Berkesempatan berjumpa dengan teman sepermainan di kampung dulu. Lama tidak berborak kosong dengannya. Banyak juga aku bertanya tentang kisah kehidupannya sekarang. Namun yang pasti, dia masih aktif bermain sepakraga di gelanggang Balai BOMBA Marudi.
Orangnya simple dan santai. Bagiku, dia tidak kisah pun perkembangan dengan politik kampungan apatahlagi dengan politik tanahair. Spesis jenis yang sentiasa humble dan sentiasa menyerah bulat-bulat pada takdir untuk memandu ke simpang sempadan kehidupannya nanti.
Dalam kami berborak, aku dapat mempelajari sesuatu hasil dari ‘loyar’ kosong kami tadi. Jangan pandang orang yang humble tiada memberi impak, hakikatnya jenis ini yang banyak belajar dari sifat memerhati yang tajam dari sisi-sisi perjalanan hidup mereka dan mereka terjermahkan dalam kehidupan seharian mereka pula.
Aku selalu juga pulang ke kampung, tapi tidur cuma semalam dua saja, itu pun atas urusan kerja. Masaku banyak di habiskan dengan mesyuarat di pejabat dan sebelah malamnya pula aku lebih suka berborak dengan ahli keluargaku. Dengan adanya kawanku ini maka aku ambil peluang la bertanya satu-persatu kawan-kawan lainku di kampung. Aku tak perlu tanya pun pasal kerjanya. Dah namanya simple, memang simple juga la sumber pendapatan hariannya. Bergaji menebas kebun orang, tika musim air panas, turun sungai menjala Udang, pergi hutan mencari burung, skill menangkap burung ini cuma ada pada yang pakar saja seperti kawanku ini. Lumayan juga hasilnya, Kerja kampung saja kan.
Katanya, banyak kawan lain dah bekerja bertukang kayu buat rumah. Mereka buat rumah E-kasih katanya. Ada yang telah ‘travelling’ keluar kampung mengikut Tokey membuat rumah di perkampungan lain. Sekarang ni, mereka tengah baikpulih atap rumah Pak Samad Belit di hujung kampung nun, mungkin minggu baru mereka dah start dirikan tiang rumah Mail Benggal dan Mat Kus Tempang dekat tanah ninggal emaknya dulu.
Bila mendengar penjelasan darinya, aku tarik nafas syukur juga la, kerna selain bantuan dari Kerajaan yang telah melancarkan Program E-kasih ini, secara tidak langsung ianya juga telah membuka peluang kerja kepada kawan-kawanku di kampung. Kalau setakat kerja kampung bagi yang sudah berbini beranak, terasa juga pedihnya, lain pula kesnya dengan kawanku ini yang memang bujang dan kini rambut sudah beruban.
Katanya, Tokey Acai yang bawa mereka bekerja, baik orangnya dan senang nak pinjam bila suntuk tengah bulan. Hari Jumaat tak kerja kerna Tokey Acai wajibkan pekerjanya pergi solat Jumaat. Aku terkesima..Kalau kau pernah melihat muka lembu makan rumput serentak tu juga ia buang taik dari celah kangkang kakinya, macam tu la muka aku sewaktu mendengarnya. Jarang benar dapat jumpa Tokey cina membenarkan apatah lagi mewajibkan pekerjanya Solat Jumaat.
Untung la mereka dapat tokey begitu, aku yang kerja kerajaan ni pun tak pernah mendapat arahan dari Ketua Jabatan mewajibkan semua kakitangan muslim untuk solat jumaat.
‘Acai ni, cina mana?’
‘Cina apa?.. Imam Acai kampung seberang tu, dulu kerja Telekom sekarang dah pencen’ balasnya sambil mulutnya masih mengunyah sisa-sisa roti.
Baru ku teringat, Pakcik Hamdan yang kami gelarnya Acai kerana matanya sedikit sepet seperti mata kaum cina. Rupa-rupanya dia kini sudah menjadi Tokey malah sudah menjadi Imam di Surau kampungnya. Aku ketawa besar. Sungguh, nama ‘Acai’ itu membuatkan aku keliru. Semakin lucu bunyinya apabila dia di panggil dengan nama ‘Imam Acai’ oleh kawan rapatnya seperti kami ini.
|
Dato Paduka Nawie |
Begitu la topikal orang melayu, orang tua sudah buat nama yang bagus, namun kawan-kawan sepermainan memandai je buat nama pelik-pelik. Usop Tikus la, Man Letop la, Achik Kuyong la, Aziz Rembo la, Lan belukuk la dan aku pun tak terlepas dari nama sandaran itu….Pian kropok…
Cuba bayangkan Usop Tikus dah lulus interview jadi Polis, terus dilantik menjadi Sarjan, takkan dipanggil Sarjan Tikus dan Man letop dah habis sekolah dapat kerja jadi Tuan D.O. takkan di panggil dengan D.O Letop. Berharap tidak berjumpa dengan kawan sepermainan la bila ada majlis besar. Tiba-tiba kawan pula jadi MC Majlis..abis la……
Kawanku ke Long Lama bukan la semata-mata nak berjumpa dengan aku, dia sebenarnya mengikut kawan cinanya memasang perabot di Pejabat yang baru nak dibuka di sini. Kira sambil menyelam minum air terus. Aku ajaknya tidur semalam, besok pagi naik transport balik Marudi tapi katanya tak bawa baju lebih jadi aku bekalkan dia dengan kuih kacang untuk makan dalam perjalanan balik nanti. Ini dinamakan lumrah kehidupan, sejauh mana pun perhijrahan kita, kenangan dulu tetap mengikuti kita..