Semenjak kebelakangan ini, jarang aku menjengok lapangan wadah ini kerana urusan duniaku kini semakin rancak. Sekarang ini aku tengah mengusahakan sebidang tanah bekas peninggalan Arwah Bapaku di kampung kelahirannya Seputi Tinjar Baram. Ramai saudaraku mengalakkan aku menanam kelapa sawit memandangkan harga sekarang ini mencecah Rm950.00 setan. Tetapi apabila difikirkan kos penjagaan dan pemeliharaannya yang mahal, aku berubah fikiran. Lagipun masa aku amat terhad sekali. Jadi aku telah mengusahakannya menjadi Dusun buah. Banyak juga anak benih buah telah ku beli dan ada juga aku tanam terus melalui bijinya. Durian dan rambutan paling banyakku tanam dan anggaran pokok yang dapat ditanam di tanah tersebut dalam lingkungan 100 pohon buah kata saudaraku.
Lokasi tanah ini pula di tepi jalan besar, senang untuk laluan keluar masuk. Cuma walaupun di atas bukit tetapi capaian komunikasinya amat kurang jauh lagi sambungan internet. Banyak juga menara telekomunikasi sekarang ini berdiri gah terutama disekitar Pekan Lapok ini dan amnya di Baram ini. Apa yang telah disampaikan oleh Abang Joe ( KM Sarawak ) memang benar.
Pada 2017, Sacofa Sdn Bhd (SACOFA) berhasrat merealisasikan pembinaan 5,000 menara telekomunikasi di Sarawak dalam tempoh lima tahun sehingga 2022. Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM1 bilion bagi tujuan tersebut termasuk menghantar liputan jalur lebar yang lancar melalui prasarana fiber optik dan pengkomputeran cloud. Pada 2017 juga, SKMM sendiri pernah memberi jaminan menyediakan dana yang sama RM1 bilion bagi melaksanakan menara telekomunikasi di Sarawak. Merujuk kepada cadangan awal SACOFA, Kerajaan Negeri pada 2018 bertindak segera mendirikan 600 menara telekomunikasi di seluruh Sarawak demi merealisasikan era digitalisasi ini.
Malah tahun ini (2021) juga Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata Surat kerja bagi pembinaan lebih 600 menara telekomunikasi baharu di Sarawak yang akan menelan belanja lebih daripada RM1 bilion akan dikeluarkan pada bulan ini. Beliau berkata tiga kontraktor telah dikenal pasti menerusi tender terbuka dan pihak berkenaan akan memulakan kerja-kerja pembinaan dalam masa terdekat.
Bukan sikit 5000 Tiang Menara Telekomunikasi tu, Kalau dibuka satu persatu setiap besi tiang tersebut dan di sambung satu persatu, rasanya boleh cecah sampai ke bulan. Kata ku jak bah..
Memang tidak dinafikan usaha yang telah pihak kerajaan lakukan. Sekarang ini pun sudah jelas menara telekomunikasi sudah banyak sepanjang perjalanan dari Miri dan Long Lama serta beberapa kampung-kampung yang ramai penduduk di Baram kini sudah dapat dihubungi melalui whatsapp, ini membuktikan capaian internetnya semakin bagus.
Cuma ada juga sebahagian kawasan walaupun dekat dengan Pekan masih kurang berkesannya jaringan internet seperti tempat aku tadi malah di kampung Narum Marudi tempat kelahiranku pun masih lemah jaringan internetnya. Apatah lagi yang jauh di ulu baram. Seperti artikal di bawah.
Antara faktor yang menyebabkan capaian internet teruk adalah berkaitan dengan faktor topografi seperti bukit dan sebagainya. Tetapi Jumlah pengguna yang rendah terutamanya di beberapa kawasan luar bandar dipercayai menjadi punca syarikat-syarikat telekomunikasi tidak berminat membina menara telekomunikasi di kawasan tersebut. kadar penggunaan yang rendah dilihat tidak mampu mendatangkan keuntungan kepada syarikat-syarikat telekomunikasi menyebabkan mereka tidak berminat untuk membina menara di kawasan luar bandar. Menurut Timbalan Pengerusi Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CFM), Mohamad Yusrizal Yusoff.
Jelas di sana, bahawa pihak kerajaan telah memainkan peranannya dengan menyediakan Menara, cuma syarikat telco yang tidak mahu memasang alatnya atau dalam bahasa mudah piring satelitnya.