Translate

Sunday, 2 March 2025

Jeti waterfront Pekan Long Lama Baram Sarawak

(Hasil dari tulisan di FB sendiri)

Kalau dulu tahun 70an hingga seawal tahun 2000, jeti Long Lama ini amat galak dengan aktiviti harian terutama pada musim perayaan Krismas dan musim pergi & balik sekolah. Di musim perayaan Krismas, perkhidmatan bot express akan menambahkan jumlah bilangan perjalanan dari 3 kali sehari menjadi 5 kali sehari terutama pada tarikh yang semakin dekat dengan 25hb Dis. Bermula dari Jeti Marudi berakhir di jeti Long Lama dan berpusing kembali mengikut jadual yang telah ditetapkan oleh Sarawak Rivers Board.

Jadual biasa dari Jam
8.00 pagi, 12.00 tengahari dan 2.00 petang. Manakala apabila musim perayaan ia akan ditambahkan jadual perjalanan pada Jam 10.00 pagi & 3.00 ptg.

Keadaan jeti dalam tahun 2000an


Musim cuti Sekolah sempena Krismas padang sekolah ditutup dan kebanyakkan cikgu balik kampung. Maka untuk menghilangkan kebosanan kerana tidak cukup kawan untuk bermain & beriadah, aku banyak habiskan masa petangku dengan duduk melepak di pinggir Jeti melihat gelagat penumpang bot Express yang baru sampai. Ada yang sibuk memikul barang seperti beg besar, air berkarbonat yang berkotak- kotak, peti sejuk, kerusi sofa, almari baru dan lain- lain. Manakala yang perempuan pula selain memimpin tangan anak mereka berjalan di jeti yang licin, tangan sebelah pula membawa kantong besar penuh dengan bunga dan barang- barang hiasan Krismas. Barangan yang besar ke semuanya diletakkan di atas Bumbung bot express manakala peti sejuk, enjin padi, enjin pam air, tong gas pula selalunya di buntut express bersebelahan pintu belakang. Seandainya dalam perjalanan menempuh hujan, juragan express akan singgah sebentar di tebingan untuk mengatur dan menutup barangan tersebut menggunakan kanvas yang panjang dan besar agar tidak basah. Barangan sebegitu diambil tambang juga katanya untuk insuran harta.


POV: Dari sungai menghadap jeti

Jeti ini yang dulunya sibuk kini sunyi dengan aktiviti. Sekarang ini kebanyakkan ibubapa lebih selesa menghantar anak mereka menggunakan kereta. Kalau dulu seawal jam 9 pagi sudah penuh jeti ini dengan beg sekolah & baldi kosong yang sengaja ditinggalkan sebentar, sementara pelajar berkeliaran membeli keperluan harian di kedai sebelum masuk ke Asrama. Ibubapa pula akan menemani anak mereka membeli- belah. Maka Penuhlah perahu diikat di lengan besi Jeti dengan pelbagai warna perahu, pendek panjang, besar malah ada yang siap dengan beratap sekali. Mereka tidak akan balik selagi anak mereka belum masuk ke Asrama. Ini yang membuatkan jeti tidak sunyi dari pagi hingga ke petang.


Kenangan pondok jualan di jeti

Kebelakangan ini, boat express pula tidak beroperasi lagi, perahu pula jarang singgah dan jeti ini cuma aktif apabila hadirnya musim durian & dabai. Ramai peraih buah dari Miri, Brunei, Bintulu dan sejauh sibu akan berkampung sebentar di Jeti ini menanti durian dari Uma Bawang, Long Laput, Uma Akeh dan Long Banyok yang dibawa oleh orang kampung sendiri dari kawasan tersebut. Aktiviti ini boleh berlarutan sepanjang musim buah tersebut selalunya 3 minggu hingga sebulan lamanya. Maka banyak juga kulit- kulit durian mengotori wajah jeti pada ketika itu. Kulit- kulit durian akan hilang apabila air Sungai Baram akan melimpah ke bibir jeti dan langsung membawa kulit durian tersebut. Jeti akan bersih lagi dan bau durian pun akan hilang.

Jeti ini akan aktif lagi apabila ada perayaan Tahun baru cina kerana di kawasan jeti ini paling selamat bermain bunga api. Permainan dan persembahan bunga api ini boleh berlarutan sampai dinihari. Sampai tengkok kau penat kerana sentiasa mendongak ke atas langit melihat kecantikan bunga api tersebut.

Namun di penghujung kisahnya Jeti ini tidak berfungsi sepenuhnya seperti dulu. Sekali sekala aku akan singgah sebentar di jeti ini. Meninjau paras air sungai pasang atau surutnya. Melihat kapal menarik tongkang minyaknya dan sekali sekala melihat sahabatku dari Long Laput & Long Banyok membawa hasil tangkapan ikan udangnya. Jeti pekan Long Lama dulu yang penuh dengan macam ragam, kini tinggal kenangan. Cerita orang bertarik perahu, cerita juragan express rajin mencuci titi jetinya, cerita kaki pancing kecewa kerana jeti ini jarang memberi rezeki hasil tangkapan, cerita budak- budak hingusan memikul barang jualan dari bot express yang di pesan dari bandar Marudi, cerita Pak Polis membawa penjenayah naik Express untuk dibawa ke Penjara Balai Polis Marudi, cerita penambang perahu bergaduh berebut penumpang dan kini sepi hingga tiada yang tahu akan kewujudan kisah- kisah tersebut.

Keadaan terkini Jeti

POV: Drone


Sementara aku ingat, aku tuliskan agar kenangan ini tidak hilang di telan zaman. Yang paling aku rindu adalah pondok kedai yang usang dimiliki oleh sepasang suami isteri tempat aku sering membeli air tin Cola dan sebungkus Chewgum bekalan untuk menaiki boat express menuju ke Marudi dan pondok usang tersebut dinaungi pula oleh pokok mempelam yang sentiasa berbuah lebat tika tiba musimnya. Andai dapat diputar waktu, aku cuma ingin kembali untuk merakam gambar kenangan tersebut yang telah seiring berjalan dalam hidupku . Pembangunan dewasa ini kita tetap sokong serta teruskan demi mengubah wajah Long Lama agar sentiasa relavan untuk menarik minat orang luar datang berkunjung.

Kesenian klasik Kaum Narum Marudi

 Alat musik ini disebut sebagai Lata’ngan. Salah satu Khazanah kesenian kaum Narum Marudi yang semakin pupus akan kewujudannya.




Alat muzik ini dimainkan sewaktu berada di Sawah terutama musim menuai padi. Alat bunyian yang diperbuat dari kayu dengan cara dipalu untuk menghasilkan bunyi yang berirama.



Walaupun Lata’ngan ini seusia dengan kewujudan etnik Narum itu sendiri namun ia tidak semaju penggunaan seperti Alat-alat muzik moden. Malah, ramai generasi Muda tidak kenal alat muzik ini.

Kini generasi emas sahaja yang mahir mengalun pukulan rentaknya.( mungkin 1 atau 2 orang saja yang tinggal). Semoga ada Usaha untuk memelihara Kebudayaan klasik ini.


Friday, 28 February 2025

Burung Walit mercu tanda pertama Long Lama

 Sepasang burung walit kembali ke sarang

Arca pertama di miliki Pekan Long Lama.
Seawal tahun 2000an ia telah dibina dengan anggaran kos sebanyak RM60 ribu dan kini ia telah berusia lebih daripada 20 tahun.


Dulu tanah ini dalam bidang kuasa Majlis Daerah Marudi dan taman permainan melantari ruangannya termasuk Tugu asal ini namun kini ia dalam kawasan SJK (C) Kee Tee kerana pertukaran hakmilik tanah dan sekarang tugu ini pula dalam perkarangan sekolah tersebut.





Calitan ukirannya sungguh indah, sentuhan seni buatannya mempesona melambangkan sepasang burung walit yang amat sinonim dengan Long Lama, terkenal dengan produk sarang burung namun strukturnya pula kian usang dan warnanya semakin pudar.


Mercu tanda yang terbaru di waterfront Long Lama

Ramai juga yang tidak perasaan akan kewujudannya kerana ia seakan bersembunyi di sebalik pagar Sekolah dan sengaja aku kongsikan video ini untuk tatapan agar bahan yang akan menjadi sejarah ini terus diingati tanpa sempadan usia

Thursday, 28 December 2023

Jab. Imegresen Malaysia

 Lama betul tidak ‘menari pena’ di atas kertas kaca ini. Kesibukkan dan ketandusan idea membuatkan ruangan ini kosong buat jangka waktu yang agak lama. Ditambah dengan tugasan harianku semakin memuncak lariannya.

Syukur kali ini aku terpanggil untuk hadir lagi biarpun tidak panjang menjela leretan tulisannya. Apa yang pasti aku mendapat ilham selepas menjadi ‘babysitter’ seketika anak gadisku bermain di taman manakala aku pula duduk sambil memesan minum Cham ais untuk merancakkan ilham.

Tempoh hari aku ke Jab. Imegresen Malaysia Caw. Miri membuat Pasport anakku yang telah tamat tempohnya. Prosuder permbuatannya semakin mudah. Sediakan saja Kad pengenalan/ MyKid beserta sijil lahir. Pastikan fotocopy (1 salinan ) terlebih dahulu. Kalau pasportnya tamat tempoh pastikan juga di bawa sekali.

Jumpa Pegawai perhubung untuk dapatkan no. giliran. Tak sampai 10 minit no. giliran dipanggil sedangkan waktu itu terlalu ramai orang ditambahkan lagi musim cuti sekolah & perayaan Hari Natal. Namun proses kerja masih lancar.

Selepas berurusan di kaunter pengurusan Data, kita menunggu lagi untuk urusan pembayaran. Itu pun tidak sampai 10 minit juga dan kita di minta menunggu lagi selama 1 jam untuk proses buku pasport dikeluarkan. 

Bagi aku sistem pengurusan Jab. Imegresen Malaysia memang ‘tip top’. Memang ada istilah ‘menunggu’ tetapi menunggu yang berbaloi. Kalau kau pernah menunggu berjumpa Doctor pakar, baru kau tahu ‘masa’ menunggu itu amat sia-sia. Bila sudah giliran kau, tak sampai 15 minit Doctor dah selesai periksa. Menunggu dari jam 8 pagi dan masuk bilik doctor jam 1 petang.

Di antara penyebab proses kaunter Jab. Imegresen ini cepat kerana jumlah kaunter banyak dan bilangan pegawai bertugas yang ramai dan paling penting mereka semuanya cekap. Semoga sistem yang diterapkan ini menjadi contoh untuk Jabatan lain ikuti terutama Jabatan kerajaan yang sering berdepan dengan komuniti. Benda baik patut kita bagi kredit dan hebohkan kepada semua.

Saturday, 13 May 2023

Besok belum berakhir


Sewaktu membelek helaian buku  di kedai buku yang agak terkenal di Bandar Miri. Terlihat reaksi super hypeaktif anakku yang berumur 7 dan 9 tahun berpusing di rak-rak buku mencari buku bacaannya juga. Dari buku bacaan bahasa Melayu, English, matematik hingga buku asas bermain piono mahu di borong sekali. Membelek berjenis buku dari semua rak hingga buku yang tebal dan berat selagi ada gambar, akan dibuka untuk melihat helaiannya.


Dalam memerhatikan gelagat anak yang masih berlegar-legar mencari buku sesuai aku yang cuma berdiri tegak di suatu sudut rak buku mengelamun sebentar membongkar memori kerinduan mengingatkan aku di masa berumur sebegitu cuma mampu bermain guli di bawah rumah Arwah Pak Sanen. 

Dengan mata dipejam sebelah untuk melaraskan sasaran guli yang akan dijadikan mangsa beserta  jari jemari yang lembut melontar guli azimat yang di sebut “AKOR”. Guli Akor  ini mempunyai kedudukan kasta yang tinggi dibanding dengan guli yang lain malah  Saiznya juga lebih besar sikit dari yang lain. Guli tersebut tidak boleh disimpan bersama dengan guli yang lain dalam satu poket, khuatir Ilmu saktinya hilang dan tidak lagi membawa tuah. “Si Akor” ini boleh membuatkan si pemain menjadi kaya dengan guli yang dapat digumpul sepenuh tin MILO.

Dengan umur yang masih muda sebegitu juga aku cuma mampu bermain gasing di bawah rimbunan pokok rambutan depan Stor enjin sangkut abang kepada Awg Jamil dan yang sering “supplier” gasing pastinya abang-abang yang lebih tua. Kami yang muda dari segi biologi seumpama tahap setahun jagung ini, cuma tahu bermain dan sering menjadi “ANOK’( pemasang gasing berpusing ) untuk di pangkak/dilanyak oleh gasing-gasing brader yang lebih tua. Adakala apabila gasing “Anok” di pangkak, ianya terus pecah di tanah, ada yang  terpelanting masuk belukar & tidak kurang juga ada yang bertaburan terbang masuk ke sungai . Namun demi nak bermain, sanggup mencari gasing yang terpelanting tersebut. Biar terpaksa berkuis-kuis dengan dahan rambutan yang mati apabila gasing membuat acara “terjun solo” masuk air kumbahan rumah Arwah Pak Akop.

Panjat tinggi hingga ke pucuk pokok pinang untuk mengelak dari ditangkap selepas brader Bakar habis kira sampai 10 sewaktu bermain “tapok-tapok”. Sehingga main gelongsor di tebing sungai. “Papan gelongsornya” dibuat dari tanah lumpur. Brader Lan Garut amat mahir dalam senibina pembuatan gelongsor tanah ini. Cukup dengan sudut lencongan bertaraf 5G. Apabila disimbah dengan air sungai, maka licinnya gelongsor tanah ini ditambah lagi cuma berlapik mengelongsor dengan kulit buntut yang pastinya mandi telanjang.!!!!

Terhenti lamunan apabila anakku yang berumur 4 tahun bersusah payah membawa sekotak Monopoli  ke arahku. Dibantu oleh abangnya, monopoli tersebut bertukar tangan hingga kepadaku namun ku letakkan di atas Rak buku agar Si kecil ku tidak dapat mengambilnya lantas ku katakan:

“Cari buku”…

Aku bersetuju, permainan di zaman ini banyak yang mengasah minda dan ianya bagus untuk menajamkan pemikiran. Ianya akan menambah mutu IQ  akal kita menjadi tinggi. Namun permainan ini juga akan menghakis sedikit demi sedikit deria 5 pancaindera.

Ianya akan mengurangkan kepekaan kualiti MATA dari melihat Indahnya Ciptaan Allah SWT dan Photoreseptor ini akan melambatkan respon terhadap rangsangan cahaya. Membantutkan deria HIDU dari mencium haruman Alam, kurang ilmu berhujah (LIDAH) hingga mematikan hormon jenaka gelak ketawa tidak seperti anak desa yang bebas bercerita apa saja kerana isi bual bicaranya banyak dipengaruhi oleh pengalaman hidupnya.

Semakin menebalnya rasa tuli  dari mendengar kicau burung dimana sewaktu dulu, aku pernah menyorok di bawah pohon sambil membawa lastikku. Pendengaran TELINGAku lebih tajam dalam mengamati suara si bulu pelepah itu dan jarang sekali pipi halus anak ku terkena bayu pagi atau terbakar KULIT tika panas mentari mengundang, atau tidak seperti aku & The Geng dulu yang pernah berhujan mengigil namun terus bermain bola di padang yang cuma lembu sahaja sanggup untuk berkubang.

Duhai Anakku, alangkah seronoknya andai dikau dapat merasai pengalaman ayahmu ini. Dengan tangan yang kerdil ini, pernah memetik terus dari tangkainya Si buah rambutan merah meraba, betik manis meranum, nangka cempedak mengharum dan bulat menghijau si Jambu batu.

Alangkah seronoknya juga berlari di atas tebing tanah lumpur lantas terjun ke sungai, membantu nenek dengan membuat perangkap ayam dari  tali nilon apabila ayam yang di carinya menghilang seminggu kerana tidur di reban betina lain. Mengali tanah mencari cacing yang terputus kepala terkena mata cangkul untuk di jadikan umpan si ikan puyu dan sepat.

Dengan umur yang masih muda, tahap adrenalin telah di pam sehabis tinggi apabila berlari lintang pukang kerana sekawan lembu menjeling hendak mengejar setiap kali balik dari memancing. Keterujaan ini semakin ditambah apabila jatuhnya si burung bubut di lastik dengan getahnya hasil kreativiti dari senihalus pemotongan tiub basikal BMX.

Memandang sayu sahaja anakku yang berumur 4 tahun dengan monopoli di atas Rak buku, aku senyum sendiri bukan bermaksud untuk menghalang dirinya memiliki permainan tersebut tapi pasti emaknya akan letih apabila permainan tersebut akan dijadikan “bola” sepakannya di rumah nanti. Dengan umur yang sebegitu, mana mungkin dia mahir dalam selok belok permainan yang menguji minda. Memerlukan asas  ilmu kira-kira. Kalau pun abangnya ikut bermain, silap-silap kita akan dijadikan tempat rujuk  sebagai penterjemah apabila tidak memahami hukuman di dalam KAD KESALAHAN kerana tersalah tempat PARKING.

Aku terus membelek helaian buku yang ingin dibeli. Tabiat membaca ini bermula dari hobi tapi kini ianya sudah satu kemestian. Sementara menunggu sistem tubuh rehat & dengupan tekanan darah kembali tenang  dalam keadaan baring, aku akan menghabiskan masa itu dengan membaca dari buku ataupun internet. Helaian demi helaian mukasurat dibuka sambil anakmata ku menjeling melihat gelagat anak yang masih berpusing-pusing di rak buku kerana aku mahu mereka sentiasa berada dalam radar permerhatian. 

Phapppp!!!, bagaikan kena tampar. Aku terkesima dengan satu kalimat berharga dari Tokoh yang amat aku sanjungi.

"Didiklah anak-anakmu itu,  berlainan dengan keadaan kamu sekarang, karena mereka telah dijadikan Tuhan untuk zaman yang bukan zaman engkau," 

Sayyidina Umar bin Khattab RA

Aku batalkan niat membeli buku, anak ku hairan memandangku..





“ Jom, kita mandi laut”

Kalaupun mereka tidak dapat berlari di tebing yang berlumpur, memadai mereka berlari di pasir laut dengan berkaki ayam. Kalaupun mereka tidak sempat mengali tanah mencari cacing, memadai mereka merasa membina Istana buatan dari pasir. Kalaupun mereka tidak sempat memanjat pokok pinang, memadai mereka berlumba memanjat batu di tebingan laut. Dan kalaupun mereka tidak minta untuk pergi memancing, cukup memadai rasanya mereka mengutip kulit kerang dan mengejar si ketam melarikan diri dari riuh rendah tawa mereka. Zaman telah berubah, Mekanisme untuk mencari hiburan juga berubah, apa yang penting, sifat keterujaan dan keseronokkan untuk mencapai meter adrenalin menjadi tinggi...

tetap ada.



Wednesday, 11 January 2023

Peluh punya pasal

Balik dari pejabat, aku terus beriadah dengan cara jogging bersama anak daraku. Ia lebih kepada berlari anak saja. Tak laju tak juga perlahan. Sekadar ingin mengeluarkan peluh dan memaksa jantung berdenyut laju agar proses pengepaman darah  berjalan lancar dalam pembuluhnya. Ia perlu bekerja kerana kalau kita duduk saja jantung pula menjadi lemah. Ia bagaikan satu latihan untuk jantung dan paru- paru juga. Sebab itu, ada orang walaupun masih muda tetapi termengah- mengah apabila menaiki tangga sambil mengurut dada.

Berjogging di bahu jalan yang bertaraf jalan kampung ini memang membahaya.  Cuma di sini tak banyak kenderaan lagipun itu saja tempat yang paling sesuai membuat aktiviti sebegini. Tapi istimewanya petang tadi kerana tiba- tiba aku tertarik dengan sebuah lori sawit yang penuh dengan muatannya. Aku berhenti jogging sekejap sambil memerhati. Aku dapati ada 2 orang duduk dalam lori dan 6 orang pula duduk di atas buah sawit. Lori yang bergerak perlahan dalam keadaan uzur itu namun masih mampu membawa muatan  melebihi dari kapasiti kemampuannya. Aku amati wajah-wajah yang duduk di atas buah sawit namun seorang pun tidak ku kenali. Rasanya mereka pekerja dari Indonesia berdasarkan kepada raut wajah. Tak seorang pun tersenyum.  Baju mereka habis basah lecur sambil tangan berpaut di besi pagar lori. Muka mereka seumpama hitam kehangusan tanda mereka seharian bekerja berpanas dan mata mereka pula semua terarah ke jalanraya mungkin teramat letih tak berdaya lagi untuk menoleh kiri dan kanan.

Lori yang bergerak perlahan itu dengan meninggalkan kepulan asap hitam yang tebal kini kian menghilang dari pandanganku namun telah memberi bekas dalam fikiranku. Bukan disebabkan muatannya berlebihan  bukan juga disebabkan mereka tidak membalas senyumanku. Tetapi aku terkesima dengan keadaan mereka yang dalam keletihan masih juga memaksa diri bekerja membanting tulang memerah keringat di lewat petang hari sebegini.

Betapa bersyukurnya hidup ini apabila dianugerahkan kesihatan tubuh yang baik serta ruang kerja yang tidak memerlukan kita berhempas pulas, mencarik letih bersulam lesu demi mencari sesuap nasi putih untuk mengalas perut. Tidak dapat aku bayangkan kalau aku pula yang duduk di antara mereka di atas lori sawit tadi. Melalui hari- hari bersama mereka. Balik ke rumah pastinya hari sudah gelap, tak sempat bermanja dengan anak daraku. Setiap malam pastinya meminta isteri tolong urutkan  badan yang lenguh disebabkan seharian memikul tandan sawit. Hakikat yang tak boleh lari dalam alam kehidupan sebegini. Menjadi rutin menjadi lali dan akhirnya sakit letih lesu basah lecur baju bermandikan peluh  itu cuma sekadar mainan demi mencari rezeki yang halal.

Aku teruskan langkah namun hatiku terus memikirkan situasi tadi. Melangkah dan teruskan melangkah akhirnya aku menyimpulkan sesuatu. Iaitu saat ini aku memaksa diri berjogging sekadar bertujuan untuk mengeluarkan peluh agar tubuh sihat manakala mereka pula tadi terpaksa bekerja separuh nyawa bermandi peluh lecur demi mengalas perut sendiri, anak serta isteri. Jauh sungguh halatuju niat mengeluarkan peluh antara mereka dan aku.

Lamunan ku terhenti apabila suara anakku memanggil. Tanpaku sedar dia di tinggal jauh di belakang. Dia memanggil lagi dengan nada marah. Berlari laju mendekatiku dengan muka merah dan mencuka. Aku tahu dia marah melintasiku dengan tercungap- cungap terus masuk ke dalam kereta menutup dengan menghempas kuat pintunya. Dari ruang jendela kereta aku amati dia terus meneguk air kotak bekalannya tadi. Nasib la ada air untuk memadam api kehausan dan amarahnya serta nasib juga umurnya 4 tahun lebih andai dah berumur 24 tahun pasti dia akan berkata:

“ Semua laki tok sama jak, kedak SoL!!!!!!!”

 

 

 

 

Sunday, 30 October 2022

Perpustakaan : Anugerah Khas Panel hakim Perpustakaan Awam Premier Sarawak

Tertempah pahatan dari pijakan kaki memasuki dunia Perpustakaan, aku tidak terfikir pun akan menerima Anugerah yang sungguh berPrestij dalam Sarawak ini. Kalau difikirkan, siapa la aku jika dibandingkan dengan mereka yang sering hadir bermesyuarat, berbengkel dan seminar tentang dunia Perpustakaan. Tetapi itulah dikatakan, rezeki tidak akan salah alamat. Lambat dan tidak diduga pasti ia tetap datang juga.

Bermula dari lawatan Dr Ghazali Mohamed Fadzil Presiden Persatuan Pustakawan Malaysia(PPM), Dr. Nor Edzan Bt Che Nasir Mantan Ketua Pustakawan Universiti Malaya, Mohd Khadzrie B. Mohd Ramzie Faizal Ketua Bahg. Sekysen Perkhidmatan Penglibatan komuniti Pustaka Miri dan Pn Suzanna Abdullah Pembantu Pustakawan S22 PUSTAKA MIRI selaku Panel Penilaian Penganugerahan Premier ini datang melawat ke Perpustakaan Awam Long Lama, dari situ aku menyimpan harapan menggunung. 


Kalau pun tidak dapat Anugerah ini, sekurang-kurangnya Perpustakaan Awam Long Lama telah diiftirafkan antara 8 yang terbaik dalam Sarawak. Maksud 8 tu, adalah jumlah Perpustakaan yang mengikuti Pertandingan ini. Sebelum kehadiran mereka Panel Penilaian, pelbagai persiapan telah diusahakan, memang agar tertekan dalam situasi tersebut. Ada beberapa kriteria permarkahan yang perlu diikuti dan dibentangkan kepada Panel. Adat kita, apabila ada tetamu, pasti kita akan memberi layanan bertaraf 'dunia' ditambahkan lagi yang akan hadir adalah seseorang yang sangat istimewa yang menentu halatuju perjalanan kehidupan kerjaya kita sendiri.
Special menu, Durian kampung, bubur kacang+durian dan Air Sarang burung
Alhamdulillah, Pembentangan berjalan lancar

Namun rezeki aku bukan kepada Anugerah Perpustakaan Awam Premier Sarawak tetapi Anugerah Khas Panel Hakim yang ditujukan khas untuk aku sahaja. Aku sememangnya amat terkejut, sehingga hendak menaiki pentas untuk menerima Anugerah ini pun, aku bagaikan tak percaya. Selepas bergambar di atas pentas bersama dif-dif Kehormat, aku terus mencari Urusetia Penganjur Program iaitu Team PUSTAKA untuk mendapatkan kepastian. Kata mereka, Anugerah tersebut atas permintaan para Panel Penilai kerana sewaktu pembentangan tempoh hari mereka tertarik dengan buah fikiran dan semangat aku dalam dunia Perpustakaan ini dan paling menarik, Anugerah ini baru diwujudkan untuk kali ini dan mungkin tidak akan ada lagi selepas ini.
20 tahun aku dalam perkhidmatan ini dan sesungguhnya pengiftirafan ini sememangnya amat bermakna sekali. Berbaloi rasanya keperitan dan pengorbanan selama ini dipandang orang. Sekali lagi aku katakan bahawa ini sememangnya rezeki dari Yang Maha Kuasa. Aku berada di tempat yang betul dan dinilai oleh orang yang betul. 

Apakah tahun mendatang aku akan mengikuti juga Pertandingan ini lagi? 

Mungkin, kerana ia bagaikan Termometer atau penanda aras untuk menyukat hasil kerjaku selama ini.