bahan bukti tersebut dibawa ke pengetahuan pihak Polis untuk membuat siasatan.

Jangan katakan Pak Jib akan mempersoalkan ketulenan rakaman tersebut malah mungkin akan menyaman SPRM kerana mendedahkan butir perbincangan  seorang Perdana Menteri  ketika itu dengan pegawai atasan negara lain malah netizen yang menulis di ruang komen di laman FB juga mempertikaikan tindakan SPRM tersebut. Aku malas nak hurai lebih panjang, namun impak dari kebodohan ini sebenarnya akan membantu melonjakkan populariti Pak Jib apa lagi sekarang musim nak menawan PRK Kimanis. Secara tidak sengaja tindakan tergopoh gapah SPRM ini amat-amat membantu menaikkan 'saham' team UMNO di Sabah.



Sunday, 29 December 2019

Kompelen jak tauk!!!!

Scroll up/down laman FB, tiba-tiba terbaca sesuatu yang perlu pelarasan akal yang sihat untuk menentu keperluan tindakan. Rata-rata netizen cuma memberi komen yang tidak menguntungkan mana-mana pihak. Tapi bagi aku, tindakan pemuda memohon bantuan pihak Bomba tersebut tidak bercanggah dengan undang-undang dalam mahkamah Malaysia.

Pemuda tersebut cuma memohon bantuan, terpulang kepada pihak Bomba lagi untuk membantu atau menolak pemohonan tersebut. Dalam kes ini, pihak Bomba turun padang dan membantu menurunkan drone pemuda tersebut yang tersangkut di atas pokok.



 Aku tak tahu, mungkin Pihak Bomba ada satu standard ( SOP ) yang digunapakai dalam menentu sesuatu kes yang harus dikendalikan. Tetapi tindakan kedua pihak aku puji dengan penuh hormat.
i) Tindakan pemuda tersebut meminta bantuan dari Pihak Bomba, siapa lagi dia nak minta bantuan kan?..Tinggi pokok tu. Nak panjat sendiri, tiba-tiba jatuh lain pulang cerita atau di tangkap oleh pihak berkuasa tempatan, lagipun pokok tu nampak penuh dengan lampu hiasan, pasti orang tuduh beliau hendak mencuri lampu pula.

ii) Pihak Bomba datang membantu dan aku yakin ianya telah diputuskan dengan wajar sekali. Seperti kes ular sawa masuk rumah hatta masuk reban ayam pun ada pihak Bomba datang membantu, selagi ianya melibatkan soal nyawa rasanya mereka patut ada di lapangan.

Budayakan semangat saling tolong menolong dan jangan asyik nak pentingkan diri sendiri. Peringatan untuk diri sendiri dan si pembaca laman ini.