Translate

Tuesday, 4 October 2016

Rambut berkilat



Sukar juga untukku mentaksirkan minat remaja di zaman kini. Adakalanya aku terasa pelik. Perkara yang tidak menjadi tujuan hidup, yang sering diutamakan mereka sehingga anakku 'moddy' sepanjang hari apabila dia minta untuk dibelikan minyak rambut jenama terkini tidak aku endahkan. 


Bukan disebabkan harganya yang mahal aku tidak membelinya, tapi aku ingin membiasakan diri mereka untuk hidup ala kadar dan menfokuskan hidup ini lebih kepada perkara yang mendatangkan faedah.

Sempena Pesta Sukan Air Long Lama yang baru berlangsung tempoh hari. Ramai pengerai/peniaga datang dari luar menjual barang-barangan termasuk minyak rambut 'spesis' terkini ini. Aku buat selamba, apabila dia minta untuk belikan.

'Murah jak daddy, RM18 jak' Katanya. 


Dengan usia baru 10 tahun, aku perlu bertegas. Aku minta 3 alasan darinya, apakah kebaikan minyak rambut itu.


'Bagus duit RM18 ya, pakea Abang beli keychain sebagai kenangan, beli air tebukah, lagi baguskan'?..Balasku 

Lalu dia diam membisu dengan airmata yang berlinang. "Abang" anak aku yang tengah dari 5 beradik, sepatutnya digelar sebagai "Angah", namun sudah menjadi kebiasaan dalam panggilan keluarga, maka status 'abang' tersebut terus melekat kepadanya.

RM18.00 adalah harga minyak rambut yang paling murah dalam kategori spesis ini. Ada yang boleh mencecah RM80. Dua orang abangnya ( Along & angah ) menggunakan minyak rambut yang berharga RM25 sebotol. Mereka minta dengan emaknya.

Di Malaysia, antara pomade yang mudah didapati dan popular adalah Suavecito, Layrite, Bona Fide, Shiner Gold dan banyak lagi. Terdapat juga pomade buatan Malaysia seperti Malaya Pomade dan The Matt Pomade yang pertama berunsurkan halal dan suci.





Tegas seorang bapa, ada satu tempohnya kita perlu memberi perhatian diatas permintaannya, dalam ketegasanku, aku juga berjanji untuk membeli minyak rambut jenis berkrim tersebut.

Mengambil peluang cuti umum pada Awal Muharam di hari Isnin, isteri mengajak ke Miri membeli barang basah untuk stok kedai yang sudah habis sewaktu 2 hari temasya Pesta Sukan Air berlangsung. Sewaktu berpusing di Tamu Muhibah Miri, mencari sayur dan bahan dapur yang lain, terlihat sesuatu benda yang telah membongkarkan kenangan lalu. Aku ketawa sendiri apabila isteriku membeli benda 'legend' ini.




Budak remaja dalam era 80an dan 90an memang menggunakan minyak rambut ini. Diantaranya tacho dan Brylcream. Di banding dengan Brylcream, dua jenama yang tersebut amat di minati kerana harganya sangat berpatutan. Melainkan poket tebal sikit, baru dapat beli minyak Brylcream ini. Minyak rambut Poken dan Tancho ini berasaskan minyak sayuran, jadi tidak hairan baunya pun tidak menyenangkan. Aku menggunakan Poken ini bercampur dengan minyak kelapa. ( minyak lalak, kata orang kampungku )

Dan semakin aku ketawa besar apabila Poken ini sampai ke tangan anakku dan dia terus menolak dengan mengatakan Poken ini bukan minyak rambut tapi sejenis sabun. 

Betul jugakan, dengan gambar perempuan separuh bogel yang seakan-akan baru habis mandi. sepatutnya letakkan photo rambut yang segak berkilatkan....hehehehe..

Bagi meredakan keadaan, aku arahkan Angah berikan lebihan minyak rambut dengan Abang. Lagipun Angah ada dua botol minyak rambut spesis mahal ini dan tidak disangka, awal pagi di keesokkan harinya, kerana minyak rambut Pomade ini, membuatkan abang awal pagi mandi untuk turun sekolah tanpa perlu dibangunkan dari tempat tidur lagi.  Lama memegang sikat sambil berdiri hadapan cermin. Kuatnya kuasa 'ghaib' dari minyak rambut ini.



No comments:

Post a Comment