Translate

Thursday, 11 January 2018

Setajam duri Durian




Fenomena Durian melanda lagi. Seluruh Sarawak dibanjiri dengan Raja Buah. Tidak ketinggalan di pekan kecil Long Lama ini. Seronok juga melihat gelagat acara tawar menawar di antara empunya buah dan pembeli tika membeli buah. Walaupun tidak sebanyak sewaktu jalanraya masih belum siap dulu (4-5 tahun dulu), namun aura demam durian tetap membahang juga. 

Raja buah datang lagi
Di bawa ke Miri untuk di jual

Dahulu, durian cuma di pasarkan untuk penduduk Long Lama kerana tiada pemborong dari luar. Apabila jalanraya sudah siap, pemborong sanggup memandu seawal jam 4 pagi dari Bandar Miri untuk  memborong durian Long Lama. Kebanyakkan pemborong mempunyai ‘kaki-kaki’( empunya durian) yang tetap. Apabila perahu dari ulu sungai di antaranya Long Laput, Uma Bawang, Sungai dua dan sejauh Long Miri, sampai ke jeti Pekan Long Lama, mereka cuma mengangkut durian dari perahu terus ke bonet belakang kereta pacuan 4 roda. Tidak perlu berebut dan bertawar harga lagi. 

Long lama ini kebanyakkan durian adalah dari jenis durian kampung yang mempunyai kesedapan rasanya masih terjaga. Di sebabkan keaslian ini, membuatkan durian dari Long Lama cepat laku dan mudah untuk di jual di bandar Miri. Di pasaran Sekarang ini, kebanyakkannya yang berjenis durian kahwin. Durian jenis kahwin ini, rasanya pula tidak semanis dan seenak durian kampung. Namun yang bagusnya durian jenis ini, apabila ditanam dan cukup dengan baja, maka ianya tidak lama untuk mengeluarkan hasilnya. Cuma 7 hingga 8 tahun selepas ditanam ia boleh mengeluarkan buah pertamanya dibanding dengan durian kampung yang akan mengambil masa lebih kurang belasan tahun baru mengeluarkan buah pertamanya.  Disebabkan alasan itu, kualiti durian kampung amat dihargai dan diminati para pencinta durian ini.

Beberapa buah perahu dari ulu Sungai Baram ( Long Laput, Uma Bawang )

Untuk harga borong ini, ianya serendah RM3-Rm4 sebiji tanpa membezakan kecik atau besar tetapi untuk durian tembaga dan suluk (di bawah ini) ianya mempunyai harga yang tersendiri. Keistimewaannya pula terletak pada rasanya yang tersendiri. Baunya, empuk testur isinya malah aroma kian terasa tika isinya bersentuh dengan lidah. Terlalu mudah untuk membezakan buah istimewa ini berbanding dengan durian kampung dengan cuma melihat corak durinya saja.

Durian suluk ( kiri ) & Durian Tembaga ( kanan)

Aku suka makan buah ini, tapi aku tidak akan makan kalau setakat sebiji. Sekurang-kurangnya aku makan 3 biji durian untuk sekali duduk. Jadi, kalau hendak membeli, aku akan membeli seguni kerana anakku juga ‘kaki durian’. Tahun ini, aku telah membeli beberapa jenis durian kerana aku ingin mengambil bijinya untuk di jadikan benih dan akan ku tanam di tanah arwah bapa. Aku nak jadikan tanah tersebut sebagai dusun buah. Biarkan tanah orang yang di kiri kanan menanam kelapa sawit. Aku pula membuat Perancangan nak menanam buah durian, dabai, rambutan, longan dan pelbagai jenis buah yang bermusim. 

Durian kampung



Hidup di pekan kecil sebegini, memudahkan kita mengenali antara satu dengan yang lain. Begitu juga dengan empunya buah durian ini. Walaupun tidak mengetahui nama, namun mereka akan melambai-lambai dari perahu memujuk kita untuk membeli buah mereka dan yang seronoknya, apabila budak bujang menjual durian, mereka akan ke rumah memujuk kita untuk membeli. Kerana terlalu banyak buah durian pada kali ini, harga seguni durian boleh mencecah semurah RM30.00 saja. Katanya daripada di bawa balik ke kampung, ada baiknya di jual murah cukup sekadar membeli minyak enjin sangkut dan beberapa tin beer. Aku tersenyum bila mendengar jawapannya, hendak di tolak, terasa sayang kerana buahnya sungguh bagus, akhirnya aku beli sebanyak 3 guni. Ada yang ku kirim ke Marudi menggunakan boat express untuk di sedekahkan kepada sanak saudara di sana dan sebahagiannya pula ku buat menjadi tempoyak. Serumah berbau durian, peti sejuk pun tempias baunya, sarapan pagi, makan tengahari dan malam pasti ber-menu durian hingga kentut pun terbau wangian durian. Itu yang istimewanya bila tiba musim Raja buah.

No comments:

Post a Comment