Translate

Friday, 3 November 2017

Mini Karnival Sukan Antara Majlis Daerah Zon Utara Sarawak

Sukan antara PBT zon Utara Sarawak telah berlangsung dengan jayanya di Miri atau lebih spesifik lagi lokasinya di Indoor Stadium Miri yang dikelolakan oleh Majlis Daerah Subis.


Selain Majlis Daerah Marudi, ada Majlis Daerah Lawas dan Majlis Daerah Limbang juga menyertai. Memang menjadi lumrah di setiap pertandingan, ada menang dan kalahnya, namun okjektif sebenar Sukan antara PBT ini adalah untuk mengeratkan lagi silaturahim di antara pegawai-pegawai kerajaan dibawah PBT Sarawak nan tercinta ini.

Hotel Bajet tapi Selesa untuk 3 orang- Cosy Inn
Berkampung 4 malam 5 hari di Bandaraya Miri, bersama rakan sesama Jabatan, ianya mempunyai aura yang tersendiri.

Tokey besar baju biru tengah berunding harga bilik Hotel
Sambil acara sukan yang telah diwajibkan bagi setiap PBT pertandingkan, ada juga ‘sukan saringan’ yang sentiasa berlangsung di bilik hotel masing-masing. Ada juga ‘sukan meja bulat’ di Restaurant bawah hotel sambil melayan karenah senyum tawa sesama sendiri dan bagi para wanita pula, ‘sukan shopping’ yang paling di nanti.

Untuk hari pertama ada 3 acara sukan yang agak berat dipertandingkan. Syukur juga, untuk kali ini, Staff MDM mempunyai pemain yang cukup untuk mengisi kekosongan senarai pemain dalam sukan yang dipertandingkan.



Geng nak naik tikar terbang..Zam zam ala kazam
Seawal pagi telah diadakan acara Sukaneka sebagai pembuka tirai Pertandingan. Sempat juga aku mengambil beberapa gambar dengan aksi yang menarik untuk di kongsi dalam blog ini. Ada juga yang aku perolehi dari ‘Group Whatsapp’ Pejabat dan yang menariknya, ada sahabat sepejabat yang mengetahui aku memiliki blog ini, mereka dengan sukarelanya sudi berkongsi secara peribadi gambar mereka untuk dirilis dalam Nurkilan kali ini.


Tuan Presiden KESURA dibantu Cik Najiha A.K.A Pengulas sukan Pertandingan Bola Tampar & Badminton

Bagi aku yang telah melintasi usia ‘4 Series’ ini, kudratku cuma sekadar mampu bermain Sukan bola tampar sahaja. Walaupun hati ini teringin sekali hendak menyarung kasut futsal untuk bersama berjuang dengan rakan sesama Jabatan. Tapi aku sedar, ianya akan menyusahkan aku pula. Lagipun lama juga aku tidak membuat sebarang latihan ujian stamina dan sepakan bola sebelum ini.

En.Faizal mengetuai Pasukan Futsal KESURA( Baju Hitam)
Sebagai penonton merangkap pasukan sorak, aku turut terasa juga apabila setiap kali jaringan Gol telah dilakukan.

En. Brege ( Biru) mewakili KESURA
Setiap kali pemain dapat menyambut ‘smash’ bola ping pong dari pihak lawan, Setiap kali bulu tangkis dapat dikelirukan pukulannya agar pihak lawan tidak mampu membalas, setiap kali balingan Dart menuju lokasi yang telah ditetapkan, setiap kali wisel berbunyi tika Bola jaring mengoncang jaringnya  dan laungan akan terus bergema setiap kali pasukan telah memberi mata berharga.


Barisan Pasukan Dart
Aksi Sang Juara En.Junaidi

Itu sudah cukup memadai hinggakan kotak suara sakit selepas bersorak sewaktu memberi kata-kata semangat kepada pemain di gelanggang.


Bip Oren Pasukan Bola Jaring diketuai Cik Puyang

Uniknya untuk kali ini, apabila Tuan Presiden KESURA sendiri, Saudara Nazir tidak bermain di semua acara sukan yang dipertandingkan, sedangkan beliau yang aku kenali sememangnya adalah orang yang kaki ‘sport’. Katanya untuk kali ini, beliau lebih selesa mengurus dan menjadi ‘Transport’ untuk pemain hadir ke gelanggang tepat pada masanya. Walaupun jadual agak sibuk, namun sempat juga beliau mencuri waktu mengayuh basikalnya ke Marina bay miri.



Sayang akan basikal, beliau sanggup naik lift membawa hingga ke tingkat 3 untuk tidur bersamanya.

Disempurnakan oleh Y.B Dato Penguang ak Menggil
Sewaktu Majlis Makan malam Sempena Karnival Sukan PBT Zon Utara ini, setiap Majlis Daerah diwajibkan membuat persembahan, maka setiap Majlis Derah sekadar ber-Karaoke sebagai persembahan namun berlainan dari Majlis Daerah Marudi, kerana telah membuatkan semua penonton terpegun dengan kehebatan Saudara Anill mempersembahkan aksi Silap mata sambil Y.B Dato Pengguang juga sudi menjadi peserta jemputan untuk menjayakan silap matanya.
Y.B Dato Penguang memang Spotting
Para penonton terpegun
Tahun ini, Majlis Daerah Lawas menduduki carta teratas dari kutipan markah. Majlis Daerah Marudi di tempat ke-3 daripada 4 PBT yang menyertai. Setiap tempat dan suasana memberi pengalaman yang berbeza, Tahun lepas Sukan PBT seluruh Sarawak telah berpusat di Kuching, dan tahun hadapan telah diputuskan akan di buat di Bintulu manakala tahun hadapan juga Sukan PBT untuk Zon Utara bakal beraksi di Lawas pula.

Sebahagian besar barisan pemain mewakili Kelab Sukan & Rekreasi MD Marudi ( KESURA)
Tiada perkara yang lebih penting untuk kali ini, melainkan menambah stamina dan ‘skill’ untuk beraksi dan terpilih sebagai pemain untuk semua kejohanan sukan yang bakal dipertandingkan nanti. Andai umur dan rezeki diberi, akan ketemu di Lawas lagi.

Tuesday, 17 October 2017

My Beautiful Neighbourhood Telang Usan


Bersempena dengan pelancaran MYBN ( My Beautiful neighbourhood ) oleh Perdana Menteri yang diserentakkan di seluruh negara, Daerah Telang Usan di antara lokasi yang di pilih untuk melancarkannya. Program ini sebenarnya adalah Program membaikpulih Perumahan Awam di bawah inisiatif kejiranan indah ( My Beautiful neighbourhood ) MYBN. 

Bertujuan untuk mengubah persekitaran kejiranan perumahan awam yang tidak terurus kepada persekitaran yang indah, mewujudkan persekitaran kejiranan yang selamat, bersih dan indah secara mampan dan mewujudkan perasaan cintakan persekitaran kejiranan dalam kalangan penduduk setempat.

Majlis Daerah Marudi selaku mengetuai Program ini telah merangka pelbagai aktiviti sepanjang tarikh yang telah ditetapkan tersebut. Sebanyak 5 rumah ibadat ( Masjid, Gereja BEM, Gereja RC, Tua Pek Kong dan Sinogong Buddha ) telah diberi wang sebanyak RM3000.00 ringgit setiap satu untuk membaikpulih dan penyelenggara apa yang yang patut di tempat rumah ibadat masing-masing. Pada hari tersebut, simbolik ke-2 Perasmian telah disempurnakan oleh Y.B Anyie Ngau Ahli PArlimen Baram di Gereja BEM. Pemilihan rumah Ibadat ini disebabkan lokasinya paling dekat dengan tempat acara Gotong royong yang berlangsung iaitu pasar Long Lama.

Sehari sebelum Program ini, telah diadakan satu “ Bengkel Penerapan dan Peningkatan Ekonomi Komuniti telang Usan” anjuran dari Majlis Daerah Marudi dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia. 




Pengisian Bengkel ini lebih kepada cara penyediaan permohonan atau kertaskerja bantuan Usahawan dan pembuatan Kompos serta baja Organik dari sisa makanan.




Pada sebelah petangnya pula diadakan perlawanan persahabatan Badminton dan Basketball di antara penduduk Long Lama dan kakitangan MDM sendiri. 




Berbalik kepada pelancaran MYBN tadi, simbolik pertama untuk perasmian program ini adalah menanam beberapa anak pokok di sekitar pekan Long Lama seterusnya bergotong-royong. 


Simbolik perasmian gotong royong

Pembahagian tugas kawasan gotong royong

Sebelum gotong-royong, acara memanaskan badan dulu, berzumbabik


Suasana gotong royong pasar Long Lama

Lumayan hadiah

Sumbangan saudara En.Anyie Wan

Ada disediakan juga, beberapa hadiah barangan elektrik untuk Cabutan tiket bertuah.

Walaupun ‘simple’ namun kalau aktiviti ini dilakukan berulang kali ( contoh: setahun 4 kali ) pasti secara tidak langsung Pekan murni ini akan sentiasa bersih dan yang paling penting, ianya dapat memupuk semangat cintakan kebersihan di dalam hati setiap penduduk di sini.

Monday, 16 October 2017

Pesta Sukan Air Long Lama 2017


Pesta Sukan Air Long Lama dan Ulangtahun ke-2 Daerah Telang Usan telah diadakan serentak pada tanggal 29 Sept hingga 1 Okt 2017. Banyak acara yang telah dirangka. Persiapan kelengkapan, latihan dan mesyuarat telah berbulan-bulan diadakan. Di atas kertas, kos untuk Pesta kali ini melebihi RM200K. Tetapi dengan kehadiran Tetamu kehormat seperti Timbalan Ketua Menteri Sarawak YB Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan YB Datuk Haji Abdul Karim Rahman Hamzah selaku Menteri Pelancongan, kesenian, kebudayaan, Belia & Sukan Sarawak, aku kirakan, bajet tersebut amat berbaloi. Bukan senang hendak menjemput ’orang Besai’ memijak tanah Long Lama. 

Ianya umpama rumah kita yang buruk dan serba-sebi kurang tiba-tiba mendapat berita bahawa Sultan selaku kepala negara teringin hendak mengunjungi. Mahu atau tidak, kita orang nusantara ini, yang penuh dengan budaya santun dan adab pasti menyambutnya dengan penuh hormat malah sanggup berhabis wang ringgit untuk menghias rumah.

Mengecat gelanggang Takraw Balai Polis Long Lama

Barisan para pemain Pertandingan Sepaktakraw

Seawal 2 minggu sebelum Pesta lagi telah berlangsungnya Pertandingan Sepaktakraw. Sebanyak 14 pasukan menyertai pertandingan termasuk Pasukan dari Tinjar Lapok dan 2 pasukan sejauh Beluru, Bakong. Aku terlibat secara langsung dengan Pertandingan ini. Biar berpanas berhujan, demi Sukan Kuno ini, aku tetap rela. Seterusnya berlangsung juga Pertandingan Bola Keranjang tertutup yang telah diadakan dalam Kawasan Sekolah rendah di sini. Walaupun tertutup, namun penyertaannya tetap memberangsangkan kerana telah dibuat untuk 2 kategori ( Lelaki/Perempuan).



Dalam kesibukkan hendak menyambut Pesta ini, Ya Salam Restaurant pula pada sebelah malamnya telah ditempah membuat satu jamuan untuk Majlis Malam Graduasi Tingkatan 6 SMK Long Lama yang berlangsung dengan warna-warninya di Dewan Masyarakat Long Lama. Aku yang keletihan seharian di gelanggang Takraw membantu sekadar yang termampu dan selebihnya diuruskan oleh Isteri beserta krew-krewnya.

Alang-alang bercerita pasal makanan ini, aku nak memberitahu bahawa, Ya Salam Restaurant juga telah dilantik untuk menjadi penyedia hidangan V.I.P sepanjang Pesta sukan Air ini berlangsung. 

Persediaan awal bilik santapan Tetamu kehormat

Pada mulanya aku keberatan untuk menerima tawaran tersebut kerana aku ingin fokus untuk membuka Kedai lagipun dengan membuka kedai, semua pembayaran berurusan dengan wang tunai sahaja. Kalau catering ini, rasanya mengambil masa 2-3 bulan baru di kreditkan ke dalam akaun bank. Tapi syukur juga, Pak mertua dan adik beradik Isteri sudi datang membantu dan Kedai tetap beroperasi seperti biasa. Tidak dilupa juga 2 orang anak bujangku meringan tulang serta dibantu oleh teman mereka yang lain.




Bilangan peniaga untuk temasya kali ini sungguh diluar kebiasaan. Dapat dilihat dari jumlah konopi jualan yang didirikan sepanjang tebingan sungai dan sekitar pasar Long Lama. Sebenarnya kehadiran mereka ini boleh dikatakan sebagai pembangkit suasana setiap kali Pesta. 

Sesuatu yang baru untuk tahun ini
Banana boat
Busking tebingan Sungai Baram

Uniknya kali ini, Ada pameran haiwan reptilia dari NGO 


Dengan pelbagai jenis barang jualan dan wajah-wajah baru, secara tidak langsung perubahan suasana jelas ketara. Dari Pekan yang sunyi, kini berubah sekejap dengan hiruk pikuk seperti di pasar tamu.

Pesta kali ini terlalu padat jadual aturcaranya. Untuk 3 hari kemuncaknya telah dimulai dengan Pertandingan Karaoke dari jam 2.00 petang ( Jumaat ) serentak dengan Pertandingan Remote Control di sungai juga dan sebelah malamnya pula adalah Pertandingan Funny Dress untuk orang dewasa.

Sebelum 'berlepas', buat pameran dulu
Faiz dapat No.2 pertandingan mewarna tahap Prasekolah

Pertandingan mewarna golongan warga emas sahaja

Pada hari Sabtunya pula dimulai dengan Pertandingan mewarna, Single dan Long Dance Orang Ulu, “Lakek Gaheng”@ Strongman menarik kereta 4x4 dan memanjat Tiang licin. 


Pertandingan Lakek Gaheng ( kategori lelaki) Dilepaskan oleh Y.B Datuk Haji Abdul Karim


Tak payah aku sebutkan acara di sungai. Memang pun namanya Pesta Sukan Air, pasti meriah dengan bunyi deruan enjin dan teriakan peserta pengayuh.

Ucapan pembukaan dari Y.B Dennis Ngau

Suasana Menanti pertandingan 20 pengayuh perahu

Acara memanaskan enjin
Seperti biasa, selepas tamatnya Temasya sebegini, segala sampah sarap pasti menganggu pemandangan. 



Kontractor yang di lantik bukan tidak menjalankan tugas, tetapi lebihan kerja ini memerlukan tambahan pekerja namun hakikatnya kontractor tidak diberi bajet tambahan, maka terpaksa mereka menggunakan tenaga kerja yang sedia ada. Biarpun lambat, yang penting tetap kerja. 


Seronoknya kali ini, atas keizinan Pengetua Sekolah, Beliau telah membenarkan Tingkatan 1, 2 dan 4 dalam anggaran 300 orang untuk bergotong royong mengutip sampah sarap yang bertimbun di kawasan Pekan Long Lama ini. Dengan bantuan beberapa Jabatan kerajaan untuk bersama dengan Program yang mulia ini, ianya semakin mudah. Cuma mengambil masa tidak kurang dari 2 jam sahaja, Pekan ini kembali bersih.





Terima kasih yang tak terhingga kepada semua khursusnya Tuan Pengetua kerna sudi membenarkan pelajarnya membantu dan tidak dilupa juga kepada Tuan D.O En Baru Tai yang mengetuai program Gotong royong ini.

Tanpa disangka 2 hari selepas Temasya ini, paras air sungai Baram mula menunjukkan ke paras merbahaya. Ada sebahagian jalan dan kampung telah ditenggelami air. Aku sempat mengambil beberapa photo sewaktu air mula naik. Uniknya di Long Lama ini, air banjir tidak akan lama. Andai pagi air naik maka petang nanti pasti surut. Tapi sedih juga dengan jiran-jiran lain yang rumah mereka telah ditenggelami air. Walaupn cuma beberapa jam sahaja, tetapi impak banjir itu boleh merosakkan beberapa barangan rumah termasuk kaki meja seperti yang berlaku di Pejabat Jab. Penerangan sini. Malah budak sekolah harian pun tidak dapat hadir ke sekolah disebabkan jalan ke sekolah tidak dapat dilalui.

Jalan ke SMK Long Lama

Jalan ke Ferry

Pesta kali ini amat meriah sekali, Pesta kali ini juga ibarat ‘neraca’ sukatan kesiapsetiaan semangat bekerjasama di antara semua Jabatan kerajaan yang terlibat dan juga penduduk Long Lama sendiri. ‘Postmortem’ perlu dilakukan, bukan untuk mencari kelemahan sesiapa, tetapi lebih kepada memperelokkan lagi penganjuran yang akan datang. Setiap tahun acara ini diadakan, pelbagai masalah yang baru akan timbul dan yang paling ketara adalah tempat tinggal seperti Hotel dan rumah penginapan terhad malah tidak cukup namun setiap kali acara diadakan juga, setiap tahun pula bilangan pengunjung semakin bertambah. Di situ dapat di lihat ada suatu tarikan tersendiri. Bertepatan dengan Ikonik motto ‘Maju selamanya Telang Usan’, sebegitu juga kita harapkan agar Daerah murni ini disimbahi dengan cahaya kemajuan dari sudut material dan sahsiah insan.