Memang tak dijangka, dalam waktu 6 bulan saja 3 kali banjir berlaku di Long Lama. Jarak masanya cuma 2 bulan, iaitu bulan Mei, Julai dan kini Bulan Sept. Ianya sungguh mencabar fizikal dan minda. Belum habis keletihan membersih rumah disebabkan banjir yang lepas kini bertungkus lumus pula menyelamat barang keperluan yang baru disusun demi untuk mengelakkan banjir kali ke-3.
Uniknya air pasang di Long Lama ini tidak lama. Seharian paras air mendadak naik, sebegitu cepat juga ianya surut. Cuma sedihnya sekarang ini Pekan Marudi (terletak di hilir) menjadi mangsa seterusnya. Maklum saja Sungai Baram ini mencecah 400km panjang bermula dari Dataran Tinggi Kelabit, sebuah kawasan aliran sungai yang dibatasi oleh Banjaran Iran di Timur Kalimantan, Indonesia yang sama perbatasan semulajadi dalam sempadan Negeri Sarawak dan berpenghujung di Laut China selatan yang mana pintu mulutnya keluar dari Kuala Baram. Pekan Marudi pula berada ditengah laluan Sungai Baram ini. Ditambah lagi pertembungan air pasang besar di antara Sungai Baram, Tutoh Apoh dan Tinjar membuatkan Marudi sekarang dalam keadaan sukar.
Sekarang ini apabila mendengar khabar kawasan hulu hujan lebat berpanjangan dan paras air mula naik di kampung-kampung pesisir sungai, maka mula rasa resah di hati khuatir air melimpah. Kesian Jiran dan sahabat dalam komuniti Long Lama yang berumah di kawasan rendah. Berbekalkan pengalaman yang lepas, ada sebahagiannya sudah menghantar motor dan kereta ke kawasan tinggi, segala peralatan elektrik dan barang-barang yang penting juga sudah diangkat di tempat yang tinggi. Apa yang mampu dibuat lagi melainkan sekadar redha sahaja melihat air mula memasuki rumah.
Bila telah berlaku kejadian sehingga 3 kali banjir dalam masa yang singkat, mula kedengaran cerita pelik didengari. Bermacam-macam teori diluahkan berpandu rasa geram dan terkejut. Aku cuma mendengar sambil tersenyum, tiada hujah untukku huraikan kerana bagiku apabila Bencana Alam sudah bersuara. Tiada sebarang daya mampu melawannya.
Teori pokok-pokok habis ditebang hingga menyebabkan tiada lagi tadahan hujan. Lumpur dan selut hanyut tenggelam telah membuatkan dasar sungai menjadi cetak dan apabila paras air naik ianya mudah untuk membanjiri kawasan yang rendah. Yang paling 'power', dia boleh bawa cerita hujan di Greenland. Kerana hujan tersebut telah mencairkan ketulan ais yang menyebabkan paras air laut meningkat. Ini menyukarkan air dari sungai mengalir ke laut. Ianya terus bertakung dan menyebabkan banjir.
Aku angkat tangan tanda menyerah kerana fenomena sebegini diluar batasan kemampuanku. Apa yang aku mahu sekarang, semoga ada pihak yang bertanggungjawab mengambil berat dengan mangsa banjir ini. Bantuan mangsa banjir perlu disegerakan. Bagi penduduk yang bekerja sendiri, kejadian banjir ini telah menjejaskan mata pencarian mereka. Memandangkan penghantaran bantuan bakul makanan ini seringkali lambat sampai ada baiknya dikreditkan saja wang tersebut ke dalam akaun bank mangsa banjir ini.
Sekurang-kurangnya kerajaan dapat juga menjimatkan kos penghantaran bantuan bakul makanan. Bukan tidak bersyukur tapi proses bantuan ini boleh ditambahbaik. Satu lagi, alang-alang dah minta, mohon pula Yang Berhormat di setiap kawasan yang terlibat banjir untuk berbincang dengan Ketua Pengarah JBALB. Tolong beri diskaun 50% bekalan air untuk bulan ini kerana rata-rata rumah mangsa banjir terpaksa mencuci menggunakan paip air.
‘ Berkongsi masalah mampu meringankan beban’
Teringat kata kawanku waktu Sekolah dulu. Dia membawa setengah botol air mineral, aku pula dah mengunyah separuh mee maggi kari ‘mantak’. Siapa yang pernah membuat adegan ini, pasti mencari air untuk membasah lidah.
Photo banjir yang di kongsi rakan dalam FB kebanyakan bermain air. Wajah tersenyum namun hakikatnya badan terasa letih. Sekurang- kurangnya untuk kali ini, aku bersyukur, belum ada lagi kejadian yang meragut nyawa. Bersama kita berdoa semoga hati kita sentiasa tabah dalam menempuh Ujian ini. Stay safe everyone, Love you from Long Lama to the moon and back.
No comments:
Post a Comment