Translate

Monday, 10 December 2018

Raja buah Long Lama


Mental block dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Beku tanpa idea berbunga umpama  disiram dengan asid. Hilang dan terus terhakis tanpa kesan dan bau. Yang tinggal Cuma semangat ingin menulis namun terhalang oleh kekontangan idea.


Sindrom ini berlaku apabila Si penulis telah dirempuh oleh terjahan bebanan fikiran dan perasaan yang terlalu sukar untuk diungkapkan. Fikiran mereka lebih focus untuk menyelesaikan masalah itu dulu sehingga ianya berlarutan beberapa bulan hatta boleh mencecah ke tahun dan akhirnya tiada tulisan-tulisan baru.


Aku dalam kelompok ini, terlalu banyak masalah yang berat menimpa hingga tulisanku banyak yang tersangkut. Bermula saat duduk depan komputer, mencurahnya idea indah bukan kepalang namun susunan bahasa merencatkan tulisan. Adakalanya, semangat ingin menulis membuak-buak namun idea pula hilang tanpa khabar berita.


Pagi tadi, sambil duduk minum kopi dengan kawan di Restaurant, aku terpandang sesuatu perkara yang aku rasa perlu aku ceritakan. Posisi tempat aku duduk yang menghadap jalanraya membuatkan aku melihat semua lanskap apa yang berlaku di seberang jalan iaitu lokasi tempat menjual sayur. Namun kali ini, buah durian bermaharajalela, pelbagai kelompok manusia yang tengah tawar menawar harga. Wajah yang tidak aku kenali. Apa yang pasti, mereka ini pemborong dari Miri, Brunei dan sejauh Bandar Bintulu.

Pemborong dari Miri
10 tahun lepas, apabila datangnya musim durian, harganya sungguh murah. Boleh mencecah sehingga Rm0.50 sebiji. Aku pernah didatangi hingga ke rumah oleh pengutip durian ini semata-mata untuk menjual buah durian mereka. Adakalanya mereka menjual secara pukal, dengan harga RM50 satu perahu yang dipenuhi buah durian (50-80 biji) dengan syarat, kita sendiri menunggah dan mengangkat sendiri buah durian tersebut.

 
Pemandangan setiap pagi di tebingan apabila musim durian

Namun kini, biarpun jumlah durian semakin banyak, harganya tetap tidak turun. Pemborong-pemborong ini sanggup membeli dengan harga mahal kerana pasaran buah dari hasil keluaran Long Lama ini amat mudah dijual. Mereka datang seawal jam 7 pagi ke Long Lama. Perahu dari ulu akan hadir sekitar jam 8.30 hingga 2 petang. Bayangkan dalam tempoh beberapa jam tersebut, beratus biji durian telah keluar dari Long Lama malah jumlahnya boleh mencecah ribuan biji buah durian untuk satu hari. 

Kapasiti sebegini boleh mencecah 300 biji
Semua ini disebabkan hasil pembangunan yang telah dibuat oleh Pihak kerajaan. Dengan kuasa Viral yang diwar-warkan dalam FB dan whatsap tentang lambakkan buah durian di Long Lama, kewujudan khemah sebagai Pusat pengumpulan buah durian di Long Lama bersebelahan Waterfront dan yang paling penting, keselesaan infrastuktur Jalanraya yang semakin bagus ( Miri-Long Lama ) ianya memudahkan pengeluaran durian dari Long Lama. Ini adalah penyebab utama harga buah durian Long Lama semakin mahal. Dari satu sudut, ianya bagus, kerana merancakkan ekonomi komuniti. Namun dari satu sudut, insan seperti aku yang mencintai ketenteraman dan perkara yang asli. Aku lebih suka kepada suasana yang dulu. Dengan cara penjual durian datang berjual buah mereka dari rumah ke rumah malah dengan pengutip yang lain pula berteriak, 

“ Buah! Buah! ...“Dari perahu mereka di tebingan sungai.

Keinginan untuk melariskan buah duriannya ini sebenarnya mewujudkan sesuatu yang aku panggilkan sebagai hubungan komunikasi secara tidak terancang. Aku mengenali wajahnya, tanpa mengetahui namanya namun aku rasa selesa dengannya. Cara komunikasi hubungan itu kini semakin hilang. Sebab itu, apabila kita tinggal di sekitar perumahan bandar, pemintaan untuk berkomunikasi seperti itu tidak ada. Tiada perkara yang membuatkan kita terpaksa untuk beramah mesra dengan jiran-jiran sebelah rumah kerana disebabkan ketiadaan kepentingan berbuat demikian.