Translate

Wednesday, 11 August 2021

Badan celoreng

 Ini adalah benteng yang paling hadapan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Telang Usan Baram Sarawak. Pasukan RELA ini, amat ku kagumi. Mereka bukan sekadar mencari rezeki dengan jawatan yang diberi tetapi kerana minat dan rasa tanggungjawab terhadap keselamatan komuniti setempat, membuatkan segala tugasan dipikul dengan penuh amanah sekali.

Pasukan yang menjaga PPV Telang Usan ini kesemuanya aku kenali. Dari orang biasa kini menjadi insan yang luarbiasa kerana beban kerja yang dipukul tanpa mengira tempat, masa dan keadaan demi maruah baju celoreng khas ini. Aku tertarik dengan slogankata Pasukan RELA.

“ DARI RAKYAT, BERSAMA RAKYAT, UNTUK RAKYAT”

Disebabkan pandemik Covid-19 melanda, baru kita sedari keberkesanan kewujudan pasukan RELA. Mereka lebih dekat dengan komuniti setempat dan mereka juga mudah “membumi” dengan rakyat jelata. Contoh yang paling mudah, bila kawasan sesak dengan bilangan orang, mereka dengan mudah memberi penjelasan dan arahan kerana mampu berkomunikasi dalam bahasa ibunda mereka sendiri dan pastinya penjelasan lebih mudah difahami. Bukan senang hendak berhadapan dengan pelbagai karenah orang. Perlu ada tahap kesabaran yang tinggi dan tuturkata yang berlapis.

Penerima Vaksin
Penerima Vaksin

Mungkin segelintir orang memandang mereka seperti cendawan tumbuh selepas hujan atau dalam bahasa pasarnya, kalau ada aktiviti baru ada pasukan RELA. Tapi dalam kes pandemik yang melanda di akhir-akhir ini, kehadiran mereka adalah sama penting dengan jentera barisan hadapan, hakikatnya sumbangan yang pasukan RELA hulurkan itu sesungguhnya memudahkan kerja dan melicinkan tentatif setiap program, SJR, kawalan perimeter PPV malah di kawasan kampung yang terkena arahan ‘Lockdown’. Ini la pasukan yang paling awal dilapangan dan mereka juga yang paling akhir di arah pulang.

Ketika ini, tugasan mereka sekadar bermusim, kalau ada keperluan baru mereka menjalankan tugas tetapi tidak mustahil ianya akan ditambahbaik di masa hadapan, punyai jawatan yang tetap dan berpencen malah sekarang ini pun aku dapati untuk pasukan RELA kawasan Long Lama saja, mereka sudah bertugas dari bulan Mei tahun lepas hingga kini..No red calendar bro!!!..kerja, kerja dan terus kerja.


Ayuh anggota RELA, walau di mana pun dikau berada, tak kira lelaki atau wanita cekalkan hatimu, anda adalah Pasukan yang terdiri daripada rakyat yang menabur khidmat bakti secara sukarela. Kini tugasan yang diberi semakin berisiko kerana berdepan dengan ‘musuh’ yang tidak nampak. Selain menjadi benteng rakyat, pastikan anda sentiasa menjaga keselamatan diri.

Aku amat bertuah kerna dapat bekerjasama dengan Pasukan ini. Ketika orang ramai kekal bersama keluarga di rumah, ada insan hebat yang sanggup berkorban masa, keringat tenaga serta nyawa. Anda adalah wira Negara. Pengorbanan besar anda ini sewajarnya harus dihargai oleh rakyat Malaysia.

-Wira jarang didendang-

Sunday, 8 August 2021

LAPOK, perlu diberi wajah baru

 Lama sudah tidak menghangatkan enjin kereta. Disebabkan PKP ini, kereta cuma berperam duduk diam. Pagi tadi setelah sekian lama tidak keluar aku sengaja ke pekan Lapok sambil menukar Tong Gas. Keistimewaan Pekan Lapok ini, barangan dapurnya ada yang murah, bayangkan harga satu Tong gas di Lapok RM26.60 jauh murah jika di bandingkan di Pekan Long Lama. Selain dapat menghangatkan enjin kereta dan menukar tong gas dapat juga membeli beberapa menu exsotik pelbagai pilihan di Pasar Tamu Pekan Lapok. Sempat juga membeli bunga kantan untuk campuran masak ayam pansuh petang ini.


Cuma satu saja masalah di Pekan Lapok ini. Keadaan jalannya kotor. Segala lumpur dan selut ini di bawa oleh kenderaan dari kampung dan beberapa kem ladang dan kem balak yang berhampiran. Lendir lumpur yang di tayar kereta tersebut telah mengotorkan jalan serta tempat ‘parking’. Dalam kedai pun ada bekas lumpur yang dibawa pelanggan.





Komuniti di sini perlu membuat inisiatif tersendiri. Tidak dapat diharapkan 100% pihak kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini. Mungkin pihak komuniti disini perlu mewujudkan ‘Car Wash Comunity’ di laluan utama dan dikelolakan sepenuhnya oleh mereka sendiri dengan mengenakan bayaran RM5 satu kereta. Mewajibkan setiap kenderaan yang terlalu kotor sahaja untuk di cuci. Ingat!!!!, yang terlalu kotor sahaja.





Ianya cuma memancutkan air di kawasan tayar dan bawah kenderaan yang terlalu kotor sahaja. Tak perlu gosok dan ‘fogging Namo’. Pemandu tak perlu keluar pun, sekadar naik rack dan pekerja ‘menembak air’ bawah kenderaan dalam masa 5 minit siap.
Hasil wang Kutipan boleh digunakan untuk membayar gaji pekerja dan pengurusan ‘Car wash comunity’. Andai ada lebihan boleh juga digunakan untuk mencantikkan landskap Pekan Lapok ini. Boleh buat Pintu gerbang, beli pasu besar dan bunga yang cantik-cantik.
Persoalannya, apakah komuniti setempat mempunyai kuasa untuk membuat arahan sebegini?
Nak masuk Bintulu pun perlu Swab Test pok!, malah sekarang ini Arahan dari JKKK kampung di ulu pun tidak membenarkan orang luar masuk kampung. Kalau nak masuk juga terpaksa didenda dengan jumlah sebanyak RM2000.00 dan jumlah itu berlainan nilai pula mengikut arahan setiap kampung.
Kalau arahan sebegini pun boleh dibuat untuk keselamatan dan keselesaan bersama, rasanya tidak salah juga komuniti Pekan Lapok menggunakan formula ini.




Bila air Bah, Oh !!! Long Lama

Banjir ini bukan setakat membawa air tapi lumpur, tumpahan minyak, sampah sarap, binatang berbisa beserta masalah lain. Semua urusan harian tergendala. Tak kira apa keturunan serta pangkat, pasti terjejas oleh fenomena ini.




Banjir kali ini sungguh luarbiasa bagi komuniti Long Lama. Permulaan kemasukkannya, air cepat naik hingga tak sempat diangkat peralatan elektrik yang besar, perabot malah stok beras pun berendam. Ditambah lagi ada juga kawan yang tak sempat memindahkan motor & kereta ditempat yang tinggi. Pakaian, buku sekolah anak, tak payah cerita dah..Menanggis di hati beb!!!




Semakin teruk apabila berlaku pula kebakaran Lot kedai di pertengahan malam yang telah melarat hingga merebak ke 3 Lot kedai berdekatan. Kepujian yang cukup tinggi aku berikan kepada komuniti di sini yang berganding bahu tanpa mengira bangsa, usia dan pegangan agama berusaha memadamkan kebakaran dalam keadaan banjir.



Tanpa peralatan yang cukup, tanpa pengalaman sekadar 2 hos Bomba Sukarela, tiada pula helmet & jaket keselamatan mereka bertarung nyawa bertahan dari jam 12 tengah malam hingga 10 pagi keesokan harinya berusaha menyiram bangunan tersebut sehingga BOMBA sampai dari Marudi.



Aku tak nak cerita berkenaan banjir di tempat lain, tapi untuk Long Lama ini, ada sesuatu yang menarik perhatianku. Walau dalam keadaan cemas dan tertekan sekalipun, masih ada juga yang dapat membantu antara satu sama yang lain.


Aku dapati, ada sekumpulan lelaki tanpa mengenali satu dengan yang lain, menolak beberapa buah kereta yang sudah dimasuki air di pindah ke tempat selamat, ada pula membantu jiran tetangga memindah barang dan bersama pula bergilir mencuci rumah selepas banjir malah ada yang menyediakan perahu tanpa caj pun untuk kemudahan penghantaran makanan dan proses pemindahan mangsa banjir.





Lumpur selepas banjir di kedai Long Lama

Peristiwa-peristiwa ini sempat aku rakamkan dan simpan menjadi koleksi peribadi. Cuma sebahagian ini sahaja aku ingin kongsikan untuk tatapan umum. Bertabahlah kawan- kawanku dalam menempoh dugaan ini, Semoga kisah duka tak berulang lagi.