Translate

Tuesday, 17 October 2017

My Beautiful Neighbourhood Telang Usan


Bersempena dengan pelancaran MYBN ( My Beautiful neighbourhood ) oleh Perdana Menteri yang diserentakkan di seluruh negara, Daerah Telang Usan di antara lokasi yang di pilih untuk melancarkannya. Program ini sebenarnya adalah Program membaikpulih Perumahan Awam di bawah inisiatif kejiranan indah ( My Beautiful neighbourhood ) MYBN. 

Bertujuan untuk mengubah persekitaran kejiranan perumahan awam yang tidak terurus kepada persekitaran yang indah, mewujudkan persekitaran kejiranan yang selamat, bersih dan indah secara mampan dan mewujudkan perasaan cintakan persekitaran kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

Majlis Daerah Marudi selaku mengetuai Program ini telah merangka pelbagai aktiviti sepanjang tarikh yang telah ditetapkan tersebut. Sebanyak 5 rumah ibadat ( Masjid, Gereja BEM, Gereja RC, Tua Pek Kong dan Sinogong Buddha ) telah diberi wang sebanyak RM3000.00 ringgit setiap satu untuk membaikpulih dan penyelenggara apa yang yang patut di tempat rumah ibadat masing-masing. Pada hari tersebut, simbolik ke-2 Perasmian telah disempurnakan oleh Y.B Anyie Ngau Ahli PArlimen Baram di Gereja BEM. Pemilihan rumah Ibadat ini disebabkan lokasinya paling dekat dengan tempat acara Gotong royong yang berlangsung iaitu pasar Long Lama.

Sehari sebelum Program ini, telah diadakan satu “ Bengkel Penerapan dan Peningkatan Ekonomi Komuniti telang Usan” anjuran dari Majlis Daerah Marudi dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia. 




Pengisian Bengkel ini lebih kepada cara penyediaan permohonan atau kertaskerja bantuan Usahawan dan pembuatan Kompos serta baja Organik dari sisa makanan.




Pada sebelah petangnya pula diadakan perlawanan persahabatan Badminton dan Basketball di antara penduduk Long Lama dan kakitangan MDM sendiri. 




Berbalik kepada pelancaran MYBN tadi, simbolik pertama untuk perasmian program ini adalah menanam beberapa anak pokok di sekitar pekan Long Lama seterusnya bergotong-royong. 


Simbolik perasmian gotong royong

Pembahagian tugas kawasan gotong royong

Sebelum gotong-royong, acara memanaskan badan dulu, berzumbabik


Suasana gotong royong pasar Long Lama

Lumayan hadiah

Sumbangan saudara En.Anyie Wan

Ada disediakan juga, beberapa hadiah barangan elektrik untuk Cabutan tiket bertuah.

Walaupun ‘simple’ namun kalau aktiviti ini dilakukan berulang kali ( contoh: setahun 4 kali ) pasti secara tidak langsung Pekan murni ini akan sentiasa bersih dan yang paling penting, ianya dapat memupuk semangat cintakan kebersihan di dalam hati setiap penduduk di sini.

Monday, 16 October 2017

Pesta Sukan Air Long Lama 2017


Pesta Sukan Air Long Lama dan Ulangtahun ke-2 Daerah Telang Usan telah diadakan serentak pada tanggal 29 Sept hingga 1 Okt 2017. Banyak acara yang telah dirangka. Persiapan kelengkapan, latihan dan mesyuarat telah berbulan-bulan diadakan. Di atas kertas, kos untuk Pesta kali ini melebihi RM200K. Tetapi dengan kehadiran Tetamu kehormat seperti Timbalan Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah selaku Menteri Pelancongan, kesenian, kebudayaan, Belia & Sukan Sarawak, aku kirakan, bajet tersebut amat berbaloi. Bukan senang hendak menjemput ’orang Besai’ memijak tanah Long Lama. 

Ianya umpama rumah kita yang buruk dan serba-sebi kurang tiba-tiba mendapat berita bahawa Sultan selaku kepala negara teringin hendak mengunjungi. Mahu atau tidak, kita orang nusantara ini, yang penuh dengan budaya santun dan adab pasti menyambutnya dengan penuh hormat malah sanggup berhabis wang ringgit untuk menghias rumah.

Mengecat gelanggang Takraw Balai Polis Long Lama

Barisan para pemain Pertandingan Sepaktakraw

Seawal 2 minggu sebelum Pesta lagi telah berlangsungnya Pertandingan Sepaktakraw. Sebanyak 14 pasukan menyertai pertandingan termasuk Pasukan dari Tinjar Lapok dan 2 pasukan sejauh Beluru, Bakong. Aku terlibat secara langsung dengan Pertandingan ini. Biar berpanas berhujan, demi Sukan Kuno ini, aku tetap rela. Seterusnya berlangsung juga Pertandingan Bola Keranjang tertutup yang telah diadakan dalam Kawasan Sekolah rendah di sini. Walaupun tertutup, namun penyertaannya tetap memberangsangkan kerana telah dibuat untuk 2 kategori ( Lelaki/Perempuan).



Dalam kesibukkan hendak menyambut Pesta ini, Ya Salam Restaurant pula pada sebelah malamnya telah ditempah membuat satu jamuan untuk Majlis Malam Graduasi Tingkatan 6 SMK Long Lama yang berlangsung dengan warna-warninya di Dewan Masyarakat Long Lama. Aku yang keletihan seharian di gelanggang Takraw membantu sekadar yang termampu dan selebihnya diuruskan oleh Isteri beserta krew-krewnya.

Alang-alang bercerita pasal makanan ini, aku nak memberitahu bahawa, Ya Salam Restaurant juga telah dilantik untuk menjadi penyedia hidangan V.I.P sepanjang Pesta sukan Air ini berlangsung. 

Persediaan awal bilik santapan Tetamu kehormat

Pada mulanya aku keberatan untuk menerima tawaran tersebut kerana aku ingin fokus untuk membuka Kedai lagipun dengan membuka kedai, semua pembayaran berurusan dengan wang tunai sahaja. Kalau catering ini, rasanya mengambil masa 2-3 bulan baru di kreditkan ke dalam akaun bank. Tapi syukur juga, Pak mertua dan adik beradik Isteri sudi datang membantu dan Kedai tetap beroperasi seperti biasa. Tidak dilupa juga 2 orang anak bujangku meringan tulang serta dibantu oleh teman mereka yang lain.




Bilangan peniaga untuk temasya kali ini sungguh diluar kebiasaan. Dapat dilihat dari jumlah konopi jualan yang didirikan sepanjang tebingan sungai dan sekitar pasar Long Lama. Sebenarnya kehadiran mereka ini boleh dikatakan sebagai pembangkit suasana setiap kali Pesta. 

Sesuatu yang baru untuk tahun ini
Banana boat
Busking tebingan Sungai Baram

Uniknya kali ini, Ada pameran haiwan reptilia dari NGO 


Dengan pelbagai jenis barang jualan dan wajah-wajah baru, secara tidak langsung perubahan suasana jelas ketara. Dari Pekan yang sunyi, kini berubah sekejap dengan hiruk pikuk seperti di pasar tamu.

Pesta kali ini terlalu padat jadual aturcaranya. Untuk 3 hari kemuncaknya telah dimulai dengan Pertandingan Karaoke dari jam 2.00 petang ( Jumaat ) serentak dengan Pertandingan Remote Control di sungai juga dan sebelah malamnya pula adalah Pertandingan Funny Dress untuk orang dewasa.

Sebelum 'berlepas', buat pameran dulu
Faiz dapat No.2 pertandingan mewarna tahap Prasekolah

Pertandingan mewarna golongan warga emas sahaja

Pada hari Sabtunya pula dimulai dengan Pertandingan mewarna, Single dan Long Dance Orang Ulu, “Lakek Gaheng”@ Strongman menarik kereta 4x4 dan memanjat Tiang licin. 


Pertandingan Lakek Gaheng ( kategori lelaki) Dilepaskan oleh Y.B Datuk Haji Abdul Karim


Tak payah aku sebutkan acara di sungai. Memang pun namanya Pesta Sukan Air, pasti meriah dengan bunyi deruan enjin dan teriakan peserta pengayuh.

Ucapan pembukaan dari Y.B Dennis Ngau

Suasana Menanti pertandingan 20 pengayuh perahu

Acara memanaskan enjin
Seperti biasa, selepas tamatnya Temasya sebegini, segala sampah sarap pasti menganggu pemandangan. 



Kontractor yang di lantik bukan tidak menjalankan tugas, tetapi lebihan kerja ini memerlukan tambahan pekerja namun hakikatnya kontractor tidak diberi bajet tambahan, maka terpaksa mereka menggunakan tenaga kerja yang sedia ada. Biarpun lambat, yang penting tetap kerja. 


Seronoknya kali ini, atas keizinan Pengetua Sekolah, Beliau telah membenarkan Tingkatan 1, 2 dan 4 dalam anggaran 300 orang untuk bergotong royong mengutip sampah sarap yang bertimbun di kawasan Pekan Long Lama ini. Dengan bantuan beberapa Jabatan kerajaan untuk bersama dengan Program yang mulia ini, ianya semakin mudah. Cuma mengambil masa tidak kurang dari 2 jam sahaja, Pekan ini kembali bersih.





Terima kasih yang tak terhingga kepada semua khursusnya Tuan Pengetua kerna sudi membenarkan pelajarnya membantu dan tidak dilupa juga kepada Tuan D.O En Baru Tai yang mengetuai program Gotong royong ini.

Tanpa disangka 2 hari selepas Temasya ini, paras air sungai Baram mula menunjukkan ke paras merbahaya. Ada sebahagian jalan dan kampung telah ditenggelami air. Aku sempat mengambil beberapa photo sewaktu air mula naik. Uniknya di Long Lama ini, air banjir tidak akan lama. Andai pagi air naik maka petang nanti pasti surut. Tapi sedih juga dengan jiran-jiran lain yang rumah mereka telah ditenggelami air. Walaupn cuma beberapa jam sahaja, tetapi impak banjir itu boleh merosakkan beberapa barangan rumah termasuk kaki meja seperti yang berlaku di Pejabat Jab. Penerangan sini. Malah budak sekolah harian pun tidak dapat hadir ke sekolah disebabkan jalan ke sekolah tidak dapat dilalui.

Jalan ke SMK Long Lama

Jalan ke Ferry

Pesta kali ini amat meriah sekali, Pesta kali ini juga ibarat ‘neraca’ sukatan kesiapsetiaan semangat bekerjasama di antara semua Jabatan kerajaan yang terlibat dan juga penduduk Long Lama sendiri. ‘Postmortem’ perlu dilakukan, bukan untuk mencari kelemahan sesiapa, tetapi lebih kepada memperelokkan lagi penganjuran yang akan datang. Setiap tahun acara ini diadakan, pelbagai masalah yang baru akan timbul dan yang paling ketara adalah tempat tinggal seperti Hotel dan rumah penginapan terhad malah tidak cukup namun setiap kali acara diadakan juga, setiap tahun pula bilangan pengunjung semakin bertambah. Di situ dapat di lihat ada suatu tarikan tersendiri. Bertepatan dengan Ikonik motto ‘Maju selamanya Telang Usan’, sebegitu juga kita harapkan agar Daerah murni ini disimbahi dengan cahaya kemajuan dari sudut material dan sahsiah insan.

Thursday, 14 September 2017

Long Lama ber-Aidiladha


Selepas sekian lama tidak meg-update-kan blog ini, kerana kekangan masa dan kebuntuan idea, alhamdulillah, baru kini satu nurkilan baru berkenaan Raya Aidiladha disiapkan. Selama ini aku menyedari blog ini sepi tanpa nurkilan baru dan aku pula memang lama ingin menulis cuma aku bagaikan seperti disumpah oleh puaka hingga kehilangan ‘skil’ menyusun kata-kata. Mungkin terpandang percikan darah dari leher sapi yang dikorbankan, maka pecah sudah sumpahan keramat tersebut.



Kemeriahan Hari Raya Haji di Long Lama ini dikongsi bersama dengan pekerja Indonesia dari kem pembalakan sekitar Long Lama ini. Mereka mendominasi  ataupun 80% jemaah yang hadir ke masjid. Ada sebahagiannya aku kenali tapi kebanyakkannya tidak pernah ku lihat. Mungkin mereka jarang keluar ke Pekan Long Lama, maklum saja, tiada permit kerja dan kalau adapun sekadar punyai Pasport yang sudah luput tarikhnya. Cuma bekerja nun jauh di hutan dalam kem pembalakkan. Ada juga yang telah beristeri dengan perempuan tempatan terutamanya bangsa Penan. Ada yang sudah beranak pinak, berumah dan berkebun sendiri.


Pernah juga aku ajukan permasalahan secara lisan status perkahwinan mereka dengan wakil Jabatan Agama Islam Sarawak. Tiada yang berani menikahkan mereka kerana mereka ini tiada dokumen yang sah. Apa yang termampu di buat cuma sekadar mengislamkan para isteri mereka dan kalau yang sudah ada anak akan direkodkan sebagai Ibu tunggal agar mereka mudah mendapat bantuan dari kerajaan. Aku pernah menerangkan kepada beberapa orang Isteri muda Mat Indo ini ( wanita tempatan) apabila mereka mempertikai jumlah wang BR1M yang mereka terima. Untuk status BUJANG, di beri sebanyak RM450 dan BERKAHWIN sebanyak RM1200 dibayar secara berperingkat. 

Memang betul mereka sudah ‘berkahwin’ tetapi tiada rekod yang mengesahkan taraf perkahwinan mereka, jadi status mereka TETAP BUJANG cuma bertukar agama sahaja. Berkahwin dengan Mat Indo yang tiada permit sah sebenarnya telah mengikat tali gantung di leher sendiri. Mat Indo ini boleh lepas tangan begitu sahaja andai berlaku masalah atau ditangkap oleh pihak berkuasa dan terus dihantar ke Negara asal mereka. Ditinggal pula mereka anak beranak sebatang kara tanpa tempat bergantung dan akhirnya kembali ke agama asal lagi.

Ada satu keluarga yang aku kenal dalam delima sebegini, sudah mempunyai 2 orang anak. Aku di antara insan yang hadir menyaksikan mereka bertiga ( Ibu & 2 orang anak tersebut ) melafaz kalimah syahadah di Masjid Long Lama. Tapi Pak Ustaz terpaksa menangguhkan dulu majlis akad nikah pula kerana dia tidak berani berbuat demikian disebabkan lelaki kepada ibu 2 orang anak tersebut berwarganegara Indonesia yang tiada permit perjalanan yang sah. Bagi aku, sepatutnya Pak Ustaz tersebut nikahkan saja mereka berdua, untuk mengelakkan zina. Bayangkan sudah bersekolah menengah ke-2 anak mereka hingga kini mereka masih bersekedudukan tanpa ikatan yang sah. Berkenaan dokumentasi, kita kira belakang sahaja dulu. Walaupun ada pro & kontra tindakan pilihan aku ini, tapi demi mengutamakan hukum syarak, aku lebih melihat perkara ini mendatangkan impak yang baik di kemudian hari atau sekurang-kurangnya ada jawapan aku di hadapanNya kelak.  Aku tidak mahu menghuraikan lebih lanjut lagi berkenaan proses asimilasi rakyat Indo dengan warga tempatan di sini. Cukup rasanya aku tangguh di sini dulu, mungkin kalau sudah cukup bahan, boleh ku buka nurkilan edisi khas untuk kisah perkahwinan tergantung ini.
  
Untuk Raya kali ini, Yang Berhormat En. Dennis Ngau ADUN N76 Telang Usan diiringi Kapitan Yeo Kit Siang  telah sudi membantu bersama mengagihkan daging korban. Itu yang istimewa tentang Long Lama.


Tapi yang paling istimewa Aidiladha kali ini, kisah apabila  2 hari sebelum Takbir, seekor sapi yang ingin dikorbankan  terjatuh masuk gaung. Menjadikan kisah ini semakin menarik apabila tidak seorang pun perasan sepanjang hari sapi terjatuh ke dalam gaung sehingga petang baru sedar akan kehilangan sapi dari pandangan mata. Tali yang diikat di tiang pagar masjid tegang menampung beban badan memaksanya sukar untuk bernafas dan tika ditemui denyut jantungnya lemah. Lagak orang mati bergantung.









Tiada daya lagi, melainkan tawakal sahaja kepada Yang Maha Kuasa. Hendak disembelih tapi masa pula beransur memasuki waktu Maghrib ditambahkan hujan lebat menyukarkan misi menyelamat diteruskan. Apa yang termampu cuma memberi air untuknya minum dan berdoa agar nyawanya sampai ke besok pagi. Hendak diangkat, berat purata badan sapi pula mencecah 200KG, rasanya satu kerja yang mustahil untuk 2 orang berbadan sado seperti aku ini.

Seawal keesokkan pagi, sehari sebelum Aidiladha, aku menerima panggilan dari Pengurus Masjid memohon bantuan menyembelih dan seterusnya melapah daging untuk diagihkan kepada non-muslim pada Hari Raya aidiladha nanti. Syukur juga, kerana nyawa Sapi tersebut masih bertahan dan terpaksa disembelih di kaki bukit bagi mengelakkan kesakitan ketika diangkat ke atas nanti.


Selepas proses penyembelihan selesai, kata sepakat telah ditetapkan bahawa sapi tersebut terpaksa ditarik pula menggunakan kereta kerana kudrat 5 orang lelaki tidak mampu mengangkat sapi tersebut ditambahkan lagi laluan yang agar sukar ( mendaki bukit ).

Hukum sembelihan Korban untuk Hari Raya Aidiladha@ Hari Raya Haji ini sebenarnya bermula selepas Takbir Raya dan 3 hari seterusnya. Jadi, sapi yang seharusnya dijadikan Korban sempena Aidiladha, kini terpaksa disembelih secara biasa sahaja untuk mengelakkan ia mati menjadi bangkai. Benar bak kata pepatah, Kita hanya merancang, Tuhan yang tentukan. 


Wednesday, 12 July 2017

London Lagi.

Apabila CM Abg Joe akan menghantar sepasukan Peguam ke London untuk mencari dan meneliti Rujukan Perjanjian Malaysia tahun 1963, perkara ini amat aku setujui. Tindakan ini sepatutnya dilakukan lebih awal lagi. Bukan bermaksud ingin membelakangi kerajaan Persekutuan, tapi tindakan ini sebenarnya untuk menentukan hak sebenar ibu pertiwi agar tidak diperkotak katikkan lagi seperti sebelum ini. (klik di sini)

Cuma aku sedikit terkilan, sepatutnya CM tidak  perlu mengumumkan di media masa tentang hasrat tersebut.

Biarkan perkara ini disembunyi dari pihak luar dan ianya boleh menjadi sebagai senjata yang ‘makan tuan’ untuk mematah hujah lawan andai ada lagi spesis ‘samseng jagung’ masuk gelanggang dan mencabar kedaulatan, senjata ini pula dipulangkan sebagai ‘paku buah keras’ yang tidak dapat ditepis kerana mereka tidak menjangka pengetahuan kita yang dalam tentang peraturan Perjanjian Malaysia 1963 serta boleh menjadi kekuatan pertahanan dari segi perundangan hingga kebal sampai ke tahap yang tidak boleh dijentik sedikitpun, berpandu kepada Perjanjian Malaysia tahun 1963.

Tapi apakan daya, perkara ini telah diumumkan, maka pelbagai reaksi dan pandangan telah dikeluarkan dari pihak sebelah. Kita pula akan banyak menghabiskan masa untuk  menjawab dan menyanggah segala tohmahan ini. Tapi yang seronoknya, apabila banyak pendapat dari sudut pandangan yang berbeza, pasti netizen yang waras akan  berfikir dan mempertimbangkan kelogikkan pandangan tersebut. Bagi netizen yang cuma tahu menyumpah di ruang komen FB, kebiasaannya mereka ini tidak nampak halatuju buruk dan baik ‘teguran’ dari pihak sebelah. Apa yang mereka tahu, cuma sekadar menulis membabibuta dan ‘menguras’ dengan bahasa kotor serta kasar.


Banyak-banyak reaksi pandangan yang diluahkan, aku tertarik dari pandangan dua orang tokoh dalam arena politik tanahair ini. Pandangan pertama dari Salahudin Ayub Timbalan Presiden AMANAH. Bagi yang rajin membaca teori-teori konspirasi dunia, kegusaran Salahudin ini ada benarnya juga. Malaysia adalah Negara Islam dalam nusantara ini yang masih stabil dalam sudut politiknya. (Politik Brunei juga stabil, tapi terpaksa dikeluarkan dari senarai, kerana kuasa politiknya kecil sama kecil jajahan negaranya). Banyak Negara islam dunia menghormati dan mendengar suara-suara dari Malaysia ini disebabkan mereka amat mengagumi Malaysia kerana kestabilan ekonomi, politik dan Negara yang aman biarpun pelbagai bilangan kaum, budaya dan agama didalamnya. Disebabkan kekaguman ini, maka majoriti Negara Islam dunia tidak akan memekak telinga andai Seruan dari Negara Malaysia bergema. Penghargaan dan Kepercayaan yang tinggi ini, membuatkan Malaysia dilebihkan dari yang lain.

Kuasa-kuasa besar dunia, seperti Amerika, Britain, China dan Rusia pasti ingin mengenggam ‘jantung hati’ kekuatan  suara Islam ini. Dan satu cara untuk memilikinya adalah, mengawal ‘kuasa politik’nya. Andai terpecah dan mempunyai blok-blok sendiri politik dalam sesebuah Negara tersebut, maka semakin mudah untuk membakar jerami kering dan ditusuk jarum halus ke dalamnya. Itu yang dimaksudkan oleh Timbalan presiden AMANAH tersebut. Walaupun beliau bukan dari blok kerajaan, malah bukan anak jati Sarawak, tapi aku yakin dia pun tidak mahu Malaysia ini jatuh ditangan orang luar.


Pandangan kedua pula dari Dato Sri Anwar Ibrahim, pandangannya lebih kepada isu dalaman dan ianya saling berkait dengan pandangan pertama tadi. Kalau difikirkan, kenapa kerajaan Sarawak hendak membuang duit beratus ribu menghantar sepasukan peguam ke London, sedangkan Negara Malaysia juga mempunyai Jabatan Peguam Negara sendiri. Jelas di sana kepimpinan negeri sudah mula hilang keyakinan dengan sistem perundangan Negara dan sanggup berhabis belanja untuk mendapatkan sesuatu rujukan yang boleh menjaminkan keselamatan diri sendiri. Di situ ketaranya jurang ketidakpercayaan antara satu sama lain. Mungkin untuk kali ini, sikap berhati-hati dengan dasar Perundangan Negara dan tidak mustahil, suatu waktu nanti, sikap berhati-hati ini akan merebak ke dasar keselamatan Negara, dasar pendidikan Negara atau berlari termengah-mengah membuka almari usang untuk meneliti Surat rujukan perjanjian persempadanan antara negeri. Jangan pula kita lupa, suatu ketika dulu, Mantan Ketua Menteri yang disayangi rakyat, Allahyarham Tan Sri Adenan Hj Satem pernah menekankan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi ke-2 di Sarawak. Sedangkan sistem pendidikan Negara pula berlainan caranya.


Untuk lebih jelas intipati tulisan ini, aku sebenarnya mahu memberitahu bahawa ada 2 perkara asas tulisan ini.

A) Bersetuju MENGHANTAR sepasukan peguam untuk meneliti Perjanjian tersebut.

B) Tetapi tidak bersetuju MENGHEBOHKAN perkara ini di media masa.

Tindakan memberitahu di media masa untuk menghantar sepasukan Peguam ke London, ibarat perumpamaan seorang penjenayah terlepas dari tahanan Polis. Dengan penuh yakinnya, Ketua Polis Balai mengumumkan akan menangkap penjenayah tersebut dengan cara membuat serbuan dan sekatan dalam masa terdekat secara besar-besaran di sekian jalan dan  sekian lokasi. Bukan setakat penjenayah tersebut tahu tempat yang tidak selamat dan jalan yang sudah di’roadblock’ untuk memboloskan diri malah pemandu Lori hantu, Mat Rempit, bohsia gian, budak ponteng sekolah malah pengedar dadah, pil kuda, rokok seludup, kaki ketum dan penjual organ manusia pun tidak akan mengguna laluan yang dinyatakan tersebut.  Aku harap perumpamaan ini akan dapat membuka matahati kita untuk berfikir lebih jauh dengan membuat persediaan dalam menepis segala serangan yang bakal menyusul nanti.


Thursday, 6 July 2017

Trend bermusim

Aku tidak mempunyai masalah pun dengan apa jenis pakaian yang hendak dipakai. Tapi pastikan ianya bertepatan dengan suasana dan tema yang diinginkan. Rungutan ini hadir apabila anak bujangku bersungguh hendak membeli baju Kurta dan jubah untuk Hari Raya ini. Pada mulanya aku membisu apabila bisikan keinginannya telah disuarakan, tapi semakin dekat Hari Lebaran semakin menjadi pula desakannya. 

Aku tahu, dia ingin membeli baju jenis tersebut disebabkan mengikut peredaran trend terkini. Ramai artis dan celebriti terkenal mengayakan baju yang dijenamakan atas NAMA mereka, tapi mengikut potongan Kurta dan jubah Sado.  

Gambar dari intenet
‘Nanti, kalau ada lebih duit Raya, beli la, tapi sekarang kita WAJIB membeli baju melayu kerana kita ingin menyambut Hari Raya. Memang Hari Raya disambut di seluruh dunia oleh umat Islam, tapi uniknya Perayaan Hari Raya di Malaysia adalah kerana berbagai jenis warna, corak, jahitan dan potongan yang masih mengekalkan baju Melayu berserta dengan sabok (sampin) sekali. Sebaiknya, jangan diubah tradisi tersebut. Kurta bukan budaya kita Melayu, ianya baju tradisional dari Pakistan dan Afganistan sebegitu juga Jubah, ianya dari tanah Arab. Tidak mempunyai masalah untuk mengenakannya, tapi biar bertepatan dengan suasana. Kita akan menyambut Hari Raya, jadi baju melayu cekak musang atau teluk belangga sepatutnya kita utamakan’. Jawabku dengan selamba.

Gambar dari internet


Aku tahu dia mengalah kerana kematian hujah dan aku yakin dalil yang aku keluarkan tadi sudah cukup memadai untuknya berfikir.

Ibarat kita hendak ke Majlis Harijadi anak saudara, cukup sekadar memakai t-shirt berkolar dan seluar jeans atau wanitanya berbaju butang dengan seluar kasual dipadan tudung warna sedondon dengan baju. Tidak juga menjadi kesalahan memakai Baju kot beserta tali leher siap dengan membawa beg James Bond atau wanitanya pula berjubah hitam dengan purdahnya menutupi muka. Sungguh tidak salah..Tapi adakah ianya bertepatan dengan tema majlis/perayaan????

Atau hendak mengutip buah durian di dusun, tidak menjadi kesalahan andai sekadar bertuala dengan membawa baldi kecil didalamnya seketul sabun. Namun ianya sungguh tidak menepati kesesuaian keadaan sesuatu aktiviti ( mengutip buah durian ). 

Zaman bujang aku dulu, tika hari Raya menjelma, ada sejenis baju melayu yang disulam dihujung lengan, leher dan koceknya amat digemari oleh semua. Sungguh unik dan cantik. Namun trend tersebut tidak lama, kerana kos yang mahal untuk membuat sulaman itu dua kali ganda dari harga dan upah menjahit baju tersebut. Sebegitu juga dengan baju Kurta atau jubah untuk beraya nanti. Ianya cuma mengikut musim dan apabila berakhirnya musim tersebut dipenghujungnya berlipat rapi terkurung di dalam almari usang juga. 

Wednesday, 5 July 2017

Syawal sudah berlalu.

Syawal baru masuk hari ke 9, lagu raya masih berkumandang di corong radio namun aku sudah ‘bertapa’ di pejabat meneruskan sisa-sisa hidupku yang statik ini. 

Tiada perkongsian cerita Hari Raya tahun ini, kerana setiap tahun perkara yang sama berlaku. Cuma yang tular sepanjang tempoh minggu terakhir Ramadhan dan di awal Syawal kecoh di laman FB Marudi Community berkenaan jalanraya dari Simpang Miri ke Marudi yang memangnya semakin tenat.

Aku nampak ada usaha dari Y.B Adun untuk menyegerakan pembinaan jalan tersebut, tapi aku rasa beliau perlu juga selalu ‘menyalak’ dengan kontraktor yang telah dilantik membaikpulih jalan tersebut. Lagipun cuma Y.B Adun tersebut sahaja harapan yang mewakili suara majoriti Pengundi di Marudi ini. Ada juga netizen di laman FB Marudi Community mempersoalkan KUASA yang ada pada ketua kampung, Penghulu, Konselor dan orang besar lain di Marudi kerana tidak pernah pun memberi satu kenyataan berkenaan jalan tersebut. Aku tersenyum sendiri membacanya, maklum saja, apabila hati semakin marah dan geram, semua terbuku di hati diluah tanpa berfikir buruk baik implikasinya. Sepatutnya disertakan juga nama Y.B Parlimen Baram, sebab hingga ke saat ini, tiada satupun kenyataan daripada beliau berkenaan Jalanraya tersebut. Langsung tiada usaha untuk memperbetulkan keadaan jauh lagi hendak terbabit sama dalam masalah yang membelenggu masyarakat di Marudi khususnya. Andai Barisan Pembangkang bijak, isu jalanraya Marudi boleh menjadi ‘silent weapon’ untuk Pemilihan ahli Parlimen yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Gambar dari laman FB

Kita semakin lesu dengan cerita Politik murahan sebegini, semakin diikuti, semakin jelas kulit topeng yang mereka gunakan. Terbaru ini, Y.B Adun mempersoalkan ketirisan wang sewaktu mantan Y.B Adun yang dahulu memegang jawatan. Aku geleng kepala melihat peperangan minda ini, sememangnya tidak membawa kita ke aras lebih tinggi lagi kalau terus berpusing dengan perkara yang memburukkan keadaan sebegini. 

Ada pula yang mengatakan bahawa, wang berjuta untuk membuat jalan tersebut sebenarnya belum diberi kepada kontraktor bagi melaksanakan projek tersebut. Pada mulanya, aku terperdaya juga dengan alasan itu, tapi aku tersedar apabila suatu petang aku duduk lepak dan berbual dengan seorang brader yang berniaga di pasar malam menjual baju jersi sukan.

Dengan matanya liar melihat pelanggan memilih baju sambil dilayan oleh pembantunya, asap rokok Gudang Garam pula disedut dalam, dia sempat memberi ceramah politik kepadaku. Duduk di hadapan meja lipat, merangkap kaunternya, aku disediakan kerusi apabila kami mula rancak berbual. Isu putar alam, isu langit dan bumi, syurga serta neraka malah berbalah pembezaan jenama gitar ‘karen’ yang di gunakan Slash (Gun & Roses) sewaktu konsert di German. Banyak-banyak isu, ada satu yang amat menarik sekali untuk aku genggam dan dijadikan sebagai panduan hidup.

Katanya, kerajaan kita amat prihatin dan banyak memberi bantuan kepada peniaga sepertinya. Disediakan tapak berniaga, disediakan pinjaman untuk memulakan peniagaan malah diberi kursus percuma siap dengan sijil sekali. Bila disebut SIJIL, dia diam seketika. Aku menunggu lontaran suaranya lagi, namun haruman Gudang Garam  sedikit sebanyak menganggu juga konsentrasi dan iman bekas perokok ini.

Katanya, Sijil boleh menjadi amat bernilai andai digunakan dengan cara yang betul walaupun sekadar Sijil Penyertaan kursus/bengkel atau pertandingan. Sebelum menceburi bidang niaga ini, usia mudanya banyak dihabiskan dengan mengikuti Pertandingan Pesta Lumba Perahu di setiap Daerah dalam Sarawak ini. Banyak juga kejayaan yang telah ditempa malah nama pasukannya juga amat digeruni ketika itu. Seperti sedia maklum, untuk mengerakkan jentera yang besar, kita memerlukan kos yang besar juga. Pernah suatu ketika, kerana tersilap anggaran bajet untuk kos pengangkutan, dia bersama 2 orang lagi senior dalam Pasukannya telah menebal muka memohon bantuan peruntukan dan berjumpa dengan Manager dari company besar. Dengan kertaskerja yang lengkap, piala dan gambar aksi berlumba serta berkeping Sijil penyertaan pertandingan sahaja untuk dibentangkan, akhirnya membuatkan Manager terus percaya akan kesungguhan mereka dan memberi sedikit suntikan dana kepada Pasukan mereka.

Sebegitu juga dengan Kontraktor yang dilantik bagi membaikpulih Jalanraya Miri-Marudi, andai masalah bajet tidak cukup atau tidak ada, pihak kontraktor tersebut boleh meminjam di Bank tempatan. Dengan kertaskerja dan surat dari kerajaan serta geran pelantikan sebagai kontraktor jalan tersebut, aku rasa sudah cukup kuat untuk Bank memberi pinjaman. Bagi aku, terlalu pelahan kerja penyelengaraan jalan Marudi BUKAN disebabkan tiada wang tapi masalah dalaman kontraktor tersebut. Titik!!!!!!

Syukur juga kerana aku tidak melalui jalan tersebut. Atas usaha dan keinginan untuk mencuba, akhirnya aku telah menemui jalan Baru ke Marudi. Walaupun jauh sikit, tapi ianya berbaloi, jalannya rata dan tidak juga berbukit. Tetapi terpaksa melalui ‘6 Gates’ yang di jaga rapi oleh Pengawal sempadan Ladang Sawit. Sebagai penguna yang amat prihatin dengan masalah ini, aku cuma sekadar mampu berdoa, agar pembaikpulihan jalanraya tersebut mengikut jadual dan standard yang telah ditetapkan.