Sempena PRN 12 Sarawak, aku ditugas menjaga saluran mengundi di Long Sait salah satu penempatan kaum penan di ulu baram, Sarawak. Mengambil masa 9 jam perjalanan bermula dari Pekan Marudi. Kalau tak banyak singgah rasanya 7 jam pun boleh sampai. Pasukan kami singgah di Simpang Bekenu untuk sarapan, di stesen Buraqoil Lapok untuk isi minyak dan Kem Kilo 10 pula untuk makan tengahari. Malah 3 kali ‘timeout’ tepi jalan untuk melepas hajat kecil.
Bermula dari Pekan lapok, kami melalui jalan kem hingga ke Pekan Selungo di Long Siut, ulu Baram. Dari Lapok mengambil masa 2 jam ke Kilo 10 dan 3 jam pula ke Pekan Selungo. Walaupun jalannya berdebu dan adakala licin disebabkan hujan di satu dua tempat tetapi pemandangan di sepanjang jalannya sungguh indah terutama selepas Kem Kilo 10. Kami melalui kawasan berbukit, lurah menghijau, jambatan kayu bertiang besi dan anak sungai sungguh jernih sekali.
Banyak penempatan dan kampung sepanjang perjalanan malah ada warung serta Homestay juga. Kehidupan yang santai. Menggunakan tenaga Solar dan air paip dari mini hidro buatan sendiri bersumber dari anak sungai dari atas bukit. Kebanyakan tempat tidak memiliki talian komunikasi. Cuma ada satu saja cara hendak berhubung iaitu melalui CONNECTME dengan 1G Data berharga RM12.00 itu pun di area yang ada penduduk sahaja.
Pekan Selungo adalah pekan yang baru membangun. Terletak dalam kawasan Hutan awan dan suhunya sejuk. Cuma ada deretan kedai runcit dan homestay. Kami tidur 2 malam di situ sebelum dan selepas balik dari Long Sait. Aku rasa, kalau pekan ini di buat jalan yang bagus sepanjang masuk ke simpang pekannya, ada tiang lampu elektrik dan landskap bunga tepi jalan, rasanya pekan ini akan nampak lebih ‘hidup’.
Keesokkan harinya, seawal jam 7 pagi kami telah menunggu perahu dari Kampung Long Sait. Duduk di ‘jeti’ Pekan Selungo tetapi hakikatnya kawasan batu karangan. Airnya sejuk serta jernih. Perahu yang dijanji sampai dekat jam 10 pagi. Kata mereka air sekarang ni surut dan susah untuk bergerak serta ada sebahagian tempat terpaksa turun untuk tarik perahu. Aku dengar terus terasa kecut perut. Airnya deras dan jeram sungguh mencabar. Simpan dalam plastik barang berharga kata Juragan perahu, sebab pernah Handphone Cikgu jatuh ke dalam sungai.
Aku ni jenis degil, biar apapun terjadi, ku mesti mengambil footage dan gambar yang menarik serta menjadi bukti bahawa aku pernah meredah jeram air batu ini. Maka terhasil la beberapa shoot yang menarik ini.
Menyusuri Sungai memerlukan masa sekitar 3 jam perjalanan. Lebih 7 kali berhenti untuk menarik perahu dan mengisi minyak. Cabarannya terlalu sukar untuk digambarkan. Terlalu susah untuk dinukilkan dalam penulisan ini. Rasainya sendiri, baru tahu hiruk-pikuk air jeram dan deruan enjin sangkut jenis saff yang panjang (perahu teng-teng). Ada 2 kampung sepanjang perjalanan menaiki perahu ini, Long Kerong dan Long Spegen.
Belum lagi sampai ke Long Sait, kami terpaksa diturunkan di suatu tempat untuk berjalan kaki selama 40 minit kerana air sungai semakin cetek untuk sampai ke kampung. Denainya licin mungkin semalam hujan. Syukur sepanjang berjalan tiada bukit yang harus ditempuh.
Dengan adanya Projek tenaga solar, maka Perkampungan Long Sait nampak cerah pada sebelah malam. Ada Line Maxis sahaja tetapi tidak dapat internet. Boleh call dan mesej biasa. Di sekolah pula ada wifi. Kami ditempatkan di dalam bangunan Prasekolah, dapat la wifi free. Walaupun line sekejap ada, sekejap menghilang tapi sekurang-kurangnya dapat text dengan orang tersayang nun jauh di sana. Dapat update status whatsapp..hihihi.
Aku bersyukur kerana dapat merasa suasana yang unik sebegini. Kalau tidak disebabkan kerja mana mungkin aku melangkah kaki ke sini. Walaupun cuma semalam di Long Sait dan 2 malam di Pekan Selungo tetapi impak yang diberinya mengajar aku erti sebuah ketabahan dalam mengharungi sebuah kehidupan.
Teguh hati mereka menghantar anak-anak ke sekolah biarpun terpaksa meredah jeram yang boleh membahayakan nyawa. Utuh jiwa mereka meneruskan hidup biarpun bertatih demi untuk perut yang harus diisi. Mungkin semangat itu hadir dari kerasnya batu jeram yang mereka tempuh setiap hari dan malam.
No comments:
Post a Comment