Translate

Wednesday, 14 April 2021

Sudut pandang yang berbeza

Memasuki Tahun 2021, tiada yang seronok hendak diperkatakan melainkan pandemik Covid19 masih melanda malah kali ini jangkitan tersebut mula merebak memasuki kawasan pendalaman. Ianya berlaku dengan pelbagai sebab dan salah satunya Majlis kematian di rumah panjang. Ahli keluarga dari bandar datang memberi penghormatan terakhir namun pada masa yang sama membawa wabak tersebut. Ada pula kes dimana pengunjung dari luar datang ke kampung untuk membuat kerja-kerja pembangunan projek luar bandar dan akhirnya tanpa sedar membawa virus tersebut.

Perkara sebegini sudah tidak dapat kita elakkan lagi, mahu atau tidak, kita terpaksa hadapi bersama mendepani segala kemungkinannya. Apa yang penting adalah kita perlu disiplinkan diri dengan SOP yang telah ditetapkan.

Sempena Bulan Ramadhan ini, aku bersyukur juga kerana solat terawih dibenarkan dengan mengikut terma SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan. Wajib memakai pelitup muka, scan Mysejahtera dan jarak saf-saf solat. Memang terbaik walaupun tidak seperti dulu namun kita masih dapat mengamalkan aktiviti seperti selalu cuma menggunakan pendekatan yang berlainan.

Tetapi lain pula kisahnya dengan beberapa negeri yang tidak membenarkan Bazaar Ramadhan beroperasi. Perkara ini sepatutnya diperhati dengan lebih serius dan memerlukan pandangan dari pelbagai pihak kerana ianya melibatkan periuk nasi orang. Tiada pula aku nak menyalahkan sesiapa pun dalam perkara ini dan di kedua belah pihak, punyai alasan masing-masing. Aku pernah ke pasar Malam Bintulu. Pintu masuk ruang Pasar Malam tersebut ada checkpoint. Aliran trafik dalam Pasar Malam tersebut telah di 'setting' semuanya agar lebih teratur.



Seperti kes di atas, ada baiknya RM1.5 juta tersebut digunakan untuk memperketatkan SOP di bazaar-bazaar Ramadhan seperti:

1.Tambahkan bilangan angota RELA kalau tidak cukup anggota, minta bantuan dari Polis atau Tentera yang berpencen untuk membantu dengan memberi imbuhan elaun menjaga Bazaar Ramadhan sahaja. 

2. Tidak dibenarkan membawa anak masuk ke kawasan Bazaar Ramadhan.

3. Wajib memakai pelitup muka. (pengunjung dan peniaga)

4. Pintu masuk dan keluar Bazaar, disediakan tempat mencuci tangan.

5. Di pintu masuk ada 'penjaga' bilangan pengunjung. Kalau melebihi kapasiti muatan maka perlu di tahan dan tunggu orang lain keluar terlebih dahulu.

6. Membuat laluan traffic  (masuk/keluar ) dalam kawasan bazaar.

7. Mewajibkan semua peniaga mengambil suntikan kesihatan dari Klinik.

8.Peniaga diwajibkan 'Swab Test' 2 kali sepanjang berniaga dan ditanggung sepenuhnya oleh Pihak kerajaan. Swab Test mesti di buat sebelum berniaga dan minggu ke tiga Ramadhan.

9. Dan pemantauan berterusan dari pihak kesihatan.



Aku yakin dengan SOP yang ketat kita boleh membuka pasar Bazaar Ramadhan. Kita perlu memikirkan cara yang dapat memberi 'win-win situation'. Ini bukan soal mencari keuntungan sahaja, tetapi tentang ikhtiar hidup para peniaga-peniaga kecil. Kita pun sedia maklum, disebabkan pandemik Covid19 ini, ada yang bekerja tetapi tidak diberi O.T sekadar menerima gaji pokok sahaja. Malah ada yang telah dibuang kerja dan cuma berharapkan bisnes kecil-kecilan sebegini.

Sebab itu dari awal aku katakan, sepatutnya kita berbincang dan mendengar dari semua pendapat dari pelbagai pihak. Apa yang berlaku di atas adalah apabila pengubal undang-undang atau pemberi keputusan cuma memikirkan dari sebelah pihak sahaja, maklum la, mereka senang kerana menerima gaji setiap bulan. Tiada pun pernah merasa penat lelah mencari rezeki berniaga sebegini.

Pasti ada suara-suara sumbang akan berkata:

' Kalau ada positif dalam bazaar tu, baru padan muka'..

Sebenarnya suara negatif sebegini tidak akan membantu kita dalam menempuh kehidupan yang serba mencabar kini. Sebagai contoh, kenapa sepanjang pandemik Covid 19 melanda, majlis-majlis yang melibatkan menteri atau Y.B dibenarkan?.Bukan sekali tapi banyak kali malah di pelbagai tempat pula tu.


Ini kerana mereka yakin dengan pematuhi SOP yang ketat maka peratusan jangkitan dapat diminimakan atau berharap tiada jangkitan.

Berbalik kita pada kes Bazaar  Ramadhan tadi, Ayuh la kita berubah, bak peribahasa orang sekarang ini, 'Move On Bro'. Sudah mendekati 2 tahun kita dengan Covid19 ini, mahu atau tidak, rela atau terpaksa, kita mesti meneruskan Kehidupan ini.