Translate

Monday, 22 July 2019

Sarawak ber-indentiti sendiri


Sayang Simunjan Sungainya senget,
Walaupun senget tanahnya rata,
Mun la ujan balik ke langit,
Baru la kamek mengubah kata.

Kalau membaca pantun ini secara fizikal, maka kita cuma nampak ianya berkisar tentang ungkapan janji setia sepasang kekasih melafaz ikrar yang dipatri. Susunan bahasa pantun ini, cuma ada di Sarawak sahaja. Tetapi, apabila kita melihat dari sudut yang lain, ianya melambangkan betapa teguhnya semangat Si pengarang pantun itu, tidak dapat digoyang akan pendiriannya,  yang boleh kita katakan bahawa itu adalah simbolik watak Pengarang pantun itu dan aku pasti orangnya berasal dari Sarawak. Kalau orang Kedah, pasti dia akan menggunakan ‘sayang kedah….”kan. Pantun itu cerminan watak si Pengarang. 

Bermula dengan rasa keyakinan yang tinggi, berbekalkan semangat juang, yang dipunyai oleh orang Sarawak maka desakan tuntutan untuk penyerahan  Sarawak dari cengkaman penjajah koloni British semakin menjadi dan akhirnya pada tanggal 22 Julai 1963 Pentadbiran Negeri diurus oleh anak Sarawak sendiri dengan pelantikan Tan Sri Stephen Kalong Ningkan sebagai Ketua Menteri yang pertama. Sebab itu Mantan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Haji Satem mewartakan tarikh tersebut sebagai cuti bermula pada tahun 2016.

Aku tidak ingin berbicara lebih teliti tentang proses peralihan kuasa ini, kerana aku bukan pakar dalam sejarah Sarawak. Kalau setakat copypaste info dari blog lain, baik aku tak sambungkan keyboard dengan komputer, cukup sekadar monitor dan mouse untuk buat blog ini. Melalui ilmu yang terhad dari sudut pandang seorang rakyat biasa seperti aku ini, aku lebih suka katakan hari Sarawak ini adalah simbolik penyatuan hati rakyat Sarawak itu sendiri yang terdiri dari berbagai lapisan kaum, bangsa dan agama yang bersatu hati yang inginkan Ibu pertiwi ini dijaga oleh orangnya sendiri.

Sebab itu aku tertarik dengan kata-kata Ketua Menteri sekarang iaitu Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, bahawa rakyat Sarawak ini adalah generasi yang hibrid iaitu generasi yang lahir dari perkahwinan campur antara pelbagai kaum dalam Sarawak ini. Hasil dari perkahwinan ini, melahirkan generasi yang sungguh tinggi sifat toleransinya antara satu sama lain dan juga, mewujudkan suasana yang unik. Sikap toleransi dan unik adalah Kriteria kunci kestabilan Sarawak dari dulu lagi.

Maksud uniknya disini, bukan mereka mempunyai kuasa ‘Super power’ seperti dalam cerita TV, akan tetapi lebih kepada banyak pengetahuan tentang cantuman budaya dan Bahasa. Perkahwinan campur ini memudahkan generasi hibrid ini mengerti adat dan pantang larang dalam budaya orang tuanya mengikut susun jalur garis keturunannya sendiri dan berani aku katakan, kebanyakan generasi hibrid ini juga mahir sekurang-kurangnya 3 bahasa ( 1 Bahasa Melayu dan 2 lagi Bahasa Ibundanya ) dan 2 bahasa yang mereka faham tapi kurang mahir. ( 1 Bahasa Ingris dan 1 lagi Bahasa kawan dari kaum lain )

Apabila kita faham konsep penyatuan ini, iaitu di antara:
i) Semangat juang mempertahankan ibu pertiwi dan 
ii) Generasi hibrid ini.
Maka kita akan faham apa yang disebut oleh Mantan Ketua Menteri Tan Sri Adenan.

‘JAGA SARAWAK TOK BAIT-BAIT’

Patah perkataan yang mudah tapi huraiannya amat memerlukan kefahaman. Ianya bukan setakat mempertahankan setiap inci tanah Sarawak dirampas orang, tapi pesan beliau ini juga terarah kepada kerjasama diantara  kita tidak mengira latar budaya dan kedudukan untuk menjaga keharmonian di Tanah tercinta ini.

Kalau ingin membunuh pokok,
Racunkan saja akarnya,
Kalau ingin membunuh bangsa,
Rosakkan saja sejarahnya...