Translate

Sunday, 8 August 2021

LAPOK, perlu diberi wajah baru

 Lama sudah tidak menghangatkan enjin kereta. Disebabkan PKP ini, kereta cuma berperam duduk diam. Pagi tadi setelah sekian lama tidak keluar aku sengaja ke pekan Lapok sambil menukar Tong Gas. Keistimewaan Pekan Lapok ini, barangan dapurnya ada yang murah, bayangkan harga satu Tong gas di Lapok RM26.60 jauh murah jika di bandingkan di Pekan Long Lama. Selain dapat menghangatkan enjin kereta dan menukar tong gas dapat juga membeli beberapa menu exsotik pelbagai pilihan di Pasar Tamu Pekan Lapok. Sempat juga membeli bunga kantan untuk campuran masak ayam pansuh petang ini.


Cuma satu saja masalah di Pekan Lapok ini. Keadaan jalannya kotor. Segala lumpur dan selut ini di bawa oleh kenderaan dari kampung dan beberapa kem ladang dan kem balak yang berhampiran. Lendir lumpur yang di tayar kereta tersebut telah mengotorkan jalan serta tempat ‘parking’. Dalam kedai pun ada bekas lumpur yang dibawa pelanggan.





Komuniti di sini perlu membuat inisiatif tersendiri. Tidak dapat diharapkan 100% pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini. Mungkin pihak komuniti disini perlu mewujudkan ‘Car Wash Comunity’ di laluan utama dan dikelolakan sepenuhnya oleh mereka sendiri dengan mengenakan bayaran RM5 satu kereta. Mewajibkan setiap kenderaan yang terlalu kotor sahaja untuk di cuci. Ingat!!!!, yang terlalu kotor sahaja.





Ianya cuma memancutkan air di kawasan tayar dan bawah kenderaan yang terlalu kotor sahaja. Tak perlu gosok dan ‘fogging Namo’. Pemandu tak perlu keluar pun, sekadar naik rack dan pekerja ‘menembak air’ bawah kenderaan dalam masa 5 minit siap.
Hasil wang Kutipan boleh digunakan untuk membayar gaji pekerja dan pengurusan ‘Car wash comunity’. Andai ada lebihan boleh juga digunakan untuk mencantikkan landskap Pekan Lapok ini. Boleh buat Pintu gerbang, beli pasu besar dan bunga yang cantik-cantik.
Persoalannya, apakah komuniti setempat mempunyai kuasa untuk membuat arahan sebegini?
Nak masuk Bintulu pun perlu Swab Test pok!, malah sekarang ini Arahan dari JKKK kampung di ulu pun tidak membenarkan orang luar masuk kampung. Kalau nak masuk juga terpaksa didenda dengan jumlah sebanyak RM2000.00 dan jumlah itu berlainan nilai pula mengikut arahan setiap kampung.
Kalau arahan sebegini pun boleh dibuat untuk keselamatan dan keselesaan bersama, rasanya tidak salah juga komuniti Pekan Lapok menggunakan formula ini.




Bila air Bah, Oh !!! Long Lama

Banjir ini bukan setakat membawa air tapi lumpur, tumpahan minyak, sampah sarap, binatang berbisa beserta masalah lain. Semua urusan harian tergendala. Tak kira apa keturunan serta pangkat, pasti terjejas oleh fenomena ini.




Banjir kali ini sungguh luarbiasa bagi komuniti Long Lama. Permulaan kemasukkannya, air cepat naik hingga tak sempat diangkat peralatan elektrik yang besar, perabot malah stok beras pun berendam. Ditambah lagi ada juga kawan yang tak sempat memindahkan motor & kereta ditempat yang tinggi. Pakaian, buku sekolah anak, tak payah cerita dah..Menanggis di hati beb!!!




Semakin teruk apabila berlaku pula kebakaran Lot kedai di pertengahan malam yang telah melarat hingga merebak ke 3 Lot kedai berdekatan. Kepujian yang cukup tinggi aku berikan kepada komuniti di sini yang berganding bahu tanpa mengira bangsa, usia dan pegangan agama berusaha memadamkan kebakaran dalam keadaan banjir.



Tanpa peralatan yang cukup, tanpa pengalaman sekadar 2 hos Bomba Sukarela, tiada pula helmet & jaket keselamatan mereka bertarung nyawa bertahan dari jam 12 tengah malam hingga 10 pagi keesokan harinya berusaha menyiram bangunan tersebut sehingga BOMBA sampai dari Marudi.



Aku tak nak cerita berkenaan banjir di tempat lain, tapi untuk Long Lama ini, ada sesuatu yang menarik perhatianku. Walau dalam keadaan cemas dan tertekan sekalipun, masih ada juga yang dapat membantu antara satu sama yang lain.


Aku dapati, ada sekumpulan lelaki tanpa mengenali satu dengan yang lain, menolak beberapa buah kereta yang sudah dimasuki air di pindah ke tempat selamat, ada pula membantu jiran tetangga memindah barang dan bersama pula bergilir mencuci rumah selepas banjir malah ada yang menyediakan perahu tanpa caj pun untuk kemudahan penghantaran makanan dan proses pemindahan mangsa banjir.





Lumpur selepas banjir di kedai Long Lama

Peristiwa-peristiwa ini sempat aku rakamkan dan simpan menjadi koleksi peribadi. Cuma sebahagian ini sahaja aku ingin kongsikan untuk tatapan umum. Bertabahlah kawan- kawanku dalam menempoh dugaan ini, Semoga kisah duka tak berulang lagi.


Wednesday, 14 April 2021

Sudut pandang yang berbeza

Memasuki Tahun 2021, tiada yang seronok hendak diperkatakan melainkan pandemik Covid19 masih melanda malah kali ini jangkitan tersebut mula merebak memasuki kawasan pendalaman. Ianya berlaku dengan pelbagai sebab dan salah satunya Majlis kematian di rumah panjang. Ahli keluarga dari bandar datang memberi penghormatan terakhir namun pada masa yang sama membawa wabak tersebut. Ada pula kes dimana pengunjung dari luar datang ke kampung untuk membuat kerja-kerja pembangunan projek luar bandar dan akhirnya tanpa sedar membawa virus tersebut.

Perkara sebegini sudah tidak dapat kita elakkan lagi, mahu atau tidak, kita terpaksa hadapi bersama mendepani segala kemungkinannya. Apa yang penting adalah kita perlu disiplinkan diri dengan SOP yang telah ditetapkan.

Sempena Bulan Ramadhan ini, aku bersyukur juga kerana solat terawih dibenarkan dengan mengikut terma SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Wajib memakai pelitup muka, scan Mysejahtera dan jarak saf-saf solat. Memang terbaik walaupun tidak seperti dulu namun kita masih dapat mengamalkan aktiviti seperti selalu cuma menggunakan pendekatan yang berlainan.

Tetapi lain pula kisahnya dengan beberapa negeri yang tidak membenarkan Bazaar Ramadhan beroperasi. Perkara ini sepatutnya diperhati dengan lebih serius dan memerlukan pandangan dari pelbagai pihak kerana ianya melibatkan periuk nasi orang. Tiada pula aku nak menyalahkan sesiapa pun dalam perkara ini dan di kedua belah pihak, punyai alasan masing-masing. Aku pernah ke pasar Malam Bintulu. Pintu masuk ruang Pasar Malam tersebut ada checkpoint. Aliran trafik dalam Pasar Malam tersebut telah di 'setting' semuanya agar lebih teratur.



Seperti kes di atas, ada baiknya RM1.5 juta tersebut digunakan untuk memperketatkan SOP di bazaar-bazaar Ramadhan seperti:

1.Tambahkan bilangan angota RELA kalau tidak cukup anggota, minta bantuan dari Polis atau Tentera yang berpencen untuk membantu dengan memberi imbuhan elaun menjaga Bazaar Ramadhan sahaja. 

2. Tidak dibenarkan membawa anak masuk ke kawasan Bazaar Ramadhan.

3. Wajib memakai pelitup muka. (pengunjung dan peniaga)

4. Pintu masuk dan keluar Bazaar, disediakan tempat mencuci tangan.

5. Di pintu masuk ada 'penjaga' bilangan pengunjung. Kalau melebihi kapasiti muatan maka perlu di tahan dan tunggu orang lain keluar terlebih dahulu.

6. Membuat laluan traffic  (masuk/keluar ) dalam kawasan bazaar.

7. Mewajibkan semua peniaga mengambil suntikan kesihatan dari Klinik.

8.Peniaga diwajibkan 'Swab Test' 2 kali sepanjang berniaga dan ditanggung sepenuhnya oleh Pihak kerajaan. Swab Test mesti di buat sebelum berniaga dan minggu ke tiga Ramadhan.

9. Dan pemantauan berterusan dari pihak kesihatan.



Aku yakin dengan SOP yang ketat kita boleh membuka pasar Bazaar Ramadhan. Kita perlu memikirkan cara yang dapat memberi 'win-win situation'. Ini bukan soal mencari keuntungan sahaja, tetapi tentang ikhtiar hidup para peniaga-peniaga kecil. Kita pun sedia maklum, disebabkan pandemik Covid19 ini, ada yang bekerja tetapi tidak diberi O.T sekadar menerima gaji pokok sahaja. Malah ada yang telah dibuang kerja dan cuma berharapkan bisnes kecil-kecilan sebegini.

Sebab itu dari awal aku katakan, sepatutnya kita berbincang dan mendengar dari semua pendapat dari pelbagai pihak. Apa yang berlaku di atas adalah apabila pengubal undang-undang atau pemberi keputusan cuma memikirkan dari sebelah pihak sahaja, maklum la, mereka senang kerana menerima gaji setiap bulan. Tiada pun pernah merasa penat lelah mencari rezeki berniaga sebegini.

Pasti ada suara-suara sumbang akan berkata:

' Kalau ada positif dalam bazaar tu, baru padan muka'..

Sebenarnya suara negatif sebegini tidak akan membantu kita dalam menempuh kehidupan yang serba mencabar kini. Sebagai contoh, kenapa sepanjang pandemik Covid 19 melanda, majlis-majlis yang melibatkan menteri atau Y.B dibenarkan?.Bukan sekali tapi banyak kali malah di pelbagai tempat pula tu.


Ini kerana mereka yakin dengan pematuhi SOP yang ketat maka peratusan jangkitan dapat diminimakan atau berharap tiada jangkitan.

Berbalik kita pada kes Bazaar  Ramadhan tadi, Ayuh la kita berubah, bak peribahasa orang sekarang ini, 'Move On Bro'. Sudah mendekati 2 tahun kita dengan Covid19 ini, mahu atau tidak, rela atau terpaksa, kita mesti meneruskan Kehidupan ini.



Tuesday, 5 January 2021

Otak dalam lobang

Kisah beberapa artis dan figura di Malaysia yang memakai pakaian Santa Claus, gatal juga aku nak berkomen dalam dalam status FB kawan yang berdiri tegak menyokong pemakaian kostum tersebut tapi aku pendamkan saja kerana FB orang, suka hati dia la nak tulis atau nak share apa yang dia mahu. Paling tak dapat aku layan bila mereka menggunakan  alasan bahawa:

 1. Ianya cuma pakaian, bukan menyembah Tuhan Yesus Kristian pun.

2. Sekadar meraikan perayaan orang lain

3. Dan sebagai tanda saling hormat-menghormati.

 

 Sebelum berhujah jauh, biar aku berterus terang terlebih dahulu, arwah bapaku adalah mualaf dan hingga kini aku masih berhubung dengan keluarga sebelah arwah bapaku seterusnya kebanyakan kawan baikku adalah dari kalangan penganut Kristian itu sendiri. Walaupun kedudukkan aku sebegini, namun ianya tidak membuat pertimbanganku menjadi  berat sebelah. Fakta adalah Fakta..Noktah!!!!

Seterusnya aku nak istiharkan bahwa sebagai orang Islam AKU TIDAK BERSETUJU apabila ada orang Islam memakai pakaian tersebut. Malas aku nak ulasnya dalam jawapan berbentuk Islami kerana apabila aku tulis dalam prespektif pandang Islam pasti ada sahabat non muslim yang membacanya dan akhirnya tidak mampu untuk memahami garis larangan tersebut.

 

Begini saja, izinkan aku wujudkan watak yang bernama En Stephen beragama Kristian sebagai bahan eksperimen dan contoh mudah.

 

En Stephen adalah seorang artis dalam lingkungan kerjayanya pula dikelilingi oleh sahabat muslim. Hari jumaat beliau mengenakan baju melayu cekak musang ke tempat kerja, apabila malam ada kawan ajak melepak di kedai mamak, En Stephen turut sama melepak dengan baju melayu berwarna kuning. Suatu petang ada anak sahabat menyambut birthday dan En Stephen dijemput, beliau mengenakan baju melayu Johor pula. Apabila hari Raya, ramai kawan membuat rumah terbuka, seharian En Stephen memakai baju melayu siap dengan sampin malah sempat singgah kencing di shopping mall dengan ‘complete’ berbusana baju melayu tersebut. Namun beliau tetap mengamalkan ajaran Kristian, adakah perkara 'memakai baju melayu' ini Pelik?

 

Pastinya tidak, kerana baju melayu/ Baju kurung/Baju Batik/ Kebaya itu adalah pakaian kebangsaan sebegitu juga dengan baju Kot (Dark Lounge Suit) yang sering dipakai oleh Y.B dan pegawai kerajaan serta bisnessman. Apakah mereka meraikan perayaan orang lain?..Jawapannya TIDAK!!!

 

Cuba kau duduk melepak di ‘rumah asap’ tepi jalan dengan berpakaian Santa Claus pada tengah bulan Julai atau melenggang berjalan di shopping Mall di bulan Oktober dengan topi Santa Claus di kepala. Pasti banyak mata yang memandang dengan perasaan pelik sebab hakikatnya Pakaian itu CUMA dipakai pada musim perayaan Krismas sahaja.

 

1. Apa tujuan memakai pakaian Santa Claus?

- Kerana menyambut perayaan Hari Krismas.

 

2. Apa pula tujuan meraikan Hari Krismas?

- Kerana menyambut kelahiran Tuhan Yesus.

 

Sekarang adakah kau nampak kenapa Islam melarang penganutnya mengena kostum Santa Claus?


Kerana Islam amat menitikberat soal akidah iaitu Percaya Kepada Allah SWT Tuhan Yang Satu. Apabila kau mengenakan Kostum Santa Claus secara tidak langsung, kau telah mempercayai ada satu lagi Tuhan selain Allah SWT walaupun niat memakai pakaian itu sekadar suka-suka. Kalau tidak dibenteras atau ditegur dari sekarang, berkemungkinan besar di masa akan datang, semakin ramai penganut Islam yang tanpa segan silu memakainya dan melihat perkara ini sekadar picisan dan akhirnya Agama Kristian itu sendiri akan dipandang sama tinggi dengan Agama Islam. Adakah kau tahu apa akan berlaku apabila konsep  setiap agama dipandang samarata?..

Maka jadi la kita seperti perkahwinan di Indonesia, Bapa Islam tapi Isteri Kristian, lahir anak apabila dia cukup menginjak dewasa boleh pula bertukar agama menjadi Buddha...Semoga Allah SWT mencelik matahati kita dari setiap masalah sebegini..Amin.

 

Tapi apabila mereka menjemput ke rumah kerana ada Open house, bagiku tiada masalah. Kita penuhi undangannya atas dasar menjaga kehormonian sifat kejiranan dan setiakawan. Sebahagian ulama  Islam pun ada membenarkan majlis ziarah sebegini. Hadir atas kapasiti jemputan, berpakaian sopan dan bergembira kerana dapat makan bersama maka jelas di situ tiada unsur meng-agungkan Tuhan selain Allah SWT.


Bersama keluarga menghadiri rumah terbuka di luar perkarangan Gereja.

Balik kerja terus dijemput untuk makan biskut. Terima kasih En Epoi atas jemputan.



Wednesday, 16 December 2020

Bukan di kayangan

 Beberapa hari lalu, aku terlibat dengan Program anjuran Majlis Daerah Marudi bersama komuniti dan kali ini lokasi sasaran ialah kampung Long Bemang Tutoh Apoh dan Long Jegan Tinjar Baram. Seperti selalu membuat aktiviti di luar kawasan, untuk menu makanan kami bawa sendiri. Kali ini Long Lama menjadi Stesen pertemuan kerana Long Lama ( centre ) diantara keduanya. Setiap lokasi tersebut mengambil masa 2 jam perjalanan.



Bengkel Innowaste

Laluan jalanraya kedua tempat tersebut amat mencabar maklum saja ianya terletak jauh di pendalaman Sarawak. Kalau ku katakan laluan Long Jegan sungguh mencabar, tak adil juga rasanya kerana laluan ke Long Bemang pun agar mencabar berbukit bukau ditambahkan lagi sekarang ini projek membaiki jalan dari Long Lama- Long Bedian masih berjalan. Keadaan jalannya becak, licin dan banyak lori-lori sawit. Jalan ke Long Jegan banjir sewaktu kami balik ke Long Lama terutamanya di simpang Long Teran. Arus airnya deras jarak laluan banjir sepanjang 60-70 meter dan setinggi paras lutut kaki lelaki dewasa kedalamannya.

Long Bemang adalah perkampungan kaum kayan dan Long Jegan adalah kaum berawan. Walaupun berlainan kaum, namun cara sambutan mereka terhadap kami tetap sama. Mereka meraikan kehadiran kami dengan tangan terbuka. Di Long Jegan, Penghulu Patrick Jelaman mengajak kami ke rumahnya serta menjamukan makanan. Di Long Bemang pula, mereka mengajak kami berpoco-poco sebelah petang selepas aktiviti, ianya ibarat simbolik menyambut kedatangan kami. Aku tidak hairan dengan situasi menyambut tetamu sebegitu kerana ianya sudah sebati dengan budaya kita orang nusantara.

Di rumah Penghulu Patrick Jelaman( rambut putih)

Sebenarnya Long Jegan sudah mempunyai 3 buah rumah panjang. 
- Long Jegan bawah A. (dalam gambar)
- Long Jegan Atas B.
-Long Jegan hulu.

Gelanggang Futsal di hadapan rumah panjang Long Jegan A


En Lawrence Joseph memberi ceramah berkenaan Go Digital dan PANDei

Kampung Long Bemang kini sudah menikmati elektrik stabil dari projek solar berhampiran kampung mereka. Cuma sumber air amat terhad dan mereka berharapkan takungan air hujan. Rumah tempat kami tinggal mempunyai 6 tangki air warna biru dan ianya jauh dari sungai. Walaupun banyak tangki namun kami dipesan oleh Tuan rumah agar tidak membazir air kerana beberapa minggu lepas belum ada hujan dan air dalam simpanan kini semakin kurang. Malam terakhir (2 malam di Long Bemang) kami terpaksa mandi di PD Long Bemang.


Cik Marrie & Cik Graciella Sim pakar Reading seeds manakala cater untuk Program di Long Bemang adalah Pn Noor Melati a.k.a PD Long Bemang ( kanan sekali)


Pn Anna bergosip selakuTuan rumah dan PD Long Jegan

Lain pula kisah di Long Jegan, sumber airnya amat mudah. Di hadapan rumah ada sungai, ada juga sumber air dari Bukit Jegan yang berada di belakang SK Long Jegan yang disalur menggunakan paip plastik di setiap rumah malah kehadiran kami juga di sambut dengan hujan yang agak deras. Kami semua mandi air hujan kerana jambannya jenis terbuka  (tidak berdinding) dan kami mandi dikelilingi tangki air. Masih menggunakan enjin api model Yanmar 6HP. Amat berterima kasih kepada Pn Anna Marie PD Long Jegan tempat kami bermalam kerana membenarkan enjin apinya hidup sehingga awal pagi semata-mata kehadiran kami. Katanya kos untuk sebulan minyak enjin apinya sebanyak RM200-RM300 itu pun setelah dicatu dari pukul 7 petang hingga 10 malam sahaja.




Ucapan alu-aluan dari Cik Gracezilla Umang, Ketua Unit Pembangunan komuniti MDM

Mr. Alex Kalong, berceramah tentang kesedaran kebersihan dan penyakit berjangkit


Gelanggang Futsal di Long Bemang





Beberapa anak muda lelaki khusyuk mengikuti Bengkel Innowaste

Di Long Bemang kami membuat Program di ruai rumah panjang tapi di Long Jegan lokasi Program terpaksa di pindahkan kerana ada ahli keluarga di rumah panjang tersebut meninggal dunia.  Bagi menghormati mendiang dan ahli keluarga si mati maka lokasi Program terpaksa di ubah ke Perpustakaan. Adapun pemilihan ruai rumah panjang  kerana di sana saja ada sumber elekrtrik maka di Long Jegan, kami terpaksa berpanas dan membuat aktiviti tersebut tanpa visual projector screen cuma ceramah seperti biasa. 


Jalan ke Long Bemang

Banjir di simpang Long teran

Ruai rumah Long Jegan A

Sambutan kedua tempat tersebut amat mengalakkan malah di Long Jegan ada beberapa orang bujang mengikuti bengkel Innowaste membuat bunga/pasu dari bahan terpakai. Aku dapati kehadiran yang mengalakkan ini disebabkan tiada perkara yang dilakukan di kampung melainkan kerja kampung dan bercucuk tanam. Jadi MASA itu amat pelahan. Apabila membuat aktiviti sebegini, ramai yang ingin turut serta kerana dapat mengisi MASA tersebut ditambahkan lagi disediakan jamuan sehingga ke petang. Yang bagusnya tempat ini, liputan jalur internetnya kuat walau sekali sekala terputus namun ianya cepat pulih.


Pn Ulau Imang Ketua Unit Perpustakaan MDM memberi tunjuk ajar dalam bengkel Innowaste

Pelbagai perkara yang baru dihadapi namun itu adalah suatu kenangan yang amat manis bila dikenang. 2 malam di Long Bemang dan semalam di Long Jegan sudah cukup menyedarkan aku bahawa kehidupan yang aku keluh kesahkan ini, tidak seperit dan sesusah mereka yang berada di kampung-kampung tersebut. Dari raut wajah mereka, jelas terpampang segala kesusahan ini tidak mematahkan semangat mereka untuk terus hidup. Mereka jelas ketawa, gembira malah suka ditambahkan lagi apabila program ini di pilih di tempat mereka. 

Sebelum berangkat balik, Satu soalan yang amat sukar aku jawab. 

' Bila datang lagi?'

Monday, 21 September 2020

Sepaktakraw: Piala Ketua Balai


 Mengambil peluang hujung minggu yang tenang selepas 16 Sept sempena hari Malaysia, Balai Polis Long Lama telah menganjurkan Pertandingan Sepaktakraw Piala Ketua Balai, Balai Polis Long Lama yang masuk Edisi ke-3.

 Kali ini Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Tuan DO En. Baru Tai dan saya rasa majlis kali ini lebih ‘Grand’ sikit dibandingkan kedua Edisi yang dulu. Tidak banyak tetamu yang dijemput oleh kerana masih terikat dengan PKPP dan SOP yang perlu diamalkan berlandas dengan norma baru.

 Sebanyak 12 pasukan menyertai Pertandingan kali ini dan Urusetia terpaksa menghadkan penyertaan kerana kesuntukkan masa dan sukar untuk mengawal penjarakan sosial/fizikal.

 Secara peribadi, aku dapati untuk kejohanan kali ini kualiti pemain cukup bagus. Banyak menonjolkan Skill dan taktikal yang baru. Tidak dapat dinafikan kebanyakkan pemain yang bagus dari luar kawasan Long Lama. Pasukan favourite untuk kali ini diantara SKP dan Penerangan yang mana para pemainnya mempunyai skill tahap sebenar pemainan sukan sepaktakraw ini.

 Adakah Pasukan yang lain tidak bagus???

 Semuanya bagus dan hebat cuma tahap mereka tidak mencapai standard yang ingin dilihat dari sisi seorang bekas pemain sepaktakraw seperti aku. Masih yang banyak perlu diperbaiki terutama anak-anak muda disini dan aku rasanya kekurangan mereka disini adalah semangat melawan yang lemah serta malas memperbaiki kekurangan masing-masing.

 Baik tengok gambar la, sambil membaca caption disetiap gambar.

 

Simbolik Perasmian dari Tuan Peg. Daerah Telang Usan En. Baru Tai


Ucapan aluan dari Ketua Balai Polis Long Lama, sempat juga memberi nasihat & motivasi


Pasukan Penerangan, tempat ke-3, lahirnya dari percaturan di saat akhir dan terpaksa meng-import pemain luar.

Pasukan PDRM, Naib Johan, nama yang cukup kuat dalam arena sukan Sepaktakraw di Long Lama, walaupun wajah bertukar ganti, namun pasukan ini amat digeruni pihak lawan.

Pasukan Lakin Bemang, tempat ke-4, setiap kali menyertai Pertandingan yang diadakan, mereka pasti memberi tentangan yang sengit.

Pasukan Batu Gading mempunyai 'killer' yang bagus tapi sayang bahagian pertahanannya lemah.

Pasukan S.K.P, ( Suku Kaum Penan ) yang baru menjuarai Pertandingan Sepaktakraw di Long Kevok seminggu yang lepas dan kini mereka menjuarai lagi Pertandingan kali ini

Pasukan Lemeting, adalah yang telah membawa 2 kali Piala Pusingan, tapi kali ini bahagian serangan mereka sangat tidak menyerlah dan terlalu mudah diramal. 

Di antara beberapa Pasukan yang sempatku snap untuk tatapan dalam blog kali ini dan gambar dibawah pula beberapa ragam penonton yang memenuhi perkarangan Balai Polis Long Lama.







Dimana-mana pun, sempat battle 


Aksi final mendebarkan di antara PDRM vs S.K.P



Ustaz Rahim bersama cucur pisangnya 






Semoga Sukan ini terus bersinar dan Ucapan Terima kasih teristimewa kepada Tuan Sarjan En Wahid Bin Abdullah selaku Ketua Balai Polis Long Lama yang selama ini menyokong Sukan warisan bumiputra ini. Sewaktu berucap di majlis perasmian tersebut, Beliau akan berpindah ke Balai Polis Sungai Asap Belaga seawal bulan Okt nanti. Didoakan beliau terus berjaya dan succes ditempat baru. Siapapun penganti beliau disini nanti, diharap dia akan meneruskan tradisi bersejarah ini.