Translate

Tuesday, 16 February 2016

Sudah hilang sengatnya


Biarpun segelas Nescafe Peng 'kaw' telah membasah anak tekak, namun rasa mengantuk ini 'kaw' serta tebal juga. Umpama di kelopak kulit mata ini ada 10 ekor gajah Afrika bergayut. Namun apabila terbaca di dada akhbar berkenaan politik di Sarawak khususnya yang berlaku di Marudi, fikiran nakalku teringat kata-kata YB Dato Syvester Entri semasa beliau berucap di Majlis Perasmian Masjid Besar Marudi pada 25 Mac 2011 yang di Rasmikan oleh Mantan Yang Amat Berhormat Pehin Sri Abdul Taib Mahmud , ucapannya yang lebih banyak memburukkan orang lain. ( calon parti pembangkang ) Sedangkan beliau ini adalah seorang yang mualaf,...Baik la..dia mualaf, namun asas peraturan di dalam tempat ibadat, tidak kira anda yang baru bersekolah rendah apatah lagi lepasan Ijazah, amat mengetahui hukum santun berkata-kata dan perbuatan dalam semua tempat Ibadat.


Masjid Besar Marudi


Semakin dalam menyelami lautan fikiran Nakalku ini, teringat kempen 'Dato' ini di Perkarangan Balai Raya Kampung selepas Solat Isyak.  aku sempat menghadirkan diri dalam kempen beliau di kampung kelahiranku itu, kerana waktu ini pada cuti Hari Raya, di Majlis Ramah Mesra Aidilfitri.

Dengan cara memburukkan peribadi calon lawan dibantu dengan risalah 'lucah' Dato Sri Anwar Ibrahim yang diedarkan oleh satu-satunya badan NGO yang aku sangkakan tidak menyebelahi politik, tapi sangkaanku meleset setelah melihat ketua cawangannya sendiri menjadi "kepala daun" mengedar Risalah lucah tersebut. Jelas benar, sifat perjuangan NGO tersebut dapat di bolak-balikkan, dijual beli dan yang semakin menelanjangkan perjuangan mereka ini adalah kelemahan ahli jawatankuasa tertinggi mereka yang layu pemikiran akalnya dalam membezakan perjuangan Persatuan mereka dengan demam politik tanahair. Rata-rata yang hadir ke majlis kempen tersebut adalah orang tua dan wanita termasuk ibu-ibu yang membawa anak kecil yang malas hendak masak di rumah. Dah dijemput untuk makan 'free' di Balai Raya, ambil kesempatan untuk 'relax', makan sambil berhibur. Namun melihat gambar Pak nuar separa bogel dalam risalah ini, pasti nafsu makan itu terbantut dibuatnya.

Aku BUKAN peminat Dato Sri Anwar Ibrahim, aku lebih suka "Dato" berdiri dan berucap membentangkan kertaskerja idea yang bernas dan buah fikiran yang mendatangkan kebaikan dalam memajukan ekonomi dan kemakmuran, mementingkan soal pendidikan dan bersama membasmi gejala sosial di kawasan jagaannya.

Cara yang beliau gunakan ini sungguh tidak matang, apabila kempen politik yang memburukan peribadi calon parti dari pihak lawan, maka dapat diandaikan bahawa pola pemikirannya sungguh tidak dapat memajukan kawasan yang dijaganya. Dia sibuk dengan kerja memburukan nama orang lain. Orang yang sebegini, apabila ditegur atau di beri nasihat, pasti akan melenting dan berdendam kerana dia cuma nampak kebaikan ada pada dirinya sahaja. Orang lain dianggap sebagai manusia yang tidak berguna malah sampah.

Maka itu yang terjadi, Apabila KARMA datang menjengah. Calon yang juga mempunyai suara yang kuat dari akar umbi kini mengetuk ubun-ubun kepala 'Dato'. Dengan cara yang sama, memainkan sentimen memburuk cara kepimpinan dan peribadi. Belum masanya aku ingin mengulas berkenaan calon baru tersebut. 




Mungkin kelebihan kepada 'Dato' ini, adalah beliau seorang Islam dan tidak dinafikan sumbangan beliau kepada penduduk Islam dalam jajahannya amat besar juga.

Politik bukan semuanya buruk. Berpolitik untuk menegakkan kebenaran serta berpolitik dengan disiplin yang menekankan soal amanah dan keadilan adalah tuntutan. Kita perlukan orang politik yang melaksanakan tanggungjawab kepimpinan sebegitu. Namun jika politik itu adalah kisah ketamakan dan kerakusan seperti yang sering kita dengar, ia sebenarnya adalah kisah insan-insan yang hilang bahagia, berpenyakit jiwa dan gila kuasa.


No comments:

Post a Comment