Balik dari pejabat, aku terus beriadah dengan cara jogging bersama anak daraku. Ia lebih kepada berlari anak saja. Tak laju tak juga perlahan. Sekadar ingin mengeluarkan peluh dan memaksa jantung berdenyut laju agar proses pengepaman darah berjalan lancar dalam pembuluhnya. Ia perlu bekerja kerana kalau kita duduk saja jantung pula menjadi lemah. Ia bagaikan satu latihan untuk jantung dan paru- paru juga. Sebab itu, ada orang walaupun masih muda tetapi termengah- mengah apabila menaiki tangga sambil mengurut dada.
Berjogging di bahu jalan yang bertaraf jalan kampung ini memang membahaya. Cuma di sini tak banyak kenderaan lagipun itu saja tempat yang paling sesuai membuat aktiviti sebegini. Tapi istimewanya petang tadi kerana tiba- tiba aku tertarik dengan sebuah lori sawit yang penuh dengan muatannya. Aku berhenti jogging sekejap sambil memerhati. Aku dapati ada 2 orang duduk dalam lori dan 6 orang pula duduk di atas buah sawit. Lori yang bergerak perlahan dalam keadaan uzur itu namun masih mampu membawa muatan melebihi dari kapasiti kemampuannya. Aku amati wajah-wajah yang duduk di atas buah sawit namun seorang pun tidak ku kenali. Rasanya mereka pekerja dari Indonesia berdasarkan kepada raut wajah. Tak seorang pun tersenyum. Baju mereka habis basah lecur sambil tangan berpaut di besi pagar lori. Muka mereka seumpama hitam kehangusan tanda mereka seharian bekerja berpanas dan mata mereka pula semua terarah ke jalanraya mungkin teramat letih tak berdaya lagi untuk menoleh kiri dan kanan.
Lori yang bergerak perlahan itu dengan meninggalkan kepulan asap hitam yang tebal kini kian menghilang dari pandanganku namun telah memberi bekas dalam fikiranku. Bukan disebabkan muatannya berlebihan bukan juga disebabkan mereka tidak membalas senyumanku. Tetapi aku terkesima dengan keadaan mereka yang dalam keletihan masih juga memaksa diri bekerja membanting tulang memerah keringat di lewat petang hari sebegini.
Betapa bersyukurnya hidup ini apabila dianugerahkan kesihatan tubuh yang baik serta ruang kerja yang tidak memerlukan kita berhempas pulas, mencarik letih bersulam lesu demi mencari sesuap nasi putih untuk mengalas perut. Tidak dapat aku bayangkan kalau aku pula yang duduk di antara mereka di atas lori sawit tadi. Melalui hari- hari bersama mereka. Balik ke rumah pastinya hari sudah gelap, tak sempat bermanja dengan anak daraku. Setiap malam pastinya meminta isteri tolong urutkan badan yang lenguh disebabkan seharian memikul tandan sawit. Hakikat yang tak boleh lari dalam alam kehidupan sebegini. Menjadi rutin menjadi lali dan akhirnya sakit letih lesu basah lecur baju bermandikan peluh itu cuma sekadar mainan demi mencari rezeki yang halal.
Aku teruskan langkah namun hatiku terus memikirkan situasi tadi. Melangkah dan teruskan melangkah akhirnya aku menyimpulkan sesuatu. Iaitu saat ini aku memaksa diri berjogging sekadar bertujuan untuk mengeluarkan peluh agar tubuh sihat manakala mereka pula tadi terpaksa bekerja separuh nyawa bermandi peluh lecur demi mengalas perut sendiri, anak serta isteri. Jauh sungguh halatuju niat mengeluarkan peluh antara mereka dan aku.
Lamunan ku terhenti apabila suara anakku memanggil. Tanpaku sedar dia di tinggal jauh di belakang. Dia memanggil lagi dengan nada marah. Berlari laju mendekatiku dengan muka merah dan mencuka. Aku tahu dia marah melintasiku dengan tercungap- cungap terus masuk ke dalam kereta menutup dengan menghempas kuat pintunya. Dari ruang jendela kereta aku amati dia terus meneguk air kotak bekalannya tadi. Nasib la ada air untuk memadam api kehausan dan amarahnya serta nasib juga umurnya 4 tahun lebih andai dah berumur 24 tahun pasti dia akan berkata:
“ Semua laki tok sama jak, kedak SoL!!!!!!!”