Translate

Tuesday, 29 July 2025

Kemarau dan Sungai Baram Sarawak

Sudah nak masuk 2 bulan hujan lebat tak menjenggah bumi Long Lama kali ini. Rasa panasnya teramat sangat. Udaranya terasa kering dan kalau hidupkan  kipas pun tidak membantu untuk meredakan suhu panas ini. Air Baram pula jauh mengering. Tenang dan jernih namun haba panasnya sampai ke dasar sungai. 

Tebingan pasir depan SK Ubong Imang

Pemandangan dari Jambatan Long Lama



Sesekali di petang hari nun di hilir Jambatan Long Lama, kelihatan sekumpulan remaja turun mandi dan bermain di bibir sungai. Berendam sepuas-puasnya melarikan diri dari amukan cuaca panas ini biarpun terpampang papan notis dari SFC mengingatkan adanya sang bedal namun arahan itu tidak dipeduli. 

Dulu, jarang buaya menonjolkan diri berhampiran dengan penempatan manusia tetapi sekarang ia sering kelihatan mungkin kerana aliran trafik sungai kali ini tidak sesibuk dulu membuatkan ia semakin berani. Dulu, bot express beroperasi 3 kali sehari bermula seawal jam 8, 10 pagi dan 2 petang. Semenjak di antara tahun 2017-2018 perkhidmatan laluannya ke Long Lama telah ditamatkan secara berperingkat.

POV dari jeti kerajaan( dekat Taman permainan)



Ditambahkan lagi kocakan gelombang kapal bandung yang banyak ditambat di tebing sungai. Sekali sekala ada juga deruan bising kapal tongkang penuh muatan kayu balak atau batu kerikil menyebabkan sang bedal takut menghampiri jeti dan penempatan manusia.

Kapal bandung ini adalah kapal yang menjual barangan runcit. Konsep kapal ini yang digunakan untuk menjadi model kapal Klinik 1Malaysia zaman YAB Perdana Menteri Dato Sri Najib Bin Razak, berfungsi untuk sesi lawatan & rawatan penduduk kampung di pinggir sungai Baram. 

Rasanya kapal bandung ini masih berkhidmat di dalam sungai Tutoh menuju ke Taman Negara Mulu. 

Jernih dan tenang tetapi suhu airnya terasa panas



Kapal tongkang pula akan ditarik oleh bot penunda dengan kuasa terjahan sekitar 750 hingga 3000 kuasa kuda. Kekuatannya itu boleh mengeluarkan bunyi yang cukup bising. Adakala tidur malam terus terjaga disebabkan bunyi bot penunda menarik kapal tongkang di tengah malam. Kalau air sungai surut seperti ketika ini, maka tersangkut juga la kapal tongkang di tengah sungai. Tersadainya pula boleh mengambil masa berminggu lamanya. Kejadian ini sering berlaku berhampiran hulu kampung Long Ikang.

Ini adalah gambar yang saya dapat dari sahabat yang bekerja dan menetap di kampung bahagian Baram.

Sungai Baram dari Long Miri

Sungai Apoh dari Long Panai

Sungai Apoh dari Long Bemang

Sungai Tinjar dari Long Jegan

Sungai Teru dari Ulu Teru

satu sudut dari kampung Long Laput keadaan sungai Baram


Aku pernah menghadapi detik cemas apabila bot express dari Marudi menuju Long Lama nak terbalik kerana terlanggar beting pasir di tengah sungai Baram. Walaupun sungai luas namun airnya tenang sepanjang kemarau. Membuatkan beting pasir di dasar sungai tidak kelihatan bahaya di permukaan sungai. Ini membuatkan pasir & kelodak tergumpul di tengah sungai disebabkan arus sungai tidak deras. 

Sebenarnya kemarau yang panjang sebegini tidak bagus juga untuk proses aliran kesinambungan hidupan sungai. Suhu air yang panas membuatkan telur ikan sungai tidak menjadi. Aku mendapat info ini dari seorang sahabat yang memang telah mengabdikan hidupnya berjodoh dengan sungai Baram. Mungkin tiada kajian saintifik untuk aku jadikan sandaran teorinya namun siapa pula aku yang ingin menidakkan ilmu pengalamannya yang sudah bertahun membelah malam bertahun menganyam sinar mentari mencari rezeki dengan menjadi nelayan biarpun dia cuma setakat belajar sampai darjah enam. 

Tiang Jambatan tidak tersentuh air Sungai Baram


Kalau terus begini cuaca untuk sebulan dua yang akan datang, ia juga amat sukar untuk saudara dan sahabat kita yang jauh di ulu sungai kerana sumber air kian mengering. Batu jeram pula kian kelihatan. Tangki simpanan air sudah lama kosong kerana ketiadaan hujan. Tiada daya kita untuk mengubahnya. Semua ini adalah Rahsia Tuhan. Namun usah juga kita berputus asa kerana kita masih bisa berdoa dan berharap agar hujan kembali datang.



Friday, 7 March 2025

Geng sapu block

(Dari penulisan di FB)


Di penghujung Ramadhan ini, otak dah tak fikir benda la. Apa yang dibuat semua tak kena, terbayang nak balik kampung saja. Itu la delima hidup anak perantau. Biarpun indah bunga menguntum di pucuknya namun dari akar jua ia bermula. Rindu kampung halaman semakin kuat bila menjelang hari raya.


Bagi diriku yang membesar dalam suasana kampung, ada beberapa nostalgia yang masih berbekas dalam memori tentang keindahan berhari raya dalam tahun 90an dulu dan tidak terlihat suasana tersebut di ketika ini sekarang.


Dulu dalam minggu Ramadhan pertama telah berkeliaran la beberapa budak kampung naik basikal termasuk aku sendiri ke hulu hilir membawa gergaji untuk memotong buluh dijadikan bedil. Panjang la leher para ibu melihat lori penuh muatan sofa melintas di halaman  mencari rumah yang membeli perabotnya dan paling tak dapat aku lupakan adalah acara menziarahi atau dalam bahasa Sarawak ‘ berjarah ’ ke rumah jiran tetangga sanak saudara sekitar kampung seminggu selepas berhari raya.


Acara ini dilakukan oleh geng Surau sahaja kerana ia  dibuat selepas solat isyak. Berjalan la beberapa jemaah menziarahi rumah jiran dan ia boleh berlarutan sehingga jam 12 tengah malam. Acara ini juga boleh berlanjutan sampai 3 malam berturut-turut lamanya. Apabila acara ini semakin dikenali maka ramai pula jiran kampung mempelawa untuk datang ke rumah, menyediakan makanan berlauk malah ada tuan rumah yang minta untuk membuat doa selamat secara kecil-kecilan dan bermula la acara ini digelar sebagai ‘Geng sapu block’.


Geng ini tak ada carta organisasi, sesiapa pun boleh jadi ketua yang penting pergi surau selepas isyak baru ‘Op sapu block’ bermula. Dihadkan Cuma selama 10 minit setiap rumah yang dikunjungi dan akan sedaya upaya untuk menziarahi rumah sebanyak mungkin. Selagi masih terpasang lampu kelip-kelipnya biarpun sudah lewat malam maka rumah itu akan jadi sasaran kunjungan.


Nafsu makan tetap ada al maklum saja sudah sebulan berpuasa di tambahkan lagi acara ini bermula selepas seminggu berhari raya jadi makenisma sistem badan sudah melalui proses menghadam lemak makanan. Ditambahkan lagi bila makan bersama kawan. Kau yang dah kenyang pun akan  berasa lapar lagi apabila melihat kawan sebelah makan dengan  berselera sambil terkumat kamit bercerita. Daging kari, ayam masak merah lemang ketupat dan kelupis adalah hidangan wajib. Kuih biskut tak perlu disebut. Bersusun cantik menghias meja.


Lama sudah aku tinggalkan kampung halaman, entah masih adakah lagi acara Sapu block itu. Kalau masih mungkin boleh kongsikan gambar setiap kali acara menziarahi ke rumah jiran tetangga sanak saudara sekampung kerana acara sebegini boleh dijadikan sebagai rekod dalam portfolio kampung tahunan atau andainya tiada lagi, rasanya boleh dihidupkan kembali acara tersebut. Selain mengeratkan hubungan kekeluargaan sekampung, secara tidak langsung ia juga membantu menghilangkan rasa sunyi selepas ahli keluarga tuan rumah balik ke bandar. 


Kenapa ia di sebut Geng Sapu block?


Kerana geng ini saja yang mampu menghabiskan kuih biskut sebalang..


Thursday, 6 March 2025

Hujan Panas simpang Marudi

Zaman kanak-kanak dulu, arwah nenek selalu berpesan, jangan main tika hujan panas membasahi bumi. Waktu itu ada hantu tinggi berjalan. Kalau kau nak main juga, terima la padahnya kerana selepas itu kepala kau akan sakit berdenyut-denyut disebabkan kau sudah dilangkah oleh Hantu tinggi sewaktu dia berjalan.

Barisan menunggu Ferry Marudi


Begitu juga apabila hujan renyai tika petang(sebelum Mahgrib), waktu itu ada hantu pendek merayau di pinggir kampung memanggil sesiapa saja yang masih memetik pucuk midin, mencari kayu api atau mencari ayam itik pulang ke reban. 


Ia mampu mengubah wajah dan suaranya menjadi orang yang dikenali mangsa. Mengajak mangsa masuk ke hutan dan terus tersesat malah ada yang hilang.

Kalau ada mangsa yang dapat diselamatkan, dia akan memberitahu bahawa ada suara yang dikenali memanggilnya untuk terus berjalan masuk ke tengah hutan. Mangsa selalunya dalam keadaan tidak sedar atau disembunyi di sebalik pokok.


Pemandangan sungai Baram Sarawak


Namun banyak-banyak spesis hantu yang aku tahu hasil dari cerita sebelum tidur sewaktu zaman kanak- kanak dulu, hantu yang ini paling aku takut iaitu Hantu Kokkler. 


Kalau aku tengok movie seram dari Jepun karektar hantu merangkak rambut panjang baju putih maka terbayang gambaran si hantu kokkler ini. 


Sebab itu apabila masuk senja sebelum azan mahgrib, kami kanak-kanak akan bergegas balik ke rumah takut terserempak dengan hantu Kokkler ini. 


Bukan takut dengan hujan panas atau hari nak menjelang gelap tapi takut kerana hantu ini saja yang suka makan lelew kanak-kanak yang belum bersunat.


Durian dan kampung halaman

 Aku dikejutkan oleh soalan anakku awal pagi tadi.


“ Apa beza alam remaja zaman 90an dengan zaman kami sekarang?”


Aku turunkan cawan kopi yg ku pegang lantas aku bertanya..


“kau pernah main gasing, main layang-layang, main guli atau tarik upih pinang tua? kau pernah main saremban, zero point? kau tahu ada 1 permainan yang di nama “Tok Harimau” walau di kampung tak ada harimau?”


Lokasi:SK Dato Sharif Hamid 
Penulis duduk(kiri)


Dia geleng kepala..


“ Bila hujan lebat pula, di waktu tu juga la kami bermain bola. Semakin kilat bersabung semakin rancak lagi permainan dan berhenti apabila hujan mula reda” Jelasku sambil imaginasiku mengingati detik indah itu. Terbayang wajah-wajah comot disebalik lumpur tanah lopak hujan.


“ Malah tin Milo pun boleh jadi roda ditarik ke hulu hilir….Cuba sekarang ni kau tarik Tin Milo pusing kampung?”


Dia geleng kepala lagi..


“ Kau tahu kami pernah kahwin olok-olok sambil bermain ‘dango’ siap ada watak ibu dan anak dengan dapur sekali. Memancing ikan sepat dan puyu di tengah panas namun yang paling seronok apabila mata pancing dari joran hutan di makan ikan Toman batik”

Lokasi: Masjid Besar Marudi
Penulis (Solo Nasjid baju hijau gelap)


“ Di tahun 90an dulu, kami tak takut mandi sungai sebab itu la sumber air. Tak pernah juga dengar ada kes orang dibaham buaya. Musim kemarau air sungai nampak jernih. Jelas anak ikan baong bermain di bibir sungai malah nampak ikan seluang berkocak-kocak berjemaah makan tahi yang hanyut. Kau pernah berak di sungai?”


Dia mengeleng kepala lagi..


“Semua pokok buah pun Abah dah panjat”


“Pokok durian?” balasnya kehairanan.


“Ya…pokok durian pun abah dah panjat” Sambil bibirku mengukir senyuman kerana teringat 1 kisah di pertengahan 90an dulu.


Pernah dulu sewaktu bermain bola di tepi jalan kami sering melihat sepasang kekasih membonceng motosikal menghilir ke arah dusun durian setiap hari, kalau tak pagi mesti ada di petang hari. Rasa ingin tahu membuatkan kami mengatur 1 rancangan.


Suatu hari apabila mereka melintasi kami bermain maka kami berhenti sekejap dan terus mengayuh basikal mengejar dari jauh. 


Di situ la pertama kali aku memanjat pokok durian semata-mata ingin mengintai apa yang “best” sangat ke dusun durian dan rupa-rupanya mereka berdua membuat pertarungan aksi asmaradana di beranda pondok usang hujung kampung dan aku juga tertengok kawanku di pokok sebelah sedang memeluk dahan durian sambil menyeluk tangannya ke dalam seluar. 


“ Kenapa Abah panjat pokok durian?” Soalan anakku membuat lamunanku tadi terpadam.


Aku tersenyum dan membalas.


Sunday, 2 March 2025

Pekan Lapok 2021

 (Penulisan dari FB)


Lama sudah tidak menghangatkan enjin kereta. Disebabkan PKP ini, kereta cuma berperam duduk diam. Pagi tadi setelah sekian lama tidak keluar aku sengaja ke pekan Lapok sambil menukar Tong Gas. Keistimewaan Pekan Lapok ini, barangan dapurnya ada yang murah, bayangkan harga satu Tong gas di Lapok RM26.60 jauh murah jika di bandingkan di Pekan Long Lama. Selain dapat menghangatkan enjin kereta dan menukar tong gas dapat juga membeli beberapa menu exsotik pelbagai pilihan di Pasar Tamu Pekan Lapok. Sempat juga membeli bunga kantan untuk campuran masak ayam pansuh petang ini.



Cuma satu saja masalah di Pekan Lapok ini. Keadaan jalannya kotor. Segala lumpur dan selut ini di bawa oleh kenderaan dari kampung dan beberapa kem ladang dan kem balak yang berhampiran. Lendir lumpur yang di tayar kereta tersebut telah mengotorkan jalan serta tempat ‘parking’. Dalam kedai pun ada bekas lumpur yang dibawa pelanggan.

Komuniti di sini perlu membuat inisiatif tersendiri. Tidak dapat diharapkan 100% pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini. Mungkin pihak komuniti disini perlu mewujudkan ‘Car Wash Comunity’ di laluan utama dan dikelolakan sepenuhnya oleh mereka sendiri dengan mengenakan bayaran RM5 satu kereta. Mewajibkan setiap kenderaan yang terlalu kotor sahaja untuk di cuci. Ingat!!!!, yang terlalu kotor sahaja.


Ianya cuma memancutkan air di kawasan tayar dan bawah kenderaan yang terlalu kotor sahaja. Tak perlu gosok dan ‘fogging Namo’. Pemandu tak perlu keluar pun, sekadar naik rack dan pekerja ‘menembak air’ bawah kenderaan dalam masa 5 minit siap.


Hasil wang Kutipan boleh digunakan untuk membayar gaji pekerja dan pengurusan ‘Car wash comunity’. Andai ada lebihan boleh juga digunakan untuk mencantikkan landskap Pekan Lapok ini. Boleh buat Pintu gerbang, beli pasu besar dan bunga yang cantik-cantik.

Persoalannya, apakah komuniti setempat mempunyai kuasa untuk membuat arahan sebegini?

Nak masuk Bintulu pun perlu Swab Test pok!, malah sekarang ini Arahan dari JKKK kampung di ulu pun tidak membenarkan orang luar masuk kampung. Kalau nak masuk juga terpaksa didenda dengan jumlah sebanyak RM2000.00 dan jumlah itu berlainan nilai pula mengikut arahan setiap kampung.



Kalau arahan sebegini pun boleh dibuat untuk keselamatan dan keselesaan bersama, rasanya tidak salah juga komuniti Pekan Lapok menggunakan formula ini.

RELA Long Lama

 Ini adalah benteng yang paling hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Telang Usan Baram Sarawak. Pasukan RELA ini, amat ku kagumi. Mereka bukan sekadar mencari rezeki dengan jawatan yang diberi tetapi kerana minat dan rasa tanggungjawab terhadap keselamatan komuniti setempat, membuatkan segala tugasan dipikul dengan penuh amanah sekali.


Pasukan yang menjaga PPV Telang Usan ini kesemuanya aku kenali. Dari orang biasa kini menjadi insan yang luarbiasa kerana beban kerja yang dipukul tanpa mengira tempat, masa dan keadaan demi maruah baju celoreng khas ini. Aku tertarik dengan slogankata Pasukan RELA.

“ DARI RAKYAT, BERSAMA RAKYAT, UNTUK RAKYAT”


Disebabkan pandemik Covid-19 melanda, baru kita sedari keberkesanan kewujudan pasukan RELA. Mereka lebih dekat dengan komuniti setempat dan mereka juga mudah “membumi” dengan rakyat jelata. Contoh yang paling mudah, bila kawasan sesak dengan bilangan orang, mereka dengan mudah memberi penjelasan dan arahan kerana mampu berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka sendiri dan pastinya penjelasan lebih mudah difahami. Bukan senang hendak berhadapan dengan pelbagai karenah orang. Perlu ada tahap kesabaran yang tinggi dan tuturkata yang berlapis.


Mungkin segelintir orang memandang mereka seperti cendawan tumbuh selepas hujan atau dalam bahasa pasarnya, kalau ada aktiviti baru ada pasukan RELA. Tapi dalam kes pandemik yang melanda di akhir-akhir ini, kehadiran mereka adalah sama penting dengan jentera barisan hadapan, hakikatnya sumbangan yang pasukan RELA hulurkan itu sesungguhnya memudahkan kerja dan melicinkan tentatif setiap program, SJR, kawalan perimeter PPV malah di kawasan kampung yang terkena arahan ‘Lockdown’. Ini la pasukan yang paling awal dilapangan dan mereka juga yang paling akhir di arah pulang.


Ketika ini, tugasan mereka sekadar bermusim, kalau ada keperluan baru mereka menjalankan tugas tetapi tidak mustahil ianya akan ditambahbaik di masa hadapan, punyai jawatan yang tetap dan berpencen malah sekarang ini pun aku dapati untuk pasukan RELA kawasan Long Lama saja, mereka sudah bertugas dari bulan Mei tahun lepas hingga kini..No red calendar bro!!!..kerja, kerja dan terus kerja.

Ayuh anggota RELA, walau di mana pun dikau berada, tak kira lelaki atau wanita cekalkan hatimu, anda adalah Pasukan yang terdiri daripada rakyat yang menabur khidmat bakti secara sukarela. Kini tugasan yang diberi semakin berisiko kerana berdepan dengan ‘musuh’ yang tidak nampak. Selain menjadi benteng rakyat, pastikan anda sentiasa menjaga keselamatan diri.


Aku amat bertuah kerna dapat bekerjasama dengan Pasukan ini. Ketika orang ramai kekal bersama keluarga di rumah, ada insan hebat yang sanggup berkorban masa, keringat tenaga serta nyawa. Anda adalah wira Negara. Pengorbanan besar anda ini sewajarnya harus dihargai oleh rakyat Malaysia.

Long Lama banjir 2021

Memang tak dijangka, dalam waktu 6 bulan saja 3 kali banjir berlaku di Long Lama. Jarak masanya cuma 2 bulan, iaitu bulan Mei, Julai dan kini Bulan Sept. Ianya sungguh mencabar fizikal dan minda. Belum habis keletihan membersih rumah disebabkan banjir yang lepas kini bertungkus lumus pula menyelamat barang keperluan yang baru disusun demi untuk mengelakkan banjir kali ke-3.


Uniknya air pasang di Long Lama ini tidak lama. Seharian paras air mendadak naik, sebegitu cepat juga ianya surut. Cuma sedihnya sekarang ini Pekan Marudi (terletak di hilir) menjadi mangsa seterusnya. Maklum saja Sungai Baram ini mencecah 400km panjang bermula dari Dataran Tinggi Kelabit, sebuah kawasan aliran sungai yang dibatasi oleh Banjaran Iran di Timur Kalimantan, Indonesia yang sama perbatasan semulajadi dalam sempadan Negeri Sarawak dan berpenghujung di Laut China selatan yang mana pintu mulutnya keluar dari Kuala Baram. Pekan Marudi pula berada ditengah laluan Sungai Baram ini. Ditambah lagi pertembungan air pasang besar di antara Sungai Baram, Tutoh Apoh dan Tinjar membuatkan Marudi sekarang dalam keadaan sukar.

Sekarang ini apabila mendengar khabar kawasan hulu hujan lebat berpanjangan dan paras air mula naik di kampung-kampung pesisir sungai, maka mula rasa resah di hati khuatir air melimpah. Kesian Jiran dan sahabat dalam komuniti Long Lama yang berumah di kawasan rendah. Berbekalkan pengalaman yang lepas, ada sebahagiannya sudah menghantar motor dan kereta ke kawasan tinggi, segala peralatan elektrik dan barang-barang yang penting juga sudah diangkat di tempat yang tinggi. Apa yang mampu dibuat lagi melainkan sekadar redha sahaja melihat air mula memasuki rumah.

Pekan Long Lama

Bila telah berlaku kejadian sehingga 3 kali banjir dalam masa yang singkat, mula kedengaran cerita pelik didengari. Bermacam-macam teori diluahkan berpandu rasa geram dan terkejut. Aku cuma mendengar sambil tersenyum, tiada hujah untukku huraikan kerana bagiku apabila Bencana Alam sudah bersuara. Tiada sebarang daya mampu melawannya.

Teori pokok-pokok habis ditebang hingga menyebabkan tiada lagi tadahan hujan. Lumpur dan selut hanyut tenggelam telah membuatkan dasar sungai menjadi cetak dan apabila paras air naik ianya mudah untuk membanjiri kawasan yang rendah. Yang paling 'power', dia boleh bawa cerita hujan di Greenland. Kerana hujan tersebut telah mencairkan ketulan ais yang menyebabkan paras air laut meningkat. Ini menyukarkan air dari sungai mengalir ke laut. Ianya terus bertakung dan menyebabkan banjir.





Aku angkat tangan tanda menyerah kerana fenomena sebegini diluar batasan kemampuanku. Apa yang aku mahu sekarang, semoga ada pihak yang bertanggungjawab mengambil berat dengan mangsa banjir ini. Bantuan mangsa banjir perlu disegerakan. Bagi penduduk yang bekerja sendiri, kejadian banjir ini telah menjejaskan mata pencarian mereka. Memandangkan penghantaran bantuan bakul makanan ini seringkali lambat sampai ada baiknya dikreditkan saja wang tersebut ke dalam akaun bank mangsa banjir ini.

Sekurang-kurangnya kerajaan dapat juga menjimatkan kos penghantaran bantuan bakul makanan. Bukan tidak bersyukur tapi proses bantuan ini boleh ditambahbaik. Satu lagi, alang-alang dah minta, mohon pula Yang Berhormat di setiap kawasan yang terlibat banjir untuk berbincang dengan Ketua Pengarah JBALB. Tolong beri diskaun 50% bekalan air untuk bulan ini kerana rata-rata rumah mangsa banjir terpaksa mencuci menggunakan paip air.
‘ Berkongsi masalah mampu meringankan beban’

Teringat kata kawanku waktu Sekolah dulu. Dia membawa setengah botol air mineral, aku pula dah mengunyah separuh mee maggi kari ‘mantak’. Siapa yang pernah membuat adegan ini, pasti mencari air untuk membasah lidah.



Photo banjir yang di kongsi rakan dalam FB kebanyakan bermain air. Wajah tersenyum namun hakikatnya badan terasa letih. Sekurang- kurangnya untuk kali ini, aku bersyukur, belum ada lagi kejadian yang meragut nyawa. Bersama kita berdoa semoga hati kita sentiasa tabah dalam menempuh Ujian ini. Stay safe everyone, Love you from Long Lama to the moon and back.