Translate

Saturday, 25 July 2020

Hagia Sophia & Bukit Melaka

Apabila heboh pasal pertukaran nama bukit St Paul ke Bukit Melaka yang dibantah oleh Parti MCA, aku hairan sejenak. Kenapa terlalu dilayan sangat dengan suara-suara begitu. Orang kita terlalu berlembut. Hakikatnya nama Bukit Melaka adalah nama pertama yang diguna terlebih dahulu, adapun nama bukit itu ditukar ke St Paul sewaktu zaman penjajah.


Seperti Hagia Sophia di Turki, pedulikan suara-suara langau yang bising. Persetankan kelantangan suara mereka dijalanan. Hakikatnya bukan pun menguntungkan mereka memperjuangkan untuk mengekalkan nama St Paul itu. Mereka cuma memanaskan isu agar dunia melihat mereka sebagai mangsa ketidakadilan. Masuk akalkah disebabkan bertukar nama, eco pelancongan Melaka akan mengalami kesurutan.

Ini akan terus berlaku andai Pusat Berkuasa Tempatan( PBT) didominasi oleh golongan yang terlalu bersikap toleransi. Apabila dibangkitkan sesuatu isu, kita terleka dengan perbincangan yang membuangkan masa dan akhirnya meletihkan akal dengan perkara yang remeh.

Monday, 20 July 2020

Bario di hati

Blog aku ini semakin 'slow' pengerakkannya. Kesibukkan kerja dengan masalah hidupan seharian membuatkan aku tiada masa untuk menulis. Sekarang dunia dikejutkan oleh virus COVID-19 yang mampu membunuh nyawa. Malaysia pula telah membuat perintah kawalan pengerakkan 14 hari dari 18-31 March 2020 seluruh negara. Segala aktiviti yang membabitkan kumpulan yang ramai automatik ditangguh. Kedai-kedai pula diarah tutup kecuali kedai yang dalam 'list' yang dibenarkan itupun mempunyai kawalan masa untuk beroperasi.  Tujuan kawalan ini agar 'rantai jangkitan' dapat diputuskan. Namun ada juga netizen yang masih belum faham ke-serius-an jangkitan ini, malah ada yang masih sambil lewa dengan arahan kerajaan ini. Dapat ku bayangkan kalau perintah ini dipanjangkan, sunyi la hari raya tahun 2020 nanti.

Team menawan puncak Bukit Doa ( di belakang )

Di Pintu Gerbang Library Bario

Mr. Marcus menceritakan beberapa potret di Homestay Hendry


Baru saja balik bercuti dari Bario Highlands of Sarawak. Tempat yang inginku lawati dari dulu lagi dan Syukur kini ianya menjadi kenyataan. Penerbangan mengambil masa 40 minit dari Marudi ke Airport Bario. Waktu ini pun sudah mula merebaknya virus tersebut di China, Italy, Spanyol dan negara lain, namun belum diistiharkan perintah kawalan pengerakkan oleh Kerajaan Malaysia.

Suasana malam di Rumah Panjang kaum Kelabit

Dapur kayu di ruang kaki lima/koridor yang terbuka.

Kilang membuat Garam Bario

Apa yang menarik di Bario? Secara peribadi, aku cuma tertarik dengan cuaca sejuknya. Dengan sejuknya air paip pabila hendak mandi dan berwuduk. Memang pengalaman yang sungguh unik. Setakat jelapang padi dan flora serta faunanya, bagiku ianya sesuatu yang biasa ku lihat lagipun aku ini memang anak kampung.
Pekan Bario

Homestay tempat kami tinggal. Bersih dan mesra pelanggan.


Banyak aktiviti telah diatur dan ianya amat berbaloi sepanjang 2 malam di sana. Kalau di Brunei, kedai ditutup pada hari Jumaat untuk menghormati Solat Jumaat berlainan pula di Bario, kedainya ditutup pada hari Ahad bagi memberi peluang untuk komunitinya sembahyang di Gereja dan semuanya dari aliran BEM ataupun  SIB ( Sidang Injil Borneo ) saja.

Sepanjang berada di sana, aku dapati kebanyakkan penduduk tempatan mahir berbahasa English termasuk warga tuanya. Mungkin ini juga diantara penyebab pelancong dari luar negara suka ke Bario kerana tiada masalah dari segi komunikasi.

Kelabit sawah padi


Danny dan kapal terbang, tempat yang memang rare di Bario

Kalau ada lapangan, rezeki dan kesihatan, akan ku jejak lagi kaki ke tanah tinggi ini. Bukan untuk mengejar cuaca sejuknya, tapi membawa jiwa yang gundah gulana agar kembali tenteram tika melihat indahnya ciptaanNya.




kali ini sentuhan yang berat

Baru berkesempatan menonton filem '12 years a Slave'. Memang menyentuh hati. Kisah orang kulit hitam ( negro) menjadi hamba abdi orang kulit putih.  Menariknya cerita ini adalah hero tersebut sebenarnya orang yang bebas/Merdeka tetapi suatu malam dia dimabukkan dan keesokkannya dia dijual sebagai hamba abdi. Aku malas nak cerita perjalanan kisah dalam filem tersebut, tapi isu-isu penting banyak disentuh dalam penceritaan filem ini. Kisah kerakusan wang, kuasa, nafsu, pengkhianatan, percaya diri malah berjuang untuk hidup memang ditekan dalam kisah ini.





Tapi pengajaran yang paling bermakna adalah isu 'kebebasan hidup' untuk setiap  insan paling penting. Dengan adanya kebebasan, selagi kuat berusaha pasti segala keinginan dihati tiada sesiapa pun dapat menghalang.

Kita mungkin tidak sependapat dan boleh juga dikritik  tetapi apabila menjadi hamba abdi anda tidak layak bercakap jauh lagi ingin berkongsi pendapat. Anjing pun tidak diludah, ditendang tanpa sebab, disebat tanpa belas kasihan malah dijadikan bahan melepas hawa nafsu.

Benar juga kata orang, antara miskin papa kedana dan menjadi hamba abdi. Baik memilih menjadi miskin kerana menjadi miskin kita masih mampu membuat pilihan hidup. Perbezaannya amat ketara. Walaupun miskin, kita masih mampu berusaha mengubah hidup menjadi lebih baik.

Melihat filem-filem berkualiti begini, mampu membuatkan kita lebih kritis bila berfikir. Kita juga diajar untuk melihat dari pelbagai sudut pandang yang berbeza. Membuatkan hero dalam filem ini berjaya mengharungi dugaan tersebut adalah dia mempunyai ilmu serta ketahanan fizikal mental dalam menghadapi ujian. Memang benar, ILMU amat penting dalam kehidupan harian. Tanpa kemahiran menulis, pasti  Solomon Northup tidak dapat membebaskan diri dari terus menjadi hamba abdi.

Teringat semasa Pra-Pandemik CO19 melanda negara, tiba-tiba kita dikejutkan dengan PKP(Perintah kawalan Pengerakan), ianya sungguh janggal malah ada yang tidak dapat menerima perintah tersebut. Dengan pengerakan yang terbatas membuatkan ada yang berani melanggar arahan dan akhirnya dihukum atas kesilapan melanggar PKP.

Bayangkan dari kebiasaan hidup kita yang sentiasa bebas tiba-tiba dihalang untuk membuat perkara yang kita suka, pasti ianya mengundang kegusaran di hati. Namun kita akhirnya faham bahawa PKP ini sebenarnya salah satu cara untuk menyelamatkan nyawa kita dari Maha bahaya jangkita CO19 itu. Mereka yang didenda bukan disebabkan setakat melanggar PKP, tapi mengelakkan mereka lebih bergerak bebas dan akhirnya menjadi pembawa CO19 menyebar kepada ahli keluarga dan masyarakat. Kalau nak bergerak juga tapi mati sorang-sorang, lantak la..

Tapi isunya disini adalah, apabila kebebasan kita diragut, tidak sewenang-wenangnya kita akan menerima cara kehidupan yang dibelenggu sebegini. Terpaksa mengubah cara hidup dan cuba bertahan untuk kelangsungan hidup. Itu baru diberi PKP, cuba bayangkan kita dijadikan hamba abdi. Sudah tentu tiada sinar harapan menanti. Sebab itu watak Patsey seorang wanita muda negro dalam filem tersebut merayu kepada Solomon untuk mencabut nyawanya dengan cara memotong dan merendam di dalam paya mayatnya agar orang tidak tahu kehilangannya kerana tidak tahan dengan tindakan Tuan mereka yang merogol, menghina dan menyeksanya.

Hargai nilai kebebasan ini, biar pun hidup kita susah, miskin atau di timpa masalah berat sekali pun, kita mesti ingat bahawa kita masih punyai kuasa memilih dalam kehidupan kita sendiri dibanding dengan hamba abdi yang seluruh hidupnya di abdikan untuk Tuannya. Tanam dalam-dalam ayat ini dalam hati:

' Sebagaimana pun kesusahan yang dihadapimu, pasti ada cara untuk menyelesaikannya'