Translate

Tuesday, 25 April 2017

Jodohku dengan Hadrah Kampung Narum

Memang benar kata pujangga dari sebelah datuk kepada ayah angkatku...

‘Sometimes having coffee with yourbest friends, is the all of therapy that you need.’


Sesi ber-photo selepas Mesyuarat Agong Kump. Hadrah kpg sambil memanas “grill” panggang.

-------------------------------------------------------------------

Di atas adalah beberapa kiasan kata yang aku kongsikan di Laman FB aku sendiri, sengaja aku tidak ‘mengepilkan’ bersama nurkilan di bawah ini, kerana 'jodoh' aku dengan hadrah ini bukan untuk tatapan umum di FB. Photo di bawah ini pula suasana sekitar Mesyuarat Agung Persatuan Hadrah yang baru diadakan tahun ini. Selepas bermesyuarat ada disediakan jamuan ringan dengan tong Panggang berisi sayap ayam sentiasa panas yang di jaga oleh En. Dollah Bin Salleh dibantu En. Sulaiman Bin Mahar.

Sekadar menpengerusikan Majlis. Di sebelah aku adalah Ayahanda En. Saili Bin Rejab salah seorang Mahaguru hadrah





Aku telah berkecimpung dengan acara kesenian kuno ini seawal usiaku 14 tahun. Dengan ilmu yang sedikit itu, ianya telah membawa aku menjelajah hampir ke serata ceruk lorong di setiap kampung dalam Daerah Marudi ini termasuk Benawa, Long Lama, lubuk Tumor, Miri malah Brunei Darusalam. Bergantung dengan tempahan Hadrah Majlis perkahwinan dan acara sambutan V.I.P.

Photo ehsan dari Saudara Umar Bin Abu ( Kiri sekali ). Katanya Program SEMINAR SABERKAS tahun 1990

Sewaktu menyambut Ketua Menteri Sarawak Dato Taib Mahmud tahun 1995 di Long Lama

Melalui berbagai peringkat latihan dan juga menuntut ilmu dari beberapa Mahaguru. Namun 2 orang Mahaguru yang memberi bekas yang mendalam adalah Pn.Rosnah Bt Latip ( adik ibuku sendiri) mengajarku tanpa tar (kompang) cuma dengan memukul jari di lantai untuk mencari tempo lagu dan Mahaguru Ayahanda Hamid B. Rejab.



Lawatan muhibah sambil memberi sumbangan ikhlas untuk ayahanda Hamid bin Rejab di kediamannya dan Persatuan hadrah diwakili oleh En. Osman ( Baju Merah )

Masih terbayang bagaimana beliau memarahi kami dengan bebelan panjang  apabila kami tersalah cara ‘menukuk tar’ dan kami balas dengan sering memperlekehkan 'low note' suaranya apabila berlagu. Walaupun sering disindir dan dimarahi olehnya, namun kami tetap akan ke kelas Hadrah diselianya kerana usikkan manja itu sungguh mengelikan hati kami yang baru angkat bujang tika itu. Aku amat puji akan kejujuran serta ketabahan beliau untuk mendidik kami biarpun adakalanya tindakan jahil kami dulu menyakiti hati beliau. Mereka ini yang telah melatihku dengan irama lagu arabnya, tikah paluan gendangnya dan malah menggajarku mengawal ‘mood’ suasana sesuai dengan Majlis. Setiap tikah paluan kompang mengeluarkan melodi yang berlainan dan juga mempunyai nama-namanya sendiri:

- Tukuk satu
- Tukuk dua
- Pecah 3 dan
- Pecah 4

Walaupun begitu, setiap persatuan hadrah, punyai nama tersendiri untuk setiap jenis bunyi paluan Tar /kompang-nya juga.

Setiap lagu yang dinyanyikan mempunyai temanya. Lagu pembuka Majlis semestinya dimulakan dengan Lagu Bismillah, tika pengantin pula di pelamin pastinya lagu Ya Allah Redha. Namun begitu ada juga beberapa lagu yang sering di bawa ketika Majlis sedang berlangsung seperti:

1.Ya Rabbi Salim
2.Salla Tullah
3. Kalbi Bikum
4. Sultan
5. Ya Allah Erhamna
6. Selawat tu Rabbi
7.Sallak kia Rahman
8. Ya Man Kahada

Berlainan juga dengan lagu sewaktu menyambut orang besar atau V.I.P. selalunya majlis sebegini cuma sekejap iaitu sewaktu keluarnya V.I.P dari perut kapal terbang atau kereta yang digunakan tapi hasilnya cukup lumayan dan majlis sambutan sebegini sering di Lapangan terbang dan Dewan Suarah.

Setiap lagu punyai melodi yang berlainan dan alhamdulillah aku masih mengingatinya cuma beberapa rangkap liriknya aku telah lupa kerana aku kini jarang bersama mendendangkannya, maklum la, jarang benar sudah aku ke Marudi dan jarang pula beraksi tika ada tempahan hadrah di Majlis perkahwinan.

aksi-aksi yang menyeronokkan

Lokasi: Kampung Zain Galau Padang Kerbau Marudi


Walaupun aku kini tidak aktif, namun aku tetap berada dalam keadaan mood stanby. Andai ada kelapangan, aku akan cuba untuk bergabung dengan angkatan muda kumpulan Hadrah ini. Aku amat mencintai kesenian kuno ini, ianya sebagai jati diri etnik Narum ini hasil dari pertembungan budaya dengan melayu Sarawak.

V.I.P mood

Ahli Hadrah sendiri berkahwin.


Setelah diputuskan dalam mesyuarat, group whattsap akan diwujudkan sesama ahli. Walaupun aku tidak dapat menghadiri sesuatu tempahan Majlis, sekurang-kurangnya setiap peristiwa akan dicatit dan setiap photo-photo akan disimpan sebagai warisan zaman.

Aku sedar, dengan adanya sedikit ilmu tentang kesenian kuno ini, ianya tidak mampu membawa nama aku sebaris hebat Mozart, Beethoven atau Tan Sri P.Ramlee. Namun apa yang penting, aku tidak mahu terjadi seperti kata-kata orang cerdik pandai dahulu.

“Dari peristiwa menjadi sejarah, dari sejarah menjadi Legenda, dari Legenda menjadi mitos dan andainya tiada photo dan tulisan serta tidak dikaji dengan betul oleh anak cucu cicit kita nanti, berkemungkinan besar peristiwa benar itu akan bertukar menjadi sekadar cerita dongengan”. Semoga kesenian kuno ini tidak hilang di telan zaman........







Thursday, 6 April 2017

Gitar tangan kiri

Artikel asalnya telah dipostkan di wall FB aku dan sengaja simpan juga di sini, kerana blog ini adalah hakmilik 'kerajaan' aku sendiri. Lagipun aku masih mempunyai masa terluang untuk meng-update  apa yang patut. Kali ini entriku lebih terarah ke dunia seni rock tanahair tercinta. 

Aku yang memang sudah tuli dengan tona gorengan gitar Joe dari album studio ke-dua Wings Hukum Karma ( 1988 ) hingga Menakluk Kosmos  Album studio yang ke-sebelas ( 2004). Apabila mendapat tahu yang beliau bukan lagi ‘Lineup’ anggota Wings ianya seperti hilang  ‘rempah kari hidup’ tika memasak tulang rusuk kambing  sewaktu digaul dalam kuali. Untuk pengetahuan umum, Album pertama Wings (Belenggu irama),  Joe belum menjadi ahli Band Wings ketika itu.



Memang benar, vokalis Wings pernah bersilih ganti ( Awie, Mel dan Mus dan Awie lagi ), namun Wings masih bertahan juga kerana hakikatnya bunyi keunikkan & teknikal petikan gitar Joe adalah identiti sebenar serta ‘bunyi Wings’ itu sendiri.

Seakan sama dengan kisah Band Metalicca yang mempelopori arus Thrash Metal, hakikatnya kekuatan petikan gitar Dave Mustaine di antara penyebab nama Metalicca menjulang ke atas. Namun disebabkan beliau tersalah makan ‘Ubat’ maka beliau terpaksa disingkirkan dari band Thrash Metal ini di kala nama band mereka semakin melonjak naik ketika itu. Ajaibnya Dave Mustaine ini tidak menyerah kalah, dengan ‘background’ muzik Thrash ini, banyak ‘follower’ membuatkan beliau cepat mencari dan merekrut ahli baru serta menubuhkan band baru yang tidak kurang hebatnya juga iaitu Megadeth. Andai tuan/puan peminat irama muzik keras ini, khususnya Band Metalicca ( album pertama ) dan Band Megadeth, anda akan perasan, muziknya seakan sama disebabkan bunyi gitar utama adalah orang yang sama dan ianya identiti setiap band tersebut.

Balik kepada cerita Joe wings tadi, beliau kini telah menubuhkan satu band lagi yang dianggotai dari kalangan pemuzik hebat dengan nama Prime Domestic.  Aweera ( Mojo ) selaku vokalis, Hillary Ang ( Search ), fauzi ( Search untuk album Bikin wilayah sahaja), Ainol ( Kristal ) dan Joe (Wings) sendiri. Muzik lagu dalam Prime  Domestic masih dibayangi muzik wings juga. Diharap perjalanan seni Joe terus berkembang lagi biarpun telah mencecah 30 tahun menjadi anak seni. Tulisan ini bukan juga bertujuan untuk men’kondem’ kan Band Wings. 

Tanpa Joe, Wings masih mampu membuat kejutan. Mungkin corak muziknya akan berubah sedikit, tapi tidak mengapa. Apa yang penting, Wings tidak terkubur seperti janji Awie dalam sidang akhbar selepas mengumumkan pengunduran Joe. 

Tulisan ini  bukan juga bertujuan untuk dijadikan bahan rujukan pelajar yang nak menduduki SPM jauh lagi UPSR. Ianya Cuma sekadar memenuhkan maklumat di pembuluh sarat darah ke otak tuan/puan. Tulisan ini pun tercetus apabila teringat Arwah Sudin yang sering duduk dan ‘mengelayo’ di pasar Marudi suatu ketika dulu. Insan yang sebaya dengan aku rata-ratanya mengenali arwah tersebut. Semoga rohnya dicucuri Rahmat. ( Maaf andainya waris Arwah Sudin terbaca tulisan ini).